Bisikan Malaikat Dan Bisikan Syaitan


Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenarannya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.” (Ibn Mas’ud r.a)

Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya. Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran (surah An-Nas).

Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah

Larangan Mengagung Atau Menghormati Perkuburan Seperti Masjid


Diriwayatkan daripada Abbad RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah SWT melaknat orang Yahudi dan Nasrani menjadikan kuburan nabi mereka sebagai masjid.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad) 

Dalam hadis sahih di atas, dengan jelas Allah SWT melaknat Yahudi dan Nasrani kerana menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid.

Dalam konteks ini, Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fathul Barri (Fath ul-Bari fi Sharh Sahih al-Bukhari), menjelaskan makna hadis di atas adalah larangan untuk mengagungkan dan membesarkan (memuja) kuburan, bukan larangan membina masjid dekat kuburan atau kuburan berada di dalam masjid.

Di mana pun lokasinya, kuburan (makam) tetap tidak dibolehkan untuk diagungkan seperti orang menghormati masjid. Sama halnya makam Nabi SAW yang berada di dalam masjid. Orang datang ke makam Baginda bukan bermaksud untuk mengagung dan memujanya tetapi sekadar untuk berziarah dan berdoa seperti sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa yang menziarahiku setelahku wafat, sama seperti menziarahiku ketika aku hidup.” (Hadis riwayat Tabrani)

Membangunkan Masjid


Dari Muhammad bin Labid ra katanya: Ketika Usman bin Affan bermaksud hendak merombak masjid (Madinah), orang ramai tidak setuju. Mereka lebih suka membiarkannya sebagaimana adanya. Maka berkata Usman bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membangunkan masjid kerana Allah, maka Allah akan membuatkan untuknya rumah seperti itu di syurga”. (Muslim)

Rumah ibadat umat Islam adalah masjid. Masjid menampilkan sistem keagamaan yang terbuka di mana ibadah di dalamnya boleh dilakukan oleh sesiapa saja yang beragama Islam. Dengan berbekalkan ilmu fardu ain sudah mencukupi bagi seseorang untuk menjadi imam bagi mengetuai sembahyang berjemaah di masjid. Begitu juga dengan bilal. Sesiapa pun boleh menjadi bilal. Apabila masuk saja waktu sembahyang , sesiapa pun boleh tampil dan menjadi bilal. Berbeza dengan agama lain, tanpa paderi atau sami, upacara agama tidak boleh dilakukan.

Dalam Islam urusan lantikan oleh jabatan agama hanya untuk melicinkan pentadbiran dan bukannya bermakna kedudukan imam, bilal dan khatib adalah lebih tinggi daripada jemaah.

Semangat institusi masjid terserlah dalam semua amalan Islam. Nilai dalamannya ialah persamaan di mana ilmu agama terbuka untuk semua orang Islam. Sesiapa pun boleh mempelajari dan mengamalkannya. Masjid juga melambangkan hubungan langsung seseorang individu manusia dengan Allah SWT. Tidak ada perantaraan seperti melalui paderi dan sebagainya sebagaimana yang berlaku pada agama-agama lain.

Orang yang membina atau mendirikan masjid dijanjikan Allah SWT pahala yang besar dan ganjaran yang istimewa di akhirat kelak. Namun, pembinaan masjid yang banyak dan indah tidak memberi sebarang makna sekiranya ia tidak dihidupkan dengan ibadah oleh penduduk di sekelilingnya.

Pahala Ke Masjid


Dari Ubai bin Kaab r.a katanya: “Ada seorang lelaki yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan bersolat jamaah. Kata orang kepadanya: “Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik”. Dia menjawab: “Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku”. Sabda Rasulullah SAW : “Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu”. (Muslim)

Begitu indah ‘panggilan Allah’ sehingga orang yang benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah (masjid). Maka sesuai dengan kemajuan hari ini juga, banyak surau-surau dan masjid yang cantik dibina bagi memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika surau atau masjid itu terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk ke sana.

Namun kelazimannya manusia sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat ketara sekali pengabaiannya. Ini terbukti apabila kebanyakan masjid tinggal terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan fungsi masjid amat luas iaitu selain menjadi tempat mendirikan solat ia juga berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Hari ini apa yang menjadikan masjid meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan hari raya. Meskipun kedudukan masjid tidak jauh ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana. Kata orang, hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi jika hendak ke masjid, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali ribut petir kita tetap tidak pergi ke masjid. Betapa kita menilai bahawa pemberian gaji dan pemberian pahala itu seakan sesuatu yang asing. Kerja untuk dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu ibadah yang ganjarannya selain datang dari manusia yang berupa gaji, ia juga datang daripada Allah yang dengan sifat Pemurah-Nya memberikan kita rezeki (melalui kerja tersebut) dan Dia jugalah yang memberikan kita pahala jika kerja itu diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah.

