PESAN HARON DIN
Seperti yang dinyatakan kepada wakil DETIK, Ahmad Lutfi Othman dan
Zulkifli Roslan, pada 12 November 1999

MUQADIMAH
Selama ini mungkin masyarakat tidak sangat beri keutamaan untuk memikirkan apakah undi yang saya beri ini akan memberi faedah yang besar kepada agama saya, bangsa saya, keadilan yang saya sanjung, kemanusian yang saya akur, dan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik yang memberi keuntungan duniawi dan ukhrawi.
Oleh itu saya menyeru masyarakat supaya menetapkan pendirian melihat realiti politik Malaysia seolah-olah yang memerintah sekarang tidak boleh tahan untuk terus memerintah melainkan berpaut dengan penipuan, pembohongan, fitnah dan mengkhianati insan-insan tertentu.
Rakyat Malaysia yang insaf dan sedar perkara ini mari kita tolak apa saja isu daripada pemerintah, kerana amat ketara isu-isu itu satu pembohongan. Mari kita sebulat hati dan sebulat kekuatan kita menyokong parti alternatif bagi merubah perkara yang tidak baik kepada yang lebih baik.
Mahathir Terjerat Oleh Nik Aziz
Apabila Perdana Menteri bersetuju membubarkan parlimen dengan tiba-tiba, kita agak terkejut. Sepatutnya parlimen memang sudah lama dibubarkan. Dalam amalan politik demokrasi, apabila timbul isu besar yang boleh menggoncangkan keyakinan rakyat dan keyakinan orang luar kepada sistem itu, biasanya pemerintah akan segera memanggil pilihan raya baru, bagi mendapat mandat baru. 
Sejarah Malaysia pun demikian. Tetapi kita lihat yang mutakhir ini tidak demikian.
Senario politik Malaysia telah bergegar dengan pemecatan  Anwar Ibrahim pada bulan September 1998. Pemecatan itu telah membuahkan hasil yang amat negatif. Jelas ketara Umno berpecah hebat. Kita tidak boleh nafikan tumbuhnya parti baru, KeADILan, yang sebahagian besarnya daripada ahli-ahli Umno. Sukar untuk kita melihat seorang dua ahli PAS yang meninggalkan PAS untuk masuk KeADILan.

