Ulama pemimpin umat dalam tegakkan syiar Islam
Oleh Mohd Hariri Mohamad Daud

2010/06/22

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Iman Khatib dari Jabir)

Ulama adalah golongan yang menguasai dan memahami secara terperinci ilmu teras Islam serta memahami Islam seperti yang difahami generasi para sahabat dan mereka mampu menyelesaikan masalah berkaitan perkara agama. Definisi ini diberikan Abdul Karim Khatib dalam kitabnya Tafsir Al qurani lil Quran.

Imam Muhammad bin Ahmad Qurtubi dalam tesisnya Jami’ Liahkam al-Quran pula menyebut, golongan ulama adalah manusia yang takut kepada kudrat Allah.

Al-Quran secara tegas menjelaskan ketinggian martabat golongan ulama antaranya perintah Allah supaya manusia memberikan ketaatan kepada mereka dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan orang yang memerintah urusan kamu (ulil amri).” (Surah an-Nisa’, ayat 59)
Ibnu Abbas dan Imam Ibnu Qayyim berpendapat maksud (ulil amri) pada ayat ini ialah ahli fikah dan ahli agama (ulama).

Istilah ulama disebut dua tempat dalam al-Quran, pertama, dalam firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendeta agama Bani Israel mengetahui kebenaran al-Quran.” (Surah Asy-Syuara’, ayat 197)

Kedua, firman Allah bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya hanya orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir, ayat 28)
Imam Muhammad Ar Razi Fakhruddin mentafsirkan ayat surah Faathir, menyebut sesungguhnya orang alim lebih tinggi darjatnya daripada ‘abid (ahli ibadah). Kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketakwaan kepada Allah dan ketakwaan itu datang melalui ilmu yang benar.

Ketinggian dan kemuliaan kedudukan seorang ulama ialah penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Mereka juga cermin dan pemimpin umat menegakkan agama Allah, tegas menegakkan yang hak dan menyanggah perkara batil yakni bertentangan dasar agama.

Ulama sumber rujukan umat menetapkan sesuatu hukum. Tanpa ulama seluruh umat manusia akan menghadapi kesukaran apabila berdepan persoalan yang memerlukan penyelesaian hukum. Selain itu, ketinggian ilmu ulama mencerminkan ketakwaan kepada Allah.

Said Hawwa dalam kitabnya ‘al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas pendapat Ibnu Mas’ud yang menyatakan ulama bukanlah semata-mata orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi juga orang yang ‘khasyyah’ (takut dan cinta yang tinggi) kepada Allah.

Pada zaman keagungan Islam, peranan dan komitmen ulama sangat luas merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Selain pakar dalam bidang akhlak, akidah dan syariah, mereka juga cendekiawan serta ilmuwan yang tiada tolok bandingnya dalam bidang sains dan teknologi.

Wujudkah apa yang disebut ulama jahat? Rasulullah menyebut dalam hadisnya bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal haram, mengetahui hak dan batil, memahami al-Quran serta al-Hadis tetapi sanggup mencampur-adukkan perkara hak dengan batil.

Inilah dikatakan ulama yang menyeleweng. Rasulullah pernah ditanya seorang sahabat, “Apakah amal perbuatan yang paling utama? Baginda menjawab: Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan. Sahabat berkenaan bertanya lagi: Manusia yang bagaimana yang paling buruk? Baginda menjawab: Ulama yang selalu membuat kerosakan.” (Hadis riwayat Jamaah)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rosaknya agama disebabkan tiga perkara iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad.” (Hadis riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).

