Jangan jadi manusia rugi





Allah SWT memberi pahala berganda kepada hamba-Nya yang mengambil kesempatan keberkatan Ramadan. - Gambar hiasan




SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.
Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.
 
Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.
 
Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadhan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.
 
Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur. 
 
Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur. 
 
Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran dengan 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati. 
 
Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, berterawih. 
 
Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang subuh supaya cepat khatam. 
 
Memang diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega sales dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran. 
 
Sebaliknya, Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega sales dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan daripada berkatnya Ramdaan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.
 
Selain para penjual mendapat laba hasil larisnya jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan ia sebagai pesta juadah sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.
 
Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha. Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah dan jika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi. 
 
Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diberi juga pahala yang berganda. 
 
Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan
===========================================

Orang beriman tidak gentar seksaan dunia





rakyat palestin yang sentiasa dizalimi oleh Zionis di dunia, insya-Allah akan mendapat balasan pahala dan syurga di akhirat kelak. - Gambar hiasan




Mukadimah


SYED Qutub berkata: "Surah yang pendek ini membentangkan hakikat-hakikat akidah Islam dan asas kefahaman keimanan. Ia mengemukakan persoalan-persoalan yang mata besar yang memancarkan disekelilingnya sinaran cahaya yang kuat dan jauh pandangannya.
"Ia memancarkan di belakang konsep-konsep dan hakikat-hakikat secara langsung yang diungkapkan oleh nas ini sehingga hampir-hampir setiap ayat dan kadang-kadang setiap kalimatnya membuka pintu yang menampakkan sebuah alam hakikat yang luas dan sayup saujana memandang.
"Yang menjadi pokok perbicaraan secara langsung surah ini ialah peristiwa-peristiwa pembesar-pembesar yang menggali parit.
"Di zaman sebelum Islam ada sekumpulan orang-orang mukmin, yang menurut satu pendapat, mereka adalah penganut-penganut Kristian yang berpegang dengan akidah tauhid. 
 
"Mereka diseksa oleh musuh-musuh mereka yang kejam dan zalim. Mereka dipaksa meninggalkan akidah tauhid dan agama yang dipegang mereka, tetapi mereka enggan dan tetap mempertahankan akidah mereka.
 
"Lalu pembesar-pembesar yang zalim itu menggali sebuah parit yang besar dan menyalakan api di dalamnya. Kemudian mereka campakkan kumpulan orang beriman itu ke dalam parit ini menyebabkan mereka mati terbakar. "Pembunuhan itu dilakukan di hadapan khalayak ramai yang dikerah dan dikumpulkan oleh para pembesar yang berkuasa untuk menyaksikan kematian orang mukmin yang terbunuh dengan cara amat dahsyat dan kejam itu.
 
"Pembesar-pembesar itu begitu terhibur dengan pemandangan pembakaran itu, iaitu pembakaran manusia-manusia mukmin".
Firman Allah SWT: Demi langit Yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang.
Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan bintang-bintang ini kerana penciptaan-Nya yang hebat. Hikmahnya yang besar dan kegunaannya bagi kehidupan manusia. 
 
Ini menunjukkan bahawa benda-benda tersebut mempunyai pencipta Yang Maha Bijak dan Maha Mengatur. Allah SWT mendorong kita memperolehi bukti keagungan kekuasaan-Nya dan kebesaran Hikmah-Nya.
Firman Allah SWT: dan hari (pembalasan) Yang dijanjikan; dan makhluk-makhluk Yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan Yang disaksikan.
 
Ibn Kathir berkata: "Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai hal tersebut. Dan kebanyakan berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan asy-Syahid (yang menyaksikan) adalah hari Jumaat, sedangkan al-Masyhud (yang disaksikan) adalah hari Arafah. 
 
Firman Allah SWT: Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang yang beriman.
 
