Al Mu'allim by Sami Yusuf lyrics


Mencintai Rasulullah s.a.w. dan menghargai kasih sayangnya

Nurjeehan: Let me share with you one of my favourite ear candies after a hard day’s work. It’s calming, soothing & may it reminds us of Rasulullah s.a.w. monumental love, compassion and sacrifice for mankind.
Artist: Sami Yusuf
Title: Al-Mua’llim

ORANG-ORANG yang keras hati tidak akan mengenal kasih sayang. Tidak ada sedikitpun kelembutan pada diri mereka. Hati mereka keras bagaikan karang. Kaku, baik ketika memberi mahupun menerima. Kurang peka perasaan, lagi tipis peri kemanusiaannya. Berbeza halnya dengan orang yang dikurniakan Allah Ta’ala hati yang lembut, penuh kasih sayang lagi penuh kemurahan. Dialah yang layak disebut pemilik hati yang agung penuh cinta. Hati yang diliputi dengan kasih sayang dan digerakkan oleh perasaan yang halus.
Dari Anas bin Malik Radhiallaahu’anhu ia berkata, yang ertinya: “Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam pernah membawa putera baginda bernama Ibrahim, kemudian mengucup dan menciumnya.” (HR: Al-Bukhari)
Kasih sayang tersebut tidak hanya terkhusus bagi kerabat baginda saja, bahkan dicurahkan juga bagi segenap anak-anak kaum muslimin. Asma’ binti ‘Umeis Radhiallaahu’anha –isteri Ja’far bin Abi Thalib- menuturkan, yang ertinya: “Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam datang menjengukku, baginda memanggil putera-puteri Ja’far. Aku melihat baginda mencium mereka hingga menitis air matanya. Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah telah sampai kepadamu berita tentang Ja’far?” Baginda menjawab: “Sudah, dia telah gugur pada hari ini!” Mendengar berita itu kamipun menangis. Kemudian baginda pergi sambil berkata: “Buatkanlah makanan bagi keluarga Ja’far, kerana telah datang berita musibah yang memberatkan mereka.” (HR: Ibnu Sa’ad, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Ketika air mata Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam menitis menangisi gugurnya para syuhada’ tersebut, Sa’ad bin ‘Ubadah Radhiallaahu’anhu bertanya: “Wahai Rasulullah, engkau menangis?” Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam menjawab: “Ini adalah rasa kasih sayang yang Allah Ta’ala letakkan di hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya hamba-hamba yang dikasihi Allah Ta’ala hanyalah hamba yang memiliki rasa kasih sayang.” (HR: Al-Bukhari)
Ketika air mata Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam mengalir disebabkan kematian putera baginda bernama Ibrahim, Abdurrahman bin ‘Auf Radhiallaahu’anhu bertanya kepada baginda “Apakah engkau juga menangis wahai Rasulullah?” Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, ini adalah ungkapan kasih sayang yang diiringi dengan titisan air mata. Sesungguhnya air mata ini mangalir, hati ini bersedih, namun kami tidak mengucapkan kecuali yang diredhai Allah Ta’ala. Sungguh, kami sangat berduka cita berpisah denganmu wahai Ibrahim.” (HR: Al-Bukhari)
Begitulah kasih sayang Rasulullah yang begitu mendalam, pada keluarga, sahabat-sahabat, anak-anak kecil dan umatnya. Sedang maut hampir menjemput, yang berada di bibirnya yang mulia, adalah “Ummati, Ummati”. Bagaimanakah kasih kita terhadap makhluk teragung, pemimpin seluruh zaman, dan kekasih Allah ini?
Antara perkara yang terpenting dalam kehidupan kita sebagai orang yang beriman ialah cinta pada Rasulullah s.a.w.
Marilah kita sama-sama mendekatkan diri kita kepada Allah yang telah mencipta kita dengan kita mencintai Nabi kita Muhammad s.a.w yang telah berkorban untuk umatnya.
Cinta pada Rasulullah s.a.w merupakan satu kewajipan bagi kita. Ia tidak boleh diabaikan dan diketepikan pada setiap masa dan ketika. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah At-Taubah ayat 24:
Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
Lihatlah betapa pentingnya cinta pada Rasulullah s.a.w. Sehinggakan jika kita lebih mengutamakan yang lain dari Rasulullah s.a.w, Allah telah mengancam dengan menurunkan azabnya dan tidak akan memberikan hidayahNya.
Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan cinta Rasulullah s.a.w? Apa yang dimaksudkan dari ayat yang dibacakan tadi, ulama’ telah membahagikan cinta Rasulullah terbahagi kepada dua:
  • Cinta yang wajib ialah keimanan kita pada Rasulullah s.a.w.
  • Cinta yang sunnah pula, ialah cinta yang menjadi ukurtara bagi keimanan kita. Iaitu cinta yang mengajak kita mengikuti sunnahnya sedaya upaya.
Maka atas dasar ini, kita semua cinta akan Rasulullah s.a.w atas dasar keimanan. Ini perlu ada pada setiap tempat dan zaman. Tidak boleh di tolak ansur. Tetapi dalam masa yang sama juga kita perlu menanamkan keinginan untuk menambahkan kecintaan kita pada Rasulullah s.a.w dengan mengikuti sunnahnya dan ajarannya terutama sekali di dalam zaman yang penuh mencabar. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya:
Ertinya: “Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman: (Pertama) Untuk seseorang mencinta Allah dan Rasulnya lebih dari semua perkara yang lain, (Kedua) untuk seseorang mencintai orang yang lain disebabkan cintanya kepada Allah, (dan yang Ketiga) untuk seseorang itu benci pulang kepada kekafiran selepas Allah menyelamatkannya, sebagaimana dia benci untuk dilemparkan di dalam api neraka.”
Sesungguhnya cinta kita kepada baginda s.a.w adalah ukurtara keimanan kita. Sesungguhnya mereka yang tidak mencintakan Baginda s.a.w, maka dia tidak akan dapat merasai kemanisan beriman kepada Allah s.w.t.
Tetapi kenapa kita perlukan cinta Rasulullah s.a.w. pada zaman ini? Adakah tidak mencukupi kita beriman padanya sahaja? Adakah tidak mencukupi kita bersolat dan melakukan kewajipan? Adakah terdapat perkara lebih penting dari hanya cinta Rasulullah s.a.w?
Antara sebab yang memerlukan kita cinta pada baginda dan cinta ini amat relevan dalam konteks kita ialah kerana:
  • Pertama: Rasulullah s.a.w adalah Habibullah atau kekasih Allah. Barangsiapa mencintai Rasuulullah dia akan dikasihi Allah.
  • Kedua: Allah telah menaburkan rahmatNya dan kasih sayangNya melalui Baginda s.a.w.
Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w meringankan solatnya apabila mendengar tangisan bayi, menunjukkan belas dan memberikan kemudahan kepada ibu kepada bayi itu.
Lihatlah bagaimana Rasulullah amat meyayangi umatnya sehinggakan setiap apa yang diajarinya pada sahabatnya perlu disampaikan.
Lihatlah bagaimana Rasulullah merupakan seorang yang penuh dengan kasih sayang sehinggkan kita diajar agar mempunyai rahmat walaupun pada seekor binatang.
  • Ketiga, kenapa kita perlu cinta pada Rasulullah s.a.w ialah kerana Allah s.w.t telah mengutuskan baginda sebagai rahmat untuk seluruh alam.
Baginda telah menunjukkan segala kebaikan dan akhlak mulia. Tiada perkara yang kecil, melainkan telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Perihal toleransi Rasulullah, sikap sabar baginda. Sehinggakan dengan akhlaknya yang begitu mulia musuh-musuhnya juga mengiktiraf akan keluhuran budi Baginda.
Saudara-saudara ku yang dikasihi sekalian,
Cinta bukan hanya pada dibibir sahaja. Kalau kita cintakan seseorang, kita akan melakukan apa sahaja untuknya. Jika kita cintakan padanya, kita akan menjaganya dengan diri kita. Tetapi apakah buktinya bahawa kita cintakan Baginda s.a.w?
Sebenarnya, kita mempunyai 2 hubungan bersama Rasulullah s.a.w.
  1. Hubungan hati serta perasaan
  2. Hubungan minda dan pemikiran.
Untuk memupuk cinta pada Rasulullah kita perlu kukuhkan dua hubungan ini. Hubungan rasa ialah dengan sering menyebut namanya melalui selawat dan hendaklah kita mempunyai cita-cita untuk bersamanya diakhirat kelak. Hubungan minda pula dikukuhkan melalui memahami dan mengamalkan sunnahnya, mempelajari sejarah hidup dan mengikuti segala ajarannya.
Semoga dengan mengukuhkan dua hubungan ini bersama Rasulullah s.a.w kita mampu memupuk cinta pada Rasulullah s.a.w. Semoga dengan cinta ini juga akan menjadikan kita umat yang benar-benar menghayati ajaran Rasulullah s.a.w. Ajaran yang membawa rahmat keseluruh alam.
Sumber: Media Islam Info & Majlis Ugama Islam Singapura

Comments

Popular posts from this blog