Ali bin Abu Talib yang suka bertoleransi

ALI bin Abi Talib adalah khalifah keempat yang dilantik selepas mendapat sokongan majoriti. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah. Beliau dilahirkan pada tahun 602 Masihi.
Beliau berasal daripada Bani Hasyim yang berketurunan Quraisy.
Beliau ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad. Beliau ialah suami Fatimah bin Muhammad dan juga pemuda pertama yang memeluk Islam.
Nabi Muhammad menggelarkannya Zu al-Fiqar kerana keberanian dan sifat kepahlawanannya yang terserlah. Beliau juga mendapat gelaran Asad Allah yang bermaksud Singa Allah.
Ali meninggal dunia pada 40 Hijrah kerana ditikam oleh Abdullah bin Maljam iaitu salah seorang daripada golongan Khawarij.
Menurut cerita, Khalifah Ali kehilangan sepasang pakaian perang. Puas beliau mencarinya tetapi masih tidak jumpa pakaian perang tersebut. Pada suatu hari, Khalifah Ali ternampak seorang lelaki Nasrani memakai pakaian perang itu. Ali dapat mengecam pakaian perang itu benar-benar kepunyaannya.
"Tahukah kamu, pakaian perang yang kamu pakai itu adalah milik saya," kata Ali kepada orang Nasrani itu.
"Pakaian perang itu milik saya," ulang Ali lagi.
"Tidak. Pakaian perang ini adalah milik saya," jawab orang Nasrani itu.
Ali tidak berputus asa lalu berkata, "Serahkan semula pakaian perang itu kepada saya. Sudah lama saya mencari pakaian perang itu".
"Tidak. Saya tidak mahu serahkan pakaian perang ini kepada kamu," kata lelaki Nasrani itu.
Lelaki Nasrani itu tetap dengan pendiriannya. Beliau tidak mahu menyerahkan pakaian perang itu walaupun sudah berkali-kali di minta oleh Ali.
"Sekiranya begitu kata kamu, mari kita pergi ke mahkamah. Di sana, pihak pengadilan dapat menentukannya," kata Ali.
"Baik, saya setuju. Mari kita pergi berjumpa dengan tuan hakim," jawab lelaki Nasrani itu.
Kemudian, mereka berjumpa dengan hakim yang bernama Kadi Syuraih. Beliau adalah seorang hakim yang adil dan bijaksana. Sampai sahaja di mahkamah itu, Ali berkata kepada tuan hakim, "Saya tidak pernah memberikan pakaian perang itu kepada orang lain. Saya rasa pakaian perang yang dipakai oleh lelaki Nasrani itu adalah milik saya. Saya dapat mengenali pakaian perang tersebut".
Mendengar penjelasan Ali, hakim menyoal pula orang Nasrani itu, "Adakah benar seperti yang dikatakan oleh Ali tadi".
Lelaki Nasrani itu menjawab, "Pakaian perang itu milik saya". Lelaki Nasrani itu masih tetap dengan pendiriannya menyatakan pakaian perang itu miliknya.
Tuan hakim menjalankan tugasnya dengan adil. Bagi mendapatkan kepastian, tuan hakim bertanya pula kepada Ali, "Bolehkah kamu berikan bukti? Bukti yang menunjukkan bahawa pakaian perang itu milik kamu dan bukan milik lelaki Nasrani itu".
Tuan hakim itu memang seorang yang adil dan bijaksana. Ali berkata, "Saya tidak mempunyai sebarang bukti".
Keputusan mahkamah dibuat. Orang Nasrani itu tidak bersalah. "Saya memutuskan bahawa pakaian perang itu adalah milik orang Nasrani dan bukan milik Ali," kata tuan hakim.
Keputusan mahkamah adalah muktamad. Ali dan orang Nasrani itu keluar daripada persidangan mahkamah. Di luar kawasan mahkamah, lelaki Nasrani itu berjumpa Ali.
"Keputusan yang dijatuhkan oleh tuan hakim adalah muktamad. Tuan hakim hanya menjalankan tugasnya dengan seadil-adilnya. Kamu memang seorang yang jujur dan sabar. Mulai pada hari ini, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah," kata orang Nasrani itu di hadapan Ali.
Ali mendengar dengan teliti. Kemudian, lelaki Nasrani itu menceritakan kisah sebenar mengenai pakaian perang yang dipakainya itu.
"Pakaian perang ini saya terjumpa ketika kamu pergi ke Perang Siffin. Pakaian perang ini terjatuh daripada kenderaan yang kamu naiki. Lalu saya mengambil pakaian perang itu.
"Saya pakai pakaian perang ini dan menjadi milik saya. Tetapi sekarang pakaian perang ini bukan milik saya lagi. Pakaian perang ini adalah milik kamu. Ambillah," kata lelaki Nasrani itu.
Mendengar penerangan lelaki Nasrani itu, Ali kagum dengan sikapnya yang jujur itu.
Kemudian Ali berkata kepada lelaki Nasrani itu, "Kamu memang seorang yang jujur. Sekarang kamu sah menjadi orang Islam. Ambillah pakaian perang ini.
"Saya beri pakaian perang ini kepada kamu. Sekarang pakaian perang ini sah menjadi milik kamu".
Demikianlah sikap jujur, amanah dan suka bertoleransi di antara satu sama lain. Sikap bertoleransi, jujur dan amanah terhadap orang lain akan mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di kalangan manusia sejagat.

Ulul Albab: Rejab detik untuk menabur benih
Oleh Abdurrahman Haqqi

2010/06/20

Bulan ketujuh Hijrah punyai kedudukan tersendiri sama ada pada zaman Jahiliah mahupun Islam

BERBANDING bulan-bulan Tahun Masihi, bulan pada tahun Hijrah sebaliknya hanya memiliki satu nama yang dikhususkan kepada seseorang iaitu bulan Rejab manakala yang lainnya diambil sempena keadaan musim ketika itu seperti Ramadan yang merujuk musim panas.

Separuh bulan pada tahun Masihi turut mengambil nama orang seperti Mac (nama dewa peperangan) dan Ogos (nama seorang raja) manakala bakinya pula mengikut urutan seperti September dan Disember; dan hanya dua nama bulan yang diperuntukkan kepada musim yakni Januari dan Februari.