Saya agak terpegun mendengar PM mengatakan pilihan raya 1999 ini tidak sehebat 1990. Katanya, pada 1990 Umno menghadapi perpecahan yang hebat dengan tertubuhnya Semangat 46, sedangkan sekarang tidak ada ahli Umno yang keluar parti. Seolah-olah dia tidak nampak begitu ramai ahli Umno meninggalkan Umno. Dan yang mendaftar menjadi ahli PAS pada awal krisis itu pun ramai. Ada yang mencapai hingga 35,000 orang sebulan. Ada 20 ribu sebulan, ada 12 ribu sebulan dan tidak kurang 10 ribu sebulan. Sebelum itu hanya beberapa kerat sahaja yang masuk PAS. Dari mana orang-orang itu?
Kesemua ini menunjukkan Umno terjejas. Amat terjejas. Maka logiknya PM terpaksa mencari satu tarikh yang memihak kepada dia dan kepada BN, untuk membubar parlimen. PM telah lama menunggu adanya isu yang memihak kepada dia, atau sekurang-kurangnya yang boleh dijadikan isu. Tunggu punya tunggu, tidak ada yang terbaik sepanjang ini.
Memanglah ada, sekiranya ingin dijadikan isu. Umpamanya, dikatakan, kononnya, saya pernah menyebut kalau PAS menang, Perlis akan di keluarkan dari Malaysia, kononnya. Tetapi apabila saya jelaskan tidak boleh berlaku demikian kerana Perlembagaan memang menghalang -- Perkara 109/110, mereka lihat balik, rupa-rupanya itu tidak boleh menjadi isu.
Kemudian isu Ustaz Fadzil hendak melelong Putrajaya pula, begitu rapuh, begitu dangkal, kerana ada rekod membuktikan Ustaz Fadzil menyatakannya secara sindiran, dan dia hanya hendak melelong mahligai sahaja, bukan Putrajaya.
Lalu mereka menunggu sama ada Tuan Guru Nik Aziz benar hendak bekerjasama dengan syaitan, untuk dijadikan isu. Akhirnya tertolak juga, kerana Tuan Guru tidak berkata demikian. Semakin lama mereka menunggu, keadaan berpihak kepada Barisan Alternatif. Kalau mereka menunggu lagi, akan sampai tahun 2000, dan ada isu baru pula yang mereka tidak seronok. Akhirnya PM jadi begitu terdesak.
Tiba-tiba dia terdengar berita kononnya ada pertelingkahan hebat pucuk pimpinan PAS. Tuan Guru Nik Aziz dikatakan membuat kenyataan kononnya PAS tidak keberatan menerima Perdana Menteri bukan Islam, sedangkan Ustaz Fadzil mengatakan Perdana Menteri mesti Islam. Kononnya, itulah isu. Maka kita lihat mereka siarkan kenyataan dari semua Menteri Besar, pandangan politik negeri dan sebagainya.
Pada 9 November tiba-tiba PM buat kenyataan membatalkan pemergiannya ke CHOGM, dan tiba-tiba sahaja kemudian dia membubarkan Parlimen. Nampaknya  pilihan raya akan segera diadakan bertitik-tolak atas isu ini. Sedangkan sebenarnya itu bukan isu. Ini jelas apabila pada 12 November Tuan Guru menyatakan dia membuat kenyataan itu kerana hendak menjerat PM. Memang dia kena jerat pun.
Sebenarnya kenyatan Nik Aziz itu bertolak pada dasar bahawa Cina pun boleh jadi Perdana Menteri, India pun boleh, asalkan mereka Islam. Nabi s.a.w bersabda: “Kalau sekiranya kamu telah memilih seorang hamba hitam untuk menjadi wali kamu, pemerintah kamu, maka wajib ke atas kamu taat kepadanya.”
Islam telah menjelaskan konsep kekhalifahan manusia,  ketua pemerintah manusia itu bukan kerana bangsanya tetapi kerana agamanya. Bukan semestinya Melayu, tetapi Islam. Kalau yang terbaik itu ada pada Melayu, terbaik dari segi ketaqwaannya, keimanannya, keIslamannya, maka mestilah Melayu yang berhak menjadi Perdana Menteri Malaysia.
 

BN Merobek-robekkan Agama
Senario politik mutakhir telah mengajak tiap-tiap individu masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Islam, untuk melihat perjalanan yang telah kita amanahkan kepada BN selama lebih 42 tahun, apakah perkara besar yang telah mereka lakukan kepada agama, kepada kemanusiaan; kepada kekayaan yang Allah berikan kepada kita; dan kepada masa depan kita di dunia dan akhirat.

Kita dapati BN telah mencarik-robekkan agama kita, memecahkannya kepada serpihan-serpihan kecil, memisahkan agama dengan politik, merendahkan peranan-peranan asas agama, al-Quran dikesampingkan, Sunnah dihinjak-hinjak; manakala penolak-penolak Hadis diberi perlindungan.
Kita tentu masih ingat lagi peristiwa ulamak dihina untuk kononnya menjaga maruah dan nama baik tiga orang gadis remaja yang mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik. Kerajaan sanggup menghina seorang Mufti besar, ulamak ternama, personaliti unggul, dengan memecat dia daripada jawatan, dan memalukan dia di hadapan khalayak ramai. Apakah wajar untuk membela insan-insan yang separuh bogel, yang menjual badan mereka di khalayak ramai itu, maka sanggup ulamak dihina, dipecat dan disisih daripada masyarakat?
Di bawah pemerintahan Kerajaan BN juga kita dapati sekolah-sekolah agama telah dimatikan, dan pondok-pondok dihabiskan. Sekolah agama yang diserahkan kepada kerajaan, kerajaan matikan. Contohnya, Madrasah Al-Alawiah Arau, Perlis, tempat saya mengaji dulu, selepas diserahkan kepada kerajaan, sekolah itu mati.
Al-Masyhur Pulau Pinang, namanya masyhur, sekolahpun masyhur, apabila diserah kepada kerajaan, dia mati. Malah Kolej Islam Malaya di Klang, yang terkenal dengan keunggulannya itu pun, apabila diserah kepada kerajaan dengan alasan untuk meningkatkan tarafnya, tetapi sekarang Kolej Islam Malaya mati.
Sekolah dimatikan, jawi dihapuskan, pendidikan agama direndahkan nilainya, sampai akhirnya agama hanya bertahan pada syiar-syiarnya sahaja, sedangkan syariatnya tidak pernah dipedulikan. Semakin hari Islam tertindas dan tertindih. Dan semakin lama kita biarkan, Islam nanti akan hanya tinggal pada nama sahaja.
Lihat masa hadapan yang jauh. Adakah kerajaan yang ada sekarang sedang membawa kita sekalian kepada keredaan Allah s.w.t? Saya nampak semakin hari semakin jauh kita daripada rahmat Allah s.w.t . Bala demi bala Allah telah tunjukkan kepada kita. Tanda-tanda kemurkaan Allah itu semakin jelas. Apabila sampai ke peringkat kemurkaan itu memuncak, maka akan musnahlah segala kekayaan kita.
Oleh kerana itu saya minta pengundi-pengundi Islam khasnya supaya memberi pertimbangan yang wajar, berpandukan kepada panduan ilahi, supaya anda boleh berfikir dengan semasak-masaknya. Kalau anda boleh membuka al-Quran, surah Hud ayat 113, anda berjumpa dengan pesanan Allah s.w.t. yang bermaksud: ”Dan jangan sekali-kali kamu memihak dan menyokong kepada mereka yang telah melakukan kezaliman. Kalau kamu memihak kepada mereka, api neraka akan menyambar kamu, membakar dan membaham kamu, dan kamu tidak ada pilihan lain selain memilih Allah s.w.t. untuk membela kamu. Jika tidak, kamu tidak akan dapat ditolongi.”
 

