10 Wasiat Allah Subhanawataala


Ustaz Abdul Kadir mula bermuzakarah mengenai Surah Al-An’am ayat 151. Ustaz menerangkan bahawa sesiapa sahaja apabila membicarakan ayat ini pasti akan mengambil masa yang lama. Kerana apa? Kerana didalam ayat ini sehinggalah ayat ke-153 ianya terkandung wasiat Allah Subhanawataala kepada kita seluruh mukmin melalu Nabi Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wassalam.

Ustaz mula melontarkan lantunan ayat-ayat Allah dengan begitu indah sekali. Suasana malam membelah cuti di surau Al-Hikmah dengan ayat ini. Kami di Al-Hikmah cuba menghayati bacaan itu semuga nur Al-Quran ini memberikan seribu rahmat kepada sekalian jemaah yang hadir.

Ustaz memulakan muzakarah dengan doa yang ringkas “Ya, Allah, harapanku hanya kepada Mu, Zat yang maha mengetahui lagi Maha bijaksana. Semoga Engkau memberi petunjuk kepada hamba Mu yang lemah ini dan diliputi berbagai kekurangan ini. Semoga yang tersalah dari lembaran-lemabaran ini, dengan kasih dan sayang Mu dapat termaafkan. Ya, Allah, jadikanlah kami sebagai hamba Mu yang ikhlas dan sentiasa berjalan di atas petunjuk Rasul Mu – Sallallahu ‘alaihi wasallam. Amma ba’d”

Berikut ini, adalah sepuluh wasiat Allah dalam surah al An’aam, yang akan Al-Hikmah paparkan kepada para pembaca sebagai wujud dari kesyukuran dan kebahagiaan Al-Hikmah membaca dan mempelajari 10 wasiat tersebut. Terlebih dahulu izinkan Al-Hikmah merakamkan ayat tersebut di bawah ini.
Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (151) Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya). (152) Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa. (153) Quran Explorer – [Surah Al-An'am, Ayat : 151 - 153]
Ustaz menerangkan bahawa Allah ta’ala menurunkan agama yang mulia ini untuk mengeluarkan manusia dari jalan yang gelap gelita dan memimpin mereka ke jalan yang terang benderang. Untuk tujuan itu pula, maka Allah menurunkan kitab-Nya yang mulia sebagai pedoman dan tuntunan hidup buat mereka.
Allah ta’ala berfirman yang bermaksud:

“Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. (15) Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (16) .” (Quran Explorer – [Surah Al-Maidah, Ayat : 15 - 16])

Maka untuk menjadikan hidup manusia ini lebih bererti dan bermanfaat, haruslah mereka yakni manusia berpegang teguh dengan ajaran agama yang mulia ini. Tidak ada jalan yang mungkin mereka tempuh untuk meraih kebahagiaan hidup ini melainkan dengan berkomitmen terhadap agama Allah.

