Tafsiran Surah al-Bayyinah (98)

 

 

PENTAFSIRAN AYAT 1- 3

Kebangkitan Nabi Pembawa Obor Penyelamat

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ 
حَتَّى تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ* رَسُولٌ مِّنَ اللَّهِ يَتْلُو صُحُفًا مُّطَهَّرَةً *
 فِيهَا كُتُبٌ قَيِّمَةٌ * 
Terjemahan
[98: 1] Orang-orang kafir dari sebahagian Ahli Kitab dan kaum Musyrikin, tidak akan terlepas
(dari kekufuran) sehingga datang kepada mereka bukti yang nyata.

[98: 2] Iaitu (kebangkitan) seorang Rasul dari Allah yang membacakan lembaran-lembaran suci (al-Quran).
[98: 3] Terkandung di dalamnya tajuk-tajuk yang bernilai. 
 
Kebangkitan Nabi Pembawa Obor Tauhid

(98: 1) Manusia dianugrah Allah kepadanya nikmat-nikmat akal dan fitrah. Dengannya mereka mampu menyuluh jalan terbaik dan menepis jalan yang buruk. Namun bagi segolongan manusia akal dan fitrah masih belum berdaya menemui jalan ini, sebaliknya di samping akal dan fitrah mereka memerlukan Nabi yang membawa obor wahyu untuk menyelamatkan mereka dari kesesatan.

لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّى تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ (1)

[98: 1] Orang-orang kafir daripada sebahagian Ahli Kitab dan kaum Musyrikin, tidak akan terlepas (dari kekufuran) sehingga datang kepada mereka bukti yang nyata.

Ahli Kitab bukan semuanya kafir. Sebahagian mereka beriman, tetapi kebanyakan mereka menyeleweng. Ini dinyatakan di dalam firman berikut:

وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ [1]

Terjemahan: Dan andainya kaum Ahli Kitab itu beriman tentulah lebih baik kepada mereka. Antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah menyeleweng.

Di maksudkan dengan كَفَرُوا الَّذِينَ di dalam ayat pertama al-Bayyinah ini bukan semua orang Yahudi dan Nasara yang berpegang kepada kitab-kitab langit itu kafir, hanya sebahagian daripada mereka sahaja orang kafir. Lain halnya dengan kaum Musyrikin yang tidak berpegang kepada kitab, semua mereka kafir. Mereka itu ialah orang Arab penyembah berhala atau secara khususnya Musyrikin Quraisy.

Dari segi akidah, orang yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad saw dan menolak syariat yang dibawanya adalah kafir, sama ada mereka itu dari kaum Musyrikin atau Ahli Kitab. Mereka itu sesat dan menyeleweng dari jalan hidayat, sekalipun mereka mempunyai sedikit perbezaan dari segi akidah, bangsa, agama dan keturunan. Keadaan mereka berbanding Musyrikin bagaikan satu keturunan dan satu kelumpuk keluarga kerana mereka sama-sama mengingkari kerasulan Nabi Muhammad dan menolak syariat yang dibawanya.

Yahudi dan Nasara yang diperkenalkan dengan Ahli Kitab itu kafir kerana mereka mengubah dan menukar syariat Allah, mereka meminda ayat-ayat kitab suci yang diturunkan kepada mereka dan mentafsirkannya dengan cara menyeleweng dari jalan yang benar, mereka membuat dakwaan terhadap Allah sesuatu yang tidak layak dengan Zat Allah yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Sejumlah ayat al-Qur`an menyatakan golongan ini, antaranya:

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ[2]
Terjemahan: Dan orang-orang Yahudi telah berkata: "Uzayr itu putera Allah" dan orang-orang Nasrani pula telah berkata: "al-Masih itu putera Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, mereka meniru perkataan orang-orang kafir dahulu; Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh terpesung dari kebenaran?

Firman Allah lagi:

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ[3]

Terjemahan: Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata bahawa Allah itu ialah al-Masih putera Marayam.

Firman Allah lagi:

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ [4]
Terjemahan: Sesungguhnya tewlah kafirlah mereka yang berkatabahawa Allah itu ialah yang ketiga daripada tiga uqnum.

Ayat-ayat ini dengan jelas memperakukan kafir terhadap kaum Nasara pemegang Kitab Injil yang mendakwa al-Masih putera Maryam sebagai anak Tuhan atau mendakwa al-Masih sebagai yang ketiga daripada tiga Tuhan (Triniti) dan kaum Yahudi pemegang kitab Taurat juga jelas kafir kerana mereka mendakwa Uzayr putera Allah.