Kenapa Dr M Fitnah Dr Haron?
Perkara yang sepatutnya tidak jadi isu telah dijadikan isu ke atas saya. Dan ia dibuat oleh PM sendiri. Pada hemat saya tidak patutlah PM bercakap perkara macam ini. Dia menuduh saya mendakwa boleh menyembuhkan semua penyakit manusia. Dan dari situ dijadikan isu, bila saya sakit mengapa saya tidak boleh berubat sendiri? Kenapa lari ke Australia? Sedangkan yang nyatanya tidak pernah dalam hidup saya mendakwa boleh sembuhkan penyakit.
 Saya bertolak daripada al-Quran dan Sunnah. Dalam al-Quran ada menyebut, “Bila saya sakit Allah yang menyembuh.” Dalam Hadis Nabi menyebut: “Ya Allah, kamulah maha penyembuh. Tidak sembuh melainkan dengan kamu.”
Saya tidak pernah mendakwa boleh sembuhkan penyakit, kerana itu bercanggah dengan aqidah. Tetapi PM kata saya mendakwa. Satu pembohongan ketara sewaktu saya masih hidup! Saya cabar, bolehkah beliau buktikan saya pernah menyebutnya, dan saya tawar diri untuk masuk Umno. Kalau dia betul, saya rela tidak bertanding dalam sebarang pilihan raya. Tetapi ingat! Kalau dia tidak boleh buktikan demikian, dia kena masuk PAS.
Semua itu tidak betul. Dia pembohong! Dia juga menuduh saya menjual air sejuk, sedangkan yang sebenarnya saya tidak pernah jual air sejuk, atau air jampi. Dia hantar surat kepada saya, mengatakan memang saya tidak percaya adanya dalam dunia ini manusia yang boleh menjampi pada air dan air boleh menyembuhkan penyakit. Itu statement yang ditulisnya kepada saya.
Saya jawab, bahawa yang sebenarnya dinamakan jampi itu ialah kita menuturkan kata-kata tertentu dalam bahasa yang kita faham, dari ayat al-Quran atau Hadis, dengan tujuan memohon kesembuhan daripada Allah s.w.t. Dalam istilah agama dipanggil Ruqyah.
Perkara ini pernah berlaku pada Nabi sendiri. Apabila Nabi sakit, datang malaikat Jibril kepadanya lalu bertanya: “Kamu mengadu kesakitankah wahai Muhammad?”
“Ya, saya sakit,” jawab Nabi.
“Kalau begitu saya hendak jampi kamu,’ kata Jibril.
Maka Jibril pun jampi. Ada sebuah hadis sahih Muslim yang bermaksud: “ Wahai Muhammad, aku jampikan kamu, Allahlah yang akan menyembuhkan kamu. Semua penyakit yang kamu derita daripada kejahatan hasad manusia dan sihir manusia, Allah menyembuhkan kamu.”
Dalam satu peristiwa, sewaktu Israk Mikraj, Nabi Muhammad diikuti oleh satu bebola api yang besar, yang hampir hendak menyambar baginda. Jibril bertanya: “Kamu tahukah apa itu?”
“Tidak tahu,” jawab Nabi.
“Itulah syaitan hendak merosakkan kamu,” balas Jibril. “Untuk menghalangnya bacalah jampi ini.”
Lalu Jibril mengajarkan jampi kepada Muhammad, yang kemudiannya dikenali dengan nama Ruqyah Jibril.
Sebuah Hadis daripada Aisyah r.a, juga dalam Sahih Muslim, di mana Aisyah berkata: “Tidak ada seorang sahabat yang mengadu kepada Nabi kerana kesakitan melainkan Nabi menjampi mereka dengan beberapa jampi.”
Al-Quran dalam surah Isra’ ayat 82 jelas, bahawa al-Quran penyembuh segala penyakit manusia.
Kesemua ini bukan menjadi isu. Tetapi ia diutarakan dalam kempen-kempen Umno, hingga PM sendiri dalam ucapannya ketika merasmikan bangunan tambahan Hospital Melaka, baru-baru ini, sekali lagi telah menimbulkannya. Majlis itu dihadiri oleh ribuan rakyat, termasuk pegawai-pegawai rasmi kerajaan, disamping siaran langsung televisyen yang boleh didengar oleh jutaan manusia di Tenggara Asia.
Dengan penuh bangga Dr Mahathir menyebut: Kalau sekiranya jampi itu memberi manfaat kepada manusia, panggil Haron Din datang ke Melaka, saya tawarkan kepadanya satu juta ringgit sebulan untuk dia menjampi orang-orang Melaka ini supaya sembuh semua.
Hendak mejadikan isu macam hendak menghina saya, saya hendak menjawab, kalaulah yang saya buat, jampi atau doa saya yang terkenal tadi, ianya satu pembohongan kepada masyarakat, maka maknanya ulama-ulama sebelum saya yang saya ambil daripada mereka, sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. juga pembohong, sampai Jibril juga pembohong, dan dengan sendirinya sampai kepada Allah s.w.t. Na’uzubillah …
 

