Bersumpah


Dari Abdullah ra, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang bersumpah hendaklah bersumpah dengan nama Allah atau hendaklah diam sahaja”. (al-Bukhari)

Ucapan seharian seorang muslim itu hendaklah senantiasa dikembalikan kepada Allah seperti; mengawal pekerjaan yang baik dengan Bismillah (dengan nama Allah); mengakhiri pekerjaan dengan membaca Alhamdulillah (segala puji kepada Allah); berjanji dengan ucapan InsyaAllah (jika Allah menghendaki) dan bersumpah dengan hanya menggunakan nama Allah seperti wallahi, wabillahi atau watallahi yang bermaksud (demi Allah).

Sumpah yang sah ertinya sesuai dengan ketentuan syarak iaitu dengan menyebut nama Allah dan dibuat dalam keadaan sedar. Orang yang melanggar sumpah yang sah, baik secara sengaja atau tidak, wajib menebusnya dengan membayar kifarah yang secara terminologinya (istilah), maksudnya adalah denda yang harus dibayar ketika seseorang melakukan salah satu dari lima perkara berikut iaitu:
  1. Membunuh.
  2. Zihar, iaitu menyamakan isteri dengan ibunya.
  3. Bersetubuh di siang hari dalam bulan Ramadhan.
  4. Sengaja berbuka puasa tanpa alasan yang diharuskan syarak.
  5. Melanggar sumpah.
Rasulullah SAW melarang keras perbuatan terlalu banyak bersumpah terutamanya di dalam hal jual beli sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya: “Banyak bersumpah (dalam jual beli) menjadikan barang dagangan laris, namun menghilangkan berkah”. (Bukhari dan Muslim).

Bohong Yang Diharuskan


Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik”. (Bukhari)

Berdusta atau berbohong adalah satu sifat yang dikeji. Namun ada juga bohong yang diharuskan iaitu bohong yang bertujuan untuk mendamaikan orang yang bertelagah.

Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusaha untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.

Jadi, menipu atau berbohong yang bertujuan mendamaikan orang yang bertelagah tanpa ada sebarang niat lain melainkan kerana Allah adalah diharuskan.

Golongan Yang Dilaknat


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”. (Riwayat Muslim)

Allah S.W.T. amat benci kepada tiga golongan manusia. Tiga golongan tersebut adalah orang tua yang masih tidak meninggalkan perbuatan zina, pemimpin yang bercakap bohong dan orang miskin yang sombong. Segala perbuatan yang dilarang oleh agama hendaklah dijauhi dan seandainya seseorang itu terjerumus ke lembah dosa dan noda maka hendaklah dia segera bertaubat agar dosanya diampunkan oleh Allah. Siksaan di akhirat adalah amat pedih. Oleh itu selagi hayat dikandung badan, pergunakanlah masa sepenuhnya untuk memperbanyakkan amal ibadat agar kehidupan di dunia dan akhirat mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Larangan Membangga Diri


Rasulullah saw bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain. (Hadis Riwayat Muslim)

Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.

Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.

Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.

Comments

Popular posts from this blog