Sesalan seorang ibu
Bersama Kak Ani
bminggu@bharian.com.my
2011/02/27

 

 

 

Pesakit kronik terkilan gagal didik dua anak gadis

PEPATAH mengatakan kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebung. Pendidikan awal anak semestinya bermula di rumah dan ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan anak. Peribadi kanak-kanak akan terbentuk ikut acuan didikan ibu bapa. Kalau sempurna didikan itu, maka baiklah perlakuan anak, begitulah sebaliknya.

Jika minggu lalu Kongsi Rasa menyelami perasaan seorang bapa yang menghargai pengorbanan isteri dan anak yang tabah mengharungi kehidupan tanpanya di sisi, kali ini kita dengar pula keluhan seorang ibu.
Puan Rosnah yang mengutus e-mel dari Singapura, kesal kerana gagal membimbing dua anak perempuannya sejak kecil kerana alpa. Berikutan kekhilafan itu, dia menanggung beban perasaan bersalah hingga sekarang. Berikut coretan Puan Rosnah kepada Kongsi Rasa:

“Saya tahu saya bukanlah ibu yang baik kepada dua anak yang sudah berusia 20 dan 21 tahun. Sekarang saya menyesal kerana tidak mendidik mereka sejak kecil dengan sikap bertanggungjawab kepada rumah tangga. Mereka tidak mendapat didikan agama yang sempurna.

“Ketika kedua-dua anak meningkat remaja, ada juga mereka menghadiri kelas agama, tetapi kerap ponteng dan saya tidak pula mengambil berat mengenainya. Saya sudah masukkan anak perempuan ke sebuah persatuan khas membimbing remaja, namun ketika saya dirawat di hospital selama lima bulan, dia tidak menghadiri kelas lagi.

“Selepas keluar dari hospital, baru saya tahu anak perempuan saya sudah berhenti dari kelas tanpa pengetahuan saya. Masalah saya sekarang mereka berasa diri terlalu besar dan tidak mengendahkan kata-kata saya. Mereka enggan mengerjakan solat dan belajar mengaji.
“Sebagai ibu, saya mengharapkan anak membantu menguruskan rumah tangga, malangnya mereka tidak berminat untuk melakukan kerja rumah apatah lagi membantu saya. Apabila ini berlaku, suami pula asyik menyalahkan saya dan mengomel di belakang. Sayalah yang menjadi mangsa leterannya.

“Kata suami, dulu ketika dia marahkan anak, saya membela mereka. Akibat tindakan saya itu, suami enggan lagi memberi teguran. Saya menghidap penyakit jantung dan kencing manis. Allah sudah memberi saya kehidupan sekali lagi selepas melalui saat genting berjuang untuk hidup kerana penyakit yang saya hidap sudah memasuki tahap bahaya.

“Apa yang saya khuatir ialah masa depan anak apabila saya tiada lagi, merisaukan saya ialah anak perempuan saya sukakan pemuda Serani. Saya katakan pada anak saya yang dia belum kukuh iman hendak berkawan dengan orang bukan Islam. Apa yang harus saya lakukan?”

Memang banyak cabaran dihadapi ibu bapa dalam mendidik anak dalam dunia siber dan hidup di kawasan kosmopolitan. Pengaruh gejala sosial mudah menular ke dalam rumah menerusi teknologi terkini. Maklumat yang diperoleh di hujung jari perlu dipantau supaya anak tidak tersilap membuat pilihan.

Kalau kita terlambat menyediakan benteng bagi menangkisnya, gejala sosial mudah bolos ke dalam rumah tangga tanpa diundang. Anak menjadi mangsa gejala tidak sihat kerana ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mendidik apatah lagi jika memisahkan kehidupan dengan agama.

Kehidupan duniawi lebih diutama kerana mereka nampak ganjarannya iaitu mampu hidup mewah jika mempunyai pelajaran baik sehingga mengabaikan pendidikan asas keagamaan seperti mengenal al-Quran dan mengerjakan ibadat solat lima waktu.

Kak Ani bersyukur Puan Rosnah sedar kesilapan lalu dan cuba membetulkan keadaan supaya anak dapat ditinggalkan dengan tenang. Sebelum meleraikan kekusutan dihadapi, Puan Rosnah kena cermin diri dan menilai kelemahan yang ada pada diri selama ini.

Tanya apa yang tidak kena kepada diri puan selama ini. Sebagai seorang Muslim, apakah puan menunaikan tanggungjawab disuruh oleh agama. Dalam soal mendidik ini, kita tidak boleh mengikut resmi ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul. Kalau ibu mahu anak solat, ibu dulu yang kena solat.

