Zina Umpama Barah Hancurkan Masyarakat

 


TIDAK pasti sama ada anda sebagai pembaca menyokong atau tidak tajuk yang diberikan di atas. Tapi bagi penulis itulah perumpamaan yang paling ideal bagi menggambarkan situasi buruk tersebut.
Gejala zina dan seks bebas begitu membarah di kalangan masyarakat kini. Keadaan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan ahli masyarakat yang tercari-cari di mana silapnya dan apakah langkah penyelesaian terbaik.
Tidak dinafikan banyak cadangan yang telah dikemukakan pihak kerajaan mahupun swasta bagi membendung masalah tersebut. Antara yang begitu hebat dibicarakan ialah pendidikan seksual di awal usia kanak-kanak. Persoalannya sejauh manakah kejayaan seksual yang telah dipraktikkan di negara barat dapat mengatasi gejala seksual yang begitu menular di negara kita.
Antara pertubuhan bukan kerajaan yang begitu prihatin untuk membendung masalah ini ialah Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia dan Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan kerjasama Persatuan Mawaddah Malaysia. Ketiga-tiga pertubuhan ini begitu tegas menyatakan pendirian bahawa pelaksanaan Syariah sepenuhnya adalah penyelesaian terbaik kepada masalah sosial yang sedang menular.



Advertise Here
Pun begitu para cendekiawan dari persatuan ini tidak menolak terus kepentingan melaksanakan pendidikan seksual sebagai langkah interim ke arah penyelesaian masalah semasa.
Antara kenyataan yang dikeluarkan ialah, pelaksanaan pendidikan seksualiti di sekolah ini perlu dibincangkan dan diperhalusi dari segi bentuk pengajaran dan pembelajarannya. Pendidikan seksual yang hendak dilaksanakan itu mestilah menyeluruh, melibatkan lima dimensi iaitu; biologikal, intelektual, emosi, sosial dan spiritual. Pendidikan yang hanya menekankan aspek biologikal tanpa input tentang nilai agama dan moral akan gagal membina jati diri anak-anak. Ia sekali gus menyebabkan gagal mengawal gejala zina yang semakin teruk kini.
Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, Maznah Daud berkata, mereka tidak menafikan usaha-usaha bagi menyelamatkan pembuangan bayi yang tidak berdosa.
“Wanita Ikram Malaysia menyeru supaya langkah penyelesaian yang lebih holistik dilaksanakan dengan meningkatkan usaha mencegah zina.
“Masyarakat perlu kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran agama masing-masing. Bagi umat Islam pula tiada pilihan lain kecuali kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW,” tegasnya pada Wacana Gejala Zina dan Pendidikan Seksualiti di Kompleks Komuniti Presint 16, Putrajaya, baru-baru ini.
Maznah menegaskan pendidikan seksualiti yang bakal dilaksanakan perlulah sentiasa dikaitkan dengan persoalan akidah, akhlak, tingkah laku mulia, jauh kemungkaran dan tidak pula mendatangkan kemudaratan orang lain.
“Kandungan pengisian pendidikan seksualiti itu perlulah mampu menjurus anak-anak yang dididik ke arah memahami diri sendiri dan seterusnya membawa mereka kepada mengenali serta patuh kepada Allah SWT sebagai tuhan mereka. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa bentuk pengajaran dan pendidikan seksualiti yang patut dibuat di negara ini adalah jauh berbeza dari apa yang dilaksanakan di barat,” ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Incoming search terms:

Comments

Popular posts from this blog