Akidah kaum Musyrikin juga berkisar sekitar dakwaan mereka terhadap Allah sebagai mempunyai anak. Sejumlah ayat yang memperkatakan kekufuran akidah kaum Musyrikin ialah:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا * لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا * تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا * أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا * وَمَا يَنبَغِي لِلرَّحْمَنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا * إِن كُلُّ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ إِلَّا آتِي الرَّحْمَنِ عَبْدًا [5]


Terjemahan: “Dan mereka berkata: Allah Yang Maha Penyayang itu mempunyai anak. Demi sesungguhnya, kamu telah mengeluarkan satu perkara yang amat keji. Langit nyaris-nyaris pecah kerana perkataan itu, dan bumi hampir terbelah, serta gunung-ganang pun hampir runtuh ranap kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Penyayang itu mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi Allah Yang Maha Penyayang itu mempunyai anak. Tiada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan semuanya datang mengadap Allah Yang Maha Penyayang sebagai seorang hamba”

Ayat pertama surah al-Bayyinah menyatakan orang kafir dari Ahli Kitab dan Musyrikin tidak akan terpisah dari ikatan yang mengikat mereka dengan kekufuran dan kesesatan sehingga datang kepada mereka bukti yang nyata dan menjelaskan mereka jalan kebenaran.

Kebangkitan Rasulullah saw merupakan bukti yang nyata zahirnya rahmat Allah kepada manusia dan di seluruh alam, bagi mengubah kedudukan mereka yang bergelumang dengan kesesatan dan perselisihan kepada cara hidup yang lebih bertamadun dan bersatu padau serta berpedoman. Tanpa kebangkitan Rasul manusia tidak akan terpisah dari kesesatan dan perselisihan, apa lagi jika mendung kesesatan terlalu tebal, lalu menyelimutkan akal dan fitrah dari berfungsi sebagai penyuluh jalan hidayat.

Mafhum Ahli Kitab dan Musyrikin

Telah dinyatakan terdahulu, Ahli Kitab dan kaum Musyrikin dari segi akidah mempunyai persamaan sepenuhnya, bagaikan satu kumpulan dan satu keturunan kerana mereka itu sama-sama mendakwa Allah mempunyai anak. Bagaimana pun dari segi dakwah dan siyasah, Islam melayani Ahli Kitab dengan sedikit keistimewaan, memandangkan mereka ini masih berfaut kepada Kitab Suci dan Nabi, sekalipun mereka telah mengubah ayat-ayat di dalam kitab suci dan meminda syariat yang dibawa nabi-nabi Mereka. Lain halnya dengan kaum Musyrikin, mereka menolak awal-awal lagi seluruh para Nabi yang diutus cserta mendustakan wahyu yang diutus malalui mereka.

Ulama menjelaskan Ahli Kitab ialah nama yang diberi Islam kepada penganut-penganut agama samawi yang diiktiraf Islam. Agama-agama yang dimaksudkan ialah Yahudi, Nasrani dan Sabi`in[6]. Antara hukum yang ditetapkan oleh syariat Islam kepada penganut-penganut agama ini ialah harus berkahwin dengan wanita mereka dan halal memakan semebelihan mereka serta harus diambil Jizyah daripada mereka jika bernaung di bawah pemerintahan Islam[7]. Sebagai balasannya, Islam memberi perlindungan keselamatan dan mempertahankan nyawa dan harta benda mereka jika dicerboboh.

Kaum Musyrikin pula ialah kaum yang manghampakan segala erti kebenaran dan warisan nubuwwah yang ditinggalkan oleh para Nabi yang terdahulu seperti Hud, Salih, Ibrahim dan Ismail as. Akibatnya mereka terjerumus ke dalam gelumbang syirik dan fahaman paganisma, mereka mempersekutukan Allah dengan makhluk-Nya seperti batu-batu berhala, jin dan syaitan.

Nama Ahli Kitab Terus Dipakai
Tanpa Perubahan

Terdahulu telah diperkatakan nama Ahli Kitab kepada penganut agama Yahudi dan Nasara sebagai nama yang diperkenalkan dalam dakwah dan siyasah Islam bagi membezakan di antara mereka dan musyrikin, sedangkan dari segi akidah mereka semua adalah sesat dan menyeleweng belaka.