Pada hakikatnya, seluruh bahagian dari agama Allah adalah wasiat Allah kepada manusia. Wajib bagi mereka mengamalkan wasiat itu, jika mereka ingin mendapatkan kemuliaan dari Allah Subhanawataala.
Allah ta’ala berfirman menyatakan bahwa seluruh bahagian dari agama ini adalah wasiat-Nya (dengan maksud);
“Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nabi Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya…….” (Quran Explorer – [Surah Ash-Shura, Ayat : 13 - 13] )
Namun demikian, diantara ayat Allah ada beberapa ayat yang dikhususkan dengan disebutkannya ayat-ayat itu sebagai wasiat Allah. Pengkhususan ini tentunya memberi isyarat akan pentingnya kandungan ayat-ayat tersebut. Ayat-ayat yang dimaksud adalah tiga ayat dari surah al An’am, pada ayat 151-153, yang dikenal dengan istilah “al Washaaya al ‘Asyr” (sepuluh wasiat Allah).
Sepuluh wasiat tersebut adalah wasiat Allah yang abadi, yang telah diberikan kepada nabi dan Rasul sebelum Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, dan tidak pernah dihapuskan dalam syari’at manapun sehingga syari’at Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. sebagaimana  Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata;
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى وَصِيَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّتِي عَلَيْهَا خَاتَمُهُ، فَلْيَقْرَأْ :  ” قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ  “  إِلَى قَوْلِهِ  ” لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ “
“Barang siapa yang ingin melihat wasiat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, yang tertera diatasnya cincin mohor milik Beliau, maka hendaklah ia membaca firman AllahTa’ala:…(surah Al-An’am151-153, seperti tersebut di atas). [1].
Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata;
هذه الآيات المحكمات التي ذكرها الله في سورة ” الأنعام ” أجمعت عليها شرائع الخلق, ولم تنسخ قط في ملة.
“Ayat-ayat ini adalah merupakan ayat-ayat muhkam (jelas) yang telah disebutkan dalam surat “al An’aam”, seluruh syari’at mengakuinya, dan ayat-ayat tersebut bukanlah ayat-ayat yang telah dihapus (mansuh)”[2].
‘Ubadah bin Ash-shaamit radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
أيكم يبايعني على ثلاث ثم تلا رسول الله صلى الله عليه وسلم   “قل تعالوا   أتل ما حرم ربكم عليكم” حتى فرغ من هذه الآيات فمن وفى فأجره على الله ومن انتقص منهن شيئا فأدركه الله به في الدنيا كانت عقوبته ومن أخر إلى الآخرة فأمره إلى الله إن شاء عذبه وإن شاء عفا عنه
“Siapakah yang ingin membai’atku atas 3 ayat ini, kemudian Beliau membaca 3 ayat dalam surat Al-an’am (151-153). Setelah selesai membaca ke-3 ayat tersebut, Beliau bersabda; barangsiapa yang melaksanakan seluruh wasiat yang terkandung dalam ke-3 ayat tersebut, nescaya Allah ta’ala lah yang akan memberinya pahala. Namun barangsiapa yang melanggar salah satu dari wasiat tersebut, kemudian Allah ta’ala mengadzabnya di dunia, maka yang demikian itulah hukuman atasnya. Dan barangsiapa yang hukumannya diakhirkan oleh Allah ta’ala hingga hari kiamat, maka perkaranya kembali kepada Allah ta’ala; jika Ia kehendaki, Ia akan mengazabnya; dan jika Ia kehendaki, Ia akan mengampuninya” [3].

