Jika Tidak Kerana Nabi Muhammad, Kita Semua Tidak Akan Diciptakan



Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu sekalian nur dan kitab yang jelas dan nyata", Dalam ayat di atas, kebanyakkan ulamak tafsir mentafsirkan "nur" yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Nabi Muhammad salallahualaihi wasalammanakala "kitab" pula iaitu Al-Quran. Kelahiran Rasulullah salallahualaihi wasalam merupakan anugerah Allah kepada dunia ini amnya dan kepada orang mukmin khasnya. Firman Allah: "Berikanlah khabar gembira kepada orang mukmin bagi mereka anugerah dari Allah yang amat besar".(Surah al-Ahzab: ayat 47)

Ayat ini disusuli selepas AllahTaala menyeru Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam pada ayat sebelumnya dengan memuji Baginda salallahualaihi wasalam sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, penyeru agama dengan izin Allah dan sebagai cahaya yang menerangi kegelapan. Ulama' menyebut:Jika masyarakat Quraisy menggelarkan Rasulullah salallahualaihi wasalam dengan "Al-Amin" sebelum kebangkitan Baginda salallahualaihi wasalam atas sifat amanah dan benarnya, maka AllahTaala sendiri telah menggelarnya dengan gelaran yang lebih tinggi iaitu sebagai Sirajul munir iaitu "cahaya yang terang". Apatah lagi dalam ayat Al-Quran yang lain, Allah telah menganugerahkan dua daripada nama-Nya dari Asmaul Husna iaitu Ar-Rauf dan Ar-Rahim kepada Rasulullah salallahualaihi wasalam dalam menerangkan sifat Rasulullah salallahualaihi wasalam bersama orang mukmin.

Oleh itu, dengan meyambut hari kelahiran - Rasulullah salallahualaihi wasalam adalah satu cara untuk melahirkan rasa syukur kita kepada Allah atas nikmat nabi dan berbangga kerana dipilih menjadi umat kepada penghulu Rasul yang digelar "kekasih Allah" ini. Diriwayatkan dari Ibnu Asakir daripada Salman Al-Farisi r.anhu sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam, Allah berfirman dalam hadith Qudsi "Wahai Muhammad, Aku telah mengambil Ibrahim sebagai KhalilKu, sesungguhnya aku telah mengambil engkau sebagai kekasih-Ku,dan Aku tidak ciptakan sesuatu makhluk yang lebih mulia dari engkau di sisiKu dan aku ciptakan dunia serta seisinya supaya mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukanmu di sisiKu,kalaulah tidak keranamu wahai Muhammad,aku takkan ciptakan dunia ini."

Sabda Nabi: Yang bermaksud: "Aku telahpun dilantik sebagai nabi sedangkan Adam masih antara air dan tanah (belum dicipta)"

Melahirkan rasa gembira atas sesuatu nikmat adalah perkara yang wajib. Firman Allah yang bermaksud: "Adapun nikmat dari Tuhanmu maka ceritalah (zahirkannya)" (Surah Ad-Dhuha : Ayat 11)
Oleh itu, apakah nikmat yang lebih besar bagi kita dari nikmat Islam dan iman? Bagaimana kita hari ini mampu memperoleh nikmat tersebut jika nabi tidak diutuskan? Syeikh 'Atiah Saqar, seorang ulama' Al-Azhar telah menyebut bahawa, "Mensyukuri nikmat kelahiran Rasulullah salallahualaihi wasalam adalah wajib. Jika Nabi Muhammad tidak diutus, nescaya Al-Quran tidak akan diturunkan".

Lihatlah saudara-saudaraku sekalian! Betapa pentingnya kita bergembira dengan kebangkitan Rasulullah salallahualaihi wasalam kepada alam ini. Cuma, bagaimanakah caranya, itu terserah kepada inisiatif masing-masing. Bagi Rasulullah salallahualaihi wasalam sendiri, bagi melahirkan rasa syukur ini, dengan berpuasa pada hari kelahirannya, hari Isnin. Hadith dari Abu Qatadah r.anhu, tatkala Rasulullah salallahualaihi wasalam ditanya tentang puasanya pada hari Isnin Baginda menjawab "Itulah hari yang aku dilahirkan padanya".