Untuk membetulkan sikap anak yang sudah dewasa dan sudah ada prinsip hidup sendiri, tanggungjawab yang puan pikul sudah tentu melalui perjalanan yang agak sukar. Bagaimanapun, anak puan silap jika menganggap puan tidak berhak lagi mengatur hidup mereka kerana selagi belum berkahwin, mereka masih di bawah tanggungan ibu bapa.

Puan Rosnah berhak menegur mereka tetapi caranya kenalah mengambil kira kedewasaan mereka, tidak boleh diperlakukan seperti kanak-kanak. Sebagai ibu, Kak Ani percaya Puan Rosnah pasti mengenali sikap anak yang sebenar dan tentu tahu di mana kelemahan anak yang boleh memancing puan untuk memulakan langkah.

Anak, bagaimana degil sekali pun tidak akan sampai hati melihat air mata ibu gugur. Inilah senjata yang boleh puan gunakan untuk meminta simpati mereka. Puan perlu membuang ego dengan menyatakan kekesalan dan rasa bersalah puan terhadap anak kerana gagal memberi didikan agama yang cukup.

Berbincanglah dengan anak dari hati ke hati. Tegurlah sikap anak semoga mereka sedar tindakan yang mereka lakukan selama ini merugikan diri sendiri. Kalau anak puan sudah pergi terlalu jauh hingga puan berasa mereka seperti orang asing, puan kena banyak bersabar.

Jika teguran ibarat mencurah air ke daun keladi, puan berdoalah kepada Tuhan supaya memberi hidayah kepada mereka. Doa seorang ibu yang dilakukan dengan ikhlas pasti diterima Tuhan. Seseorang ibu perlu elak menggunakan perkataan yang tidak baik terhadap anak kerana setiap perkataan yang keluar daripada mulut ibu diibaratkan doa.

Puan Rosnah juga tidak boleh keseorangan menangani masalah ini. Pujuk suami supaya bersama puan memberi nasihat kepada anak. Tunjukkan penyesalan puan dan memohon maaf kepada suami secara terbuka kerana tidak mengendahkan nasihat suami dulu, mungkin dengan cara ini dapat melembutkan hatinya.

Ada ayah yang tidak sedar kuasa yang ada pada mereka boleh mempengaruhi anak. Kebiasaannya anak perempuan akan berasa malu apabila ditegur bapa. Dalam keadaan wanita juga berperanan penting menyumbang kepada ekonomi keluarga, bapa juga wajar berkorban membuang ego bagi memastikan kesejahteraan rumah tangga berkekalan.

Sebagai suami, dia patut membantu puan melihat perkembangan anak ketika puan terlantar di hospital.

Tindakan Puan Rosnah menghantar anak ke pusat bimbingan remaja, walaupun hanya memindahkan masalah dari rumah ke luar, ia antara cara baik untuk menyelamatkan anak. Sayangnya, anak puan tidak cuba memahami di sebalik tindakan yang puan ambil itu. Mereka mungkin menganggap puan sengaja melepaskan tanggungjawab.

Biasalah apabila anak terasa diabai, mereka akan menagih kasih orang luar. Percintaan anak puan dengan pemuda Serani boleh dianggap satu ‘pelarian’ selepas berdepan masalah keluarga. Puan pujuklah anak mendalami agama sebelum memilih pemuda Serani sebagai teman hidup. Islam tidak halang perkahwinan campur asalkan ia tidak menjejaskan akidah. Kita hanya bimbangkan keadaan sebaliknya jika pemuda Serani itu cuba memasang jerat cinta mengajak anak anda masuk agamanya.

Sempena bulan kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW ini, puan banyakkan solat hajat dan bertaubat moga diberi ruang dan kemudahan untuk menyelesaikan masalah ini.

Kalau hayati perjuangan Rasulullah, masalah yang dihadapi Puan Rosnah atau mereka yang senasib dengannya terlalu kecil berbanding penghinaan dan seksaan dihadapi Rasulullah untuk membimbing ummah ke jalan benar. Hanya kesabaran dan keimanan yang kukuh dapat meleraikan segala masalah dan menyerlahkan kebenaran.

Ingatlah Nabi Nuh sendiri berdepan ujian apabila anak dan isteri ingkar arahannya sehingga mereka mati ditelan banjir besar. Puan Rosnah kena banyak bersabar dan berdoa moga Tuhan lembutkan hati anak dan suami. Tiada masalah tak dapat diselesaikan jika dituruti dengan kesabaran dan keimanan.

INFO: Mereka yang mahu berkongsi pendapat kisah minggu ini atau ada masalah lain yang mahu dikongsi, boleh menghantar e-mel kepada Kongsi Rasa di bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Comments

Popular posts from this blog