Kita panjatkan syukur kita kepada Allah Subhanawataala kerana dengan limpah kurniaNya kita masih bernyawa lagi untuk hari ini bagi kita sambung tajuk muzakarah mengenai 10 Wasiat Allah ini dengan Ustaz Abdul Kadir. Semalam Ustaz Abdul Kadir sempat mengupas wasiat yang pertama secara panjang lebar dan cukup menarik sekali untuk Al-Hikmah kongsikan di sini.
Wasiat yang pertama: Tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia.
Ustaz menerangkan bahawa semua benda baik yang nampak ataupun yang tidak nampak, semuanya berasal dari khazanah Allah Subhanawataala. Pada mulanya buah pisang berwarna hijau dan rasanya pahit tetapi lama-kelamaan berubah menjadi kuning dan rasanya menjadi manis. Jika tanah di bawah pohon pisang itu digali, tidak ada zat pewarna dan tidak ada gula. Begitu juga buah mangga, durian dan sebagainya, yang baunya sangat harum. Jika pohon itu dibelah, tidak akan diketemui buat dan zat pewangi di dalam batangnya. Firman Allah Taala yang bermaksud:
Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kamilah khazanahnya; dan kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran tertentu.” (Surah Al-Hijr: Ayat 21)
Maka Allah berpesan bahawa jangan sesekali kita manusia mempersekutukan Dia dengan sesuatu. Kita manusia kena yakin hanya dengan Allah Subhanawataala sahaja.  Kerana apa? Kerana seperti ayat ini, Allah Taala berfirman yang maksudnya:
Dan bahawasanya Dia yang memberikan kekayaan dan memberikan kecukupan.” (Surah An-Najm: Ayat 48)
Keadaan miskin dan kaya adalah diciptakan dan diaturkan oleh Allah Subhanawataala. Ada orang yang sengaja diberi kekayaan oelh Allah Taala, sebab apabila miskin, dia akan ingkar kepada Allah Subhanawataala. Sebaliknya ada orang yang diberi kemiskinan oleh Allah Taala, sebab apabila diberikan kekayaan dia tidak akan taat kepada Allah Subhanawataala.
Ustaz menerangkan lagi bahawa Makhluk tidak memberi manfaat atau mudarat tanpa izin Allah Subhanawataala. Makhluk tidak mampu memberikan manfaat dan mudarat tanpa izin Allah Subhanawataala. Allah Subhanawataala mampu menyelamatkan manusia di dalam asbab kecelakaan.  Allah Subhanawataala mampu mendatangkan manfaat (keselamatan) walaupun dalam asbab mudarat (kecelakaan), dan perkara ini hanya akan datang dari kesempurnaan Iman. Nabi Ibrahim Alaihi’salam telah diselamatkan oleh Allah Taala dalam unggunan api yang membakar, begitu juga Nabi Musa Alaihi’salam telah diselamatkan oleh Allah dalam air laut yang menenggelamkan Fir’aun laknatullah. Sedangkan Raja Namrud dibinasakan oleh Allah Taala di dalam istananya hanya dengan seekor nyamuk yang cacat yakni bersayap sebelah sahaja.
Demikian pula ketika Rasulullah Sallallahualahi’wassalam berhijrah dengan Abu Bakar As-Siddiq dan dikejar oleh kaum Qurais yang mana ketika keduanya bersembunyi di dalam gua Tsur, Abu Bakar Radhiallahu’anhu merasa bimbang kalau-kalau kaum Quraisy mengetahui tempat persembunyian mereka. Maka Rasulullah Sallallahualaihi’wassalam pun bersabda, “Janganlah engkau bimbang atau takut atau bersedih, sesungguhnya Allah Taala bersama kita!”.
Kemuliaan dan kehinaan ada di tangan Allah Subhanawataala. Walaupun manusia di seluruh dunia berkumpul untuk memberikan kemuliaan atau kehinaan kepada seseorang, nescaya tidak akan mampu berbuat demikian tanpa izin Allah Subhanawataala. Nabi Musa Alaihi’salam pernah bertanya kepada Allah Subhanawataala, “Ya Allah, Engkau yang menciptakan, memelihara dan memberi rezeki. Mengapa sebahagian manusia Engkau masukkan ke dalam Syurga dan sebahagian yang lain ke dalam neraka?”
Allah Subhanawataala lalu memerintahkan kepada Musa Alaihi’salam untuk menanam gandum. Setelah gandum ditanam, dipelihara dan dijaganya sehingga tiba masa menuai, Nabi Musa Alaihi’salam memilih biji-bji gamdum itu. Gandum yang berisi dimasukkan ke dalam guni untuk dibawa pulang, sedangkan yang tidak berisi dibuang untuk dibakar bersama jeraminya. Di tengah perjalanan, ia ditegur oleh Allah Subhanawataala, “Wahai Musa! mengapa sebahagian saja yang engkau pilih untuk dimasukkan ke dalam guni dan yang lain engkau bakar? Padahal engkau yang menanamnya dan yang memeliharanya?” Musa Alaihi’salam menjawab, “Yang bermanfaat aku ambil dan yang kosong aku buang kerana tidak berguna.” Lantas Allah Subhanawataala pun berfirman, “Wahai Musa, Demikian juga Aku! Yang bermanfaat Aku masukkan ke dalam Syurga-Ku dan yang tidak bermanfaat aku jadikan bahan bakar api neraka Jahannam!” (HR Ahmad ~ Az Zuhud)
Inilah yang kita semua kena usahakan yakni Yakin 100% kepada Allah Subhanawataala dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apapun. Tawajjuh kita hanya kepada Allah Yang Esa. Suka atau tidak suka, rela atau terpaksa, semuanya akan dilalui. Dunia ini nampak nyata, tetapi tidak lama lagi hanya tinggal cerita, sedangkan akhirat akan menjadi realiti. Begitu juga dengan kematian, yaknin tatkala keluarnya ruh dari jasad manusia, maka yang sekarang ghaib, kelak akan nampak; sedangkan yang sekarang nampak di dunia ini, kelak akan menjadi ghaib.


