Kunci Syurga
Saturday, April 25, 2009 (15:51:01)

Posted by cikguabu_umar


Oleh: Abu Ayyub Muhammad Fashan Ibn Ahmad Ziadi al-Athary
Sumber: http://kuinginikutsalaf.blogspot.com
Bagaikan sebuah pintu yang terkunci, sudah semesti untuk membukanya memerlukan sebuah kunci untuk membuka pintu tersebut.Pernahkah kita terbayang akan pintu-pintu syurga? Bagaimana kita hendak membuka pintu-pintunya? Bagi yang sentiasa merindui syurga pasti akan berusaha mencari kuncinya walaupun terpaksa mengorbankan nyawa sendiri.

Usahlah kita gundah dan gelisah kerana Rasulullah sallallhu`alaihiwasallam sudah menunjukkan kepada umatnya apakah kunci syurga itu, sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadith:

من قال : لا إله إلا الله ( مخلصا ) دخل الجنة
Barangsiapa mengucapkan Kalimah Laa ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan,maka dia akan masuk syurga.[1]

Jelas kepada kita kunci syurga itu adalah kalimah tauhid yang sering kita ucapkan.Namun cuba kita fikirkan adakah semudah itu untuk kita membuka pintu syurga? Bukankah kita melihat masih ramai orang yang membuat perkara-perkara kesyirikan, meminta kepada selain Allah, percaya kepada dukun, pawang , masih menyembah dan berdoa kepada kubur orang-orang soleh dan banyak lagi perkara yang merosakkan akidah dilakukan? Apakah golongan sebegini juga akan mudah sahaja membuka pintu syurga sekaligus memasukinya? Tidak mungkin!!

Ketahuilah setiap kunci pasti ada giginya.Mana mungkin kunci yang tidak bergigi boleh membuka sesebuah pintu.Begitu jugalah pintu bagi syurga iaitu kalimah tauhid.Jadi pintu syurga hanya boleh dibuka oleh orang yang memiliki kunci yang bergigi.

Imam Bukhari [2] rahimahullah meriwayatkan dalam Shahihnya, bahawa seorang pernah bertanya kepada Imam Wahab Ibn Munabbih[3]:
“ Bukankah Laa ilaaha illallah itu kunci syurga?”

Wahab menjawab: “ Benar, akan tetapi tidaklah bagi setiap kunci itu melainkan ia mempunyai gigi.Jika engkau membawa kunci yang bergigi, maka pintu syurga akan di bukakan untukmu, jika tidak maka pintu tak akan di bukakan untukmu”[4]
Lalu apakah yang dikatakan gigi bagi kunci tersebut iaitu kalimah لا إله إلا الله itu? Ketahuilah gigi kunci kalimah tauhid tersebut ialah syarat-syarat لا إله إلا الله !!!. Syeikh Hafiz Ibn Ahmad al-Hakami telah meletakkan tujuh[5] syarat kalimah لا إله إلا الله di dalam kitabnya[6] Syarat-syaratnya ialah:

1. العلم , al-`Ilmu( mengetahui)

Maksudnya adalah kita harus mengetahui maksud kalimah لا إله إلا الله dengan sebenar-benarnya.Ertinya ialah: “ Tidak ada Tuhan(Ilah) yang berhak disembah ,melainkan Allah”.Dalilnya ialah:

Firman Allah ta`ala:

وَلَا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ الشَّفَاعَةَ إِلَّا مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafaat; akan tetapi (orang yang dapat memberi syafaat ialah) orang yang mengakui yang hak (tauhid) dan mereka mengetahuinya[7]

Berkata Ibn Kathir rahimahullah ketika menafsirkan perkataan

إِلَّا مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ :
لكن من شهد بالحق على بصيرة وعلم، فإنه تنفع شفاعته عنده بإذنه له
Akan tetapi sesiapa yang mengakui yang hak(tauhid) dengan al-Bashirah [8]dan ilmu.

