Solat-How to Solat - Niat



Assalamualaikum Wm. Wbrkth.

Kepada Hamba Allah yang bertanya tentang kedudukan sah atau tidak suatu solat yang niatnya didahulukan sebelum takbir; Allahu Akbar, pada saya merupakan satu isu agama yang perlu diketahui oleh seluruh umat Islam kini, khasnya penduduk Negara Brunei Darussalam yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Melihat fenomena solat jamaâh di masjid-masjid tempatan contohnya, banyak sekali didapati para maâmum yang menghadapi masalah meletakkan niat solat di dalam hati. Sesetengah mereka melakukan takbir berulang-ulang kali kerana sukar untuk melakukan niat secara serentak (Muqaranah) sewaktu bibir melafazkan dua kalimah yang dimulai dengan Allahu dan diakhiri dengan Akbar. Akhirnya, saya melihat solat itu seolah-olah menjadi satu beban kepada mereka. Selain daripada menghilangkan rasa khusyuk, perbuatan ini juga mengganggu makmum lain yang berada berhampirannya.

Untuk menjawab permasalahan yang diutarakan dan bagi memudahkan ibadah solat dilakukan, ingin dibawakan hukum hakam Fiqh sejauh pengetahuan yang dilandaskan kepada ilmu Fiqh al-Sunnah (Fiqh amalan Sunnah Rasulullah SAW) dan Fiqh Muqaran (Fiqh Perbandingan Mazhab). Butirannya dibincangkan melalui perkara-perkara berikut:

1. Maksud & Gambaran Niat.
2. Kepentingan Niat Dalam Ibadah.
3. Sunnah Rasulullah SAW Dalam Melakukan Solat.
4. Kehadiran Niat Dalam Solat.

1. Maksud & Gambaran Niat:

Dari segi Bahasa, niat bermaksud: sengaja, qasad (kehendak atau tujuan), cita-cita, nazar atau ketetapan di hati melakukan sesuatu perbuatan. Dari segi istilah Syara' pula (sebagaimana yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama Mazhab Shafii): niat ialah kehendak hati melakukan sesuatu dengan senghaja yang diikuti dengan perbuatannya.

Ulasan:

Berdasarkan maksud niat dari segi istilah Syara' ini, dapatlah disimpulkan bahawa niat BUKAN TERDIRI DARIPADA SUSUNAN RANGKAP AYAT TERTENTU. TETAPI IA MERUPAKAN GERAK HATI ATAU SENTAK HATI UNTUK MELAKUKAN SUATU PERBUATAN.

Menghadirkan niat dalam suatu pekerjaan bukanlah satu perkara yang susah. Sebagai contoh, bagaimanakah niat menjadi imam atau makmum? Jawapannya mudah, jika berniat hendak menjadi imam, pergi duduk depan makmum. Jika berniat menjadi makmum duduklah di belakang imam. Itulah niat. Berdasarkan contoh ini, niat tidak didatangkan dengan ungkapan kalimah-kalimah tertentu, contohnya Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah. Kerana ini menyukarkan orang yang hendak melakukan solat yang sepatutunya mudah apatah lagi dilakukan dengan serentak ketika melafazkan takbir Allahu Akbar. Cukuplah dikatakan bahawa niat itu urusan hati manusia, Allah Maha Mendengar apa yang tersurat dalam hati setiap hamba-Nya.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman, iaitu sewaktu saya dilantik menjadi salah seorang penyunting buku-buku Fiqh Islam untuk kegunaan murid-murid sekolah (sewaktu kurikulum bersepadu diamalkan di Negara Brunei Darussalam), hal ini telah pun saya sentuh dalam salah satu mesyuarat mingguan yang diadakan supaya perkataan Sahaja aku solat fardhu / sunat/ menjadi imam / makmum /tunai / qada kerana Allah ta'ala yang pada asalnya dibuat sebagai Niatnya dibetulkan menjadi Maksudnya iaitu maksud kepada lafaz Usalli kerana niat itu bukan ungkapan ayat tetapi kemahuan hati. Alhamdulillah, saranan ini telah diterima pakai dengan baik sekali oleh semua ahli mesyuarat yang terdiri daripada ilmuan agama tempatan dan luar negara.