Isu Sigah  Bukan Isu
Dalam pilihan raya yang lepas, sewaktu pertembungan hebat Semangat 46 dengan BN tahun 1990 menampakkan kemenangan mula memihak kepada S46, sehingga Sabah mengisytiharkan bergabung dengan S46, mereka sengaja mengambil kesempatan mencari jalan mengambil gambar Ku Li memakai tengkolok Sabah, atau sigah, dan dijadikan isu sehari menjelang pilihan raya, yang tidak ada kesempatan untuk dijawab. Akhirnya kita lihat pembangkang kecundang pada tahun itu. Padahal PM juga memakai tengkolok yang sama!
Bila PM pakai tengkolok yang sama, Ku Li pakai tengkolok yang sama, apakah isunya? Mereka hanya mengheboh-hebohkan gambar Ku Li. Gambar Mahathir didiamkan, seolah-olah tidak ada. Inilah cara mereka mencipta isu, walaupun yang sebenarnya bukan isu. Kita tahu rangka-rangka yang telah mereka buat untuk memfitnahkan manusia bagi hal-hal yang tidak betul.
Semua masyarakat Malaysia sudah berpengalaman dengan isu-isu buatan seperti ini. Sepatutnya rakyat Malaysia sudah matang dan faham. Perkara yang diisukan ketika menjelang pilihan raya sebenarnya satu pembohongan. Kalau memang ada isu, dari dulu lagi sudah timbul, kerana PM sudah lama mencari isu untuk mengadakan pilihan raya.
Nyatalah sampai ke hari pilihan raya pun memang tidak akan ada isu, kecuali  pembohongan, penipuan, dan sesuatu yang sengaja diada-adakan untuk mempertahankan kebatilan mereka.

