Tak Lama, Kejap Je!
Zali merenung jam dinding.Sudah jam 7.15 malam.Dia gelisah.
"Cepatlah azan.... aku dah tak tahan ni", getusnya.Ketika itu aroma makanan menusuk jiwa dan sanubarinya,menyebabkan gelojak seleranya bagai air empangan yang tidak dapat lagi dibendung,yang akan menjadi air bah bila-bila masa sahaja lagi.
Tiba-tiba Zali dengan rakusnya meneguk air sirap yang dituang oleh ibunya di dalam gelas.
"Hei! Belum azan lagi!" Kata ibunya.
"Alamak,Zali tak tahan sangat dah bu,terliur sangat dah tengok sirap tu" jawab Zali dengan muka selamba.
"Rugi puasa kau satu hari ni nak,lagi seminit je nak azan,takkan tak boleh sabar sikit,sekejap je lagi.Dah tak pasal-pasal kau kena ganti satu hari.Ha, dah azan pun." Ibunya membebel melihatkan kegelojohan Zali.
"ya Allah....betul cakap ibu,sikitt je lagi.......ruginya aku....."Zali bermonolog sendiri di dalam hati dengan muka yang sugul.Mati terus seleranya untuk menjamah makanan memikirkan sikap tidak sabarnya yang merugikan dirinya sendiri.
Demikianlah suatu babak ringkas bagaimana ruginya seseorang yang tidak mampu bersabar.Secara logiknya,kita tidak akan teringin untuk melakukan seperti Zali dalam cerita di atas.Namun,relaitinya,ramai diantara kita adalah 'Zali' seperti cerita diatas.Ia adalah satu analogi bagaimana segelintir manusia yang tidak sabar dengan perintah Allah di dunia yang sekejap sahaja,yang menyebabkan mereka akan mengalami kerugian besar di akhirat.
Ada manusia yang tidak sabar dengan larangan Allah untuk tidak MINUM ARAK
Ada manusia yang tidak sabar dengan larangan Allah untuk tidak MENDEDAHKAN AURAT
Ada manusia yang tidak sabar dengan perintah Allah untuk MENJAUHI MAKSIAT
Ada manusia yang tidak sabar dengan perintah Allah untuk MENTAATI-NYA
Renungkanlah bagiamana layanan 'first-class' yang akan diberikan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar dalam menta'ati-Nya dan bersabar dalam menjauhi larangan-Nya.Orang-orang yang bersabar dalam menta'ati dan menjauhi larangan Allah akan berbicara dengan Allah:
"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun,
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan).
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." (Surah Ali 'Imran ayat 192-194)
Kemudian lihatlah bagaimana Allah memberi respon-Nya terhadap mereka ini:
"...Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)." (Surah Ali Imran ayat 195)
Allahu Rabbi...lihat lagi saudaraku,apa lagi yang Allah menceritakan kepada kita tentang nikmatnya mereka yang sabar ini:
"(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."(Surah Al-Hadid ayat 12)
Ayuh saudara-saudariku....marilah kita tanamkan azam untuk sama-sama bersabar dalam menta'ati Allah dan bersabar dalam menjauhi larangan-Nya..!Boleh,kan?Jom,sama-sama kita bersabar ibarat orang berpuasa menunggu saat berbuka.Tak lama,kejap aje!
Comments
Post a Comment