Nama Ahli Kitab dipakai sejak wahyu al-Qur`an sedang diturnkan, sedangkan mereka mempersekutukan sebelum al-Qur`an diturunkan lagi kerana mereka mendakwa al-Masih sebagai putera Allah, demikian juga kaum Yahudi, mereka menolak kenabian Isa dan mempersekutukan Allah kerana mendakwa `Uzayr sebagai putera Tuhan berlaku sebelum al-Qur`an diturunkan lagi. Namun istilah Ahli Kitab dan keharusan berkahwin dengan wanita mereka serta keharusan memakan sembelihan mereka tetap dan tidak berubah, malah ulama sepakat menyatakan ayat (5) al-Ma`idah kekal dan tidak mansukh, iaitu:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ إِذَا آَتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَنْ يَكْفُرْ بِالْإِيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ [8]

Terjemahan: Pada hari ini dihalalkan bagi kamu segala makanan yang lazat dan enak dan makanan Ahli Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan kamu adalah halal bagi mereka dan (dihalalkan bagi kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri maskahwin mereka, sedang kamu bernikah bukan berzina dan bukan mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang menghapuskan keimanan, maka gugurlah amalnya dan pada hari Akhirat mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi”.


Kemusykilan mungkin timbul di sini kerana membezakan mereka dengan Musyrikin, padahal akidah mereka sama-sama mempersekutukan Allah? Kemusykilan dijawab:

Pertama: Kita sedia maklum Islam membuka ruang yang lebih telus apabila bermuamalah dengan Yahudi dan Nasara yang disifatkan dengan Ahl al-Kitab. Justeru, sebahagian ulama mengharuskan orang Islam memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka, tanpa mengira akidah thalith thalathah (triniti) dan akidah syirik kaum Yahudi kerana menganggap Uzair sebagai anak Tuhan dan pengingkaran mereka terhadap Nabi Muhammad saw. Akidah ini dianuti mereka sejak sebelum al-Qur`an diturunkan lagi dan berterusan hingga selepas turun al-Qur`an bahkan hingga ke hari ini.

Kedua: Kecelaruan yang berlaku dalam akidah Yahudi dan Kristian bukan kerana agama. Ini kerana ajaran kitab-kitab Taurat dan Injil adalah tauhid, tetapi kerana sistem politik mereka yang rosak, lalu mendewakan darah dan keturunan, sekalipun mereka sendiri mengetahui pendewaan darah dan keturunan itu satu pendustaan tehadap agama dan kitab suci mereka sendiri. Penganut-pengaut agama Yahudi dan Nasara tidak berupaya lagi untuk kembali kepada ajaran asal agama mereka kerana telah sebati dengan pindaan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka sejak zaman berzaman.

Ketiga: Hukum Allah swt pada hari Kiamat berdasarkan amalan indivdu, tanpa mengira penyelewengan yang berlaku disebabkan warisan nenek moyang, politik perkauman, masyarakat dan puak. Atas dasar ini Allah yang Maha Adil, tidak menghukum mereka kerana kesesatan akidah yang dianuti secara warisan daripada dua ibu bapa yang beragama Yahudi atau Kristian kerana kebenaran Islam tidak sampai kepada mereka melalui saluran yang betul. Mereka hanya mengetahui Islam daripada sumber Yahudi dan Nasara yang telah diselewengkan, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk keluar dari tempurung Yahudi dan Nasara yang diwarisi mereka.

Sebagai kesimpulan, kaum Yahudi sebelum Islam yang mengingkari kenabian Isa dan mengingkari syariat Injil, tidak menjejaskan Nama kumpulan mereka sebagai Ahli Kitab kerana pengingkaran kumpulan Yahudi terhadap Isa as dan kekufuran mereka terhadapnya tidak boleh dianggap meliputi setiap individu yang hidup di bawah payung politik dan masyarakat mereka yang rosak.

Kebangkitan Islam Satu Bukti Kebenaran Islam

Sejarah silam menunjukkan penganut-penganut agama Kristian di bawah pemerintahan kerajaan Roman di negara-negara di Utara Afrika dan Asia Barat sepanjang abad keenam dan di negeri-negeri seperti India dan Cina pada awal abad ketujuh, penduduk negeri-negeri ini terdiri daripada kaum Musyrikin penyembah patung, berhala dan objek-objek yang berupa manusia dan bukan manusia. Kemudian menjelang abad ke tujuh Masehi, peta dunia mula berubah, lalu beberapa negara bertukar daripada bukan Islam kepada Islam, suara azan berkumandang di sana sini. Belum pun selesai abad ke tujuh Masehi, dunia telah menyaksikan penganut agama Kristian dan Musyrikin yang suci fitrah dan akal mereka mengalu-alu kedatangan Islam dan memeluknya dengan erat setelah terbukti kepada mereka kebangkitan Nabi Muhammad saw tepat dengan apa yang mereka baca dalam kitab-kitab suci mereka dan dengan suluhan akal dan fitrah yang suci.

