Dalam Islam, video bukan bukti – bekas Mufti Wilayah Persekutuan

 

POLITIK kotor, fitnah seks dan liwat yang dijadikan sebagai senjata oleh pihak tertentu bagi menjatuhkan kredibiliti pemimpin politik memberikan kesan atau impak yang cukup besar kepada masyarakat terutama bagi umat Islam di Malaysia pada hari ini.

Terbaru, rakaman video fitnah yang dikaitkan dengan tokoh pembangkang, digunakan sebagai senjata bagi mengaib dan menjatuhkan maruah beliau dan seisi keluarga.

Polemik yang membelenggu masyarakat Islam sejak sedekad lalu menyebabkan timbul kekeliruan di kalangan sesetengah masyarakat Islam mengenai hukum atau garis panduan yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam dalam berhadapan dengan isu sebegini.
Bagi menjawab persoalan ini, KeadilanDaily yang diwakili Rusnizam Mahat berkesempatan menemubual ulama tanah air, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya bagi mengetahui lebih lanjut perspektif Islam dalam isu ini.

Dalam temu bual ini, beliau yang kini menjadi pensyarah Syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah menghuraikan secara panjang lebar tentang tuduhan fitnah dan mengaibkan seseorang individu dalam syariat perundangan Islam. Ikuti temu bual bersama beliau dengan lebih lanjut.
Dalam Islam, apakah hukum menuduh seseorang individu itu melakukan seks atau liwat?

Sebenarnya banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang soal Allah melarang kita mengaibkan dan menjatuhkan atau menuduh seseorang melakukan kerja tidak bermoral seperti liwat, zina dan sebagainya.

Yang paling jelas apa yang berlaku kepada Saidatina Aisyah di mana Allah menceritakan bahawa ada tuduhan liar (qazaf) menuduh Saidatina Aisyah melakukan perkara tidak senonoh, tetapi akhirnya Allah menurunkan ayat al-Quran dan membebaskan Siti Aisyah daripada tuduhan itu.

Akhirnya orang yang menuduh itu, kerana tidak dapat membawa bukti dikenakan qazaf iaitu 80 rotan oleh Rasulullah S.A.W sebagai hukuman.

Kemudian banyak lagi, ada cerita seperti Hilal bin Umaiyah yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik bin Sahma. Dia datang mengadu kepada Rasullah, dengan mengatakan isterinya berzina. Rasullah kata kepadanya, “Kamu perlu membawa saksi atau kalau tidak aku rotan kamu”.

Lalu dia berkata kepada Rasullullah, kalau seseorang suami melihat seorang lelaki melakukan zina dengan isterinya, dengan mata kepalanya sendiri, apakah memerlukan kepada bukti dan saksi lagi? Lalu Rasullullah mengulangi kata-kata yang sama.

Lalu turun ayat Surah Nur ayat 6 iaitu ayat tentang sumpah lian. Kalau kita tuduh seseorang tanpa empat saksi, kita nak bersihkan diri kita dari tuduhan qazaf, maka kita kena ber lian.

Di depan qadi kita perlu bersumpah empat kali bahawa apa yang diucap itu bukan dusta, termasuklah si isteri yang dituduh berzina. Apabila kedua-duanya bersumpah, maka kedua-duanya dibebaskan daripada sebarang tuduhan qazaf.

Siapa yang benar atau salah itu terserah kepada Allah SWT. Itu cara nak melepaskan diri diripada qazaf. Kalau tak mahu bersumpah begitu, dan tidak membawa empat bukti iaitu empat saksi yang melihat, maka dia perlu hukuman qazaf.

Apakah sebab dijatuhkan hukuman begitu?

Dalam Islam menjatuhkan seseorang dengan tuduhan liar yang tidak berasas dan tidak cukup bukti adalah satu kesalahan yang cukup besar. Salah satu daripada Maqassid Syariah ialah menjaga nasab, keturunan dan maruah seseorang selain menjaga agama, menjaga akal, harta dan sebagainya.

