Seksa bagi orang kafir

Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan kenikmatan yang disediakan kepada orang yang beriman kepada-Nya dan rasul-Nya serta melakukan kebaikan yang diperintahkan, Dia menunjukkan apa yang disediakan kepada penderhaka sebagai balasan dosa-dosa mereka.
Dia juga menjelaskan keadaan orang kafir menghadapi orang yang beriman di dunia dan bagaimana orang beriman menghadapi orang kafir di akhirat kelak sebagai balasan terhadap sikap mereka di dunia dahulu.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman.
Syed Qutub berkata: Mereka mengejek dan ketawakan orang mukmin sama ada kerana keadaan hidup mereka yang miskin dan derita, kerana kelemahan mereka untuk menolak ejekan dan sendaan itu atau kerana orang-orang mukmin itu tidak menghiraukan tindak tanduk mereka yang jahil.
Semuanya itu menimbulkan gelak ketawa orang yang berdosa. Mereka telah menjadikan orang mukmin itu bahan ketawa, ejekan, gurauan dan sendaan.
Mereka melakukan tindakan jahat ke atas mereka kemudian ketawa melihat kesusahan yang menimpa orang yang beriman itu. Namun, orang mukmin tetap sabar dan mematuhi adab sopan.
Firman Allah SWT: Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).
Al-Maraghi berkata: Apabila orang kafir melalui perkumpulan orang mukmin, mereka mengetawakan orang mukmin serta memburukkan dan mengejek mereka.
Firman Allah SWT: Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira. Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!
Ibn Kathir berkata: Maksudnya ketika orang yang berbuat dosa itu kembali ke rumah mereka, maka mereka akan kembali dalam keadaan sedang gembira. Maksudnya apa pun yang mereka cari pasti mereka mendapatkannya.
Oleh yang demikian, mereka tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Justeru, mereka sibuk menghina dan dengki kepada orang mukmin. Maksudnya mereka berada dalam agama yang bukan agama mereka.
Firman Allah SWT: Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang yang beriman itu!
Al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak mengutus orang kafir untuk menjadi pengawas kepada orang yang beriman. Dia juga tidak memberi kekuasaan kepada mereka untuk mengamati perbuatan mereka serta mengajar yang batil dan yang benar.
Oleh itu, mereka tidak boleh mencela apa yang mereka percayai sebagai kepercayaan sesat menurut fikiran mereka yang rosak itu. Mereka hanya diperintah memikirkan diri sendiri sehingga dapat memperbetulkan kesalahan mereka.
Jika mereka dapat mengerjakan perkara itu pasti mereka mampu mengerjakan kewajipannya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudian Allah SWT menyebutkan perlakuan orang beriman kepada mereka pada hari kiamat, untuk menghiburkan mereka daripada penderitaan dan keteguhan serta balasan kerana kesabaran mengembangkan cahaya iman.
Firman Allah SWT: Maka pada hari ini, orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya).
Syed Qutub berkata: Maksudnya pada hari ini orang kafir dihijabkan daripada Allah SWT, mereka terseksa dengan hijab yang menghilangkan sifat insaniah mereka, kerana itu mereka dimasukkan ke dalam neraka dengan penuh sendaan dan penghinaan.
Firman Allah SWT: (untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): Bukankah orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?
Ibn Kathir berkata: Maksudnya apakah orang-orang kafir itu akan diberi ganjaran atau tidak atas apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin berupa caci maki dan penghinaan?
Maksudnya mereka telah diberi balasan dengan azab yang paling lengkap lagi sempurna.
Syed Qutub berkata: Al-Quran mewujudkan hati-hati yang disediakan untuk memikul amanah dakwah. Hati itu pastilah tabah, kuat dan ikhlas iaitu ia berjuang dan berkorban bukan mengharapkan sesuatu faedah dunia.
Ia tidak menunggu sesuatu yang lain melainkan akhirat. Ia tidak mengharapkan sesuatu apa melainkan keredaan Allah SWT.
Itulah hati yang bersedia untuk meneruskan perjalanan mereka dalam kepayahan, kesusahan, pengharaman, keseksaan, pengorbanan dan penderitaan tanpa mengharapkan balasan yang cepat di bumi dalam bentuk kemenangan dakwah, kejayaan Islam dan keunggulan umat Islam.
Apabila hati ini telah diwujudkan iaitu hati yang tahu di dalam perjalanan mereka di bumi tiada kewajipan lain di hadapan mereka melainkan hanya masa balasan dan penyelesaian di antara yang benar dan batil.
Apabila hati ini telah diwujudkan dan Allah mengetahui kejujuran niat mereka untuk melaksanakan janji setia mereka, barulah kemenangan di bumi datang kepada mereka dan Allah menjadikan kemenangan itu amanah bukan kemenangan untuk mereka, tetapi membolehkan mereka memikul amanah agama Allah SWT.
Hati-hati seperti inilah yang layak menunaikan amanah Allah yang tidak menjanjikan apa-apa keuntungan. Hati-hati inilah yang tidak mengharapkan apa-apa faedah dunia.
Mereka benar-benar jujur kepada Allah SWT sejak mereka tahu satu-satunya balasan untuk mereka adalah keredaan Allah SWT.
Semua ayat yang menyebutkan kemenangan dunia diturunkan di Madinah selepas itu iaitu selepas persoalan kemenangan ini berada di luar program orang mukmin dan di luar harapan dan cita-cita mereka kemudian.
Kemenangan itu sendiri datang kerana kehendak Allah SWT mahukan agama ini tegak di alam realiti hidup manusia dalam bentuk amali yang boleh dilihat generasi seterusnya.

