Usah seleweng hukum, perlekeh wanita

Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

Suami mesti tunjuk pengorbanan, keimanan lebih besar sebagai pemimpin keluarga

JANGAN paksa isteri anda menjadi wanita seteguh Hajar jika anda sendiri tidak mampu menonjolkan dalam diri anda kekuatan iman Nabi Ibrahim. Antara kelemahan suami yang mencacatkan keperibadiannya di sisi isteri adalah suka mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri sendiri.

Sungguh ramai lelaki Muslim menggunakan Islam di sebalik niat tersembunyi mereka. Ada yang sibuk ikut sunnah berpoligami, tetapi kewajipan yang fardu tidak dibuat. Sembahyang tidak cukup waktu, zakat tidak tunai, puasa selalu ponteng, tetapi perkara nak kahwin dua tidak boleh tinggal.

Sungguh menyedihkan apabila agama dimanipulasi oleh lelaki tidak bertanggungjawab. Maka ramailah orang mempertikaikan hukum agama yang sememangnya suci daripada kecacatan dan kesilapan. Siapakah yang berani mempertikaikan Allah sebagai Penguasa hukum yang seadil-adilnya. Disebabkan tangan manusia yang kotor, akhirnya Islam dipandang dengan wajah buruk dan tidak relevan pada zaman moden ini. Poligami yang menjadi jalan keluar bagi masalah rumah tangga akhirnya menjadi punca keruntuhan rumah tangga.

Ada pula yang mengongkong isteri atas nama suruhan agama. Maka dibawakan dalil tidak sahih untuk menguatkan perbuatan zalimnya itu. Prof Dr Abdul Halim Muhammad Abu Syuqqah menulis buku mengenai kebebasan wanita dalam Islam, Tahrir Al-Mar’ah fi ‘Ash Risalah. Buku itu dipuji dua ulama terkenal yang menjadi pengulasnya iaitu Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi dan Syaikh Muhammad al-Ghazali.

Syaikh Muhammad Al-Ghazali berkata:
Penghinaan terhadap wanita sudah menjadi amalan kebanyakan umat manusia, pencerobohan hak asasi wanita menjadi tradisi yang berterusan sepanjang zaman. Saya pernah mendengar seorang khatib yang berteriak dari atas mimbarnya berkata: “Semoga Allah merahmati masa wanita tidak keluar kecuali tiga kali dalam hidupnya, iaitu dari rahim ibunya ke alam dunia, dari rumah ibu dan ayahnya ke rumah suaminya dan dari rumah suaminya ke alam kubur!” Saya berkata kepadanya: Masa yang disebutkan khatib tadi adalah masa jahiliah, bukan masa kegemilangan Islam. Bahkan beliau menyebutkan hadis mungkar yang tidak terdapat dalam kitab hadis bahawa Fatimah puteri Rasulullah SAW berkata wanita tidak boleh melihat dan dilihat oleh sesiapapun. Sesungguhnya pemalsu hadis mempunyai agenda mengikut hawa nafsu mereka, sedangkan al-Quran dan hadis sahih Rasulullah SAW sudah terang dan nyata membebaskan wanita daripada kemunduran dan belenggu di tangannya.
Al-Imam Muslim meriwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kamu melarang wanita mendatangi masjid Allah.”
Al-Quran pula menceritakan pembabitan dua puteri Nabi Syuaib yang bekerja mengembala kambing, keduanya bercakap secara langsung dengan Nabi Musa dan seorang daripada mereka berkata yang bermaksud:
“Wahai bapaku, ambillah dia sebagai pekerja, kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas, ayat 26)
Al-Qaradawi pula menunjukkan dalil pembabitan wanita bersama lelaki pada zaman Rasulullah SAW, bahkan isteri Baginda SAW adalah guru besar bagi lelaki pada zamannya. Mereka juga adalah ahli perniagaan berjaya dan pengamat politik yang ulung. Mereka sama sekali tidak dikongkong dalam rumah. Bahkan mereka terjun menceburkan diri dalam arena dakwah dan medan jihad bersama lelaki.

Namun demikian, suami boleh melarang isterinya bekerja jika pekerjaan itu membabitkan sektor yang haram, atau boleh menyebabkan masa depan anak terabai. Suami pula tidak boleh berbuat sewenang-wenang dalam urusan keperluan nafkah isteri. Dia wajib menyediakan keperluan isteri. Isteri boleh menuntut pembubaran perkahwinan jika didapati suami tidak memberi nafkah sehingga berlaku penganiayaan terhadap tubuh badan dan emosi isteri.

Perkahwinan menjadi ibadat bagi dua insan yang bercinta kerana Allah. Suami dan isteri adalah sama-sama bertanggungjawab terhadap amanah yang mereka bina. Jika mahu isteri berkorban untuk kebahagiaan keluarga, suami juga mesti menunjukkan pengorbanan lebih kuat daripada isteri kerana dia adalah pemimpin dalam keluarga.

Mereka dituntut untuk saling berganding bahu dalam keadaan susah ataupun senang. Jangan pilih kerja yang susah untuk isteri dan senang pula menjadi bahagian suami. Apatah lagi jika membabitkan urusan penjagaan dan didikan anak.

Isteri yang bekerja sering kali mengejar masa dalam membahagi perhatian untuk suami, anak, rumah tangga dan kerjaya. Keprihatinan suami amat dituntut untuk memastikan rumah tangga terjaga dengan selamat sejahtera.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf dan mencegah yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Taubah, ayat 71)
Sesungguhnya pengorbanan Hajar, bonda Nabi Ismail dan isteri Nabi Ibrahim adalah inspirasi bagi ibu dan isteri supaya lebih bersemangat dan sabar menghadapi ujian rumah tangga. Hajar tidak akan cekal tanpa Ibrahim yang teguh iman.

Begitu juga isteri anda, sesungguhnya dia memerlukan suami yang soleh yang sentiasa membisikkan senandung keimanan di sisinya. Kehancuran rumah tangga akan terjadi apabila tonggak iman tidak lagi berdiri dalam hati suami dan isteri.

Ramai pasangan yang berkahwin semata-mata kerana cinta buta, tertarik kepada pasangannya kerana paras rupa atau jawatan, status dan darjat yang dipercayai boleh menjanjikan masa depan cerah.
Tetapi mereka lupa bahawa semua itu tidak kekal. Jika seseorang mendapati pasangannya tidak lagi memiliki elemen perangsang sebegitu, maka mulalah mereka berubah hati. Cinta nafsu akan merudum seiring dengan lenyapnya punca daya tarikan cinta.

Bahkan ada yang tidak tunggu isteri kerepot, sudah sibuk cari yang nombor dua. Kebosanan juga menjadi pemicu keretakan perhubungan dalam rumah tangga. Semua itu berasal daripada rasa hati dan iman.

Lelaki akan diuji oleh harta, wanita dan takhta kedudukan. Hanya yang berhati suci lagi terang oleh cahaya iman boleh menyelamatkan diri dan keluarga daripada kehancuran rumah tangga. Jangan cuba salah guna hukum agama untuk kepentingan hawa nafsu. Pasti sakit rasanya seksaan di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

- Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Comments

Popular posts from this blog