Ujian Bagi Orang Bijak

Ujian Bagi Individu Pintar & Berilmu
Mempunyai IQ atau tahap keintelektualan yang tinggi merupakan satu kebanggaan buat pemiliknya. Mereka juga kerap dipandang tinggi oleh rakan dan masyarakat.

Namun perlu diingat menjadi ‘bijak' adalah satu ujian Allah swt yang besar, malah ramai yang jatuh tertewas dengannya dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Demikian juga halnya bagi orang yang berilmu, ujiannya juga hampir sama.

Allah s.w.t berfirman : -
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Ertinya : Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan. ( Al-Anbiya : 35 )

Kebijaksaan minda adalah satu anugerah jika ia diarah kepada kebaikan, tetapi ia boleh menjadi malapetaka jika gagal dikawal dan dipandu.

Tekanan Perasaan

Seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat kewangan Islam pernah berkata kepada sebahagian pekerjanya, saya turut berada di waktu itu:

"Orang pintar sering tertekan disebabkan mereka menyangka semua orang boleh memahami sebagaimana ia memahami sesuatu perkara, bila didapati sebaliknya, ia tertekan dan menjadi marah" katanya yang mungkin menjelaskan keadaan dirinya. Wallahu a'lam.

Keadaan ini menjadikan seorang ketua yang bijak IQ nya sering mencampakkan hasil kerja pegawainya kerana tidak mencapai standardnya. Malah mulutnya juga semakin ringan untuk mengutuk, memaki dan mencarut kerana gagal menahan perasaannya. Berbekalkan kecergasan minda ditambah pula pengalaman, sesuatu perkara itu amat simple dan mudah untuk diselesaikan namun tidak bagi orang bawahannya.

Pertembungan ini menjadikan orang bijak sering menjadi mangsa tekanan perasaan.
"This is rubbish, stupid you!!"

Inilah antara kata yang terhambur dari lisan seorang CEO setelah meneliti dokumen laporan kewangan yang disediakan oleh pegawainya. Sedangkan pegawai itu menyiapkan kerjanya sehingga lewat malam, esoknya kata-kata itu yang diperolehinya. Akhirnya pegawai kewangan itu berhenti kerja beberapa bulan selepas itu kerana tidak tahan lagi dengan ayat-ayat yang dikeluarkan.

"Senang je ustaz jalan ke masjid kami ni, ustaz nampak stesyen Petronas, terus belok kiri dan kemudian belok kanan, nanti akan nampak menara masjid kami" Urusetia menjelaskan lokasi kepada saya.

"Petronas yang mana satu ni?" Tanya saya sambil pening-pening cuba membayangkan lokasinya.

"Ala petronas yang biasa tu le. yang besar sikit, senang je ustaz.." tegasnya.

" ok lah, nanti saya jumpa saya call"

Itu suasana biasa yang saya hadapi untuk ke tempat ceramah. Sudah tentu ia senang bagi mereka yang sudah ada ilmu tentang lokasinya, namun bagi mereka yang belum ada ilmu, ia sukar lagi mengelirukan.
Selain mereka yang pintar, mereka yang berilmu juga menghadapai cabaran tekanan perasaan penyoal-penyoal yang mengutarakan soalan teramat mudah, terlalu basic hingga adakalanya menjadi amat bosan untuk menjawabnya. Namun perlu sabar dan sabar. Akhirnya tanpa cara dan teknik yang betul, orang berilmu dan pintar diserang sakit stress, murung hingga akhirnya kehidupan diri dan keluarganya terkena tempiasan buruk.

Tekanan Bosan
Selain dari tekanan kerana orang sekeliling yang tidak mampu mencapai tahap pemikirannya, mereka juga berhadapan suasana kebosanan melihat perkara stereotype atau perkara yang sama berulang-ulang.

Ini adalah antara yang menimpa Sufiah dan Adi Putra. Mereka bosan dengan pelajaran yang telah mereka ketahui. Kerana kepintaran luar biasa mereka, mereka gagal menahan kebosanan berbanding pelajar pintar sederhana lain yang masih boleh belajar sehingga tamat.

Bapa Sufiah pernah mengatakan :-
"selepas berusia lima tahun, beliau menghantar Sufiah ke sekolah, tetapi anaknya hanya bersekolah selama tiga bulan kerana mengadu bosan dengan pelajaran di sekolah."

"Secara umumnya, pengetahuan Sufiah lebih terkedepan berbanding sukatan yang diajarkan di sekolah.


Hal yang sama berlaku kepada Adi Putra, di mana pada 16 & 17 Jan 2008, berita TV3 memaparkan Adi Putra yang bijak matematik terpaksa berhenti sekolah. Dia merupakan pelajar pintar matematik yang agak heboh diperkatakan beberapa tahun lalu semasa berumur 5 tahun. Tahun lepas dia memasuki Sekolah Islam Antarabangsa dibiayai antaranya oleh kerajaan Terengganu. Tahun ini dia telah berhenti atas logik alasan otaknya berenjin seperti Ferrari tetapi input sekadar seperti enjin Kancil.