Kata Dr.Syeikh Muhammad Alawi Al-Maliki r.anhu, seorang ulama' Mekah, inilah dalil yang jelas harus menyambut perayaan yang bersejarah ini. Kata beliau, jika ada yang mengatakan sambutan maulid ini tiada dalil, sama ada dia jahil atau membutakan matanya dari kebenaran kerana yang awal-awal menyambutnya adalah tuan punya maulid itu sendiri, Rasulullah salallahualaihi wasalam.

Diriwayatkan daripada As-Suhaili bahawa Saiyidina 'Abas bin Abdul Muttalib r.anhu bermimpi setelah kematian Abu Lahab dan beliau bertanya halnya di alam kubur, maka jawab Abu Lahab "Bagiku tiada rehat sedikitpun kecuali diringankan azab bagiku pada hari Isnin". Ini kerana apabila datangnya Suwaibah, hambanya mengkhabarkan berita dia menerima anak saudara lelaki yang bernama Muhammad, Abu Lahab telah membebaskan hambanya tadi dan menjamu penduduk Mekah kerana terlalu gembira. Maka kata Al-hafiz Shamsuddin Muhammad Ad-Dimasyqi dalam syairnya:

اذا كان هذا كافرا جآء ذمه * وتبت يداه في الجحيم مخلدا
أتى أنه في يوم الاثنين دائما * يخفف عنه للسرور بأحمدا
فما الظن بالعبد الذي كان عمره * بأحمد مسرورا ومات موحدا؟
Maksudnya: Jika si kafir ini (Abu Lahab) yang dilaknat Allah dalam Al-Quran dan kekal dia dalam neraka, Tetapi diringankan azab pada hari Isnin kerana gembira dengan kelahiran Muhammad,
Bagaimana pula seseorang yang gembira seumur hidupnya dengan kelahiran Muhammad dan dia mati dalam mentauhidkan Allah (Islam)?
 
Diriwayatkan dari daripada Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki daripada gurunya Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki daripada ayahnya, Sayyid Alawi bin Abbas Al-bin Abdul Aziz pernah menghadiri majlis maulidur di Masjidil Aqsa satu ketika dahulu. Dalam majlis itu, Syeikh Abbas melihat seorang lelaki tua sanggup berdiri bermula awal majlis hingga ke akhirnya. Lalu Syeikh ‘Abbas bertanya kepada lelaki itu kenapa dia sanggup berdiri begitu lama sedangkan dia sudahpun tua dan uzur. Lalu lelaki tua itu bercerita "Sebenarnya, sebelum ini aku mengingkari berdiri semasa selawat dibaca pada pandanganku ia adalah bid'ah dholalah. Hingga satu malam aku bermimpi,aku duduk dalam satu majlis bersama orang ramai tiba-tiba masuk Rasulullah salallahualaihi wasalam, lalu semua orang berdiri. Aku cuba berdiri tapi aku tidak mampu. Rasulullah datang kepadaku dan bersabda "Kamu takkan mampu untuk berdiri!". Aku terkejut dan apabila aku sedar keesokkannya,aku dapati kakiku lumpuh dan tidak mampu berjalan lagi. Sejak hari itu aku berdoa dan bernazar jika Allah sembuhkan kakiku,aku akan berdiri sepanjang majlis maulid berlangsung. Bertahun-tahun lamanya aku menderita dan akhirnya Allah sembuhkan aku. Itulah sebab itulah aku berdiri".
Kata Al-Marhum Dr.Muhammad Syed Ahmad Al-Musayyar, mantan pensyarah kuliah Usuludin, Al-Azhar, "Jika tidak kerana Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam, takkan kita kenal para nabi,kalau tanpa nabi,takkan kita mengenali hakikat kehambaan kita kepada Allah".

Akhirnya marilah sama-sama kita berdoa semoga dalam masa yang terdekat ini akan terbitlah cahaya biasan Nur Muhammad yang akan menerangi hati dan jiwa kita serta sekalian umat dari ufuk Timur hingga ke Barat bagi mengembalikan kegemilangan Islam di alam ini.

Ya Rasulullah, biarlah engkau tahu perasaan dan rindu kami mengharum mekar mewangi tetap utuh dan abadi buat selamanya.
http://www.pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=465:jika-tidak-kerana-nabi-muhammad-kita-semua-tidak-akan-diciptakan&catid=7:ilmiah&Itemid=69

Comments

Popular posts from this blog