KARAMAH ULAMA

 

Assalamualaikum
Semasa mendengar ceramah Al Fadhil Al Ustaz Azhar Idrus di U Tube....terdengar satu pengisian penting mengenai karamah...kata Ustaz Azhar, mana lebih karamah ahli sufi dengan keramah ahli fekah atau ahli hadis.
Kata Us Azhar....."karamah boleh ke Mekah, untuk seorang sahaja, tetapi keramah ahli fekah dan ahli hadis, dapat diambil manafaat oleh ramai orang, tidakkah ini bermaksud karamah ahli fekah dan hadis melebih dari karamah alim biasa....! amat menarik perkataan ini.....percakapan orang yang faham dan mendalam ilmunya. Mudah mudahan dapat manafaat bersama.


Buat teman-teman, pagi ni saya membaca ayat ini.....surah ali Imran ayat 161
وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ
(Maksud ayat : Tidak mungkin seorang nabi berkhianat dalam urusan harta rampasan perang. Barangsiapa yang berkhianat dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatinya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.)
Saya cuba memahami bahawa ayat yang menjelaskkan tentang rampasan perang ialah harta orang ramai, atau juga dimaksud harta kerajaan. Apabila seseorang ketua yang menjadi tunggak kepada masyarakat menguruskan harta awam, maka ia hendaklah menguruskannya dengan cara yang paling teliti.
Sifat amanah yang ada pada Rasulullah saw adalah satu sifat yang terbukti berfungsi dengan aktif apabila berhadapan dengan perkara seperti ini. Terdapat di kalangan umat Islam di zaman baginda telah menuduh baginda tidak adil dalam mengagihkan harta rampasan perang, pada hal bagindalah orang yang paling adil. Rasulullah bertanya kepada orang yang mempertikaikan keadilannya "Siapakah yang paling adil kalau bukan Allah dan Rasul-Nya?!"
Keadilan itu ialah apa yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, bukannya apa yang difikirkan oleh seseorang yang hanya mencakupi dirinya sahaja.
Kepada ketua atau pemimpin yang menguruskan mana-mana sumber kewangan, beringat-ingatlah tentang hal ini, kerana ia suatu urusan yang menyentuh prinsip hidup serta juga menyentuh kepercayaan seseorang kepada pengurusan ketuanya atau pemimpinnya.
Nabi Yusof pernah menyebut bahawa :
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَآئِنِ الأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan".(Surah Yusof ayat 55)
Nabi Yusof menyebutkan bahawa sesiapa sahaja yang ingin mengurus seperti menguruskan kewangan mestilah memiliki ilmu pengetahuan, sebagaimana dalam ayat tadi. Namun begitu, Nabi Yusof as juga mengingatkan kita tentang godaan yang sering menjadi ujian kepada jiwa dan nafsu manusia, firman Allah Ta'ala :
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.(Surah Yusof ayat 53)
Mudah-mudahan setiap yang berfungsi sebagai pengurus sesebuah firman atau syarikat mendapat peringatan.

Isnin, September 06, 2010

Salam Lebaran

Assalamualaikum
Bagi teman-teman dan rakan-rakan yang sentiasa memantau blog saya...memang banyak kelemahan blog ini, tak dapat dinafikan kita ni manusia yang serba serbi lemah. Namun, sesuatu yang cemerlang perlu kita usahakan, agar kita tidak kalah dan lemah dengan kelemahan kita sendiri.
Di kesempatan ini, marilah kita berdoa kepada Allah agar, kita mampu menemui Ramadhan tahun depan lagi, mampu lagi menerokai rahsia Ramadan yang tidak pernah habis diceritakan orang. lailatul Qodar masih belum kita temui, hadirnyapun tanpa sebarang alamat dan tanda yang diperlihatkan kepada kita, cuma harapan kita agar pada malam-malam yang akhir itu menjadi salah satu malam Qodar.
Bagi sesiapa yang memiliki ibu dan bapa, segeralah pulang ke kampung, temuilah ibubapa yang amat rindukan anak cucunya kembali....masa anak cucu baliklah, ibu ayah kita rasa gembira, rasa suka hati....
Bagi pejuang-pejuang Islam, terutama di Palestin...hari raya bagi mereka adalah sama sahaja, hari-hari yang gelap bagi mereka, hidup mereka dengan peluruh dan darah para syuhada...hidup mereka terus dihujani dengan kematian dan kemurungan. Salam Aidilfitri diucapkan biarpun mereka tidak mendengarnya, biarpun mereka tidak sempat mendengarnya...justeru sibuk di medan perang.
Bagi keluargaku, semoga Allah terus memaafkanku diatas segala kesalahan dan kelalainku mendidik kalian semua, entah apakah soalan yang bakal ditanya oleh Allah di padang mahsyar nanti, adakah soalan tentang kelemahanku mendidik kamu semua, dan adakah soalan itu ada jawapan yang perlu ayahmu berikan...atau aku ini memang tiada jawapan. Adakah aku ini, ayah yang tidak memenuhi amanah yang telah diberikan-Nya, adakah aku ini ahli neraka ???? justeru kelalaianku dalam mendidiku kalian semua, dan adakah kulit-kulitku ini mampu bertahan dengan api neraka ?????
Ya Allah ampunkan dosa-dosaku, tanggalkanlah kedukaan diraut wajahku...aku lemah Ya Allah.