Al-Quran al-Karim menarik pehatian kita kepada beberapa contoh Ahl al-Kitab yang dirakam di dalam al-Qur`an dan menyanjung tinggi iman, amanah dan sikap mereka terhadapnya serta keikhlasan tatkala membaca ayat-ayat suci al-Qur`an, antara firman Allah:

لَيْسُوا سَوَاءً مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ آيَاتِ اللَّهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ، يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ. وَأُولَئِكَ مِنَ الصَّالِحِينَ وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَنْ يُكْفَرُوهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ [9]

Terjemahan: Ahli-ahli Kitab itu tidak sama. Di antara mereka ada golongan yang tetap menurut perintah Allah, mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Qur`an) pada waktu malam, dan mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan menyuruh berbuat segala perkara yang ma`ruf dan melarang daripada segala perkara yang mungkar dan mereka bersegera mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Dan mereka adalah dari orang-orang yang salih. Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (dihapuskan pahalanya) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.

Kita baca lagi firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ أُوتُواْ الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِن كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً وَيَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا[10]

Terjemahan: Sesungguhnya orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan sebelum al-Qur`an apabila dibacakan kepada mereka al-Qur`an, mereka terus menyembamkan muka mereka sujud dan mereka berkata: Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami itu tetap terkota. Mereka menyembamkan muka mereka menangis dan ia membuat mereka bertambah khusyuk.

Firaman Allah lagi:

وَكَذَلِكَ أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ فَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمِنْ هَؤُلَاء مَن يُؤْمِنُ بِهِ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الْكَافِرُونَ[11]
Terjemahan: Dan demikianlah Kami turtunkan kitab al-Quran kepadamu. Orang-orang yang Kami kurniakan kitab taurat dan Injil ada yang beriman kepada al-Qur`an dan di antara mereka (penduduk Makkah) ada juga yang beriman kepadanya, dan tiada orang yang mengingkar ayat-ayat Kami melainkan orang-orang yang kafir sahaja.

Sejarah silam menyaksikan perkembangan Islam di negara-negera majuriti penduduknya beragama Kristian pada permulaannya sangat lancar dan amat memberangsangkan, kemudian terbantut seketika kerana suasana dalaman masyarakat Islam sendiri lemah dan kucar kacir. Islam bukan sahaja berkembang di negara-negara penduduknya beragama Kristian, malah di negara-negara penduduknya beragama Majusi dan paganisme juga tidak kurang kepesatannya.

Penyebaran Islam ke Tanah Melayu berkembang lebih cemerlang lagi sepanjang tempoh antara abad ke-13 dan ke-16 Masihi. Agama Islam tersebar dengan meluas hampir ke seluruh Kepulauan Melayu dan menghakiskan pengaruh agama Hindu-Buddha yang bertapak berabad-abad lamanya di Tanah Melayu. Sejak itu, Islam telah berkembang pesat sehingga menjadi agama yang dianuti oleh majoriti penduduk di Kepulauan Melayu.

Seterusnya Islam semakin berkembang pesat berikutan kemunculan beberapa buah kerajaan Islam secara tiba-tiba di Pasai dan Perlak di persekitaran Selat Melaka pada abad ke-13 Masihi tanpa sebarang pertempuran bersenjata dan pertumpahan darah. Ini membuktikan pintu hiadayat sedia terbuka apabila disuluh akal dan fitrah suci sehingga mempu melihat kebenaran Islam. Mungkin pintu ini tidak mampu dibuka dengan kekuatan senjata seperti yang berlaku di negeri-negeri Islam sebelumnya.

Sesungguhnya asal di dalam Islam ialah keamanan bukan peperangan, kesejahteraan bukan pembunuhan. Islam menolak peperangan kecuali jika terpaksa kerana mempertahankan diri dan membebaskan laluan dakwah yang terhalang, itu pun setelah diberi tempoh dan amaran sebelumnya.

