Adab Membuang Air


Dari Salman RA katanya dia ditanya oleh seseorang: Bukankah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kamu segala-galanya hingga masalah buang air juga? Jawabnya: Benar! Beliau melarang kita mengadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. Beliau juga melarang beristinjak dengan tangan kanan, beristinjak kurang dari tiga biji batu dan istinjak dengan kotoran ternak yang telah keras atau dengan tulang. (Hadis Riwayat Muslim)

Buang air adalah suatu kebiasaan yang diselalu dilakukan setiap hari. Disebabkan oleh kebiasaan itulah seringkali kita kurang memperhatikan adab-adab dalam melakukannya.
Dalam Islam terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
  • Tidak membawa barang yang tertulis nama Allah, kitab al-Qur’an atau sebahagian dari ayat-ayatnya.
  • Membaca doa sewaktu hendak memasuki tandas dan apabila keluar dari tandas.
  • Mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar.
  • Tidak mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya sebagai menghormati Kaabah.
  • Mengelak membuang air di dalam lubang yang terdapat haiwan di dalamnya.
  • Mengelak dari tempat orang berteduh/bernaung, di jalanan atau tempat laluan manusia.
  • Tidak buang air kecil atau besar di dalam air yang tergenang atau air mengalir yang biasa digunakan manusia untuk bersuci.
  • Tidak mencuci kotoran dengan tangan kanan yang menyentuh kotoran untuk menjaga kebersihan.
  • Dilarang bercakap ketika membuang air, tidak boleh memberi salam, menjawab salam dan berzikir secara lisan.
Istinjak bermaksud bersuci sesudah buang air besar mahupun air kecil iaitu membersihkan air kecil mahupun besar dari badan dengan air dan jika tidak ada air bolehlah beristinjak dengan batu atau benda-benda lain yang meresap.

Adab Ketika Minum


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya : “Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali, membaca bismillah bila mula minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai”. (at-Tirmidzi)

Islam mementingkan adab dan sopan dalam segala perkara termasuklah makan dan minum. Ketika makan kita ditegah daripada gelojoh begitu juga ketika minum hendaklah minum dengan perlahan dan jangan bernafas dalam bekas minuman serta dilarang juga minum sambil berdiri. Semua ini kerana mengambil kira faktor kesihatan dan kebersihan disamping dapat mencerminkan tatatertib yang sopan bagi seorang Islam.
Mengecap rezeki yang dimakan atau diminum sebaik-baiknya ialah dengan membaca bismillah sebagai memuji Allah S.W.T yang mengurniakan rezeki dan mengucapkan alhamdulillah sebagai mensyukuri nikmat yang telah diberikan itu.


Adab Bertamu

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: “Janganlah kamu datang ke rumah orang berhadapan pintunya, tetapi datanglah dari bahagian tepinya dan mintalah izin, jika diizinkan untuk kamu, masuklah, kalau tidak, baliklah”. (At-Tabrani)

Semulia-mulia manusia adalah mereka yang beradab dan tahu tata tertib setiap perkara yang dilakukannya. Islam mengambil kira segala hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia termasuklah aspek hubungan sosial mereka dan mengajarkan adab-adab yang tertentu demi mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.

Adab dalam berziarah contohnya disebutkan secara terperinci iaitu :
  • Memberi salam terlebih dahulu.
  • Mengetuk pintu perlahan-lahan dan tidak melebihi tiga kali.
  • Berdiri bersebelahan pintu kerana dibimbangi jika yang membuka pintu itu adalah orang yang bukan muhrim.
  • Tidak masuk melainkan setelah mendapat keizinan.
  • Tidak mengintai atau mengendap ke dalam rumah.
  • Duduk di tempat yang disediakan kerana tuan rumah lebih maklum tentang keadaan rumah mereka.
Berkunjung sebagai tetamu hendaklah memilih masa yang sesuai agar ia tidak menimbulkan keberatan kepada tuan rumah lebih-lebih lagi jika kedatangan tersebut didapati mengganggu urusan penting yang hendak dilaksanakannya.

Elakkan Gambar-Gambar Binatang

Dari Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut Baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah Baginda bahawa Baginda tidak senang.

Berkata Aisyah : Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku?
Rasulullah s.a.w kembali bertanya : Bantal-bantal apakah itu?