Kemudian banyak lagi ayat al-Quran, misalnya kita rujuk dalam surah An Nur ayat 4, yang menerangkan tentang qazaf ini yang maksudnya mereka yang melemparkan tuduhan zina kepada wanita yang baik tetapi tidak dapat membawa empat saksi, maka hendaklah dirotan mereka 80 kali rotan dan mereka tidak boleh menjadi saksi selama-lamanya. Dalam kes lain pun mereka tidak boleh menjadi saksi lagi sebab mereka sudah hilang kredibiliti.

Dalam surah An Nur ayat 23, bermaksud sesunguhnya mereka yang menuduh wanita-wanita yang baik, yang solehah dan beriman dengan tuduhan zina, mereka akan dilaknat oleh Allah dunia dan akhirat dan mereka akan mendapat azab yang sangat dahsyat.

Dalam surah An Nur ayat 11, Allah menyebut, Sesungguhnya mereka yang mendatangkan tuduhan palsu ini adalah golongan kamu juga, ini merujuk kepada cerita Siti Aisyah tadi.

Janganlah kamu menyangka itu keburukan kepada kamu, tetapi satu kebaikan. Setiap mereka yang melakukan kesalahan akan mendapat dosa tetapi yang merancang perbuatan ini (fitnah), dia akan mendapat azab yang sangat dahsyat dari Allah SWT.

Dalam surah Al Hujurat ayat 12, jelas Allah melarang kita jangan banyak bersangka buruk kerana sebahagian buruk sangka itu adalah berdosa. Kemudian Allah menyebut, Jangan kamu mencari-cari keaiban orang, ini di antara ayat yang diterangkan kepada kita.

Pertuduhan liwat juga masuk dalam hukum qazaf?

Bagi pendapat sebahagian besar ulama, menuduh zina itu qazaf dan menuduh liwat itu juga jatuh dalam hukum qazaf.

Apakah yang menyebabkan umat Islam sanggup melakukan fitnah dan politik kotor sehingga mengaibkan orang lain?

Saya lihat ramai di kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang masih memiliki pendidikan atau pengetahuan Islam yang rendah. Mereka merasakan bahawa Islam itu hanya sekitar hubungan dengan Allah, seperti dari segi ibadah, solat, membaca al-Quran, puasa sunat, bertahajud dan sebagainya.

Tetapi dalam soal kegiatan harian, apatah lagi dalam soal pentadbiran dan urusan negara yang diistilah sebagai politik, ramai antara kita yang berpendapat ia tidak ada kaitan dengan agama iaitu tidak ada kaitan dengan soal dosa, pahala, syurga dan neraka.

Ekoran daripada pemahaman Islam yang tidak betul ini, iaitu merasakan Islam itu hanya hubungan dengan Allah, membuatkan ada antara kita bersikap double standard.

Bagi saya, mereka yang terlibat dengan tuduhan tidak berasas apatah lagi tidak dapat membawa bukti yang cukup sebagaimana dikehendaki Islam, mereka ini adalah orang yang rendah akhlak dan moral walaupun mereka mengaku menunaikan haji dan melakukan umrah misalnya.

Menunaikan haji dan melakukan umrah tidak semestinya menjadikan seseorang itu baik, seperti juga orang yang sembahyang dan puasa. Kerana itu ada orang Islam yang sembahyang tetapi mempunyai akhlak yang rendah.

Keduanya, bagi saya orang politik yang macam ini adalah orang politik yang kehabisan modal. Dia tak mampu untuk menerangkan kepada rakyat sesuatu yang boleh memikat hati rakyat untuk menyokong mereka, seperti bagaimana cara nak mengatasi rasuah, menghapuskan salahguna kuasa dan sebagainya.
Gambar Hiasan
Budaya fitnah dalam masyarakat orang Melayu ini sudah wujud sejak zaman Hang Tuah, apabila dia dituduh berzina dengan gundik raja. Hukum bunuh kerana fitnah ini melanda masyarakat melayu sejak zaman berzaman-zaman termasuk dalam sejarah Mahsuri. Ini semua terjadi kerana hasad dengki dan tamakkan kuasa.

