Bala yang Paling Bahaya

 
 
 
by Fahami Islam 



Tidak ada di kalangan manusia yang suka kepada bala atau bala bencana. Kerana bala itu sangat menyusahkan manusia. Lantaran itulah manusia susah hati dengan bala. Walaupun demikian tidak ada di kalangan manusia sama ada secara perseorangan mahupun secara kelompok, dapat mengelak atau dapat terlepas daripada bala bencana, sekalipun dia seorang yang berkuasa atau seorang yang kaya. Cuma ada orang yang ditimpa bala sekali-sekala, ada yang selalu, ada yang ringan, ada yang berat, ada yang berlaku pada dirinya, keluarga dan harta bendanya atau kedudukannya dan lain-lain lagi. Di antara bala-bala itu mana yang lebih merbahaya?
Sebenarnya bala terbahagi kepada dua:

Pertama: Yang bersifat hissi atau bersifat zahir  
Berbagai-bagai bentuknya, di antaranya seperti sakit badan, harta hilang, kematian keluarga yang tercinta, difitnah, diberi malu, dipukul orang, jatuh miskin, turun pangkat, perniagaan rugi, dibuang kerja, musnah harta oleh bencana alam, tidak naik pangkat, dipenjara dan lain-lain.

Kedua: Yang bersifat maknawi atau rohani
Berbagai-bagai bentuk pula, di antaranya seperti melupakan ilmu yang telah dipelajari, tercabut iman, atau iman bertambah kurang, ilmu tidak diamalkan, iman tercabut yang ada hubungan dengan aqidah.Kurang iman atau iman merosot kerana beberapa sebab, di antaranya seperti ada amalan yang biasa dibuat tidak dibuat, atau membuat dosa sama ada kecil mahupun besar. Dosa itu pula, ada dosa lahir ada dosa batin.Di antara dosa-dosa itu ialah seperti berzina, riba, rasuah, mencuri, menipu, minum arak, judi, mengumpat, memfitnah, menghina, menghasut, hasad, tamak, bakhil, pemarah, mengadu domba dan lain-lain.

Di antara dua bentuk bala ini bahawa bala yang paling merbahaya ialah bala yang bersifat rohani dan maknawi, kerana bala ini akan membawa ke Neraka. Tapi bala yang bersifat hissi tidak membawa ke Neraka. Bahkan mungkin menguntungkan sama ada ia menghapuskan dosa atau mendapat darjat di dalam Syurga, asalkan pandai menerimanya.Oleh itu bala yang bersifat rohani dan maknawi ini sangat dibenci dan wajib dijauhi.

Dengan kata-kata yang lain setiap dosa adalah bala, wajib dijauhi. Tapi bala yang bersifat hissi tidak dibenci. Ia hanya menyusahkan sahaja. Dan tidak pula satu kesalahan untuk berusaha mengelaknya, atau setelah ditimpa bala berusaha menghilangkannya kerana bagi orang yang lemah iman dan tidak tahan dengan ujian boleh jatuh kepada dosa atau iman tercabut dengan ujian yang berat itu.

Tapi bagi orang yang mampu berhadapan dengan ujian atau yang iman kuat, tidak salah pula untuk tidak berusaha menghilangkannya kerana redha dengan ketentuan Allah itu salah satu sifat terpuji. Ia merupakan sifat-sifat rasul. Maka dengan itu pahalanya sangat besar di sisi Allah yang Maha Pemurah.

Di akhir zaman ini oleh kerana kebanyakan umat Islam sudah jahil dengan ilmu agamanya sendiri, kemudian cinta pula dunianya begitu mendalam, mereka hanya terpaut dan terpengaruh dengan kehidupan yang terdekat iaitu dunia ini. Kehidupan di Akhirat hanya sekadar hanya tahu adanya Akhirat, namun hatinya tidak ke situ. Timbullah acuh tak acuh dengan Akhirat. Maka timbullah salah berfikir. Maka mereka memandang perkara yang terdekat itu amat besar dan serius sekali. Nikmatnya pun dipandang besar. Balanya pun dipandang besar.

Akibatnya nikmat dan bala di Akhirat dipandang kecil sahaja. Maka sebab itulah mereka lupa daratan dengan nikmat dunia. Terasa sangat menderita dengan bala dunia.Justeru itu bilangan yang teramai di kalangan umat Islam apabila ditimpa bala yang bersifat hissi di dunia ini, saya ulang lagi seperti sakit, miskin, terbuang kerja, tidak naik pangkat, turun pangkat, difitnah, hilang harta, rugi di dalam perniagaan, dipukul, dipenjara dan lain-lain, masya-Allah bukan main kepalang lagi susahnya. Derita jiwanya, kusut fikirannya, marah-marah sahaja, merungut-rungut, hilang bahagia, gelisah sahaja, rasa kesal tidak sudah, mengadu di sana, mengadu di sini, jumpa siapa sahaja diluahkan perasaan susahnya. Kekusutan fikirannya sampai begitu ketara sekali pada mukanya. Buat apa sahaja serba tidak kena. Begitu dia rasa kecewa dengan ujian itu. Dan bila iman tiada atau iman terlalu lemah, terus putus asa, ada yang mahu bunuh diri untuk menyelesaikan masalahnya. Dia rasa dengan cara itu boleh menyelesaikan masalah. Dia ditipu oleh syaitan terkutuk kerana memandang besarnya dunia ini. Tersesat jalan dia di dunia ini, ke Neraka padahnya. Waliyazubillah.
Bagi orang Islam yang kuat imannya, dengan ujian dan bala dunia ini iaitu yang bersifat hissi, ia tidak begitu mengambil pusing. Bahkan bagi golongan muqarrobin dan siddiqin seperti para nabi dan para Sahabat dan para auliya, mereka sangat terhibur dengan ujian dunia itu. Mereka rasakan dosa mereka terampun dengan ujian dunia ini. Mereka rasa dosa mereka terampun dengan bala itu. Seperti cerita di bawah:

