Enam sebab kenapa perlu abdikan diri kepada Allah


KETIKA Rasulullah mengembala kambing, tidak jauh daripadanya ada sekumpulan remaja sedang melepak, berborak dan ketawa.
Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah: "Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?" Rasulullah dengan tegas menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."

Jawapan Rasulullah itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan sehingga melalaikan itu merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi yang agung itu ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadah kepada Allah. Kadang kala ada orang melepak sehingga lupa menunaikan solat.

Mereka bermain bola di waktu petang tanpa perasaan malu ketika azan berkumandang. Sudahlah begitu, padang bola pula sebelah masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita kadangkala asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi selekoh. Inilah yang dilarang Nabi

Waktu kerja ada, waktu rehat ada, masa tidur ada, masa makan ada, masa main ada, tetapi sayang waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.

Kadang kala ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadah? Sibuk. Kalau sempat buatlah, jika tidak sempat qada saja

Justeru, remaja perlu memahami mengapa dan alasan mengapa kita beribadah. Di sana ada enam alasan kenapa kita mesti mengabdikan diri kepada Allah.

Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau sesibuk mana sekalipun kita.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah adalah untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56 yang bermaksud: "Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepadaku."

Jika tugas lain kita boleh ingat dan prihatin, maka tugas ibadah lebih utama lagi.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma pula, sedangkan zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar.

Pada hujung bulan bil elektrik, bil telefon perlu dibayar, jika tidak dibayar kena potong. Kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan jika kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tak beribadat, matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah mengingatkan kita di dalam Surah al-A'raaf ayat 72 yang bermaksud: "... ketika Allah berfirman bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab bahkan betul."

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul adalah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat apa lagi kita.

Firman Allah yang bermaksud: "...dan sesungguhnya kami mengutus setiap umat itu rasul untuk menyeru sembahlah Allah dan jauhilah taghut." (Surah an-Nahl ayat 36).

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti kita di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka kepada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah sesungguhnya aku amat takut, jika aku menderhakai Tuhanku akan azab hari kiamat." (Surah al-Anaam ayat 15)

Nikmat dunia terbatas





segala kemewahan yang dikecapi di dunia ada hadnya dan ia terputus dengan kematian. - Gambar hiasan




Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan golongan penderhaka, orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan serta kedudukan masing-masing di sisi Allah SWT pada hari kiamat.
Berikutnya Dia menjelaskan pula keadaan orang yang berbakti kepada Tuhan iaitu mereka yang beriman kepada Tuhan mereka, membenarkan apa yang dibawa oleh rasul yang diwahyukan oleh penciptanya, dan mengamalkan kebajikan sewaktu di dunia dahulu.
Allah SWT juga menerangkan bahawa Dia pasti akan menghisab amalan-amalan mereka dan memasukkannya dalam kitab yang disebut Illiyin yang disaksikan oleh para malaikat Muqarrabun.
Pada akhirnya Tuhan menghitung jenis balasan kebaktian dan kebaikan yang diperolehi oleh kaum Abrar. Dalam ayat di atas terdapat nasihat agar kita selalu mengerjakan ketaatan, menanam keazaman, berbuat kebajikan untuk menambah kebaikan, meninggalkan perkara-perkara yang syubhat dan mengikut jalan yang lurus.
Firman Allah SWT: Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam Illiyiin. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia Illiyiin itu?
Kata kalla pada ayat tersebut difahami oleh al-Biqaie dalam maksud sekali-kali tidak lalu menghubungkannya dengan ayat sebelumnya.
Menurut penyampaian kepada para penderhaka bahawa inilah seksa yang dahulu kami ingkari menimbulkan kesan bahawa apa yang dialami itu merupakan seksa yang akan mereka tempuhi.
Syed Qutub berkata: Illiyin adalah satu perkara di luar ilmu pengetahuan dan kefahaman manusia. Kemudian al-Quran menjelaskan hakikat buku amalan golongan yang taat.
Firman Allah SWT: Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata. Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.
Syed Qutub berkata: Maksud ungkapan yang ditulis rapi telah dijelaskan tetapi di sini ditambah pula dengan satu keterangan yang lain iaitu buku amalan golongan yang taat disaksi dan dilihat oleh para malaikat yang hampir kepada Allah SWT.
Penjelasan hakikat ini memberikan satu suasana mulia, suci dan luhur kepada buku amalan golongan yang taat.
Buku itu disaksikan oleh para malaikat dengan penuh nikmat kerana di dalamnya terdapat amalan-amalan dan sifat yang mulia.
Ini satu lagi suasana mulia yang disebut dengan tujuan memberi penghormatan yang tinggi kepada mereka.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam syurga yang penuh nikmat. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).
Ibn Kathir berkata: Pada hari kiamat kelak mereka berada dalam kenikmatan yang abadi dan syurga di dalamnya terdapat kurnia yang menyeluruh.
Al-Araiq berkata: Ia bererti tempat tidur. Di sebalik kelambu mereka memandang. Ada juga menyatakan: Mereka melihat kerajaan mereka dan segala sesuatu yang telah diberikan Allah kepada mereka iaitu kebaikan dan anugerah yang tidak pernah berkurang dan tidak akan habis.
Firman Allah SWT: Engkau dapat melihat pada muka mereka cahaya nikmat yang mereka perolehi. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya.
Al-Maraghi berkata: Jika kamu melihat wajah mereka, kamu akan menemui mereka sebagai orang yang mendapat kenikmatan kerana di wajah mereka dapat dilihat tanda-tanda yang menggambarkan keadaan itu.
Contohnya: Ketawanya sehingga meresap ke jiwanya dan berwajah ceria.
Botolnya tertutup dengan kasturi, pengganti penutup yang diperbuat daripada tanah sebagai penghormatan dan penjagaan daripada berlakunya kerosakan yang biasa terjadi pada penutup buatan manusia terhadap sesuatu yang dihargai dan dijaga dengan baik.
Firman Allah SWT: Meterainya kasturi dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.
Ibn Kathir berkata: Iaitu mereka diberi minum daripada khamr syurga. Al-Rahiq merupakan salah satu nama minuman khamr. Demikian yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Mujahid dan al-Hasan.
Ibn Mas'ud berkata: "Iaitu dicampuri dengan minyak kasturi". Sedangkan al-Aufi meriwayatkan daripada Ibn Abbas: Allah SWT telah membuat baik minuman khamr itu bagi mereka, ia merupakan sesuatu yang paling akhir dipersembahkan dan ditutup oleh minyak kasturi.
Hendaklah orang saling membanggakan diri, bermewah-mewahan dan memperbanyak serta berlumba-lumba meraih apa yang diperoleh yang terdahulu.
Firman Allah SWT: Dan campuran minuman itu adalah daripada tasnim iaitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang didampingkan (Tuhan di sisi-Nya).
Maksudnya campuran minuman al-Rahiq ini adalah yang disebut dengan tasnim iaitu salah satu minuman yang diberi nama tasnim. Ia merupakan minuman yang paling mulia lagi paling tinggi untuk penghuni syurga.
Minuman yang diminum oleh orang yang didekatkan kepada Allah SWT secara murni (tanpa campuran) dan diminum oleh ashabul yamin (orang-orang yang menerima catatan amal dengan tangan kanan) dengan dicampur minuman lain.
Demikianlah yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Masruq, dan Qatadah dan lain-lain.
Syed Qutub berkata: Umur seseorang di dunia ini adalah terbatas, sedangkan umurnya di akhirat tidak diketahui batas kesudahannya melainkan Allah SWT.
Kenikmatan dunia juga terbatas sedangkan nikmat syurga tidak dapat dibataskan oleh kefahaman manusia. Taraf nikmat dunia telah diketahui semua orang, sedangkan taraf nikmat akhirat sahaja yang layak kekal abadi.
Alangkah jauhnya perbezaan di antara ruang hidup dunia dengan ruang hidup akhirat. Antara matlamat hidup dunia dengan akhirat perbezaannya tidak dapat dihitung dengan kira-kira untung rugi yang biasa dibuat oleh manusia.
Semoga kita beroleh kejayaan dalam meniti kehidupan seterusnya melayakkan kita menghuni syurga Allah SWT.