Sheikh al-Maraghi berkata: "Kejadian ini telah berlaku di Yaman hingga ke Najran. Kisah seorang pemeluk agama Nabi Isa a.s berdakwah kepada kaumnya yang masih beragama Yahudi. Dia memberitahu bahawa Allah SWT telah mengutuskan Nabi Isa dengan syariat baru, bagi menggantikan syariat mereka.
"Sebahagian kaum ini beriman. Kejadian ini sampai kepada Raja Dhu Nuwas, seorang yang beragama Yahudi. Dia segera datang dengan pasukan tenteranya dari Kota Himyar. Ketika orang itu ditangkap, mereka disuruh memilih antara tetap menganut agama Yahudi atau dibakar.
 
"Mereka dibuatkan pari, lalu dipenuhi bahan bakar dan dinyalakan. Kemudian seorang daripada orang yang beriman itu dibawa ke parit lalu disuruh membuat pilihan. Orang yang gentar melihat api dan takut akan seksa, kembali menganut agama Yahudi. Akan tetapi orang yang tetap teguh dengan Nabi Isa a.s dan menganggap ringan seksaan dunia kerana keyakinan mereka kepada pahala yang telah Allah SWT janjikan, mereka sanggup dilemparkan ke dalam api sampai binasa.
 
Syed Qutub berkata: "Ayat ini menggambarkan sikap mereka dan pemandangan ketika mereka menyalakan api dan mencampakkan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan ke dalam api itu, sedangkan mereka duduk di tempat itu menyaksikan peristiwa penyeksaan yang kejam itu dari dekat.
 
"Mereka melihat peringkat-peringkat perkembangan penyeksaan itu, dan melihat bagaimana api itu menjilat badan-badan mangsanya. Mereka menonton dengan penuh kelazatan dan kegila-gilaan, seolah-oleh mereka mahu menerapkan pemandangan yang kejam itu di dalam hati mereka".
Firman Allah SWT: dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!
 
Ini kerana keimanan mereka yakni orang kafir amat benci kepada mereka yang beriman dalam kisah Ashab al-Ukhdud ini. 
 
Firman Allah SWT: Tuhan Yang Menguasai Segala alam langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Ini menunjukkan betapa kuasanya Allah dan mampu melakukan apa sahaja. Ingatlah apa yang mereka kerjakan pasti menerima akibatnya.
 
Penutup
 
Tamatlah riwayat peristiwa parit api itu dalam beberapa ayat yang pendek yang membuatkan kita penuh dengan perasaan benci dan jijik terhadap keganasan perbuatan itu, dan terhadap kekejaman orang yang tergamak melakukannya. Di samping merangsang hati kita merenung dan meneliti apa yang ada di sebalik peristiwa itu, dan memikirkan betapa beratnya peristiwa itu dalam peristiwa itu dalam pertimbangan Allah, dan betapa hebatnya kemarahan dan kemurkaan-Nya.
Namun, perkara ini tidak tamat setakat ini sahaja, malah di belakangnya terdapat ekoran yang lebih jauh dalam perkiraan Allah.
Demikian tamatlah kisah peristiwa pembunuhan kejam yang dilakukan membuatkan hati kita dipenuhi perasaan kagum terhadap kehebatan iman yang mengalahkan penindasan dan penyeksaan terhadap kekuatan akidah yang mengatasi nyawa dan terhadap kebebasan jiwa dari segala belenggu keinginan jasmani dan dari daya tarikan hidup di bumi. 
 
Orang mukmin yang terbunuh itu memang dapat menyelamatkan nyawa mereka apabila mereka memilih kekalahan dari keimanan, tetapi andainya mereka berbuat begitu, betapa besar kerugian diri mereka di dunia sebelum akhirat! 
 
Betapa besar kerugian seluruh dunia! Betapa besarnya kerugian mereka kerana membunuh konsep yang agung itu dan konsep kekerdilan hidup tanpa akidah dan konsep kejelikan hidup tanpa kebebasan dan konsep kerendahan dan kemunduran hidup apabila para pemerintah yang zalim menguasai jiwa manusia setelah mereka menguasai tubuh badan mereka.

Comments

Popular posts from this blog