Al-Quran Pedoman Hidup

AL-QURAN DAN AS-SUNNAH MERUPAKAN PANDUAN UMMAT

( 14 APRIL 2006M / 15 RABI 'ULAWWAL 1427H )

اَلْحَمْدُ للهِ الْقَائِلِ : وَمَا أَتَاكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَانَهَكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْا وَاتَّقُوْا اللهَ اِنَّ اللهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْن.

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian

Marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan pada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh mengerjakan apa yang disuruh, dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t, mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat nikmat kejayaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat .

Sidang Jumaat Yang Berbahagia

Kita baru sahaja menyambut ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w . Walaupun baginda telah lama wafat, namun sebagai tanda kasih dan cinta kepada-Nya, kita telah berselawat beramai-ramai memuji Baginda nabi s.a.w, di samping itu kita juga mengadakan pelbagai program seperti ceramah, forum , Majlis ilmu dan sebagainya. Semuanya ini adalah sebagai tanda ingatan kita kepada Baginda Rasulullah s.a.w yang membawa rahmat yang berkekalan sehingga ke akhir zaman . Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anbiyaa ayat107 yang berbunyi :

Maksudnya : " Dan tidaklah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam " .

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w umpama INTAN permata yang berkerlipan dari segenap penjuru. Setiap kerlipan itu, penuh dengan panduan dan pengajaran untuk dipelajari serta dihayati oleh umatnya. Kehidupan ummat Islam akan menjadi indah dengan diwarnai oleh sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang bersumberkan wahyu Ilahi, sebagaimana Sabda Rasul Allah s.a w :

" اِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "

Maksudnya : " Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak . "

Sesungguhnya Baginda Rasulullah s.a.w telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Tetapi, kita masih bertuah kerana Baginda Rasulullah s.a.w, telah meninggalkan dua perkara kepada umatnya sebagai panduan hidup, iaitu kitab Allah dan sunnahnya, sebagai pedoman bagi seluruh umatnya untuk dikaji, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan .

Hadirin Sidang Jumaat Yang Berbahagia

Kitab suci Al-Quran atau kalam Allah diturunkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w, melalui malaikat jibril a.s secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun . Penurunannya adalah mengikut suasana semasa yang berlaku ketika itu, yang memerlukan istinbat hukum. Kandungan Al-Quran itu merangkumi ayat-ayat yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup bermasyarakat, cara beribadat, pembahagian harta pusaka, urusan kekeluargaan, urusan pentadbiran dan pembangunan Negara, urusan pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kesemua kandungan ini tetap menjadi sumber rujukan yang unggul dan abadi sehingga ke hari kiamat .

Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah s.a.w, ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah s.w.t. Selain daripada itu, Al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaan perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai, supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredaan Allah s..w.t. Lebih-lebih lagi kita wajib mempercayaí kitab Al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukun iman seseorang Muslim. Iaitu kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada rasul-rasulnya .

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian

Justeru, kita sebagai ummat yang mengaku beriman dengan kitab suci Al-Quran, mestilah menjadikan Al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukan utama dalam kehidupan Menjadikan Al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta sentiasa memohon dilindungi Allah s.w.t. Oleh yang demikian, dalam kesibukan harian, kita hendaklah berusaha sedaya upaya meluangkan masa diri dan keluarga kita untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. melalui pembacaan Al-Quran . Janganlah kita menjadi seperti segelintir orang yang mendakwa berilmu tetapi mereka tidak membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka .

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian

Peninggalan nabi yang kedua ialah as-Sunnah . As-Sunnah membawa maksud apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dari segi ucapan, perbuatan dan perakuan. Oleh itu, apa jua yang dilafazkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w bukanlah terbit dari hawa nafsunya, tetapi merupakan kata-kata yang berpandukan wahyu Allah s.w.t sebagaimana Firman Allah s.w.t, sebagaimana dalam surah An- Najm ayat 3-4 yang berbunyi :

Maksudnya : " Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berbohong dengan Agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri, Segala yang diperkatakan itu (samada Al-Quran ataupun Hadis ) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepada-Nya " .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Kita seharusnya merasa bangga jika mutiara as-Sunnah Rasulullah s.a.w yang merupakan khazanah peninggalan sentiasa menjadi bahan rujukan kepada setiap percakapan atau penulisan. Kerana suasana hari ini, terdapat orang yang lebih berbangga jika pengucapan atau penulisannya bersandarkan kepada pandapat sarjana-sarjana barat yang tidak diketahui asal-usulnya, sementara sangat sedikit usaha membawa hujah-hujah dan dalil-dalil yang bersandarkan as-Sunnah .

Sidang Jumaat Yang Berbahagia

Akhirnya, ingin ditegaskan disini bahawa Al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi pegangan seluruh ummat Islam di dunia ini adalah dua sumber utama perundangan Islam. Oleh itu, wajib ummat Islam menerima kedua-duanya tanpa menolak salah satu darinya kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan,cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat .

Dengan rasa ikhlas saya ingin berpesan, marilah kita menjadikan amalan membaca Al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat sehari dan mengikut kaedah yang betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar. Begitu juga dengan Hadis Rasulullah s.a.w, ia perlu diteliti supaya kita tidak tandus mencari panduan hidup. Dalam masa yang sama kita perlu merujuk kepada golongan pakar dalam kedua-dua bidang tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham. Ini penting bagi memastikan apa yang disampaikan bertepatan dengan disiplin ilmu. Mudah-mudahan kita semua mencapai kejayaan dalam menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan pedoman hidup .

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Bermaksud : " Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang ( Arab ) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah ( Al-Quran ) dan hikmat ( pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat ). Dan sesungguhnya mereka sebelum ( kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata " .

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْن.

Comments

Popular posts from this blog