Zaid memegang bendera Islam

ZAID bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad dari golongan Ansar yang berasal dari suku kaum Khazraj. Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 611 Masihi dan masuk Islam pada tahun pertama Hijrah.
Pada masa Nabi Muhammad, Zaid berperanan menulis wahyu yang diturunkan dan menulis surat bagi disampaikan kepada kaum Yahudi. Semasa mudanya, Zaid sudah mula menghafal surah dan ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.
Semasa hidupnya, Zaid bin Sabit juga terkenal sebagai ahli dalam ilmu al-Quran, tafsir, hadis, dan pembahagian harta pusaka. Oleh yang demikian Zaid diberi gelaran 'ulama masyarakat.'
Zaid adalah seorang anak yatim. Semasa Zaid bin Sabit berusia enam tahun, bapanya meninggal dunia. Semasa Nabi Muhammad berpindah ke Madinah, umur Zaid pada ketika itu berusia sebelas tahun.
Usianya yang muda itu menghalangnya daripada menyertai Perang Badar dan Perang Uhud. Walaupun usianya terlalu muda, Zaid tetap bersemangat berperang melawan musuh.
Pernah pada suatu hari, Zaid berjumpa Nabi Muhammad meminta kebenaran menyertai siri peperangan tentera Islam.
"Wahai Nabi Muhammad, saya mahu pergi berperang," kata Zaid yang masih kecil itu.
"Kamu masih kecil lagi Zaid. Apabila kamu sudah dewasa nanti ikutlah kami pergi berperang," kata Nabi Muhammad kepada Zaid.
Masa berlalu. Zaid semakin meningkat dewasa. Selepas itu beliau sering menyertai peperangan di antara tentera Islam dan tentera musuh. Cerita ini dikisahkan semasa Zaid bin Sabit menyertai Perang Tabuk yang berlaku pada Tahun Masihi 631. Perang Tabuk ini berlaku di antara tentera Islam dan tentera Rom. Pada peperangan itu tentera Rom kalah dan berundur. Kejayaan ini menyebabkan ramai kabilah yang tinggal di utara Semenanjung Tanah Arab membayar cukai kepada kerajaan Islam.
Ketika tentera Islam menuju ke medan Perang Tabuk, bendera Bani Malik dipegang oleh seorang yang bernama Amarah.
"Serahkan bendera itu kepada Zaid bin Sabit," kata Nabi Muhammad selepas terlihat bendera itu dipegang oleh Amarah.
Amarah menjadi hairan. Beliau berasa tidak sedap hati.
Beliau bertanya kepada Nabi Muhammad, "Ada sesuatu yang tidak kena dengan saya? Atau saya melakukan kesilapan tadi sehingga tuan tidak mengizinkan saya memegang bendera itu."
Nabi Muhammad tersenyum mendengar soalan itu dan menjawab, "Tidak ada yang tidak kena dengan kamu.
"Sekiranya begitu, mengapa saya perlu menyerahkan bendera ini kepada Zaid? Saya juga mampu membawa bendera ini," jawab Amarah pula.
Rupa-rupanya Amarah tidak memahami maksud Nabi Muhammad.
Kemudian Nabi Muhammad menghampiri Amarah dan berkata, "Saya mahu Zaid yang memegang bendera itu kerana Zaid lebih banyak ilmu pengetahuannya mengenai al-Quran berbanding kamu."
Lalu Amarah menjawab, "Fahamlah saya sekarang."
Amarah menyerahkan bendera itu kepada Zaid seperti yang diarahkan oleh Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad bukan pilih kasih. Beliau berbuat demikian kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sesuatu kelebihan pada diri mereka. Begitu juga semasa Perang Uhud, Nabi Muhammad mengebumikan mayat tentera Islam yang gugur mengikut tahap ilmu pengetahuan yang mereka miliki di dalam satu liang lahad.
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Zaid memegang peranan penting dalam urusan pemerintahan di Madinah. Semasa zaman pemerintahan Umar al-Khattab dan Usman bin Affan, Zaid adalah sahabat yang dipercayai dapat memberikan fatwa.
Zaid bertanggungjawab memegang jawatan mufti pada ketika itu di Madinah. Fatwa Zaid yang terkenal adalah dalam bidang pembahagian harta pusaka.
Semasa Nabi Muhammad masih hidup, beliau pernah berkata, "Orang yang paling pakar dalam bidang faraid di antara kalian ialah Zaid bin Sabit."
Jelas di sini menunjukkan bahawa Zaid bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad yang banyak berjasa menegakkan agama Islam.
Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya seseorang individu itu mempunyai ilmu yang tinggi dan kelebihan pada diri mereka, maka orang itu disanjungi dan dihormati. Islam juga memandang mulia kepada manusia yang mempunyai ilmu dan mengamalkan ilmunya itu ke jalan yang diredai Allah.