Adapun dalil daripada As-Sunnah pula ialah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
Sesiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada Ilah(Tuhan) yang berhak disembah melainkan Allah, nescaya dia akan masuk syurga.[9]

Seandainya kita mengucapkan kalimah tersebut, tanpa mengetahui dan mengerti maknanya ynag sebenar maka ucapan atau persaksian tersebut tidak sah dan tidak ada faedahnya bagi kita.


2. اليقين , al-Yaqiin (meyakini)

Maksudnya adalah kita haruslah meyakini secara pasti kebenaran kalimah tauhid لا إله إلا الله tanpa keraguan dan bimbang sedikit pun.

Dalilnya ialah firman Allah ta`ala:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آَمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu [10]

Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ لَا يَلْقَى اللَّهَ بِهِمَا عَبْدٌ غَيْرَ شَاكٍّ فِيهِمَا إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan(Ilah) yang berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah.Tidaklah seorang hamba bertemu dengna Allah sambil membawa dua kalimah syahadah tersebut tanpa ragu-ragu kecuali pasti dia akan masuk syurga. [11]

Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam pernah memberikan sepasang sepatunya kepada Abu Hurairah radiallahu`anhu sambil bersabda:


فَمَنْ لَقِيتَ مِنْ وَرَاءِ هَذَا الْحَائِطِ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُسْتَيْقِنًا بِهَا قَلْبُهُ فَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّة
Sesiapa yang kamu temui di sebalik kebun ini yang mengucapkan “ La ilaha illallah” dengan penuh keyakinan terhadapnya, maka khabarkanlah ia akan dimasukkan ke dalam syurga. [12]

3. القبول , al-Qobulu (menerima)

Maksudnya kita harus menerima segala tuntutan لا إله إلا الله dengan penuh penerimaan senang hati, lisan dan perbuatan, tanpa menolak sedikitpun.Kita tidak boleh sombong menolak kalimah tersebut sama ada untuk mempelajari dan menerima tuntutannya sepertimana yang berlaku kepada kaum musyrikin,

Firman Allah ta`ala:

نَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ (35) وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُوا آَلِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَجْنُونٍ (36)
Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka: "Laa ilaaha illallah" (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) mereka menyombongkan diri.

dan mereka berkata: "Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami karena seorang penyair gila?"[13]


Bersambung..
Sambungan..Ditulis pada 21 Rabi`ul Akhir 1430H/17 April 2009


4. الانقياد, al-Inqiyaad ( Tunduk, menyerah atau patuh)

Maksudnya kita harus tunduk dan patuh melaksanakan tuntutan لا إله إلا الله dalam amalan-amalan dan tindak tanduk kita.

Firman Allah ta `ala:

وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ
Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya [14]

Firman Allah ta`ala lagi:


وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى

Dan barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. [15]

Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به
Tidaklah beriman seseorang di kalangan kamu sehinggalah kamu menjadikan hawa nafsumu mengikuti terhadap apa yang dibawa olehku. [16]


5. الصدق , ( Jujur dan Membenarkan)

Maksudnya kita harus jujur dalam melaksanakan tuntutan kalimah tauhid, iaitu sesuai antara keyakinan hati dan amal perbuatan, tanpa disertai kebohongan sedikitpun.

Firman Allah jalla wa`ala:

الم (1) أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آَمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)

Alif laam miim. # Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. #Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta[17].

Diriwayatkan daripada Mu`az Ibn Jabal radiallahu`anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam telah bersabda;

مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّار
Tidaklah seseorang itu mengucapkan “ Laa ilaha illallah” dan Muhammad itu rasulullah dengan sebenar-benarnya dalam hatinya melainkan Allah mengharamkan baginya api neraka. [18]

Maka disyaratkan kejayaan ucapan kalimah ini untuk menyelamatkannya dari api neraka supaya mengucapkan dengan benar di dalam hatinya. [19]


6. الإخلاص (Ikhlas dan Murni)

Maksudnya kita harus membersihkan amalan-amalan daripada noda syirik, riya`( ingin dilihat dan dipuji oleh orang lain).Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

من قال : لا إله إلا الله ( مخلصا ) دخل الجنة
Barangsiapa mengucapkan Kalimah Laa ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan,maka dia akan masuk syurga. [20]

أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ

Orang yang paling gembira(berjaya dan bahagia) menerima syafaatku ialah sesiapa yang mengucap Lailahaaillallah dengan ikhlas dari dalam hatinya.
( HR Bukhari 1/174)


7. المحبّة ( Mencintai)

Maksudnya kita harus mencintai kalimat Tauhid, tuntutannya, dan mencintai orang-orang yang bertauhid dengan sepenuh hati, wala`, setia serta kasihkan mereka sepertimana kita mengasihi diri kita sendiri.Kita juga harus membenci segala perkara yang boleh merosakkan tauhid itu.