 

Taktik Menyerang Personaliti
Menyerang personaliti ini bukan satu taktik baru. Dulu lagi saya sudah mengalami perkara ini. Sebelum saya masuk politik pun telah diserang, iaitu ketika saya dikenali melalui program Forum Perdana Hal Ehwal Islam, di televisyen. Serangan dibuat ketika itu dengan memberhentikan beberapa orang, yang digam sebagai personaliti TV, termasuk saya.
Alasan yang diberikan bahawa mereka ini golongan yang mementingkan keduniaan. Kononnya mereka ini meminta pembayaran wang yang begitu tinggi untuk keluar dalam satu siaran televisyen. Disebut angka sampai RM9,000 ke RM10,000 untuk satu keluaran. Ternyata serangan itu telah dinafikan oleh semua yang terlibat dengan kenyataan bersumpah. Mereka semua tidak pernah meminta walaupun satu sen.
Selepas itu bila timbul senario politik yang panas ini kesemua personaliti itu telah terjun ke dalam politik, dengan berpihak kepada parti pembangkang, kepada PAS. Maka kini serangan-serangan ke atas personaliti itu pun ditingkatkanlah.
Maka tidak hairanlah adanya serangan-serangan khusus kepada Tok Guru dan Datuk Fadzil Nor. Juga diserang habis-habisan personaliti Tuan Guru Haji Hadi, dengan dibangkitkan semula isu kafir-mengkafir dan sebagainya, dan sudah ada pun buku yang dikeluarkan khusus tentang perkara itu.
Ertinya, mereka telah menggunakan cara menyerang individu-individu dalam senario politik Malaysia. Mereka membuat cerita-cerita yang tidak baik, dan ada pula orang yang sanggup mengaku, bagi merosakkan personaliti tertentu dengan tujuan meraih keuntungan. Mereka telah gunakan beberapa orang untuk menulis tulisan-tulisan yang tidak benar. Tetapi cerita upah-upah inipun saya fikir masyarakat sudah masak, dan mereka tidak mudah ditipu lagi.

 

Kezaliman vs Kemanusiaan
Satu isu lagi ialah: adakah selema ini pemerintah kita dan masyarakat kita menyanjung erti kemanusiaan? Kita lihat bukannya kemanusiaan yang dibelai, tetapi kezaliman. Sebahagian daripada masyarakat kita juga telah memihak kepada pemerintahan ala kuku besi, yang tidak boleh ditegur. Contohnya, begitu banyak dapat kita lihat.
Mana-mana orang yang cuba menegur dan tidak sealiran dengan pemerintah akan terima nasib yang cukup malang. Di antaranya ialah  Anwar Ibrahim. Dia terkenal seorang yang sanggup menyanggah pendapat sesiapa sahaja kalau tidak bertepatan dengan kehendak kemanusiaan dan keadilan. Kita tahu nasibnya. Kita pernah dengar teguran yang dibuat oleh Zahid Hamidi dalam soal kronisme dan nepotisme. Apa nasibnya?
Apakah tidak tersayat hati kita apabila mengetahui orang seperti DS Anwar Ibrahim dipukul dengan begitu kejam? Dengan tangan bergari dan mata tertutup dia dipukul dengan pukulan yang boleh membawa maut. Sedangkan beberapa hari sebelum itu dia adalah Timbalan Perdana Menteri.
Malah lebih menyayat hati kita, beliau ditelanjangkan beberepa jam ketika dibawa kepada seorang doktor perempuan. Anda tanya hati anda, perasaan anda dan pertimbangan anda, relakah anda ditelanjangkan di depan orang yang anda tidak kenal? Malah relakah anda telanjang seorang diri dalam bilik mandi?
Saya percaya kalau mereka ini terus diberi kuasa lagi, lebih kezaliman akan berlaku,  dan lebih ketidak-perikemanusiaan akan berlaku.
 

