Bekalan ke Destinasi Terakhir.
Ketika saya mencari-cari keputusan apa yang patut saya buat, Allah telah memilih manusia-manusia mulia untuk mengutuskan sesuatu untuk saya fikirkan. Terima kasih Allah dan terima kasih kepada manusia-manusia yang sentiasa menulis perkara-perkara yang baik untuk difikirkan serta dimanfaatkan bersama.
Saya begitu tersentuh dengan kisah si penjual tempe yang tersiar di blog Ros Illiyyuun. Panjang kisahnya, kalau nak baca pergi ke blog dia(klik di sini).
Begitu juga ustaz/ustazah yang melahirkan hasil tulisan yang baik untuk pengunjung blognya antaranya Ummu Husna dan Ummu Abbas yang begitu bermanfaat hasil tulisannya. Semoga mereka mendapat ganjaran yang setimpal dari “Pemberi Ilham” kepada mereka.
Ya.., sebagai manusia biasa yang hina dina di sisi Penciptanya, sering saje apa yang dirancang tidak terjadi seperti apa yang diharapkan. Bukannya sesekali perkara tersebut terjadi malah berkali-kali tetapi tidak bererti saya telah putus harap, cumanya saya sebagai manusia berdosa dan bernoda sekadar meluah rasa. Tanpa disedari tersalah kira dan terlepas bukan pada tempatnya. Pun begitu saya kira tidak mengaibkan diri sendiri tetapi dengan niat di hati ingin memberi ingatan pada yang sudi untuk berfikir demi kebaikan diri anda sendiri mahupun ahli keluarga sendiri.
Ya…, memang saya akui seperti kata “Genta-Rasa” dari ustaz Pahrol,
“…Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.
Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, akan dikabulkan doa itu di akhirat kelak, insya-Allah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia lagi. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan di akhirat bererti syurga.
Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa hanya kerana doa kita belum ataupun tidak dikabulkan di dunia. Kita tahu doa itu akan menjadi “saham akhirat”. Oleh sebab itu, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita berdoa di dunia ini. Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat, mereka akan terus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini….”.
akhir tulisannya...“Dan jangan sekali lupa, apa yang telah Allah berikan kepada kita sebenarnya lebih banyak daripada apa yang sedang kita minta (doa)”.
Untuk tulisan penuhnya pergi sahaja ke blognya(klik di sini).
Setelah di fikirkan semasak-masaknya saya menangguhkan dulu segala projek yang separuh jalan ke satu tarikh yang belum di tetapkan. Rasanya saya tidak mampu lakukan berseorangan, saya perlu mencari orang yang boleh menjahit untuk saya. Mana yang ada didalam simpanan(tempahan dari kawan-kawan) akan saya selesaikan. Demi memberi laluan pada anak-anak yang diamanahkan juga mencari bekal untuk perjalanan ke destinasi terakhir kehidupan. Ditambah pula bulan Syaaban yang penuh dengan ganjaran dan Ramadhan yang bakal datang. Namun begitu yang telah sedia ada, tetap diteruskan.
Marilah kita kurangkan sedikit sahaja aktiviti duniawi demi mengumpulkan bekalan untuk akhirat yang kekal abadi.
Semalam(Jumaat) saya baru mendapat satu doa yang diberikan oleh ustazah Ruzimah untuk malam Nifsu Syaaban iaitu selepat kita membaca Yassin sebanyak tiga kali eloklah kita tambahkan doa seperti berikut,
“Ya Allah, sekiranya namaku berada dalam senarai orang-orang yang masuk Syurga maka kekalkanlah. Dan jikalau nama aku berada di dalam senarai orang-orang yang masuk Neraka maka pindahkanlah nama aku itu ke dalam senarai orang-orang yang ahli Syurga. Dengan berkat malam Nisfu Syaaban dan berkat kekasihMu nabi Muhammad s.a.w.” ameen.
Terima kasih ustazah Ruzimah yang sering mengingatkan kami. Semoga saya mampu melakukan apa yang disarankan.
Saya titipkan sedikit tentang malam Nisfu Syaaban, dari blog ustaz Halim(www.inijalanku.wordpress.com). Untuk baca tulisan penuhnya bolehlah anda kunjungi blog ustaz Halim sendiri.
Semoga anda semua mendapat manfaat darinya.
“…..Akhirnya nanti, secara amalinya, bangun malam (qiamullail) dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang Syar’iyy, merupakan salah satu taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) dan bukan bid’ah.
Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:
Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).
Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.
Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.
Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.
Akhir kata, Allahumma a’inni ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatik (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadaMu). Ameen ya rabbal alameen.”
Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com
Wallahua’lam.Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
http://ibumithali.com/2010/07/bekalan-ke-destinasi-terakhir/#more-1473
Comments
Post a Comment