Berwaspada : Syaitan Akan Menggoda Anak Adam Melalui 10 Pintu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iblis telah berjanji dihadapan Allah SWT bahawa dia akan menggoda dan menyesatkan seberapa ramai anak Adam di muka bumi ini supaya mereka akan bersama-samanya di neraka.

Iblis dan bala tenteranya terdiri daripada syaitan dan jin kafir akan bekerja siang malam tanpa jemu dan rehat untuk menyesatkan anak Adam yang leka dan lalai dan sentiasa mengikut hawa nafsu.

Firman Allah SWT maksudnya : " ... dan (syaitan) itu mengatakan, 'Aku pasti akan mengambil bagian tertentu dari hamba-hamba-Mu, dan pasti akan ku sesatkan mereka, dan akan ku bangkitkan angan-angan kosong pada mereka..."
(Surah an-Nissa' ayat 118-119)

Berhati-hatilah kalian semua dengan hasutan dan godaan syaitan, kerana syaitan telah bersumpah di hadapan Allah SWT bahawa mereka akan berusaha menyesatkan umat manusia sehingga hari kiamat. Ini berikutan dendam selepas dilaknati Allah SWT kerana enggan `tunduk' kepada Nabi Adam a.s.

Sahabat yang dimuliakan,
Syaitan sering menyerang kita melalui 10 pintu ini iaitu :

1. TAMAK DAN BURUK SANGKA.

Lantas aku hadapi dengan sifat menaruh kepercayaan dan berada dengan apa yang ada setelah berusaha berakhir.

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahwa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka kerana buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Hadis Riwayat Muslim)

2. CINTAKAN DUNIA DAN PANJANG ANGAN-ANGAN.

Lantas aku menghadapinya dengan rasa takut terhadap kadatangan maut secara tiba-tiba.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
 Nabi SAW. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".
 Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"
Nabi Muhammad SAW  menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud)

3. CINTAKAN NIKMAT DAN KEREHATAN.

Lantas aku menghadapinya dengan meyakini pemberian Allah dan segerakan amal soleh tanpa tanpa berehat-rehat kerana takutkan balasan seksa Allah.

Firman Allah SWT dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran :

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya : "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa".

4. UJUB (kagum dengan diri sendiri).

Lalu aku menghadapinya dengan menyukuri nikmat pemberian Allah dan takutkan balasaan dan seksaan daripada  Allah SWT.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub)."
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

5. PANDANG RENDAH TERHADAP ORANG LAIN DAN TIDAK MENGHORMATI MEREKA.

Lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.

 Sabda Nabi SAW  :

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِى قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ. قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً. قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya :  "Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong."

Berkata seorang lelaki, "Sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya cantik dan kasutnya cantik".
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan. Sombong ialah menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia."

Di dalam hadis ini kita dapati Islam amat menentang sifat sombong, takbur dan apa sahaja yang melambangkan keangkuhan kerana sifat sombong adalah perangai syaitan. Tiada manusia berakal yang berani menafikan betapa buruknya sifat ini apabila ia mula menjadi tabiat dalam diri seseorang. Oleh itu Islam datang membawa penegasan tentang keburukan dan kemudaratan sifat ini, bukan sahaja di dunia ini, malah kesannya turut berkekalan sehingga ke akhirat.

6. RIAK DAN SUKAKAN PUJIAN ORANG.

Lalu aku menghadapinya dengan sikap ikhlas dan tawaduk.

Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

7. HASAD DENGKI.

Lalu aku menghadapiya dengan sifat qanaah iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar serta reda di atas pemberian Allah SWT terhadap makhluk-Nya.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami jadikan sebagai isi Neraka Jahanam kebanyakan di antara jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat Allah. Dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah. Dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.”  (Surah al-Araf, ayat 179)

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)"

8. BAKHIL.

Lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa harta yang kita miliki adalah pinjaman sementara daripada Allah SWT ianya perlu di infakkan dan disedekahkan di jalan Allah SWT dan diberikan kepada orang miskin yang memerlukannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud , "Maafkanlah kesalahan orang yang murah hati (dermawan).Sesungguhnya Allah melihat tangannya jika dia terjatuh.Seorang pemurah hati dekat kepada Allah,dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga. Seorang yang bodoh tapi murah hati (dermawan) lebih di sukai Allah daripada seorang alim (tekun beribadah) tapi bakhil" (Hadis Riwayat Tabrani)

9. TAKBUR.

Lalu aku menghadapi dengan meyakini sifat tawakal dan rendah diri.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Dia (Allah) tidak menyukai orang yang takbur (mustakbirin) " (Surah An-Nahl ayat 23)

10. TAMAK.

Lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah SWT dan tidak mengharapkan sesuatu daripada manusia.

Rasulullah SAW  bersabda, maksudnya: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat”.
(Hadis Riwayat Ahmad)

Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan reda di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah S.W.T. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur).

Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita buangkan 10 sifat-sifat mazmumah yang dinyatakan di atas dengan digantikan dengan sifat-sifat mahmudah, kerana sifat-sifat tersebut adalah merupakan pintu-pintu iblis dan syaitan yang akan menggoda dan menghasut umat manusia supaya cenderung kepada kerosakan dan kehancuran. Iblis dan syaitan akan bergembira sekiranya ada dikalangan umat Rasulullah SAW yang tersesat kerana mereka akan bersama-sama dengan iblis dan syaitan di neraka Jahanam. Banyakkan bertaubat dan memohon perlindungan Allah SWT semoga kita terpelihara daripada gangguan dan hasutan makhluk halus yang mengeluarkan datuk kita Nabi Adam a.s dan Siti Hawa daripada syurga.






GODAAN SYAITAN

Comments

Popular posts from this blog