Firman Allah ta`ala;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ
Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah [21]

Dari sini kita tahu tanda-tanda kasihnya seorang hamba terhadap Allah ialah dengan mendahului kasihnya terhadap Allah walaupun bertentangan dengan hawa nafsu dan kehendaknya, membenci apa yang dibenci oleh Allah walaupun bertentangan dengan hawa nafsu dan kepentingan dirinya.Membantu dan wala` kepada sesiapa yang membantu agamaNya dan membenci serta memusuhi mereka yang mengingkariNya, seterusnya mengikut jejak langkah dan bimbingan Rasulullah sallallahu`alaihwasallam sepertimana firmanNya:


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah: " Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Ali-Imraan [3]:31)


[1] Shahih,HR Ahmad, Ibn Hibban lihat Silsilah as-Shahihah 5/354

[2] Beliau ialah Amirul Mukminin fi al-Hadith, Abu `Abdillah Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah al-Bukhari (194H-256H), Pemilik Kitab al-Jami` as-Shahih atau lebih dikenali dengan Shahih Bukhari

౩] Beliau ialah Wahab Ibn Munabbih IBn Kamil al-Yamani al-Son`ani ( 34H-100H), seoarng Tabi`in terpecaya dari Son`a Yaman.Rujuk Ruwwat at-తఃద్జిబిన్

[4] Shahih Bukhari 4/456, بَاب مَا جَاءَ فِي الْجَنَائِزِ وَمَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ, Maktabah Syaamilah Edisi kedua.

[6] أعلام السنة المنشورة لاعتقاد الطائفة الناجية المنصورة Bendera-Bendera Al-Sunnah Yang Berkibaran Dalam Menerangkan Aqidah, Ahli Al-Sunnah Wa al-Jamaah Golongan Tauladan ms 22.
Penulis menghadiri talaqqi pengajian kitab ini yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Dr Ahmad Najib b.Abdullah Qari hafizahullah, pada 15 April 2009.

[7] Az-Zukhruf 43:86

[8] Menurut Guru penulis, Ustaz Dr Ahmad Najib, maksud al-Bashirah ialah ilmu.Ibn Kathir telah menyebut dua kali perkataan ilmu, hal ini memberi maksud beliau ingin memberi penegasan bahawa betapa pentingnya ilmu untuk memahami kalimah tauhid.Sila rujuk Tafsir al-Quran al-`Azhim. Beliau – Ustaz Dr Najib- juga menegaskan betapa pentingnya merujuk maksud al-Quran kepada Ulama` Tafsir yang muktabar, hal ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam memahami maksud dan kehendak perkataan dalam al-Quran.

[9] Shahih Muslim 1/125.

[10] Al-Hujuraat 49:15

[11] Shahih Muslim 1/126

[12] Shahih Muslim 1/133

[13] As-Shaffat 37:35-36

[14] Az-Zumar 39: 54

[15] Luqman 31:22

[16] Hadith hasan, Riwayat Ibn Abi `Ashim dalam As-Sunnah no:14, al-Baghawi dalam Syarhu as-Sunnah 1/213 daripada `Abdullah Ibn `Amru radiallahu`anhu.

[17] Al-Ankabut 29:1-3

[18] Shahih Bukhari 1/218

[19] Ismail Omar, Manhaj Aqidah Ahli As-Sunnah Wal-Jamaah m/s 111,Percetakan HIZA, Kajang

[20] Shahih,HR Ahmad, Ibn Hibban lihat Silsilah as-Shahihah 5/354

[21] Al-Baqarah[2]:165

Comments

Popular posts from this blog