Rabu, Ogos 11, 2010

KELEBIHAN RAMADHAN


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين وبه نسعين صلاة وسلاما على حبيبنا وشفيعنا وعلى أله وصحبه أجمعين
Begitu cepat masa berjalan, terasa macam Ramadhan tahun lepas baru semalam berlalu, kini datang pula Ramadhan yang lain. Perjalanan masa yang begitu cepat pernah dibayangkan oleh baginda dalam hadisnya, sabda baginda sollahu ‘alaihi wasallam :
لا تقومُ السَّاعةُ حتى يتقَارَبَ الزمانُ فتكونُ السنةُ كالشهرِ يكونُ الشهرُ كالجُمُعَةُ وتكونُ الجُمُعَةُ كاليومِ ويكونُ اليومُ كالساعةِ وتكونُ الساعةُ كَاحْتِراْقِ السَّعَفَةِ
(Ertinya : Tidaklah akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasa seperti sebulan. Tempoh sebulan dirasa seperti sejumaat yakni seminggu, tempoh sejumaat dirasa seperti sehari, tempooh sehari dirasa seperti satu jam, tempoh sejam dirasa seperti terbakarnya pelepah khurma – Riwayat Ahmad & Termizi)
Bila datang sahaja bulan Ramadhan, maka setiap muslim akan merasai kehadirannya, mungkin disebabkan budaya dan taqlid sejak zaman berzaman, menyebabkan setiap jiwa beriman tersentuh dengan kehadirannya.
Saudara, bila saja Ramadhan dating, maka alamat kedatangannya ditutup semua pintu neraka serta dibuka semua pintu syurga, tujuannya untuk memberikan ruang dan peluang umat Islam beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah dengan taat, patuh dan rajin. Rasulullah pernah menjelaskan perkara ini dalam hadis baginda :
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم "إذا جاء رمضان فُتِّحت أبواب الجنة وغُلِّقت أبواب النار وصُفِّدت الشياطين" متفق عليه.
(Ertinya : Bila datang sahaja bulan Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga, dan ditutup akan pintu-pintu neraka, serta dibelenggu syaitan-syaitan)
Bagi orang muslim yang sentiasa menanti-nantikan kehadiran bulan barakah ini amat gembira dengan kedatangannya. Sebagaimana sikap para sahabat Rasulullah sollahu ‘alaihi wasallam, yang bergembira dengan kedatangan Ramadan, bersedih hati bila hampir hujung Ramadan. Inilah dia generasi yang tinggi taqwanya kepada Allah, dan inilah yang mahu dihasilkan oleh Ramadhan, sebagaimana firman Allah swt :
يا أيها الذي ءامنوا كُتِب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلِكُم لعلكم تتقون(Wahai orang-orang beriman, difardhukan atas kamu puasa, sebagaimana difardhukan
ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah mudahan kamu bertaqwa – al Baqarah 183)
Jika dilihat dari sudut sejarah secara sepintas lalu yang ada kaitan dengan ayat yang dibacakan tadi, fardhu puasa ini telah difardhukan ketika di Madinah pada tahun ke dua Hijrah, sebelum berlakunya peperangan Badar al Kubra yang berlaku pada hari Jumaat tahun ke 2 hijrah, secara tepatnya ialah pada 17 Ramadhan.
Saudara, justeru melihat kehidupan manusia di atas muka bumi sentiasa terdedah dengan dosa dan maksiat, dan kita semua tahu bahawa makhluk perosak yang sentiasa mendorong mangsanya melakukan dosa dan ma’siat ini ialah Iblis dan syaitan. Maka, Allah telah mengurniakan kepada manusia ni’mat ibadah, agar boleh menjadi perisai untuk melindungi mereka dari terdorong dengan godaan syaitan dan iblis ini. Sabda Rasulullah :
رمضانُ إلى رمضانَ والجُمُعَةُ إلى الجُمُعَةِ والصلاةُ إلى الصلاةِ مُكفِّراتٌ لما بينهُنَّ إذا جْتُنِبَتِ الكبائر
(Ertinya : Ramadhan ke ramadhan yang berikutnya, jumaat ke jumaat yang lain, solat ke solat yang lain, adalah penebus dosa di antara keduanya, seandainya dijauhi akan dosa-dosa besar)
Di antara ibadah yang dikurniakan oleh Allah untuk menyelamatkan para mukminin daripada tipu daya dan godaan syaitan dan iblis tersebut ibadah puasa. Puasa adalah benteng ataupun perisai untuk hamba-hamba Allah yang dikasihi-Nya. Selan itu puasa juga membentuk jiwa yang sabar dengan ujian dan cubaan hidup, Sabda Rasulullah :
الصومُ نصفُ الصبر
(Ertinya : Puasa itu separuh dari sabar – Termizi & Ibnu Majah)
Kesabaran yang ingin dibentuk oleh puasa itu mestilah dengan sesuatu ujian dan cubaan, maka ujian dan cubaan yang mampu melahirkan jiwa yang sabar ialah menahan diri dari makan, minum serta nafsu syahwat, dan sesungguhnya menahan diri dari semua itu bukannya satu perbuatan yang mudah dan senang. Jiwa yang benar-benar mampu menahan sabar sahaja dapat mengatsinya.