“Di zaman Rasullullah SAW, ada seorang perempuan yang mempunyai tiga orang anak lelaki, dia sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia senyum ketika anak sulung dan anak kedua-duanya mati syahid di medan perang. Dia menangis apabila diberitahu yang anaknya yang bongsu turut mati syahid. Bila ditanya mengapa dahulu senyum, sekarang baru menangis, beliau menjawab, “Aku sedih kerana tiada lagi anak yang hendak kukorbankan untuk jihad fisabilillah.”

 Umat Islam di zaman gemilang dan di zaman keemasan terutama di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW, mereka sangat sensitif dengan bala yang bersifat maknawi dan rohani. Mereka sangat memandang besar akan bala itu. Mereka terlalu takut dengan ujian yang bersifat maknawi dan rohani itu. Jiwa mereka sangat terseksa dengan ujian itu. Bahkan bala yang berbentuk ini, belum datang pun mereka amat takut kalau-kalau di masa depan akan ditimpa dengan bala ini, sama ada secara sedar mahupun tidak sedar. Kerana bala ini adalah dimurkai oleh Allah dan kalau Allah tidak ampun, akan terjun ke Neraka, waliyazubillah.

Justeru itulah mereka jika ditimpa bala ini hati mereka menderita. Mereka menangis mengalirkan air mata, hilang selera makan, hilang rangsangan dengan isteri, tidak senyum berbulan-bulan. Mereka akan tebus dengan apa sahaja kebaikan bahkan jika mereka tertinggal yang sunat sekalipun mereka merasa telah berdosa, mereka merasa ini adalah satu bencana.

Hayati cerita di bawah ini:
” Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar pergi ke kebunnya untuk melihat hasil yang dikeluarkan oleh kebun tanamannya itu.dilihat pokok-pokok tanamannya banyak yang sudah berbuah. Kerana terlalu asyik melihatkan buah-buahnya yang sudah masak itu, beliau terleka dan tertinggal solat jemaah Asar bersama Rasullullah SAW. Dengan rasa takut dan kesal yang tidak terkira, kebun itu terus diwakafkan untuk umat Islam dan digandakan sembahyangnya sebanyak 70 kali.”

 Kembali kita memperkatakan kebanyakan umat Islam di akhir zaman ini. Mereka tidak sensitif dengan bala maknawi dan rohani ini. Mereka tidak terasa apa-apa pun dengan bala ini. Mereka relax sahaja. Mereka tidak rasa bersalah bahkan ada yang melupakan terus seolah-olah bala ini tidak berlaku dan tidak pernah berlaku kepada diri mereka. Sebagai contoh, mereka tidak rasa bala, tinggalkan sembahyang atau lewat sembahyang. Tidak rasa bala dengan mengumpat, dengan memfitnah, dengan menghina, dengan menderhakai kepada ibu bapa, kepada guru, dengan zina, berbohong, dengan menipu, dengan rasuah, dengan pendedahan aurat, dengan pergaulan bebas, dengan tidak berzakat, tidak berpuasa, dengan sombong, riyak, dengan tamak, bakhil, dengan pemarah, berdendam, hasad dengki, mengadu domba, menghasut, bergaduh, membunuh, riba, tidak belajar, tidak belas kasihan, tidak timbang rasa, tidak tolak ansur, tidak sabar, tidak pemurah, tidak redha, tidak membantu dan lain-lain.

Oleh kerana bala maknawi dan rohani ini tidak dianggap dan tidak dipandang bala bencana, maka adakalanya dianggap seronok pula diamalkan setiap hari hingga dijadikan budaya. Sebagai contoh, ada orang bila berkumpul sahaja, mengumpat, mengata, mesti ada didengar bersama, ketawa bersama, rasa seronok bersama, sambung-menyambung di antara satu sama lain, mengumpat orang lain. Adakalanya kawan sendiri, emak ayahnya, tok gurunya, pemimpin sendiri, isteri dan suami sendiri, hingga terlewat sembahyang, atau tertinggal sembahyang.

Bertambah lagi membesar bala itu yang tidak lagi dianggap bala. Kemudian bersurai selepas itu ada yang menipu, ada yang balik ke rumah marah-marah sahaja pada isteri, membentak-bentak sahaja tidak tentu pasal. Bertambah merebak lagi bala itu, ibarat orang sakit, sakitnya telah kronik. Namun tidak terasa itu adalah bala yang memecah belahkan rumahtangga, keluarga, satu masyarakat, satu bangsa kemudian terjun ke Neraka.

Yang malangnya orang-orang ini juga yang memikirkan masyarakat. Yang membuat program untuk menangani gejala masyarakat, yang menganjurkan motivasi, yang memimpin, yang berdakwah, yang berceramah, yang menyalahkan orang, yang buat kaunseling.

Cuba gambarkan apa yang akan terjadi, bahkan sudah terjadi pada masyarakat. Saudara-saudari pembaca boleh memberi jawapan. Saya sendiri ada jawapan. Biarlah jawapan saya untuk saya sendiri. Kerana kalau saya dedahkan ada sesetengah orang terlalu sensitif dan jawapan saudara-saudari pembaca untuk saudara-saudari sendiri, dengan jawapan-jawapan itu tidak ada yang sakit hati.

Comments

Popular posts from this blog