Suami isteri suka tuding jari lemahkan sistem kekeluargaan


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli 

ISU rumah tangga yang semakin kritikal, antara lain berpunca daripada rapuhnya institusi keluarga yang berkemungkinan kerana usia pasangan masih muda, tidak mahu bertolak ansur, tiada persefahaman dan ego yang meletakkan pasangan suami isteri di tembok kekeliruan sukar dibendung.

Rasulullah SAW bersabda: “Perempuan itu dikahwini kerana empat, kecantikan, keturunan, harta dan agamanya. Pilihlah yang beragama, nescaya selamatlah kamu.”

Apa saja kes, membuka mata masyarakat supaya merenung dan bermuhasabah diri masing-masing untuk mengambil apa juga langkah bagi mengelak kejadian seumpama berlaku dalam rumah tangga.
Dari sudut Islam, kes keruntuhan dan keganasan rumah tangga bertentangan dengan fitrah Allah menjadikan manusia untuk hidup berpasangan.

Usah kata melakukan perbuatan jenayah, kegagalan menjalankan tanggungjawab terhadap rumah tangga juga satu dosa kerana ia merosakkan hikmah perkahwinan itu sendiri.

Institusi keluarga mutakhir ini amat rapuh. Banyak kes rumah tangga menunjukkan kelemahan walaupun pelbagai kajian, seminar, bengkel dan ceramah diadakan tetapi masih gagal mencapai sasaran melahirkan institusi keluarga yang kebal.

Pembangunan insan membabitkan pasangan suami isteri harus dipertingkatkan bagi memenuhi sasaran melahirkan institusi keluarga kebal di negara ini. Pendekatan baru lebih efektif perlu dicari.
Kurang telus dalam hubungan suami isteri, seperti terlalu banyak berahsia juga menyumbang kepada kekeliruan hubungan berumahtangga.

Tahap kebebasan suami isteri kini terlalu global. Ditambah dengan tekanan hidup, kesibukan di tempat kerja, tekanan kerja dan sifat materialistik manusia mengejar kekayaan.

Ada waktunya kita terlalu sibuk mengurus hal dunia hingga lupa perkara yang menjadi tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Kita tergoda dengan perkara duniawi dan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, diri sendiri dan keluarga yang sepatutnya diseimbangkan.

Allah berfirman: “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Kebijaksanaan mengemudi rumah tangga perlu ada antara suami isteri dan diperlengkapkan dengan kreativiti supaya kita dapat menerima pasangan seadanya.

Ramai pasangan suami isteri tidak mahu mengaku kesilapan dan kelemahan diri. Mereka hanya tahu menuding jari kepada orang lain untuk menyelamatkan diri.

Sesekali apabila terlanjur ucaplah perkataan ‘maaf’ kepada pasangan kita supaya apa juga kesilapan antara dua insan yang berkongsi hidup diberkati Allah. Dalam erti kata lain, tidak salah kita bersikap kreatif dan inovatif dalam rumah tangga khasnya kepada pasangan kita.

Institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan dengan pengisian sejak kursus perkahwinan lagi. Semua modul perlu diperhalusi, ditokok tambah supaya lebih menepati keadaan semasa.

Pada masa sama, kukuhkan penekanan dan pengajarannya supaya mesej yang disalurkan sampai ke sanubari orang yang hendak mendirikan rumah tangga itu.

Perlu diingat, kerapuhan institusi keluarga antara punca utama yang menyumbang kepada kegawatan sosial kepada anak yang menjadi mangsa, seperti lahirnya samseng di sekolah, jalan raya dan pelbagai gejala tidak sihat.

Comments

Popular posts from this blog