Rasulullah kasihkan surah al-A'la


Syed Qutub berkata, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari al-Imam Ali Karamallahu Wajhahu, bahawa Rasulullah SAW kasihkan surah al-A'la.

Tersebut di dalam Sahih Muslim bahawa baginda membaca surah al-A'la dan al-Ghasiyah dalam solat dua hari raya dan hari Jumaat.

Baginda juga membaca kedua-dua surah itu untuk sembahyang hari raya dan sembahyang Jumaat yang jatuh pada hari Jumaat.

Memang wajar bagi Rasulullah menyintai surah ini, kerana surah ini menukarkan seluruh alam menjadi sebuah tempat ibadat di mana bergema ucapan tasbih dan tahmid di seluruh sudutnya, dan menjadi sebuah tempat pameran yang penuh dengan kejadian-kejadian yang mengilhamkan tasbih dan tahmid.

Firman Allah SWT: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan).

Al-Maraghi berkata: Sucikanlah nama Tuhanmu dari sesuatu yang tidak layak dengan keagungan-Nya, sama ada tentang zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya dan hukum-hukumnya.

Oleh sebab itu, janganlah kamu menyebutnya kalau tidak untuk mengagungkan-Nya, dan jangan kamu menggunakan nama-Nya kepada selain-Nya, dan jangan menganggap sifat-sifat-Nya sama dengan sifat-sifat yang selain-Nya.

Firman Allah SWT: Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan makhluk dan menyamakannya dengan sebaik-baik kejadian dari segi bentuknya.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaan-Nya).

Mujahid berkata: Allah memberi petunjuk kepada manusia sama ada untuk kecelakaan atau kebahagiaan yang dipilih oleh manusia begitu juga menunjuk haiwan ternakan untuk padang ragutnya.

Ayat ini sama seperti firman Allah SWT yang mengkhabarkan berkenaan perihal manusia yang berkata kepada Firaun.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak.
Al-Maraghi berkata: Dialah yang menumbuhkan segala macam tumbuh-tumbuhan untuk menjadi makanan haiwan.

Tidak ada tumbuh-tumbuhan yang tidak layak untuk dimakan oleh haiwan dan makhluk hidup yang lainnya.
Firman Allah SWT: Kemudian ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering (berubah warnanya) kehitam-hitaman.

Syed Qutub berkata: Tumbuh-tumbuhan itu mulanya tumbuh menghijau. Kemudian beransur-ansur layu kering hitam kekuning-kuningan. Semasa hijau ia boleh dimakan dan semasa kering hitam kekuningan juga boleh dimakan.

Dalam semua keadaan, tumbuh-tumbuhan itu berguna belaka kepada kehidupan mengikut perencanaan Allah yang telah menjadikan makhluk-Nya dengan ciptaan yang sempurna dengan menentukan tugas dan matlamat masing-masing serta memberi bimbingan kepadanya.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Kita diperintahkan agar mengenal Allah SWT Yang Maha Agung, bahawa Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana yang mana dengan sifat-sifat-Nya itu kita dapat menyaksikan bukti-bukti ciptaan-Nya.

Juga kita diperintahkan untuk memberikan nama-nama yang tidak layak, sebagaimana dilakukan oleh golongan yang ingkar, yang bertuhankan selain Allah SWT sebagai sekutunya atau menyifatkan Allah SWT dengan sifat-sifat yang serupa dengan makhluk-Nya.

Kita juga diperintahkan untuk menyucikan sifat Allah SWT bukan zat-Nya, adalah untuk membimbing kita bahawa tingkat kemampuan kita yang paling tinggi hanyalah mengenal sifat-sifat-Nya, yang dapat menunjukkan adanya Zat-Nya, Zat-Nya sendiri jauh lebih tinggi daripada yang dapat dijangkau oleh akal kita.
Justeru, cukuplah kita memerhatikan sifat-sifatnya yang dapat menunjukkan kewujudan Zat-Nya.

Al-Quran dalam bahasa dunia

Nooraini Ismail menunjukkan koleksi terbaru e-quran yang terdapat di Perpustakaan UIAM, Gombak.



INILAH ayat-ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibril ketika Nabi Muhammad SAW sedang bersendirian di Gua Hira’. Peristiwa itu yang dikenali sebagai Nuzul al-Quran disambut setiap kali tibanya 17 Ramadan.

Al-Quran telah disampaikan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Malah apabila Rasulullah SAW menghembuskan nafas yang terakhir, mukjizat agung tinggalan baginda adalah kitab suci al-Quran, selain hadis yang menjadi pedoman dan panduan umat Islam seluruh dunia sehingga ke akhir zaman.