Apabila manusia mampu bersabar dengan semua ujian itu, maka bertambahlah serta sempurnalah pahalanya. Firman Allah swt dalam surah az Zumar ayat 10 yang berbunyi :
إنما يُوَفَّى الصابِرونَ أجرَهُم بغيرِ حساب
(Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira)
Saudara, dari segi pahala dan ganjaran puasa, memang ganjaran pahala orang berpuasa berganda-ganda dan melangkaui had perkiraan dan perhitungan. Allah sendiri yang akan memberikan pahala kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa. Inilah yang disebut oleh baginda :
والذي نفيس بيدِهِ لَخَلوفُ فَمِ الصَّائِمِ أطيَبُ عند اللهِ تعالى مِنْ ريحِ الْمِسْكِ يتْرُكُ طعامَهُ وشرابَهُ وشهوتَهُ من أجلِيْ الصيامُ لِيْ وأنا أجزِي به والحسنة بعَشرِ أمثالِها
(Ertinya : Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, adalah bau mulut seseorang yang berpuasa itut adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Allah swt berfirman (dalam hadis qudsi) : “Sesungguhnya mereka itu meninggalkan nafsu syahwat, makan dan minum kerana-Ku, sesungguhnya puasa untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan balasan untuknya – Riwayat Bukhari & Muslim)
Oleh itu bagi orang yang berpuasa, balasan yang setimpal akan diberikan tanpa dikurangkan sedikitpun, malah pahala yang bakal diberikan berlipat kali ganda, melebihi daripada puasa itu sendiri. Tidak mampu dibayangkan betapa besar dan hebatnya pahala yang diberikan Allah kepada orang yang berpuasa ini.
Mengapakah begitu besar pahala yang dikurniakan Allah kepada ahli puasa ini, di sana terdapat dua sebab sebagaimana yang dinyatakan oleh Al Imam Al Ghazali :
Pertama, bahawa ibadah puasa itu merupakan suatu pengekangan dan pembersihan diri dan rahsia melakukannya itu bergantung kepada individu ittu sendiri. Ia bukanlah suatu amalan yang dapat dilihat, sedang ibadah lain addalah merupakan amalan-amalan yang dapat disaksikan dan dilihat oleh orang ramai. Puasa tidak dapat disaksikan, kecuali diri sendiri dan Allah swt sahaja, sebab puasa itu adalah amalan batin yang berbentuk kesabaran semata-mata.
Manakala yang kedua, bahawa ibadah puasa itu merupakan tentangan kepada musuh Allah swt, cara syaitan adalah melalui nafsu syahwat dan kukuhnya syahwat itu adalah dengan jalan makan dan minum. Jadi menindas gerakan musuh Allah swt adalah sebagai pertolongan untuk menegakkan agama Allah swt, datangnnya pertolongan Allah bergantung keapda pertolongan manusia kepada-Nya, sebagaimana difirmankan oleh Allah swt dalam surah Muhammad ayat ke 7,
يا أيها الذي ءامَنوا إن تنصُروا اللهَ ينُصُركُم ويُثبتْ أقدامَكُم(Ertinya : “kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan menegakkan tapak pendirian kamu – ayat 7 surah Muhammad)
Saudara, Imam Ghazali juga membahagikan puasa kepada tiga bahagian, hal ini banyak disebut oleh para alim ulama kita, kata Imam setiap yang berpuasa terbahagi kepada tiga bahagian iaitu, yang pertama puasa orang awam, kedua puasa orang khusus dan yang ketiga puasa orang khusus khusus.
Puasa orang awam bermaksud puasa seseorang sekadar menahan perut dan kemaluan dari syahwat, makan, minum, bersetubuh dan lain-lain.
Puasa orang khusus mempunyai sama dengan maksud puasa orang awam, Cuma ditambah lagi dengan menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan lain-lain anggota badan dari segala perbuatan dosa. Firman Allah swt :
إن السمعَ والبصرَ والفؤادَ كلُّ اولئك كان عنه مسئولا - يس
(Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawab)
Seterusnya puasa orang khusus khusus ialah yang lebih dari puasa orang awam dan puasa orang khusus, ditambah lagi dengan kawalan diri dari melakukan kesalahan-kesalahan kecil dan remeh, meninggalkan semua larangan-larangan Allah bermula dari yang besar, sederhana dan yang kecil kecil.
Saudara, jangan sekali-kali orang berpuasa lupa bahawa puasa yang mereka jalani memerlukan komitment yang tinggi, mereka mesti menjauhi segala larangan dan tegahan Allah, larangan dan tegahan ini bukan setakat makan minum dan nafsu syahwat sahaja, tetapi yang lain-lain seperti mengumpat, bertengkar, mengadu domba dan lain-lain. Sekiranya orang mukmin hanya menahan lapar semata, tetapi tidak menjauhi perkara yang lain maka puasanya tiada apa-apa erti baginya, sabda Rasulullah :
عن أبي هريرةَ رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
كم من صائمٍ ليس له من صيامِهِ إلا الجوع والعطش – (النسائي و ابن ماجه)