Apakah video seks yang tidak sahih pelakunya boleh dijadikan sebagai bukti pertuduhan?

Tak boleh diterima. Dalam Islam, video atau gambar tidak boleh dijadikan bukti jika semata-mata berpegang kepada bukti itu kerana benda-benda seperti ini boleh diselewengkan lebih-lebih lagi dalam zaman ketinggian sains dan teknologi sekarang ini.

Zaman saya lima puluh tahun dulu pun kita boleh melihat gambar orang yang berdiri di atas pokok bunga. Macam mana berdiri atas pokok bunga? Itu teknologi 50 atau 60 tahun dulu.

Sebab itu ia tak boleh dijadikan asas dalam syariat Islam kerana benda-benda ini boleh diubah suai. Sekarang kalau kita menonton aksi dalam filem, dengan aksi kita melihat seolah-olah ia benar terjadi tetapi hakikatnya hanya berlaku dalam studio saja. Kadang-kadang dalam komputer sahaja.

Apa peranan yang perlu dimainkan golongan ulama dan masyarakat Islam bila berdepan isu sebegini?

Pertama sekali, peranan ulama-ulama yang harus bangun dan bangkit menerangkan kepada rakyat bahawa perbuatan fitnah ini mesti ditolak. Perbuatan mendedahkan keaiban orang tanpa bukti yang kukuh empat saksi dan sebagainya adalah sesuatu yang cukup salah dalam ajaran Islam dan satu dosa yang besar.

Rakyat Malaysia khususnya umat Islam mestilah bangun menolak orang-orang yang tidak berakhlak seperti ini. Kalau dia seorang pemimpin, mesti ditolak dan mesti dipinggirkan khususnya dalam arena politik.

Jangan beri peluang kepada orang yang tidak berakhlak ini memiliki kuasa kerana kalau mereka mempunyai kuasa, ia akan membawa padah yang lebih besar kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Pemimpin sebagaimana yang harus dipilih umat Islam?

Rakyat Malaysia khususnya umat Islam mesti berhati-hati dalam memilih pemimpin sebab Nabi pernah bersabda bahawa rakyat biasa boleh terpengaruh dengan cara hidup pemimpin.

Kalau pemimpin itu boros, rakyat akan turut boros dan jika pemimpin itu suka rasuah, rakyat juga akan mengambil rasuah. Slogan kepimpinan melalui tauladan itu betul, tetapi dalam realitinya adakah slogan itu dipraktik oleh pemimpin-pemimpin kita.

Kita berkehendakkan pemimpin yang boleh menjaga rakyat, yang telus dan adil dan dapat memerintah dengan cara yang baik dengan tidak menyalahguna kuasa, barulah rakyat merasa selesa.

Tetapi kalau pemimpin itu sendiri korup, gila kuasa dan membuat perkara yang menjatuhkan akhlak dan moral, maka rakyat menjadi mangsa. Nabi dalam hadisnya banyak menasihatkan umat Islam tentang hal ini.

Hanya beberapa ulama mufti yang menyatakan pendirian dalam isu fitnah video seks misalnya Mufti Kelantan, Mufti Perlis dan Mufti Selangor. Tetapi ramai lagi ulama yang dilihat senyap. Kenapa perkara ini boleh berlaku?

Wallahualam, tetapi bagi saya sepatutnya isu-isu yang besar sebegini, para mufti perlu menjelaskan pendirian. Ia sebenarnya tidak perlukan fatwa seperti hukum bahawa sembahyang itu wajib, tidak ada.

Tetapi kita hendakkan menyatakan pendirian. Ulama termasuk mufti patut seia sekata sebab isu ini bukan isu kecil. Isu yang dihebohkan tentang video dan sebagainya ini melibatkan pemimpin negara, tidak kira sama ada mereka pemimpin negara atau pembangkang. Bagi kita pembangkang pun pemimpin kerana pembangkang juga ada peranan bagi menasihat kerajaan.

Apatah lagi isu video ini melibatkan tokoh politik yang terkenal, bukan setakat di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa khususnya di dunia Islam.

