Di Atas Hamparan Sejadah



Nabi s.a.w bersabda: “Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: “Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya.” (Abu Hurairah r.a)
Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T. Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya. Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.

Kewajipan Dalam Menunaikan Solat Fardhu


Dari Anas r.a katanya : “Nabi Muhammad SAW telah bersabda : (selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang, lalu aku memohon kepadaNya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja) maka Allah SWT berfirman : “Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya). KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti”. (Bukhari)

27 Rejab mencatatkan lakaran sejarah penting yang berlaku ke atas Rasulullah S.A.W kerana pada tarikh tersebutlah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ke atas baginda. Ia berlaku pada tahun yang dinamakan “Tahun Dukacita”, di mana baginda telah kehilangan dua orang insan yang telah banyak memberi pertolongan dan bantuan sepanjang menjalankan dakwah suci iaitu isteri baginda Siti Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib.

Di dalam peristiwa ini banyak perkara telah berlaku dan yang paling utama adalah mengenai sembahyang yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Baginda S.A.W telah menerima kewajipan sembahyang lima waktu ketika Mikraj sebagaimana yang digarapkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya.
Jika kita perhatikan mengenai kewajipan ini maka fahamlah kita tentang betapa besarnya ganjaran dan peranan sembahyang di mana sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna mampu mencegah umat Islam daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Peringatan Rasulullah S.A.W mengenai sembahyang ini harus dititikberatkan memandangkan sekarang ini ramai di kalangan umat Islam yang mengabaikan solat dan memandang mudah terhadap sembahyang lima waktu apatah lagi menunaikannya secara berjemaah. Pengaruh keduniaan telah menghantui mereka sehingga sanggup meninggalkannya demi mengejar habuan dunia yang tidak seberapa.

Solat Dalam Keadaan Tenang


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: “Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang. Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan mana-mana rakaat yang tertinggal”. (al-Bukhari dan Muslim)
Apabila iqamat sembahyang dibacakan, janganlah kita tergesa-gesa (berlari-lari anak) ke masjid, tetapi hendaklah berjalan dengan tenang dan sopan. Jika terlambat sedikit, ikutilah sembahyang berjamaah bersama imam dengan mengikut rakaat yang sempat.

Hikmah bersifat tenang dan tidak tergopoh-gapah adalah untuk memberi keselesaan semasa sembahyang iaitu agar sembahyang yang dikerjakan tidak dalam keadaan tercungap-cungap sehingga bacaan menjadi tidak sempurna. Semasa mengerjakan sembahyang, kita bukan sahaja dikehendaki mementingkan suasana yang tenang tetapi jiwa dan fizikal juga mesti tenang agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaddhuk

Kepentingan Solat



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman : “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya”? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain”. (Riwayat At-Tarmizi)

Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mengambil mudah ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya disamping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya. Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar.

Sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.

Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar) : “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari”.


Curian Syaitan

Dari Aisyah r.a katanya : “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat”. Jawab baginda : “Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang”. (Bukhari)

Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat seperti memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat adalah mempamerkan sifat tidak berdisiplin seseorang itu ketika bersolat. Hal ini amat ditegah kerana Rasulullah SAW pernah memperkatakannya dalam sabda baginda yang bermaksud :
“Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain”. (al-Bukhari dan Abu Daud ; fath al-Bari, 2/304 ).
Juga sebuah hadis lain ada menyebut yang maksudnya :
“Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan”. (at-Tirmidzi).

Justeru, difahami dari tegahan ini bahawa kita disuruh agar menumpukan hati dan minda kepada Allah SWT semasa solat dan tidak lalai atau dilalaikan oleh sesuatu yang lain kerana itu adalah satu helah syaitan (curian syaitan) untuk menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.

Khusyuk Dalam Solat

Diriwayatkan dari Aisyah katanya : “Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika Nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, Nabi berkata : “Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku”. (al-Bukhari)

Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang bergambar. Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu.

Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta’ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta’ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.


Balasan Meninggalkan Solat Jumaat

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya: “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (Muslim)

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim (apabila memenuhi segala syarat-syaratnya). Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar’i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain daripada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah SWT, ia juga merupakan satu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.
SUMBER http://hadis.cikedis.com/di-atas-hamparan-sejadah

Comments

Popular posts from this blog