(Ertinya : ramai yang berpuasa tiadalah puasanya melainkan sekadar berlapar dan berdahaga sahaja)
Pembahagian yang dibuat oleh Imam Ghazali tadi, juga bermaksud bahawa puasa atau bulan Ramadhan itu adalah bulan latihan kepada setiap muslim untuk menjadikannya individu mu’min yang sebenarnya.
Para mukminin perlu mempertingkatkan iman dan taqwanya. Bagi tujuan itu maka banyak pakej ibadah yang telah dianugerahkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini. Sabda Rasulullah :
الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة، يقول الصيام: أي ربي منعته الطعام والشهوة فشفعني فيه؛ ويقول القرآن منعته النوم بالليل فشفعني فيه، قال فيشفعان) رواه أحمد والطبراني في الكبير.
(Ertinya : Puasa dan al Quran memberi pertolongan kepada seseorang hamba pada hari kiamat, kata puasa “Wahai Tuhan, Aku menahannya dari makan dan syahwat, maka tolonglah dia, lalu al Quran berkata “Wahai Aku menahannya dari tidur pada malam, mala berilah syafaatku padanya, lalu diberikan syafaat dari kedua-duanya)
Dalam hadis tadi, selain dari kelebihan puasa, membaca al Quran adalah juga amalan yang banyak ganjarannya. Tambahan pula apabila dilihat akan al Quran itu diturunkan dalam bulan Ramadhan.
Orang mukminin juga digalakkan mengerjakan solat nawafil atau solat sunat seperti solat sunat tarawih beserta dengan witir dan solat sunat tahajjud. Sabda Rasulullah sollahu alahi wasallam :
من صامَ رمضان وقامَهُ إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
(Sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketulusan hati, nescaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu)
Saudara, selain dari puasa dan amalan-amalan sunat muakkad yang dikurniakan oleh Allah dalam bulan ini, Rasulullah juga menggalakkan sesiapa yang berkemampuan untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah :
من استطاع العمرة في رمضان فليعزم عليها، لقوله صلى الله عليه وسلم (عمرة في رمضان كحجة معي).
(Ertinya : Umrah dalam bulan Ramadhan seumpama haji bersama denganku)
Kerana itu ramai umat Islam mengambil peluang pada bulan ramadhan untuk mengerjakan umrah, malah bilangan mereka amat ramai ketika bulan Ramadhan, terutama pada malam ke 27 Ramadhan, ramainya umat Islam seperti waktu musim haji.
Namun begitu, umat Islam haruslah beringat-ingat bahawa Rasulullah pernah memberi peringatan tentang haji dan umrah ini, sabda Rasulullah :
عن أنسِ ابنِ مالكٍ رضي الله عنه قال : قال رسولُ الله صلى الله عليه وسلم يأتي على الناسِ زمانٌ يَحُجُّ أغنِياءُ أمتي لِلنًّزهَةِ وأوساطُهُم للتجارَةِ وقُرّاؤُهم للرياءِ والسُمعةِ وفقرأؤثهم للمَسْأَلةِ – رواه أبو الفَرج
(Ertinya : Akan datang satu zaman di mana orang kaya mengerjakan haji untuk tujuan melancong, orang pertengahan untuk tujuan perniagaan, para ulama kerana riya’ dan sum’ah, manakala orang faqir pula mengerjakan haji kerana meminta sedekah)
Oleh itu saudara, marilah sama-sama kita mengambil peluang dengan kehadiran Ramadhan ini, biarlah Ramadhan tahun ini, lebih cemerlang dari Ramadhan tahun-tahun yang lalu, kelebihan dan hikmah yang Allah berikan di dalamnya adalah suatu hadiah tidak ternilai untuk kita, terimalah hadiah Allah ini dengan penuh khusyuk dan bersyukur. Semoga Allah mencampakkan ke dalam hati kita perasaan cintakan ibadah, sehingga kita tekun dan rajin beribadah demi kerana-Nya semata-mata. Sekianlah sahaja, wassalamualaikum.