Sebab itu para ulama sewajibnya, termasuk mufti menyatakan pendirian bahawa kita tak dapat menerima budaya fitnah dan budaya menjatuhkan maruah kerana ia adalah budaya jahiliyah yang mesti ditolak oleh rakyat Malaysia khususnya umat Islam.
Sikap segelintir ulama yang bersikap membisu dalam isu-isu penting ini menyebabkan rasa hormat masyarakat terhadap golongan ulama semakin berkurang. Apa pandangan Datuk?

Saya bersetuju sebab itu sesetengah masyarakat Islam merasa mereka tidak begitu menghormati para ulama seperti ini.  Tetapi bukan semua kerana hanya segelintir ulama tidak memainkan peranan yang sepatutnya iaitu menyatakan kebenaran dan menegur kemungkaran.

Maknanya ulama kena berani menyatakan kebenaran tanpa mengira fahaman politik. Yang betul tetap betul dan yang salah tetap salah. Ulama yang berwibawa tak boleh terikat dengan fahaman politik.

Antara kebenaran dan kebatilan tidak ada kompromi. Jadi kalau ulama dapat memainkan peranan begini, mereka akan dihormati dan disegani masyarakat, kalau tidak mereka akan dipinggirkan kerana masyarakat merasa kecewa dan hampa. Kalau ulama dipinggirkan dan masyarakat tidak merujuk kepada ulama, mereka hendak berpegang kepada siapa lagi.

Bagaimana pandangan Datuk tentang isu poco-poco yang ditimbulkan baru-baru ini?

Saya bersetuju dengan pandangan bahawa kita tidak boleh tergesa-gesa dalam menentukan hukumnya haram dan sebagainya. Kita harus mengkaji secara mendalam asal usulnya, apalah matlamatnya, apakah betul ia bertujuan memuja Kristian kerana ia hanya senaman.

Kalau dikaji secara mendalam, dan didapati ada unsur-unsur tidak sihat, bagi saya kalau boleh diperbaiki, ia perlu diperbaiki dulu dan jangan diharamkan secara mutlak.

Sesudah dikaji dan didapati tidak betul dan boleh menyelewengkan akidah, barulah boleh dibuat keputusan kemudian. Tetapi bagi saya perkara yang lebih besar, soal moral, akhlak, qazaf, ini yang sepatutnya dibangkitkan terlebih dahulu. Mengikut feqah keutaman, maka kita perlu mengutamakan perkara pokok seperti ini.

Bagaimanapun saya tidak mahu mengatakan isu poco-poco ini remeh atau tidak remeh kerana hukum dalam Islam, soal halal haram ini tidak ada remehnya.

Cuma keutamaan itu, yang mana nak diutama dalam keadaan semasa seperti timbulnya isu fitnah, timbulnya video seperti ini, menyebar video lucah, panggil orang menonton. Ini bukan perkara kecil. Ia boleh menggugat kestabilan dan meletakkan umat Islam dalam keadaan terumbang ambing.

Apa saranan dan nasihat Datuk kepada umat Islam dalam menghadapi banyak isu mutakhir ini khususnya isu politik lucah dan fitnah?

Sebenarnya dalam menghadapi pelbagai isu yang timbul ini, sama ada ditimbul oleh orang politik dan sebagainya, Umat Islam mestilah mengambil sikap dan pendirian kembali kepada hukum Islam, ajaran dan syariat Islam.

InsyaAllah, kalau kita kembali semula kepada ajaran Islam, kita boleh selesaikan masalah ini dan kita tak akan terperangkap. Kalau kita tidak kembali kepada hukum Islam, maka kita akan terperangkap dalam gejala yang buruk.

Akhir sekali saya menyeru masyarakat Islam mendalami Islam secara syumul dan menentukan hukum dan tindak tanduk kita dengan merujuk kepada al-Quran dan Hadis atau dengan kata lain merujuk syariat Islam. InsyaAllah kita selamat dunia dan akhirat.

Comments

Popular posts from this blog