Syukur Kepada Kerajaan?
Isu mengenang jasa bukanlah isu baru. Ia telah lama dipergunakan. Pihak yang berkenaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk buat poster dan papan iklan besar yang ditulis: “Sesiapa yang tidak berterima kasih sesama manusia maka dia tidak berterima kasih kepada Allah”.
Saya tidak pernah berjumpa hadis begini. Mungkin pengajian hadis saya tidak begitu mendalam. Saya bertanya dengan beberpa orang yang pakar hadis, itu hadiskah atau bukan hadis? Setidak-tidaknya ia bukanlah satu hadis yang orang kenal. Bukan hadis sahih. Diandaikan ia hadis daif, ia bertentangan dengan ayat al-Quran yang lebih jelas.
Isu jasa ini ialah isu kerajaan telah memberi nikmat kepada masyarakat, dan telah membuat kemajuan yang begitu hebat. Zaman Jepun dulu makan ubi kayu, jalan raya tidak ada, apa semua tidak ada. Sekarang semua sampai ke rumah, air sampai ke rumah, api sampai ke rumah. Maka semua ini adalah nikmat yang kerajaan berikan kepada rakyat. Maka wajib mereka itu seolah-olahnya membalas nikmat itu dengan mengekalkan kerajaan.
Ini adalah suatu pemesongan yang boleh membawa kepada terjejasnya aqidah umat Islam. Sebenarnya apakah yang dinamakan dengan nikmat? Dalam syarak dikatakan nikmat itu ialah kehidupan yang lebih baik dan mewah serta berada dalam keadaan selesa hidup. Itu nikmat. Soalnya nikmat itu siapa yang beri?
Al-Quran menjawab: “Apa sahaja yang kamu dapat nikmat itu anugerah Allah.” Al-Quran juga berkata: Allah yang telah menyempurnakan kepada kamu anugerah dan nikmat, sama ada yang zahir, yang dapat kamu nampak, iaitu nikmat material; ataupun nikmat batin yang kamu tidak nampak, iaitu kenikmatan hidup, kepuasan hidup, keselasaan hidup, nikmat iman, nikmat Islam, dan nikmat redha. Kesemua itu adalah anugerah Allah s.w.t.
Allah telah kurniakan kepada Nabi Sulaiman kekayaan yang melimpah ruah, kekuasaan yang luar biasa, hingga boleh membawa singahsana Balqis yang fizikal daripada Yaman sampai ke Palestin, dalam sekelip mata. Sulaiman kata: kesemua kelebihan, kemajuan dan kenikmatan hidup ini adalah anugerah Allah Tuhanku, untuk Allah uji, sama ada kita hendak bersyukur kepada Allah atau kita hendak kufur.
Semua kekayaan yang kita dapat ini jelas daripada Allah s.w.t, walaupun diusahakan oleh manusia. Pembuka idea dan minda manusia ialah Allah. Menterjemahkan idea kepada pelan bertindak ialah Allah yang membuka. Membolehkan pelan itu dilaksanakan mengikut pelan, Allah yang tolong. Kejayaan akhirnya Allah yang beri. Kita hanya berusaha, Allah yang memberi. Berapa banyak orang yang berusaha tetapi tidak berjaya?
Berapa banyak orang yang berniaga, modal besar, tetapi dia rugi? Dia bankrap dan  tidak boleh buat apa-apa, sebab Allah tidak bantu. Allahlah yang membantu, maka itu tempat yang sewajibnya kita beryukur bukan kepada manusia. Bersyukur kepada Allah s.w.t.
Hendak syukur kepada Allah macam mana? Quran sebut jelas, digandingkan perkataan syukur dengan iman, dan perkataan kufur dengan syirik kepada Allah, atau menolak hukum Allah. Sebab itu dikatakan Allah uji kita sama ada kita bersyukur atau kufur. Jika tidak bersyukur kepada Allah. maknanya kufur kepada Allah.
Allah berfirman, maksudnya: “Kalau kamu beryukur kepada Allah atas nikmat yang Aku berikan kepada kamu, Aku akan tambah lagi kemajuan kamu. Kalau kamu tidak bersyukur kepada Aku, kamu syukur kepada manusia, sedangkan Aku yang bagi nikmat, Aku akan tarik balik nikmat itu. Dan azab itu amat pedih.”
Oleh itu janganlah kita terikat kepada manusia. Terikatlah kepada Allah s.w.t. Apa pun kita buat dalam kehidupan ini, jangan lupa, Allah akan bagi balasan. Kalau kita buat baik macam manapun, jasa sebanyak manapun, Allah akan tengok dalam banyak-banyak yang kita buat itu, ada atau tidak kita telah melakukan kesyirikan kepada Allah.
Kalau sebanyak manapun kita buat amalan tetapi ada sedikit syirik kepada Allah, Allah sebut dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampun dosa syirik kamu kepada-Nya.” Dosa lain Allah boleh ampun kepada mereka yang dikehendaki.
Kesimpulannya, berterima-kasihlah kepada Allah, bersyukurlah kepada Allah, dengan memihak kepada orang yang hendak melaksanakan hukum Allah dan syariat Allah,
demi untuk mensyukuri nikmat yang sebenar-benarnya pada Allah s.w.t.
 

Comments

Popular posts from this blog