Adab bermunajat





Kita disuruh berdoa sebagai tanda perhambaan kepada Allah yang Maha Kuasa. - Gambar hiasan




KITA tidak hanya dituntut menjaga adab dengan manusia sahaja, bahkan juga dengan Allah SWT. Seorang wali Allah, Wahab r.a. mengatakan: "Aku telah membaca dalam sebahagian kitab suci, bahawa Allah SWT berkata: Hambaku, patuhlah kepadaku terhadap apa yang telah aku perintahkan kepadamu, dan jangan kamu mengajar aku dengan sesuatu demi kemuslihatanmu.
"Aku akan memuliakan kepada sesiapa sahaja yang memuliakan aku, sebaliknya aku akan menghina sesiapa yang merendah-rendahkan perintahku, dan Aku tidak melihat pada hak seseorang hamba sehingga hamba itu melihat pada hak-Ku".
Manusia mengharapkan pertolongan Allah apabila berhadapan dengan kesusahan, mala petaka, musibah dan lain-lain.
Manusia bermohon kepada Allah agar kehendak dan keinginannya tercapai. Jika sebaliknya, maka tidak ada apa dilakukan kerana tidak ada apa-apa tujuan.
Manusia yang tidak bermohon kepada Allah, adalah orang yang sombong.
Sikap manusia ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: ...dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina. (al-Mukmin: 60)
Inilah sikap manusia. Apabila ditimpa apa jua musibah yang tidak menguntungkan dirinya akan berhubung dengan Allah, jika sebaliknya Allah tidak dihajati lagi.
Sikap sebegini menampakkan manusia tidak memahami adab dengan Allah. Ini kerana berdoa bukan untuk memohon agar Allah perkenankan hajat, tetapi ia menunjukkan sifat perhambaan manusia kepada Allah sebagai merendah diri kepada-Nya.
Sepatutnya kita bermohon kepada Allah, tetapi Dia yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Ini kerana kita tidak mengetahui hakikat yang sebenar adakah yang kita pilih baik atau buruk di sisi Allah SWT.
Menjadi tanggungjawab Allah untuk memperkenankan bila dan apa yang kita pohon. Apa yang kita kehendaki tidak bermakna Allah menghendaki. Kita suka tidak semestinya Allah suka.
Allah perkenankan doa
Menurut Ibn 'Ataillah, terdapat tiga jenis manusia dalam berdoa kepada Allah:
lManusia yang tidak pernah berpaling daripada Allah. Sentiasa menyerah diri kepada-Nya dengan harapan mencapai reda Allah. Menerima apa sahaja ketentuan Allah dan sentiasa bersangka baik sama ada Allah perkenan doanya atau tidak.
lManusia yang berdoa kepada Allah dan yakin bahawa Allah tetap dengan janji-Nya dan sesekali tidak menyalahi janji-Nya.
Jika hajatnya belum tercapai dan doanya lambat diperkenankan, dia beranggapan positif bahawa kemungkinan cara dan kaedah, atau pelakuannya yang tidak mengikut perintah Allah. Masih melakukan maksiat sama ada disedari atau tidak.
Harapannya sentiasa tinggi agar Allah memperkenan doanya, lalu dia gembira apabila diperkenankan-Nya dan disyukuri.
lManusia yang tidak pernah putus harapan berdoa kepada Allah untuk memohon apa yang dihajati.
Namun pada masa yang sama meninggalkan perintah Allah, mengerjakan larangan dan tegahan Allah dan hatinya tidak sejajar dengan apa yang didoakan. Doa orang seperti ini lambat dimakbulkan.
Apabila doanya lambat diperkenankan hatinya menjadi ragu-ragu dan timbul kebimbangan.
Wirid dan warid
Dua perkara ini saling berkait di dalam perhubungan manusia dengan Allah. Bagi mencapai reda Allah dan syurga-Nya maka seseorang hamba itu perlu berwirid.
Wirid adalah segala amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wirid ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan jika tertinggal maka segera diqada.
Hasil daripada usaha dan ketekunan wirid ini, maka Allah akan menganugerahkan warid. Warid adalah sesuatu yang dianugerahkan atau kemuliaan yang diberi Allah kepada seseorang hamba berkat amal solehnya.
Anugerah dan kemuliaan ini yang datang daripada Allah dalam bentuk nur. Ia tidak dapat dilihat dengan pancaindera mata, hati akan dilimpahi dengan ilmu tentang ketuhanan dan menjadikan imannya semakin bertambah.
Ini bermakna warid adalah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat dan patuh serta tunduk kepada-Nya. Wirid adalah kewajipan kita yang dituntut oleh Allah ke atas kita. Ibn 'Ataillah al-Askandari menyebutkan bahawa: "Datangnya bantuan Allah adalah berdasarkan kepada sejauh mana persiapan hamba-Nya".
Wirid adalah menjadi hak Allah untuk ditunaikan oleh manusia dengan mengerjakan segala yang wajib dan menampungnya dengan amalan sunat.
Inilah akhlak orang yang beriman dan menjadi jalan ahli ibadat bagi menambah dan meningkatkan imannya kepada Allah SWT. Inilah yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam sabda-Nya yang bermaksud: "Sebaik-baik amal kepada Allah ialah amal yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit."