Bagi Rejab, sebagai bulan ketujuh dalam tahun Hijrah, mempunyai kedudukannya tersendiri sama ada pada zaman Jahiliah mahupun Islam. Cukuplah bukti keutamaan Rejab dipetik sebuah hadis yang menyatakan apabila Rejab tiba, Baginda Rasulullah SAW sentiasa berdoa dengan doanya yang masyhur “Allahumma barik lana fi Rajab wa ballghna Ramdan” atau ertinya, “Wahai Allah, anugerahkanlah keberkatan Rejab kepada kami dan kurniakanlah kehidupan kepada kami sehingga kami berjumpa dengan bulan Ramadan.”

Rejab termasuk satu daripada empat bulan yang disebut al-Quran sebagai al-Asyhur al-hurum atau ‘Bulan Yang Dihormati’ dalam ayatnya yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah SWT berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah: ayat 36).

Hakikat ini ditegaskan dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu sudah kembali seperti keadaannya pada waktu Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan yang dihormati dan yang tiga berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam dan Rejab adalah bulan Mudhar - bulan yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. (Hadis riwayat Muslim).

Antara sebab mengapa empat bulan itu dihormati adalah kerana dalam semua bulan itu dilarang melakukan apa-apa yang berkaitan dengan peperangan pada zaman Jahiliah yang dipetik hadis bermaksud: “Utusan Abdul Qais datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, kami berasal dari wilayah Rabi’ah. Antara kami dan engkau, terhalang oleh orang kafir Bani Mudhar. Kerana itu, kami tidak dapat datang kepadamu kecuali pada bulan-bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Oleh itu, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang dapat kami kerjakan dan kami seru kepada orang di belakang kami.
Rasulullah SAW bersabda: “Aku memerintahkan kepada kalian empat perkara dan melarang kalian daripada empat perkara. (Perintah itu ialah) beriman kepada Allah kemudian beliau menerangkannya. Beliau bersabda: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat dan memberikan satu perlima harta rampasan perang kalian. Dan aku melarang kalian dari arak dubba' (arak yang disimpan dalam tempurung), arak hantam (arak yang disimpan dalam kendi yang terbuat dari tanah, rambut dan darah), arak naqier (arak yang disimpan dalam kendi diperbuat daripada batang pohon) dan arak muqayyar (arak yang disimpan dalam potongan tanduk).” (Hadis riwayat Muslim).

Kemuliaan Rejab turut dipetik bangsa Arab dalam peribahasa mereka yang menyebut ’Isy rajaban tara ’ajaban yakni hiduplah dari Rejab ke Rejab maka engkau akan melihat pelbagai keajaiban. Rejab dalam peribahasa ini dikiaskan sebagai tahun. Dalam Islam ia juga dimuliakan sehingga perkara sama juga kita dapati dalam syair bahasa Melayu yang menyebut “Rejab bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, Ramadan bulan menuai. Rejab menyuci badannya, Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan rohnya. Rejab bulan maghfirah, Syaaban bulan syafaat dan Ramadan bulan menggandakan pahala.”

Adat istiadat jahiliah yang dilakukan pada Rejab yang kemudian dilarang Islam adalah seperti dalam sebuah hadis maksudnya: ”Tidak ada lagi fara` (anak unta pertama yang disembelih untuk berhala-berhala mereka) dan tidak pula ’atirah (haiwan ternak yang disembelih pada sepuluh hari pertama dari bulan Rejab. (Hadis riwayat Muslim).

Dari segi bahasa ‘Rejab’ bermakna ‘memuliakan, mengagungkan.’ Ibn Rajab al-Hanbali mengatakan bahawa Rejab mempunyai 14 nama termasuk Munassil al-Alsinah; Munaffis; al-Asamm; Mutahhir; Mu’alli; Muqim; Haram; Muqasyqisy; Mubri’; Fard dan Rajab Mudhar (Rejab Mudhar).

Rejab dikhaskan kepada puak Mudhar oleh Baginda sebagai pengiktirafan kepada mereka yang turun menurun sudah memelihara kesucian dan kehormatannya.

Rejab adalah bulan pemanasan untuk menghadapi bulan melipatgandakan pahala pada Ramadan dan ia disebut Rasulullah sebagai Syahrullah atau Bulan Allah sedangkan bulan khas Baginda adalah bulan Syaaban manakala bulan bagi umat Baginda adalah bulan Ramadan.

Apa yang perlu kita perhatikan menerusi Rejab pada masa kini, adalah daripada sudut perbincangan bidaah amalan Rejab adalah musibah yang menimpa umat Islam dengan penawanan Baitulmaqdis di Palestin.

Mungkin ada satu kesengajaan bahawa ia ditawan oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 ketika negara Israel ditubuhkan kerana ia bersamaan 6 Rejab 1367H selepas ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Mungkinkah Baitulmaqdis kembali kepada kita Rejab ini? Atau Rejab tahun depan? Atau bila...

Comments

Popular posts from this blog