Dalam masyarakat Melayu Brunei khasnya, persoalan lain yang sering timbul ialah tentang sebutanUsalli yang dikenali sebagai al-Talaffuz bi al-Niyyat, iaitu sebutan niat dengan lisan. Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa niat tidak perlu dilafazkan kerana tiada nas baik dari al-Quran atau al-Sunnah untuk melafazkan niat dengan rangkap-rangkap yang tertentu kerana niat itu terletak pada hati dan bukannya pada lidah. Oleh yang demikian, suatu solat tidak memadai andainya hanya dengan menyebut Usalli tanpa disertai dengan niat di dalam hati.

Menurut Imam Al-Nawawi (seorang ulama besar Mazhab Syafii), hukum membaca Usalli sebelum takbir itu ialah sunat. Pendapat yang sama juga diungkapkan oleh Syeikh Zainuddin dalam kitabnya Fath al-Muin, Syeikh al-Islam al-Ansari dalam kitabnya Fath al-Wahab, Khatib Sharbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj dan imam-imam lain Mazhab Shafii. Menurut pendapat imam-imam tersebut juga, sekiranya bacaan Usalli itu sendiri boleh menyebabkan waswas kepada individu, maka ia boleh ditinggalkan kerana hukum membacanya ialah sunat; tidak berdosa kalau meninggalkannya dan solat tetap sah tanpanya.

Namun, sejauh manakah kebenaran HUKUM SUNAT al-Talaffuz bi al-Niyyat ini sepertimana yang dikatakan oleh imam-imam tersebut? Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri berdasarkan nas-nas al-Sunnah yang ada tidak pernah membacanya dan tidak pula pernah menyuruh para sahabat untuk membacanya. Apa yang pelik lagi ialah, dalam kitab Al-Umm yang dikarang sendiri oleh Imam besar Al-Shafii juga tidak ada menulis ini lafaz niat fardu Zohor, ini ialah lafaz niat fardu Asar…dan sebagainya. Beliau juga tidak ada mengatakan bahawa melafaz niat dengan lidah itu Sunah atau Mustahab atau Nadab. Para ulama Hanafi seperti yang disebutkan dalam kitab Al-Fiqh Ala al-Mazahib al-Arba'ah (Fiqh empat mazhab) mengatakan melafaz niat itu ialah suatu yang dianggap bidâah.

Saya bukanlah hendak mempersoalkan kredibiliti imam-imam tersebut. Tidak dinafikan jasa mereka sangat besar dalam perkembangan ilmu Fiqh. Tulisan-tulisan mereka masih dapat dilihat hingga ke hari ini. Siapalah saya jika dibandingkan dengan mereka yang berilmu, pengetahuan luas, dan mempunyai jutaan pengikut. Walau apa pun, mengenai pendapat mereka yang mempertahankan sunat melafaz niat itu, serahkanlah kepada Allah SWT dan janganlah terlalu taksub kepada pendapat-pendapat tersebut. Tugas kita selaku muslim ialah mencari kebenarannya berlandaskan Manhaj Islam. Ibn Masâud berkata: Allah tidak akan menerima sesuatu perkataan melainkan dengan amal perbuatan. Allah tidak akan menerima sesuatu perkataan dan perbuatan melainkan dengan niat. Dan Allah tidak akan menerima sesuatu perkataan, amalan, dan niat melainkan dengan apa yang disetujui dengan kitab dan sunah (Quran dan Hadith).