Islam dalam apa keadaan sekalipun menghormati nilai-nilai kemanusiaan. Justeru kita dapati peperangan di dalam al-Qur`an disyari`atkan kerana menentang kezaliman dan keganasan terhadap orang mu`min, malah Islam merangsang supaya nilai kasih sayang dikekalkan sekalipun terhadap kumpulan yang bermusuh, firman Allah:
عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ[12]
Terjemahan: Semoga Allah akan jalinkan hubungan kasih sayang kasih sayang di antara kamu dan orang-orang yang kamu musuhi dari golongan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa dan Allah Maha pengampun dan Maha Mengasihani.

Ayat menyatakan dengan jelas gambaran jihad di dalam Islam dan betapa jauhnya perbezaan di antara jihad dan peperangan suci sebagaiman difahami sesetengan penulis bukan Islam.

Sesungguhnya kebangkitan Nabi Muhammad terutama pada zamam Madinah telah menggariskan akhlak dalam peperangan, lalu diikuti khulafa` al-rashidin dalam setiap peperangan yang berlaku. Antara contoh ialah 10 perkara wasiat Abu Bakr al-Siddiq kepada Yazid Ibn Abu Sufyan tatkala menghantar tentera ke Syam:

إِنِّي مُوصِيكَ بِعَشْرٍ لَا تَقْتُلَنَّ امْرَأَةً وَلَا صَبِيًّا وَلَا كَبِيرًا هَرِمًا وَلَا تَقْطَعَنَّ شَجَرًا مُثْمِرًا وَلَا تُخَرِّبَنَّ عَامِرًا وَلَا ‏ ‏تَعْقِرَنَّ ‏ ‏شَاةً وَلَا بَعِيرًا إِلَّا لِمَأْكَلَةٍ وَلَا ‏ ‏تَحْرِقَنَّ نَحْلًا وَلَا تُغَرِّقَنَّهُ وَلَا ‏ ‏تَغْلُلْ ‏ ‏وَلَا تَجْبُنْ [13]

Terjemahan: sesungguhnya aku mewasiatkanmu 10 perkara: Jangan membunuh weanita, kanak-kanak dan warga tua, jangan memotong pokok yang berbuah, jangan memusnahkan kampung yang diduduki, jangan membunuh unta kecuali untuk dimakan, jangan membakar pokok tamar dan ditenggelamkannya, jangan mengkhianati harta ghanimah dan jangan lari dari medan peperangan.

Amalan ini diikuti berterusan para sahabat, tabi`in dan fuqaha` Islam sepanjang sejarah mereka dalam peperangan.

(98: 2) Insan sepanjang sejarah silam, dipimpin oleh dua pemimpin daripada dua aliran yang bertentangan haluan dan arah tuju, mereka tidak pernah bertemu sama ada pada hujung atau pangkal.
Pertama: Aliran yang berpedomankan wahyu yang dibawa para Nabi dan Mursalin kemudian disambut para Mu`minin. Kedua: Aliran yang berpedomankan nafsu yang diikuti para pelampau yang menyeleweng daripada kehendak akal dan fitrah.
Kebangkitan Nabi Muhammad saw adalah untuk membersihakan akidah manusia yang telah rosak, akibat dicemari pemerintah-pemerintah yang berlaku zalim terhadap akal dan fitrah mereka sehingga bertunjang sekian lama.

رَسُولٌ مِّنَ اللَّهِ يَتْلُو صُحُفًا مُّطَهَّرَةً (1)

[98: 2] Iaitu (kebangkitan) seorang Rasul dari Allah yang membacakan lembaran-lembaran suci (al-Quran).

Kebangkitan Nabi Muhammad saw sebagai Rasul merupakan keterangan yang jelas dan nyata. Jelas kebenarannya kerana seruannya berhikmah, gerak gerinya berdisiplin serta bertepatan dengan seruannya. Ajarannya pula bersih daripada sebarang penyelewengan dan khurafat, lalu memudahkan akal dan fitrah menerima dan mengamalkannya.

Ayat ini mengungkapkan tubuh badan Rasulullah saw sebagai keterangan yang jelas nyata kerana sememangnya tubuh badan Nabi saw merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran yang boleh disaksikan pada kesempurnaan akhlak dan perilaku baginda Rasulullah saw.

Sirah Rasulullah saw ada menyatakan, ramai kaum Musyrikin yang melihat Nabi saw pada kali pertama, lalu segera memeluk Islam sebelum diperdengarkan ayat-ayat Allah dan sebelum menyaksikan wajah-wajah i`jaz di dalamnya. Mereka berpuas hati dengan air muka Nabi yang terpancar padanya kebenaran dan pada kata-katanya yang manis dan lunak didengar.

