FAKTOR PENENTANGAN MANUSIA TERHADAP ALLAH


Para Ulama sering menekankan keprihatinan dan kepekaan mereka mengenai telatah serta gelagat umat Islam, khususnya yang melibatkan gaya hidup masyarakat umat Islam yang semakin tersasar daripada landasan Islam sebenar. la dapat disingkap dalam aspek hiburan dan sukan yang keterlaluan
yang disuburkan oleh pihak tertentu yang bertopengkan Islam, sedangkan realiti hidup mereka (pihak penganjur sesuatu program hiburan atau sukan tertentu) tidak mencerminkan minat mendalam kepada gaya hidup Islam.

Benarlah kenyataan ayat 7-9 daripada surah As Syams, Allah berfirman yang bermaksud, "Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenai) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)".

Kecenderungan jiwa atau hati manusia kepada perkara jahat merupakan naluri dan lumrah biasa, sebab itu Al Quran mendedahkan bahawa penghuni neraka lebih ramai daripada penghuni syurga. Kejahatan manusia menjangkau apa yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran, kerana penentangan bukan sekadar menolak kerasulan Baginda Nabi Muhammad S.A.W, menolak Al Quran, terlibat dalam rasuah, judi, meninggalkan solat, tidak berpuasa, merosakkan alam sekitar dan yang lebih parah lagi ialah menentang Allah dengan menghina hukum-hukum-Nya.

Justeru, mari kita menyingkap pandangan ulama berhubung faktor yang menyebabkan penentangan manusia terhadap Allah Taal selaku Pencipta mereka :

  1. Alpa terhadap matlamat sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini.
  2. Iman yang amat lemah terhadap rukun-rukun ipian yang enam.
  3. Jahil mengenai Allah, suruhan dan larangan-Nya, pahala dan dosa serta syurga dan neraka.
  4. Tidak waspada terhadap bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan kejahatan.
  5. Tertipu dengan habuan dunia hingga tidak mahu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah.
  6. Berputus asa daripada rahmat Allah (kasih sayang-Nya).
  7. Tidak mempercayai qada' dan qadar Allah malah mempertikainya.
  8. Berbangga dengan maksiat dan tidak memperakui dosa besar yang dilakukannya.
  9. Panjang cita-cita (banyak berangan-angan dalam perkara dunia).
  10. Berlebihan cinta kepada dunia hingga tidak menjalankan tugas utama sebagai manusia bernama Islam.
  11. Tersungkur dengan mengikut hawa nafsu yang rosak.
  12. Terlibat dalam perkara-perkara syubhat yang menjurus kepada kemurkaan Allah Taala.
  13. Ego dan sombong diri terhadap Allah, Rasul dan manusia seluruhnya.
  14. Suka bergaul (bercampur) dengan ahli maksiat dan menolak untuk bersama golongan yang soleh.
  15. Suka melakukan fitnah dalam masyarakat hingga memporak-perandakan hubungan sesama mereka.
  16. Merosakkan gambaran Islam dengan penggunaan istilah yang menyalahi konsep sebenar seperti melabelkan orang Islam yang berjanggut dengan pengganas dan Iain-lain.
  17. Bergelumang dengan ada-adat yang menyalahi hukum Syariat Islam.
  18. Meninggalkan tugas utama amar ma'ruf dan nahi mungkar.
Apabila individu Muslim mampu mengelakkan diri daripada 18 perkara di atas, pasti mereka akan meniti kejayaan sebenar. Tidak ada seorang pun yang boleh mengagak bagaimana nasibnya pada masa akan datang, sama ada akan jadi baik atau sebaliknya, semua itu telah ditentukan Allah dalam aspek qada dan qadar yang telah ditetapkan-Nya. Walau bagaimanapun, manusia perlu berubah jika keadaan dirinya pada masa kini tidak memperlihatkan bahawa dia seorang yang baik malah menyanggah banyak hukum Allah Taala.

Comments

Popular posts from this blog