Sehingga kini saya masih kehairanan bagaimanakah imam-imam besar muktabar membuat kesimpulan hukum bahawa melafazkan niat itu ialah sunat tanpa disandarkan kepada nas al-Quran, al-Sunnah, al-Ijmaâ, atau pun al-Qias. Dalam hal ini, kita berhak meminta dalil daripada mereka yang mendakwa bahawa Nabi SAW ada membacanya dan mengajarkannya. Jika benar ada, dari manakah berita itu datang? Selama mana mereka tidak dapat mendatangkan dalil-dalil yang terang tentang hal ini, MAKA TETAP MENOLAK HUKUM SUNAT MEMASANG NIAT itu.

Guru-guru pernah mengatakan bahawa tujuan imam-imam tersebut memperkenalkan al-Talaffuz bi al-Niyyat itu ialah atas dasar MASLAHAT (kebaikan). Tujuannya supaya lidah dapat membantu hati menghadirkan niat dengan mudah dan dijauhkan diri daripada timbul rasa waswas. Tetapi jika direnung kepada dalil 'Aqli, lidah menolong hati batil sebab ucapan lidah semestinya dimulai dengan kehendak hati. Bagaimana mungkin lidah membantu hati sedangkan lidah itu sendiri digerakkan oleh hati??? Selain itu, sejauh pengamatan saya didapati ramai orang yang tidak mahu melakukan solat jenazah walaupun mudah kerana tidak ingat lafaz niat. Bahkan setiap kali solat sunat hari raya pun imam-imam masjid (sebelum solat) mengajarkan lafaz niat kepada para makmum. Di manakah dan sejauh manakah kebenaran maslahat al-Talaffuz bi al-Niyyat itu?

2. Kepentingan Niat Dalam Ibadah:

Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada kepada niat, dan setiap orang akan mendapatkan (ganjarannya) bergantung dengan apa yang diniatkannya. (Hadith riwayat al-Bukhari). Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Umar al-Khatab dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah sabda: Bahawasanya seluruh ibadah itu adalah dengan niat dan apa yang diperolehnya hanya yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya (dikategorikan sebagai hijrah) kerana Allah dan Rasul. Dan barang siapa hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu (diketegorikan sebagai hijrah) kerana apa yang ia hijrahkannya. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ulasan saya:
Berdasarkan hadith-hadith di atas, dengan niat akan dapat mengkategorikan secara jelas tentang suatu perlakuan yang dilakukan oleh seseorang individu samada ia perlakuan biasa ataupun ibadah. Sebagai contoh, orang yang duduk di masjid kerana berehat tidak sama dengan orang yang duduk di masjid dengan niat 'itikaf.

Selain itu, hadith-hadith sahih ini juga menjelaskan bahawa semua ibadah itu (termasuk solat) mesti disertakan dengan niat. Oleh yang demikian, agar solat itu dikategorikan sebagai satu ibadah dan diberi ganjaran oleh Allah SWT, maka niat dihukumkan sebagai salah satu rukun dalam solat. Tanpa niat, solat itu tidak dianggap sebagai ibadah tetapi hanya sebagai amalan biasa semata. Dalil lain yang membuktikan tentang wajibnya niat dalam ibadah (contohnya solat) ialah ijma' ulama iaitu kata sepakat daripada imam-imam mujtahidin yang hidup dalam satu zaman, dan tidak ada seorang pun daripada mereka yang membantah tentang wajibnya niat.

3. Sunnah Rasulullah SAW Dalam Melakukan Solat:

a. Daripada Humaid al-Sa'di katanya: Apabila Rasulullah SAW hendak mengerjakan solat, beliau menghadap kiblat, kemudian mengangkat kedua tangannya dan beliau mengucapkan Allahu Akhbar. (Hadith riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban & Ibnu Khuzaimah: Sahih).

b. Daripada Ali bin Abi Talib katanya: Bahawa Nabi SAW memulakan solatnya dengan mengucapkan Allahu Akhbar, dan membaca doa iftitah (wajjahtu wajhiya lilladzi fatharas samaawaati…). (Hadith riwayat Ahmad: Sahih).

c. Daripada al-A'raj katanya: “Apabila SAW berdiri mengerjakan solat wajib, beliau bertakbir dan mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua bahunya. (Hadith riwayat Ibnu Hajar: Disahihkan oleh Ahmad).