Kehidupan para pensyarah Universiti setiap hari berfikir untuk menulis, mengkaji sesuatu yang baru dan jauh dari stereotype. Ramai dari pensyarah bijak pintar ini ingin dan suka menjadi the pioneer dalam sesuatu kajian. Malah itu juga merupakan kemuliaan bagi seseorang pensyarah dan itu juga yang diperlukan ketika anda ingin menulis thesis sarjana dan PhD. Walaupun kajian itu hanya difahami oleh segelintir kelompok masyarakat, ia tetap dianggap kepuasan bagi mereka. Tidak dinafikan ada yang tidak sedemikian malah lebih baik dan menyeluruh kajiannya.

Pengalaman saya menyiapkan ijazah sarjana di Jordan juga demikian, tajuk yang ingin dikaji mestilah belum ada yang menulisnya, jika sudah ada pun mestilah dari sudut yang berbeza.

Puaslah saya menyelongkar tajuk-tajuk tesis di perpustakaan pelbagai Universiti, dan beratus-ratus tajuk demi memastikan tiada persamaan.

Kehidupan di universiti memang selalu menjurus kepada berfikir secara kritikal dan perlu menghasilkan sesuatu yang lain dari orang lain namun mestilah berasas dan berfakta.

Keadaan inilah yang merawat kebosanan dari menjengah minda intelek para professor dan sarjana di Universiti.



Lagi Ujian si Pintar

Lihatlah betapa ‘kelembapan minda seseorang' itu satu ujian buatnya, demikian juga kepintaran melampau.

Ramai individu pintar tertekan dengan aqalnya, gagal dikawal perasaan dan tindakannya selepas itu. Hingga tersilap menggunakan minda yang bijak itu untuk tujuan yang bertentangan dengan Islam seperti merompak, menipu, mencipta virus, menghasilkan teori-teori jahat, merangka sistem computer, IT yang mengkayakan diri tanpa mengendahkan keburukan buat awam dan banyak lagi.

Selain itu, muncul juga mereka yang bijak begitu taksub dan besar diri dengan idea dan pemikirannya, sehingga semua idea orang lain dianggap pendek aqal serta tidak melihat apa yang diperkatakan secara mendalam.

Mereka adakalanya terlalu amat yakin dengan ideanya, terutamanya dalam isu yang tidak memerlukan fakta dan hanya hujjah umum serta logik. Sukar untuk membuktikan ideanya kurang tepat kerana ia bukanlah isu kira-kira matematik tetapi bentuk pemikiran.

Padahal ia telah tertipu dengan mindanya yang dirasakan sangat sangat tepat itu, sehingga menafikan kebenaran dari pihak orang lain sama sekali.

Jangan begitu. Kita hidup di dunia ini perlu menyedari bahawa masih ada orang yang bijak menyamainya atau melebihinya. Malah orang yang tidak sebijak mereka mungkin boleh memberi pandangan yang lebih tepat berdasarkan pengalaman. Pengamatan dari pengalaman luas boleh saja menewaskan idea dari aqal yang bijak tanpa pengalaman. Ada yang tertolak mengikut kajian teori aqal tetapi logik menurut pengalaman.

Bukanlah satu kesalahan untuk merasa amat yakin dengan idea sendiri, terutamanya apabila ia lahir dari kajian mendalam dan pemikiran yang jauh. Namun, jangan sampai menafikan seratus peratus idea orang lain. Kecuali ia dalam isu yang jelas seperti kira-kira 1 + 1 = 2, isu pengharaman riba dan apa-apa isu yang telah diputuskan secara kolektif atau diketahui keputusannya berdasarkan panduan jelas seperti isu riba dalam bank konvensional dan bentuk-bentuknya.

Para Ilmuan Agama Yang Pintar, Sabarlah

Imam Ahmad, ketika beliau diminta memberikan komentar dalam hal terdapat pendapat yang membolehkan solat sunat selepas Asar. Lalu ia memberikan respondnya :-

لا نفعله ولا نعيب من فعله
Ertinya : Kami tidak melakukannya dan kami tidak menyalahkan mereka yang ingin melakukannya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 ; Naqal dari As-Sahwah Al-Islamiyyah, Al-Qaradawi, hlm 347 )

Di dalam bab cabang dan khilaf, jangan pula terlalu tegas tanpa melihat keadaan sekeliling. Imam Ahmad sekali lagi pernah meninggal solat sunat sebelum maghrib, padahal ia berpandangan ianya sunat. Apabila ditanya, dijawabnya :

رأيت الناس لا يعرفونه
Ertinya : Aku melihat orang ramai tidak melakukannya ( As-Sahwah Al-Islamiyyah, hlm 353 )

Para ulama silam pernah menyebut :

من لم يطلع على اختلاف العلماء لم يشم رائحة الفقه
Ertinya : Sesiapa yang tidak mengetahui perbezaan fatwa para ulama, maka mereka ini belum lagi mencium bauan ilmu Fiqh (apatah lagi Fiqh itu sendiri)

Akhirnya bagi mereka yang dikurniakaan minda intelek dan sihat, ketahuilah ia merupakan satu cabaran untuk mengendalikannya sesuai dengan tuntutan kebenaran. Justeru, nasihat menasihatilah. Semoga kita semua selamat dari fitnah minda yang sihat.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Comments

Popular posts from this blog