TABARRUJ : Agamawan juga terpengaruh

Oleh: Ustaz Hakimi AlMansouri

Assalamualaikum semua.


Bila sebut tentang tabarruj, boleh dikatakan semua orang pernah dengar dengan perkataan ini. Tidak kira dia itu dari aliran agama atau sebaliknya. Hanya sedikit sahaja yang tak pernah dengar perkataan ini. Pendek kata ramai di kalangan kita sekarang ini pernah dengar perkataan 'tabarruj' ini.

Tabarruj adalah dari kalimah arab dan diguna pakai juga di dalam loghat melayu kita. Di dalam kamus At tullab, telah memberi erti tabarruj itu ialah,

" Berhias untuk menunjukan perhiasan badannya."

Di dalam kitab Muhimmah fi ilmi hadis Nabi S.A.W. juga telah memberi pengertian tabarruj itu ialah,

"Apabila mereka(perempuan) ingin keluar dari rumahnya nescaya dia itu memakai pakaian yang kemegahan kainnya(cantik dan menarik) dan memperhiaskan dirinya dan membaikkan dirinya dan keluar dia memberi fitnah kepada orang lain."

Allah berfirman di dalam surah Al Ahzab ayat 33,

وَقَرۡنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ

“…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu (pertama)”.



Jika diceritakan tentang aurat mukallaf(akil baligh) tak kira lelaki atau perempuan, maka kebanyakan lapisan akan tahu. Jika ditanya pada orang islam yang tidak tutup aurat sekalipun mereka akan tahu batas-batas aurat orang islam. Bahkan orang kafir pun tahu batasan aurat bagi orang islam. Namun tahu hanya tahu sahaja. Berapa ramai umat islam yang masih tidak menutup aurat? Jika yang sudah menutup aurat pun adakah sempurna? Dan yang sudah menutup aurat dengan sempurna pun masih lagi melakukan kesilapan iaitu dosa TABARRUJ.

Di sini penulis ingin mengulas sedikit sebanyak berkenaan dosa tabarruj. Pengertian tabarruj yang penulis datangkan di atas tadi diharapkan dapat memberikan sedikit kefahaman kepada anda semua berkenaan tabarruj. Ramai dikalangan kita yang pernah dengar kalimah tabarruj ini. Tapi masih lagi melakukan kesalahan tabarruj itu sendiri. Ini bermakna kita hanya pernah dengar saja tapi masih tak tahu bagaimanakah rupa tabarruj itu.

Jika seseorang itu tidak berhias berlebih-lebihan sekalipun, tapi dia mendedahkan aurat maka awal-awal lagi sudah berdosa. Adapun seseorang yang sudah sempurna tutupan auratnya, namun dicelah-celah itu dia berlebih-lebihan pula di dalam berhias maka dia telah sengaja mengundang dosa. Inilah kesalahan yang tidak disedari oleh kebanyakan orang bahkan telah mempengaruhi golongan agamawan sekalipun.

Benar! Penyakit tabarruj ini telah menular di kalangan ustazah ketika mendirikan rumah tangga. Cubalah lihat sendiri ketika mereka berkahwin. Tabarruj ini bukan saja ketika berkahwin, bahkan ia boleh berlaku tiap ketika. Namun di sini penulis hanya khususkan tabarruj yang berlaku ketika hari perkahwinan. Kita tak pelik jika dilakukan oleh mereka yang jahil agama(bukan bermaksud kita biarkan mereka melakukan dosa). Tapi kita pelik dan ajaib bagaimana boleh berlaku dikalangan ustazah ketika bergelar pengantin baru. Kita tahu peranan mak andam yang tugasnya menghiasi muka pengantin perempuan. Tapi kenapa pengantin perempuan yang bergelar ustazah itu tidak tegas dalam bab ini?

Jika di dalam hal lain kita boleh bertegas, kenapa di dalam hal perhiasan diri ini kita tak mampu untuk bertegas? Adakah kerana ingin menjaga hati orang tua kita yang kurang memahami atau ingin menjaga hati mak andam yang bertandang ke rumah kita dari awal pagi lagi? Penulis lebih khususkan kepada perempuan kerana perempuan adalah pintu fitnah bagi lelaki jika tak dijaga betul-betul.

Hukum asal bersanding adalah harus. Bersanding yang penulis faham ialah duduk bersebelahan pasangan suami isteri samada duduk di atas kerusi atau bersila tanpa ada upacara seperti memuja semangat dan sebagainya. Jika begitulah persandingan yang dilakukan maka tiada salahnya. Jika ada yang mengatakan ia sebagai meniru adat hindu dan haram dilakukan maka penulis mengatakan ini tanggapan yang salah. Apa yang salahnya jika hanya duduk bersebelahan oleh pasangan suami isteri?

Yang salahnya ialah bila lakukan perbuatan seperti memuja semangat dan memperlihatkan isteri kepada mereka yang ajnabi(asing). Pendek katanya mereka yang bukan mahram. Jadi awal hukumnya yang harus itu boleh bertukar haram kerana berlaku perkara-perkara yang melanggari syara'. Inilah yang dipanggil sebagai haram 'aridhi iaitu haram yang baru datang.

Apa yang menjadi kesalahan orang kita sekarang ini termasuklah golongan ustazah ini ialah mereka berhias melampaui batas. Bak kata orang,

"Make up muka tu 7 lapis tebalnya.."


Jika kita melihat kepada pengertian tabarruj dari kitab Muhimmah, ia menyebut boleh memberikan fitnah kepada orang lain. Maksud orang lain di sini ialah orang ajnabi atau hilah iaitu orang asing yang bukan mahramnya. Ketika bersanding, sudah pasti pengantin perempuan akan berhias secantik-cantiknya untuk padankan dengan gelarannya sebagai 'raja sehari'. Bedak di muka bukan main lagi. Ditambah lagi gincu di bibir. Apatah lagi matanya yang berwarna warni. Pipi pula kemerah-merahan. Kalau dulu berjubah, masa bersanding boleh pula pakai kebaya atau kebarung? Semua sudah maklum bahawa baju kebaya atau kebarung menjadi sempit sedikit di pinggang. Jadi bukankah itu sudah tidak menutup aurat dengan sempurna? Sengaja memperlihatkan bentuk tubuh badan.

Kita cukup pelik kerana apa yang telah penulis nyatakan tadi dilakukan oleh mereka yang bergelar ustazah. Suami pula ustaz hanya diam membatu sahaja. Tak kiralah lulusan dari Mesir, Jordan, Syria dan sebagainya, masalah tabarruj ketika bersanding pasti berlaku. Jika persandingan itu hanya untuk tontonan mahramnya sahaja, maka tiada masalah.

Yang menjadi masalahnya bila ramai di kalangan orang ajnabi melihat dan menyebut-nyebut tentang kecantikan pengantin perempuan. Tidakkah perkara itu boleh mengundang fitnah? Bagi penulis, jika beginilah jadinya lebih baik pengantin perempuan memakai purdah saja ketika bersanding. Jika ingin juga bersanding dan berhiasi muka itu melampau-lampau biarlah hanya menjadi tontonan para mahramnya sahaja. Jika tidak, anda hanya mengundang dosa percuma sahaja.

Sila ambil penting kepada semua umat islam lebih-lebih lagi kepada mereka yang faham agama. Jika mengatakan bersanding hanya sekali seumur hidup maka dosa juga boleh sekali dapat ketika itu. Tatkala mana pahala boleh didapati dengan serta merta, dosa juga boleh didapati dengan serta merta. Fikir-fikirkanlah... Wassalam

Comments

Popular posts from this blog