Ulasan:

Solat seperti yang kita semua tahu mesti dilakukan dalam keadaan berwudu, iaitu suci daripada hadas. Apabila seseorang itu telah bertakbir, maka haram baginya melakukan sesuatu yang sebelumnya halal. Dan apabila telah mengucap salam, maka perkara yang haram dilakukan ketika solat menjadi halal. Hal ini disebutkan dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Anak kunci solat itu ialah wuduk dan pengharamnya ialah takbir, manakala penghalalnya ialah salam (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi & Ibn Majah: Disahihkan oleh Imam al-Albani). Dalam ertikata lain, solat itu dimulakan dengan sebutan Allahu Akbar dan diakhiri dengan salam. Perlakuan solat ini mestilah dilakukan dengan menghadap ke kiblat iaitu Baitullah al-Haram.

Berhubung dengan mengucap takbir, Imam al-Bukhari menghukumkannya sebagai wajib ketika memulakan solat. Hukum ini disandarkannya kepada hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah: Sesungguhnya Nabi SAW mulai solat dengan takbir dan hadith Ibnu Umar: Aku lihat Nabi memulai solatnya dengan takbir. Selain Imam al-Bukhari, jumhur ulama juga menegaskan bahawa solat itu tidak boleh dimulai kecuali dengan ucapan takbir; Allahu-Akbar dan tidak boleh ditukar-ganti dengan ucapan lain seperti Subahanallah. Demikian ialah kata-kata muktamad para ulama Salafi.

Terang dan jelas menerusi hadith-hadith di atas bahawa solat itu dimulai dengan ucapan takbir Allahu Akbar. Ini adalah sunnah Rasulullah SAW yang wajib diikuti sebagaimana yang diperintahkan olehnya dalam sabdanya: Solatlah kamu sebagimana kamu lihat aku melakukan solat (Hadith riwayat al-Bukhari). Perintah yang sama juga difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan apa-apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu mengambilnya dan apa yang ditegahnya kepada kamu maka hendaklah kamu jauhi. (Surah Al-Hasyir:7)

4. Kehadiran Niat Dalam Solat:

Menerusi zahir hadith-hadith yang telah disebutkan dalam perkara tiga (3) memang tidak ada menyebut secara khusus tentang kewajiban seseorang berniat dalam hati ketika memulakan solat. Tetapi perlu juga ditekankan bahawa hadith-hadith tersebut juga tidak boleh dijadikan hujah mengatakan bahawa niat itu tidak perlu atau tidak wajib kerana hadith-hadith di atas sifatnya sangat umum. Oleh kerana itu, persoalan tentang wajibnya niat itu perlu merujuk kepada nas-nas lain seperti yang telah saya sebutkan dalam perkara dua (2) Kepentingan Niat dalam Ibadah.

Merujuk perbincangan sebelumnya sudah jelas dikatakan bahawa hukum niat solat itu wajib dan pembukaan solat itu ialah ucapan takbir Allahu Akbar. Jika demikian halnya, persoalan sekarang ialah bilakah niat itu dihadirkan dalam solat? Adakah niat itu perlu dihadirkan dalam hati serentak ketika lidah menyebut takbir (sewaktu pembukaan solat) atau bolehkan diawalkan atau dikemudiankan? Berikut dibawakan pendapat imam-imam mazhab mengenainya:

a. Ulama-ulama yang terdiri daripada pengikut Hanafi, Maliki, dan Hanbali berpendapat bahawa niat itu dilakukan sebelum pekerjaan dimulai, termasuklah solat. Menurut mereka, setiap pekerjaan yg dilakukan sudah tentu didahului dengan kehadiran niat. Tidak mungkin suatu pekerjaan dilakukan dengan kemahuan sendiri tanpa adanya niat ataupun berniat sesudah pekerjaan itu dilakukan atau sedang dilakukan. Ringkasnya, menurut mazhab ini di dalam solat niat itu datang sebelum pembukaan solat (sebelum ucapan takbir).