Hakikatnya, penguasaan ayat-ayat al-Quran penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Menerusi al-Quran manusia mengenali tujuan mereka dihidupkan di atas muka bumi ini dan menjalani cara hidup sebagaimana dituntut syarak.
Allah berfirman yang bermaksud: ‘‘Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim. (an-Nahl: 89)”
Lantas, menguasai al-Quran perlu bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang untuk membaca nya dengan baik. Dalam surah Fatir ayat 29-30 pula Allah berfirman: ‘‘Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya (dengan itu) Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kepada mereka kurniaannya. Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas sebaik-baiknya.”
Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca tetapi ia perlu difahami kerana di dalamnya terdapat panduan dalam segala aspek kehidupan.
Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisa ayat 82 yang bermaksud: Apakah mereka tidak tadabur Al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.
Meskipun al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, namun usaha untuk memahami pengertiannya menjadi milik semua umat manusia.
Justeru, terhasillah berbagai-bagai naskhah terjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa di dunia ini.
Harapannya, kalam Allah itu dapat lebih dihayati dan bukan sekadar dibaca untuk santapan halwa telinga .
Tetapi tidak siapa tahu dengan tepat jumlah bahasa di mana al-Quran telah diterjemah.

Tafsir Ayat: Doa orang berpuasa, dianiaya, pemerintah adil tidak ditolak

FIRMAN Allah yang bermaksud: Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sheikh al-Maraghi menjelaskan, apabila Allah menuntut hambanya mengenai kefarduan puasa Ramadan, menyempurnakan bilangannya serta menggesa supaya bertakbir untuk persiapan bersyukur, ayat ini sebagai dalil bahawa Allah bersifat Maha Mengetahui keadaan dan Maha Mendengar segala doa mereka.

Sebab turunnya ayat ini, Nabi SAW mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang tinggi dalam peperangan Khaibar. Lantas Nabi SAW bersabda kepada mereka yang bermaksud: Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu.

Selain itu, Ibnu al-Jauzi ada menyebut pendapat lain berkenaan turunnya ayat ini, iaitu seorang Badwi datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah menjelaskan bahawa Dia adalah dekat. Dia memperkenankan doa orang yang memohon dan memenuhi sebarang hajat orang yang meminta. Tidak ada tirai pendinding antara Allah dengan salah seorang hamba-Nya. Oleh itu, mereka sewajarnya menghadap hanya kepada-Nya dalam berdoa, merendahkan diri, lurus dan memurnikan ketaatan kepada-Nya semata-mata.

Prof Hamka menyatakan di penghujung ayat ini, jadikanlah bulan puasa sebagai bulan penuh ibadat, membaca al-Quran, solat dan berdoa. Oleh kerana doa amat penting dan menjadi otak daripada ibadat, maka Allah berkenan memberitahu mengenai doa dan bagaimana sambutan-Nya jika hamba-Nya berdoa menyeru nama-Nya dan memohon sesuatu hajat.

Oleh sebab itu, Allah dekat dengan hamba-Nya, maka hendaklah berdoa dan memohon kepada Allah dengan ikhlas dan tidak perlu bersuara keras mahu pun bertempik menyeru nama-Nya.

Lantaran dekatnya Allah dengan manusia, maka tidak perlu perantaraan atau wasilah antara manusia dengan Allah, berdoa dan memohon langsung terus kepada Allah. Malah, Allah hampir pada seseorang yang menarik nafasnya yang penghabisan menunggu saat-saat kematian sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada kamu, akan tetapi kamu tidak melihat. (Surah al-Waqiah, ayat 87)

Melaksanakan ibadat puasa, seseorang Muslim dilatih dalam keadaan beribadat dan berdoa. Pada masa sama, apabila semakin bertambah makrifahnya kepada Allah, maka semakin bertambahlah ikhlas dan tawakal kepada-Nya.

Natijah daripada latihan dilalui seseorang yang berpuasa terhadap jiwanya dan imannya adalah dia semakin dekat dengan Allah SWT. Lantaran, hampirnya dengan Allah itu yang menyebabkan doanya mudah dikabulkan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah, yang doa itu tidak bermaksud dosa dan tidak bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT pasti akan memperkenankan doa itu melalui tiga cara, iaitu doa itu akan diperkenankan dengan serta merta, ada kalanya doa itu disimpan dan ditangguhkan dulu untuk persediaannya pada hari akhirat dan ada kalanya dijauhkan dan dipalingkan daripada kejahatan yang seumpama dengannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Menariknya, ibadat doa termasuk dalam ayat puasa sekali gus bermaksud doa orang berpuasa itu lebih dekat dikabulkan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bagi orang yang berpuasa itu sewaktu hendak berbuka puasa adalah doa yang mustajab. (Hadis riwayat Abu Daud)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: Ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak, iaitu doa pemerintah yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang dianiayai. Akan diangkat doa itu oleh Allah ke atas awan pada hari kiamat kelak dan akan dibukakan baginya pintu langit, lalu Allah berfirman: Demi kemuliaan-Ku, sesungguhnya Aku akan tolong kamu walaupun dalam masa yang sekejap saja. (Hadis riwayat Ahmad, Nasai, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Comments

Popular posts from this blog