Transformasi masjid kita





RUANG dewan solat utama menjadi lokasi utama sepanjang seminar bagi pelajar Tahun 6 dari sekolah-sekolah
di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.




KELAZIMAN masyarakat sekarang suka ke tempat-tempat yang mampu menyediakan pelbagai keperluan mental, fizikal dan pada masa sama mengisi kerohanian mereka di bawah satu bumbung.
Ke mana, kalau tidak ke pusat membeli-belah utama. Di mana di situ, ditawarkan pelbagai keperluan dalam bermacam-macam bentuk untuk semua peringkat umur tidak kira dewasa, remaja, kanak-kanak malah golongan warga emas turut tidak dipinggirkan.
Senario happening sebegini jarang atau tidak keterlaluan dikatakan langsung tidak pernah berlaku di masjid-masjid kita bukan? Hal ini timbul disebabkan kita sendiri telah menyempitkan fungsi masjid, maka wujudlah fenomena di mana masjid dianggap sekadar tempat ibadat semata-mata.
Natijahnya, masjid-masjid yang dibina dengan kos mencecah puluhan juta ringgit dan berdiri megah itu hanya berperanan sebagai lambang agama Islam. Tambah mengharukan bila masjid hanya kelihatan 'hidup' pada waktu-waktu solat lima waktu, solat jumaat dan hari kebesaran Islam. Selain dari waktu itu, ia kembali sunyi dan tidak berpenghuni.
Ini tidaklah bermaksud masjid kita perlu ikut jejak seperti pusat membeli-belah dalam usaha menarik orang ramai. Namun, sewajarnya pihak pengurusan masjid perlu memikirkan cara untuk menarik minat semua pihak untuk ke masjid, sekali gus memakmurkan rumah Allah ini.
Mengimbas fungsi dan peranan masjid pada zaman kegemilangan Islam, masjid merupakan sebuah institusi di mana setiap aktiviti umat Islam, baik yang berbentuk kemasyarakatan, pendidikan, iqtisad (perekonomian), siasah, riadah dan sebagainya dijalankan. Dengan kata lain, masjid pada zaman tersebut berfungsi sebagai pemangkin kepada aktiviti-aktiviti harian masyarakat.
Lantas berasaskan fungsi dan peranan masjid itu sendiri iaitu sebagai pusat ibadah dan pengembangan ilmu, ujar Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa mengakui Masjid Wilayah telah memperkenalkan konsep memasyarakatkan masjid.
"Ini bermakna pihak masjid akan lebih memperbanyakkan aktiviti kepada masyarakat supaya sama-sama memakmurkan masjid kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia iaitu; kanak-kanak, remaja, dewasa dan usia emas.
"Kalau sebelum ini fungsi masjid sebagai pusat ibadah memang telah diketahui umum, sekurang-kurangnya solat lima waktu dan solat Jumaat. Kini peranan lebih luas masjid itulah yang perlu ditonjolkan lagi kepada semua lapisan masyarakat.
"Lantaran itu, Masjid Wilayah telah mula menganjurkan pelbagai program yang lebih kreatif dalam menarik masyarakat Islam supaya melihat masjid itu sebagai satu tempat tumpuan yang utama.
"Malah berasas tujuan untuk mentarbiahkan umat, maka kita pelbagaikan aktiviti secara yang menarik. Usaha ini juga secara tidak langsung sebagai satu cara penjenamaan semula institusi masjid supaya tidak lagi terikat dengan urusan ibadah, kematian dan perkahwinan semata-mata," kata Zakariah ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.
Tambah Zakariah, buat masa ini penganjuran aktiviti-aktiviti di Masjid Wilayah lebih memfokuskan kepada golongan remaja dan belia, di samping melihat kepada isu semasa dan keperluan masyarakat Islam masa kini.