Azan Isya' ditinggalkan kerana ada ustaz mengajar...

Assalamualaikum
beberapa hari lepas, ada rakan2 yang datang untuk mengadakan sedikit perbincangan, antaranya ialah mengenai azan isya' yang sering tidak berkumandang kerana ketika itu ada ustaz yang sedang mengajar. Kata rakan kita ini, walaupun lewat, elok diazankan jugak.
Isu ini sebenarnya telahpun dibincangkan oleh Al Marhum Dato' Ishak Baharom ketika berkuliah di Masjid I'tisam, Taman TTDI Jaya satu ketika dulu di waktu al Marhum masih hidup. Al Marhum tanya jemaah, diantara azan dan kuliah, mana satukah yang wajib. Jawapannya tentulah kuliah itu yang wajib, dan azan itu sunat. Jawapannya jelas.
Mungkin isu ini boleh dibincangkan....agaknya setiap masjid perlu memaklumkan setiap ustaz mengenai masa azan, jika seandainya ustaz yang mengajar ketika itu tidak benarkan, maka teruskan dengan kuliah, bila sampai waktu iqomah sahaja. Kerana ada sesetengah ustaz yang tidak mampu memberhentikan kuliahnya jika sedang rancak mengajar.
Jadi isu ini terserah kepada ustaz tersebut.
Sekadar perbincangan dan idea.

Comments

Popular posts from this blog