Jawab Aisyah : Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar.
Sabda Rasulullah s.a.w : Pelukis gambar-gambar ini akan disiksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka; hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!

Kemudian Baginda bersabda : Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.
(Hadis Riwayat Muslim)

Kelebihan Membaca Surah Al-Baqarah

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. (Riwayat Muslim)

Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat pemberian Allah SWT kepada manusia. Rumah menjadi tempat tinggal, tempat berehat dan banyak lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripadanya. Itulah yang dikatakan oleh Ibnu Katsir ketika mentafsirkan surat An Nahl ayat 80, (“Dan Allah menjadikan bagi mu rumah-rumah mu sebagai tempat tinggal”). Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya.

Islam mengajar kita tatacara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu memperbanyakkan membaca surat Al-Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Bacalah surat al-Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah”.

Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia.

Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib. Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah!

Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami, jangan sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya. Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan? Ketahuilah bahawa syaitan sesekali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.

Kebahagiaan Memberi


Dari Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, baginda telah bersabda yang maksudnya: “Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga”. (at-Tirmidzi)

Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Perbuatan memberi dengan diiringi hati yang tulus akan membuatkan hati seseorang berasa tenang dan damai.

Ketika orang lain memberikan sesuatu pada kita, maka terimalah dengan hati yang ikhlas diiringi dengan senyuman dan ungkapkanlah kegembiraan hati kita kepadanya dengan ucapan terima kasih yang sebenarnya sangat bererti bagi orang yang memberi. Pemberian memerlukan penerimaan, pemberian yang tulus juga memerlukan penerimaan yang tulus. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W, bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka memberi adalah lebih baik daripada menerima.
Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima pemberian orang lain. Namun begitu apabila tibanya suatu saat di mana tibanya masa untuk diri kita menerima, maka terimalah juga dengan suatu ketulusan, jangan merasa rendah diri, tapi bertekadlah dalam hati untuk berusaha membalas pemberian tersebut kepadanya atau dalam erti kata lain “saat kita menerima sesuatu kita sesungguhnya sedang belajar untuk memberi sesuatu”.

Anak Yatim

Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Cukuplah sebagai bukti yang menetapkan dekatnya kedudukan Nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak ada jari yang lain.”

M Khalilurrahman Al-Mahfani dalam sebuah bukunya mencatatkan mengenai anak yatim: “Anak yatim adalah satu daripada komponen kehidupan yang harus kita rahmati. Dengan kata lain, kita harus menjadi rahmat bagi mereka, bukan menjadi musibah.”

Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Jelaslah bahawa pahalanya sangat besar bagi sesiapa yang berbuat baik atau memelihara anak yatim.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah di antara orang Islam adalah rumah yang di dalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan seburuk-buruk rumah adalah rumah yang di dalamnya ada anak yatim, namun diperlakukan dengan buruk.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Rahmat bagi mereka dizahirkan dalam bentuk kepedulian yang nyata, antara lain mengasuh mereka dalam keluarga kita, membantu ekonomi dan pendidikan, menjadi orang tua asuh, serta aktif mengelola rumah asuhan.

Allah SWT juga berjanji akan memberi pahala dan ganjaran yang setimpal kepada kaum Muslimin yang membantu meringankan beban anak yatim dengan memberi sumbangan wang ringgit (derma atau sedekah). Banyak atau sedikit sumbangan yang diberikan itu bukan ukurannya, tetapi keikhlasan yang penting. Allah melihat apa yang ada dalam hati.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Seharum Kasturi.


Abu Hurairah ra berkata, Nabi SAW bersabda : “Tiap-tiap luka yang menimpa seseorang muslim di jalan Allah nescaya lukanya itu di hari kiamat tetap seperti ketika dia ditikam mengeluarkan darah. Warnanya warna darah, tetapi baunya bau kasturi”. (Bukhari dan Muslim)

Allah SWT memberi jaminan bahawa sesiapa yang berjihad di jalan-Nya dengan keimanan yang ikhlas kerana Allah SWT akan diberikan ganjaran pahala dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab dan tanpa diminta pertanggungjawaban terhadap dosa yang dilakukannya itu. Kematiannya di medan perang adalah mati syahid dan orang yang mati syahid tidak akan dimandikan. Bau hanyir darah itu akan bertukar wangi, sewangi kasturi di akhirat kelak.
 http://hadis.cikedis.com/seharum-kasturi

Comments

Popular posts from this blog