Masjid Wilayah juga katanya lagi, sedang dalam perancangan untuk menyediakan kaunter khidmat nasihat yang akan memberikan pelbagai bantuan, khidmat nasihat, penerangan, penyaluran maklumat dan bimbingan kepada sebarang permasalahan yang dihadapi orang ramai.
"Jika diperhatikan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, telah banyak perbincangan dilakukan oleh pihak berkuasa agama di peringkat pusat dan negeri tentang fungsi masjid masa kini. Maka kini telah sampai satu tahap di mana semua cadangan, penemuan dan hasil resolusi tersebut diaplikasikan serta diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaanya.
"Sebab itulah, beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat lihat telah diperkenalkan tadika, sekolah rendah agama dan pelbagai penganjuran aktiviti yang keluar daripada format kebiasaan sebuah rumah ibadah mula dilaksanakan di masjid.
"Malah alhamdulillah, setiap daripadanya mendapat sambutan sama ada kariah situ mahupun orang ramai. Kesemua usaha-usaha ini telah menampakkan satu transformasi kepada institusi masjid di negara ini," katanya.
Sementara itu, pada 5 hingga 8 Julai baru-baru ini Masjid Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Seminar Kecemerlangan Pelajar UPSR, PMR dan SPM 2010 dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan.
Pegawai Penyelarasnya, Abdul Halim Zakaria Al-Hafiz memberitahu bahawa seramai 240 orang pelajar tahun enam telah terpilih dari sekolah-sekolah sekitar Wilayah Persekutuan yang akan menjalani peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk mengikti seminar empat hari ini.
"Mereka ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu, 120 untuk cemerlang dan selebihnya untuk kumpulan sederhana. Kami terpaksa pecahkan agar mereka ini berada pada tahap yang betul, sekali gus memudahkan tenaga pengajar atau penceramah yang terlibat apabila mengetahui tahap sebenar sasaran mereka itu.
"Manakala bagi pelajar peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, pada kali ini kami membuka peluang kepada pelajar yang mengambil subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di mana pada tahun ini peperiksaan adalah dalam format baru. Jadi seminar sebegini perlu bagi persiapan menjelang peperiksaan.
"Untuk mata pelajaran teras PMR pula akan diadakan pada Ogos. Sementara seminar bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan diadakan pada awal September," kata Abdul Halim uniknya seminar ini menggunakan wang tabung masjid yang diperoleh daripada sumbangan orang ramai.
Terang Abdul Halim lagi, penganjuran seminar pertama ini adalah rentetan daripada penganjuran kelas-kelas tuisyen yang telah berjalan selama dua tahun sebelum ini. Namun memandangkan kehadiran pelajar yang kurang memuaskan pada tahun-tahun sebelum ini maka cadangan dan idea Seminar Kecemerlangan Pelajar tercetus.
Diharap seminar ini akan menambah motivasi dan sebagai satu suntikan semangat kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan pada tahun ini, sekali gus menambah kesungguhan pelajar untuk bersedia dan berazam untuk berjaya dengan cemerlang.

Comments

Popular posts from this blog