Maka kita selaku manusia sewajarnya bersyukur kepadanya dengan datang beramai-ramai ke masjid untuk memakmurkan rumah-Nya yang sekalipun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa bumi ini adalah milik Allah dan kita hanyalah makhluk yang kerdil yang menumpang sementara di atasnya. Justeru hidupkanlah masjid sebagai tempat untuk menunaikan ibadah secara berjemaah selain mendirikannya di rumah secara sendirian ataupun bersama keluarga.

Pekerjaan Dan Islam


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Berikanlah upah kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluhnya”. (Riwayat Ibnu Majah)

Bekerja merupakan keharusan mutlak yang harus dilakukan oleh seorang muslim untuk mendapat rezeki yang telah disediakan oleh Allah S.W.T, bahkan kalau perlu, seseorang itu digalakkan merantau ke pelbagai pelusuk dunia untuk meraih rezeki yang halal. Hal ini juga termasuk dalam konteks jihad.

Bekerja adalah senjata utama untuk memerangi kemiskinan, modal dalam mencapai kekayaan dan faktor dominan dalam mencipta kemakmuran hidup. Seseorang itu dituntut supaya redha dengan pekerjaannya dan menjalankan kerja-kerja yang telah diamanahkan dengan tekun untuk menjamin kebersihan upah yang diterima daripada pekerjaan tersebut. Oleh itu, sesuatu pekerjaan yang dibuat hendaklah diniatkan kerana Allah.

Terdapat sekurang-kurangnya 3 jenis balasan bagi mereka yang kerjanya menjadi ibadah iaitu :
i) mendapat balasan dalam bentuk material (gaji)
ii) mendapat balasan dalam bentuk kepuasan kerana dapat menyiapkan atau menyelesaikan kerjanya
iii) mendapat pahala untuk bekalan di hari akhirat.

Dalam konteks hubungan majikan-pekerja pula, Islam melihat bahawa pekerja itu bukanlah sebagai hamba kepada manusia lain untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran kerana penghambaan hanya dikhususkan untuk Allah S.W.T. Oleh itu hendaklah ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut bahkan kalau perlu sebelum keringatnya kering kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya”.

Memberi Contoh


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka. (Hadis Riwayat Muslim)

Kita hendaklah berusaha sedaya upaya mengawal tingkahlaku agar dapat menunjukkan contoh teladan yang baik bagi masyarakat setempat. Sekiranya perbuatan kita yang baik itu menjadi ikutan orang lain maka kita akan diberi ganjaran pahala seolah-olah kita juga melakukannya. Contohnya amalan suka bersedekah, mengajarkan ilmu yang baik, menjaga aurat dan sebagainya.

Sebaliknya jika kita menunjukkan sikap dan perangai yang buruk kepada masyarakat, bukan sahaja kita akan mendapat kejian dan cacian malah sesiapa yang menjadikan kita sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan seumpamanya maka kita juga akan mendapat dosa yang sama seperti orang yang melakukannya.

Oleh itu berusahalah untuk menjadi individu yang baik dan terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang kesejahteraan agama, bangsa dan negara.


Pendapatan Haram


Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Tidak seorang pun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia membelanjakan padanya dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan ia bersedekah dengannya dengan harapan sedekah itu akan diterima dan meninggalkan harta pusaka (sesudah meninggal) melainkan semua itu sebagai bekalannya ke neraka”. (Riwayat Ahmad).

Bekerja untuk mencari nafkah hidup (pendapatan) adalah perlu dalam kehidupan. Ia juga merupakan ibadah sekiranya rezeki itu diperolehi dan dibelanjakan mengikut cara dan kehendak Islam. Perkara yang perlu ditekankan dalam mencari pendapatan adalah status hukum pendapatan yang diperolehi itu.

Pendapatan yang diperolehi dengan cara haram adalah kekal haram dan tidak akan menyucikan pendapatan itu dengan membelanjakan pendapatan itu ke arah kebaikan. Masyarakat hari ini kurang menitikberatkan soal halal haram sesuatu pendapatan sedangkan perkara itu amat dipandang serius oleh Islam. Pendapatan yang diperolehi melalui cara haram walaupun dibelanjakan ke arah kebaikan seperti bersedekah tidak akan mendapat manfaat atau ganjaran pahala melainkan ianya sebagai bekalan ke neraka.
http://hadis.cikedis.com/tag/mulia 

Comments

Popular posts from this blog