Dimaksudkan dengan lembaran-lembaran suci dalam ayat ini ialah al-Qur`an al-Karim yang bersih dan sempurna, tiada sebarang kekurangan dan kelemahan padanya, firman Allah:

وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيزٌ * لا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلا مِنْ خَلْفِهِ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ [14]

Terjemahan: Sesungguhnya al-Qur`an itu sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, ia tidak sekali-kali didatangi kepalsuan dari arah hadapan dan tidak pula dari arah belakang, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Maha Terpuji

(98: 3) Apakah baha-bahan yang didapati di dalam lembaran-lembaran suci itu? Di dalamnya terdapat catatan-catatan yang sahih dan tidak dipertikaikan kebenarannya.

فِيهَا كُتُبٌ قَيِّمَةٌ (2)
[98: 3] Terkandung di dalamnya tajuk-tajuk yang bernilai. 
 
Di dalam suhuf itu terkandung kitab-kitab yang berinilai. Maksudnya di dalam kitab suci al-Qur`an ini mengandungi kitab-kitab suci yang diturunkan kepada nabi-nabi Ibrahim dan Musa as. sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah:

إِنَّ هَذَا لَفِي الصُّحُفِ الْأُولَى * صُحُفِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى*[15]

Terjemahan: “Sesungguhnya keterangan-keterangan ini tersebut di dalam Kitab-kitab yang terdahulu. Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa”

Ungkapan di dalam suhuf mengandungi kitab-kitab adalah ungkapan terbalik yang mempunyai ertinya sendiri. Ini kerana ungkapan sebenarnya ialah di dalam kitab terkandung suhuf. Ungkapan seumpama ini membawa erti betapa tinggi dan besarnya al-Qur`an kerana di dalamnya mengandungi segala suhuf yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu, ukurannya besar bagaikan kitab.

Kebesaran kitab suci al-Qur`an sebagaimana diungkpakan itu, sudah sewajarnya ia diturunkan pada malam al-Qadr, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Pengajaran dan Saranan

1: Ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw mengatasi segala agama dan ajaran-ajaran terdahulu. Kitab suci al-Quran adalah pengukur yang sebenarnya terhadap kesahihan dan kebatilan yang terkandung dalam kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya.

2: Kelebihan Islam antara lain ialah memberi tahu bahawa Ahli Kitab dan penyembah berhala tidak akan meninggalkan kekufuran mereka tanpa kedatangan bukti yang nyata, iaitu kebangkitan Nabi Muhammad saw.

3: Ahli Kitab dan Musyrikin ini tidak memelihara kesucian akal dan fitrah mereka. Justeru, mereka mendustai Nabi Muhammad saw sekalipun kebenaran Islam jelas kelihatan di depan mata mereka.

4: Agama-agama sebelum dan yang masih wujud pada zamannya tidak layak dianuti lagi kerana bercampur di antara kebenaran dan kebatilan, tidak mampu mendayakan manusia memperolehi hidayat sama ada Yahudi, Nasara mahu pun Majusi.

5: Sebahagian Ahli Kitab dan penganut-penganut agama samawi menunggu kebangkitan Nabi Muhammada saw dengan penuh sabar kerana mereka mengetahui tiada agama yang masih terpelihara keasliannya. Setelah Nabi dibangkit, sebahagian mereka beriman, manakala sebahagian yang lain pula menolak kerana sebab-sebab keperibadian.




[1] Aal `Imran: 110
[2] al-Taubah:30
[3] Al-Ma`idah: 72
[4] al-Ma`idah: 73.
[5] Maryam: 88-93
[6] Sila rujuk tafsiran Sabi`in pada pentafsiran ayat 62 al-Baqarah, Tafsir Pedoman Muttaqin, 1/223
[7] Ahli Kitab yang menjadi warga Negara Islam disebut Ahl al-Dhimmah (Penulis).
[8] al-Ma`idah: 5
[9] Aal `Imran: 113-115. Lihat “Menemui Kebenaran Islam”, Tafsir Pedoman Muttaqin, 4/233?
[10] al-Isra`: 107-109.
[11] al-`Ankabut: 47.
[12] al-Mumtahanah: 7.
[13] Muwatta` Malik, al-Jihad, al-Nahy`an Qatl al-Nisa` wa al-Wildan fi al-Gazw, hadth (858) daripada Yahya ibn Sa`id.
[14] Fussilat: 42.
[15] al-A`la: 18-19.




http://www.drhayei.com/2010/08/tafsiran-surah-al-bayyinah-89-ayat-1-3.html 

Comments

Popular posts from this blog