Ustaz Abdul Kadir dengan kupasan ayat 151 Surah Al-An’aam mengenai wasiat Allah Subhanawataala kepada kita. Ustaz menerangkan selepas Allah mengingatkan kita supaya jangan mempersekutukan sesuatu dengan Dia, maka Allah mengkehendaki kita supaya hayati wasiat yang kedua yang cukup penting ini, iaitu, Wasiat yang kedua: Berbuat baik kepada kedua Ibu Bapa kita
Sejak kita dilahirkan, kita telah dijaga, dibelai, dididik dan diasuh dengan begitu perihatin oleh kedua ibu bapa kita. Sewaktu kecil, apabila kita merengek di tengah malam buta, ibu kita dengan kerelaan hatinya terpaksa bersengkang mata untuk memujuk dan memberikan susu. Manakala ayah pula sibuk berusaha memastikan kehidupan keluarganya dalam keadaan yang baik agar kita dapat hidup dengan selesa dan sempurna. Itulah pengorbanan Ibu Bapa kita yang tiada tolok bandingnya.
Menurut Ustaz Abdul Kadir, banyak tempat Allah Subhanawataala berfirman mengenai berbuat baik kepada Ibu Bapa ini sepertimana firmannya di dalam Surah Al-Israa’ ,
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, dan janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun berkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun).” [Surah Al-Israa', Ayat: 23]
Dan juga di dalam surah Luqman Allah Subhanawataala berfirman lagi,
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Surah Al-Luqman, Ayat: 13-14]
Ustaz Abdul Kadir menerangkan bahawa kepada kita yang masih mempunyai Ibu Bapa maka kita masih berpeluang untuk berkhidmat kepada mereka. Walaupun kita tidak pernah derhaka kepada mereka tetapi kita kena berkhidmat kepada mereka terutama apabila mereka sudah tua dan uzur. Peluang ini jangan dilepaskan kerana Allah Subhanawataala berjanji bahawa ganjarannya adalah Syurga. Allahu Akhbar! Kita kena pupuk sifat rendah diri kepada kedua Ibu bapa kita. Sifat kasih sayang yang tiada tolok bandingnya. Jangan sesekali derhaka kepada mereka kerana takut nanti bau syurga pun tidak akan kita kecapi nanti.
Ada hadis Nabi yang perlu kita hayati, Abdullah ibnu Mas’ud Radhiallahuanhu berkata, “Aku bertanya kepada Nabi Sallallahu’alaihi wassalam tentang amalan apa yang paling dicintai oleh ALLAH? Baginda bersabda: “Sembahyang tepat pada waktunya.” Lalu aku bertanya: “Kemudian apa?” Baginda besabda: “Berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ayuh kita ambil iktibar dari cerita Al-Khomah ini. Dikisahkan di zaman Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam dulu ada seorang sahabat yang bernama Al-Khomah yang merupakan seorang anak yang soleh serta rajin beribadah baik ke masjid maupun ibadah lainnya seperti puasa dan zakat. Pada saat sakaratul maut menemui Al-Khomah, amat payah sekali untuknya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimah toyibbah, sampai akhirnya Rasulullah Sallallahu’alai wassalam menanyakan kepada sahabat yang lain apakah Al-Khomah ini masih memiliki ibu. Sahabatnya mengatakan masih ada dan Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam minta memanggil ibu kandungnya Al-Khomah. Ketika si ibu sudah hadir,  maka Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam menanyakan bagaimana kehidupan Al-Khomah. “Ya Rasulullah, dia ini anak yang sangat taat beribadah kepada Allah dan mengikuti ajaranmu dan sunnahmu”. Lalu Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam menanyakan bagaimana hubungan antara dia dengan ibunya. Serta merta ibunya menjawab bahawa Al-Khomah ini adalah seorang anak yang lebih mendahulukan isterinya daripada dirinya sebagai seorang ibu. Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam bertanya lagi apakah si ibu mahu memaafkan kesalahan Al-Khomah selama ini?, Si ibu menjawab bahawa dia tak mahu memaafkan Al-Khomah kerana kesalahannya itu.
“Ambilkan aku kayu api” demikian kata Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam kepada sahabat-sahabat yang menyaksikan hal ini. Kemudian Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam memerintahkan agar membakar jazad Al-Khomah yang sedang nazak itu. Serta merta ibunya memohon kepada Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam menangguhkan niatnya itu sambil menangis. Lantas Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam bertanya lagi apakah si ibu mahu memaafkan Al-Khomah dan sekiranya tidak maka Rasulullah Sallallahu’alaihi wassalam mahu membakarnya. Akhirnya si ibu sanggup untuk memaafkan semua kesalahan Al-Komah. Dan Akhirnya Al-Khomah boleh menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimah toyibbah.
Wahai pembaca setia Al-Hikmah sekarang semua sudah jelas kini mengapa kita perlu berbuat baik kepada ibubapa kita untuk mendapat redha Allah Subhanawataala dan juga Syurga Allah Subhanawataala. Kepada yang sudah tiada Ibu Bapa lagi setiap hari doakan untuk mereka. Berdasarkan Hadith Nabi : “Tidak akan terputus rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tua nya dalam sehari” Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah (seperti nikmat makan, nikmat kesihatan, nikmat kasih sayang, nikmat ilmu, nikmat kehidupan dan sebagainya).
Berdoalah untuk mereka….setiap hari dengan doa ini…
….. dan kemudian bacalah Surat Seorang Ibu ini sebagai iktibar….
 
_____________________________________________
 Rujukan:
[1]. Tafsir Ibnu Abi Haatim, (5/431)
[2]. Jaami’e al Bayaan li Ahkaami al Quran, oleh imam al Qurthubi, (7/132).
[3]. Tafsir al Quran al Adzhiim, (3/359)

http://www.alhikmahsj.com

Comments

Popular posts from this blog