b. Pendapat para ulama Shafii: Niat dilakukan berserta dengan pekerjaannya. Dalam solat, niat hendaklah dilakukan pada permulaan solat iaitu ketika membaca lafaz Allahu Akbar. Berlainan pula dengan pendapat Imam al-Nawawi (yang juga merupakan pengikut Mazhab Shafii) yang menjelaskan dalam kitabnya Raudah al-Talibin: Seseorang yang hendak mengerjakan solat perlu menghadirkan niat di dalam hatinya dan fikirannya berkenaan solat yang hendak dia kerjakan dan tata caranya, seperti niat solat zuhur, atau solat fardhu dan solat-solat lainnya. Seterusnya ia memulakan ibadah (solat) dengan takbiratul ihram. Menurut fahaman saya, berdasarkan penjelasan Imam al-Nawawi ini, dia membolehkan niat itu dihadirkan lebih awal daripada takbir.

Ulasan:

Kedua pendapat di atas ialah berdasarkan kepada Ijtihad. Seandainya ijtihad itu menepati kebenaran, maka mujtahidnya akan mendapat dua (2) pahala, dan sekiranya sebaliknya, mujtahidnya tetap mendapat satu (1) pahala. Secara teknikalnya kedua pendapat ini semuanya betul. Sesiapa yang menghadirkan niat sebelum atau sewaktu ucapan takbir masih dianggap sah kerana menepati salah satu pendapat ulama Ahli al-Sunnah. Dalam hal ini, saya menasihatkan kepada Hamba Allah yang bertanya supaya tidak usah gusar dengan hukum solat yang didahului dengan kehadiran niat sebelum takbir. Insya Allah semuanya sah dan diterima oleh Allah SWT. Apa yang patut dibimbangkan ialah sekiranya niat itu dihadirkan selepas takbir, kerana ia terkeluar daripada mana-mana pendapat ulama Ahli al-Sunnah.

Untuk tidak memecah-belahkan ummat agar kekal bersatu, sebagai penduduk awam Negara Brunei Darussalam yang berpegang dan bertaqlidkan kepada fiqh al-Shafii, maka adalah disyorkan supaya semuanya berpegang kepada pendapat Mazhab Shafii, iaitu niat mestilah dihadirkan secara serentak (Muqaranah) dengan pembukaan solat; tidak terdahulu atau terkemudian. Muqaranah dapat dikategorikan kepada dua (2) jenis, iaitu pertama, Muqaranah Haqiqiyah iaitu serentak secara tepat di mana niat mula dihadirkan ketika lidah menyebut lafaz takbir Allahu dan berakhir pada lafaz Akbar. Kedua, Muqaranah Urfiyah iaitu menghadirkan niat dengan serentak tetapi tidak tepat, iaitu asalkan niat itu terlintas hadir dalam hati ketika melafazkan takbir. Tidak dinafikan bahawa menghadirkan niat secara Muqaranah Haqiqiah itu amat sukar dilakukan. Oleh kerana itu, menghadirkan niat dengan Muqaranah Urfiyah sudah memadai.

Mudah-mudahan apa yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua. Ya Allah, ampunilah dosa hamba sekiranya apa yang disampaikan terdapat kekhilafan. Tambahkan ilmu hamba-Mu ini supaya dapat menebus segala kelemahan. Amin ya Rabbal 'Alamin. Sekian. Wassalam. Wallahu 'alam

Comments

Popular posts from this blog