Benteng diri daripada syaitan

MEGA: Apakah falsafah yang diterapkan oleh Islam dalam kita menghadapi musibah menerusi peristiwa Israk dan Mikraj?
AHMAD HUSNI: Peristiwa itu adalah gambaran holistik perjalanan hidup kita di mana ia berhubung kait antara hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah.
Israk adalah perjalanan hidup manusia dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Kedua-dua adalah tempat yang mulia. Ia mengandungi citra manusia yang beriman dan kufur.
Kebanyakan ulama sepakat peristiwa bersejarah ini berlaku sebelum nabi SAW berhijrah ke Madinah dan selepas tahun dukacita iaitu setelah kematian bapa saudara baginda Abu Talib dan isteri tercinta, Saidatina Khadijah.
Dengan kata lain, peristiwa ini mengajar kita cara mengawal kesedihan. Kita tidak boleh mengawal kesedihan dengan hanya mengikut cara logik akal. Kesedihan tidak akan hilang dengan menghabiskan masa di kelab-kelab malam atau minum arak. Perbuatan sebegini adalah tidak betul bagaimana mungkin sesuatu masalah itu diselesaikan dengan masalah. Bagaimana mencari ketenangan di tempat yang tidak tenang?
Dalam hadis nabi SAW, arak itu diistilah sebagai ummul khabais atau ibu segala keburukan. Jadi apabila berhadapan dengan masalah ia perlu diselesaikan di peringkat puncanya.
Dengan kata lain, masalah itu datangnya daripada Allah untuk menguji kita. Justeru, masalah perlu diselesaikan dengan perjalanan kerohanian agar jiwa menjadi tenang. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati menjadi tenang. (al-Ra'd: 28)
Dalam Israk dan Mikraj pun ditunjukkan usaha syaitan memperdaya Rasulullah. Namun, realiti hari ini, tipu daya syaitan adalah lebih kompleks. Apa benteng kita dalam hal ini?
AHMAD HUSNI: Apabila membahaskan bab ini, Dr. Umar Sulaiman al-Asqar dalam kitabnya Alam Jin & Syaitan membahagikan syaitan itu kepada tiga golongan. Pertama, syaitan daripada golongan jin; kedua, syaitan daripada golongan manusia dan ketiga, syaitan daripada golongan haiwan.
Yang penting untuk kita bicarakan di sini adalah syaitan dalam kalangan manusia. Golongan ini adalah manusia yang berperangai syaitan. Ulama terkenal iaitu Ibnu Kathir dalam perbahasan beliau tentang ta'awuz (auuzubillahi minasyaitanirrajim) berkata, seseorang itu menjadi syaitan akan perangainya sehingga boleh disebut sebagai kata kerja dalam bahasa Arab.
Klasifikasi syaitan itu adalah kerjanya suka mengganggu atau meletak keraguan kepada manusia. Mereka akan memberi dorongan kepada manusia apabila sukar membuat pilihan betul. Dalam keadaan ini, syaitan akan berada di persimpangan itu dan tindakan seterusnya terserah pada kita.
Ada juga manusia yang luarannya nampak baik tetapi perangainya macam syaitan. Seterusnya, ada pula yang raut wajahnya ibarat syaitan iaitu mereka yang bersahabat dengan jin dan syaitan.
Untuk menjauhi daripada gangguan syaitan ini, hendaklah kita sentiasa memohon perlindungan Allah. Sebabnya, mereka itu sukar untuk kita cam, mereka boleh datang dengan pelbagai rupa dan bentuk serta darjat. Kalau berhadapan dengan ulama, maka yang datang itu juga 'ulama' syaitan.
Demikian juga kalau remaja, yang datang itu adalah syaitan 'remaja'. Bagi remaja, barangkali kawan-kawan mereka yang ada sifat 'syaitan'. Jadi kita perlu mengisi hati kita dengan ilmu. Sebabnya, hati yang kosong dan diisi dengan perkara-perkara lagha (sia-sia) akan dihuni oleh syaitan.
Justeru, kita perlu membanyakkan isti'azah, rapat dengan orang soleh, menghadiri majlis ilmu, berzikir, membaca al-Quran. Semua tempat ini tidak disukai oleh syaitan.
Seksa bagi yang enggan tunaikan zakat harta turut ditunjukkan dalam peristiwa ini. Sayangnya, masih ramai yang enggan tunaikannya. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
AHMAD HUSNI: Orang yang tidak menunaikan zakat sebenarnya menzalimi diri sendiri dan juga hak terhadap Allah SWT. Sebab itu, golongan ini diperangi oleh Khalifah Abu Bakar seorang yang lemah lembut tetapi sangat marah kepada golongan ini.
Sebabnya kata mereka, zakat itu hanya kebudayaan dan tidak bersangkut-paut dengan agama. Jadi mereka mengisytiharkan tidak mahu mengeluarkan zakat.
Keengganan membayar zakat ini adalah fikrah pertama pemikiran sekular yang memisahkan agama dengan dunia dan agama dengan negara.

Comments

Popular posts from this blog