Syukur akan nikmat Allah



Syukur dengan nikmat Allah yang mana Allah tidak pernah lupa untuk berikan kepada setiap makhlukNya setiap hari. Allahu Akbar!

Nikmat Allah sangat banyak sehingga tidak terkira dan terhitung banyaknya. Kekadang kita terlupa menilai dan menghargainya, bak kata pepatah kuman di seberang lautan kelihatan, gajah di depan mata tidak kelihatan. Walaupun Simpulan Bahasa ini membawa maksud kesalahan dan kesilapan orang lain nampak dan kesalahan dan kesilapan diri sendiri tidak nampak, mungkin masih sesuai kalau dibuat perbandingan bahawa kita sering nampak yang jauh dari diri kita terlebih dahulu sebelum terfikir apa yang ada di dalam diri sendiri, sebabnya sememangnya mata manusia fokus ke hadapan dan melihat apa yang berada di hadapan iaitu di lokasi yang terletak di luar bahagian badan dan mata itu sendiri pun tidak mampu melihat dirinya sendiri. Sampah masuk mata sendiri tidak mampu dikeluarkan tetapi sampah yang masuk ke dalam mata orang lain boleh pula kita membantu untuk mengeluarkannya.

Apabila direnungkan secara mendalam, ternyata memang banyak nikmat Allah yang telah kita terima dan gunakan dalam hidup ini. Demikian banyaknya sehingga kita tidak mampu menghitungnya. Allah berfirman, “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl: Ayat 18).
siri 1

siri 2

siri 3

siri 4

siri 5

Tidak diragukan lagi, untuk meraih kejayaan kita perlu meningkatkan rasa syukur kita terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita. Kitakan sudah belajar bagaimana manafaat syukur akan meningkatkan nikmat kehidupan kita. Namun, yang menjadi pertanyaan, kenapa masih ramai orang yang tidak atau kurang bersyukur? Atau ada juga orang yang sudah bersyukur, tetapi dia merasakan bahawa tidak ada tambahan nikmat sesuai dengan janji-janji Allah. Padahal Allah tidak pernah mungkir janji. Ini semua kerana cara bersyukur kita yang salah; kita ingat kita telah bersyukur padahal kita belum bersyukur. Astagfirullah!

Ayuh kita muhasabah diri ini dan amalkan tip-tip bersyukur ini.
Bagaimana cara meningkatkan rasa syukur?
  1. Luangkan waktu kita untuk merenungkan nikmat-nikmat yang sudah Allah berikan kepada kita. Nikmat itu sangat banyak, bahkan tidak terhitung. Jadi mengapa ramai orang yang mengatakan dia tidak mendapatnikmat? Kerana mereka kurang memberikan perhatian terhadap nikmat-nikmat yang sudah Allah berikan. Allah ulangi ayat ini berkali “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” dalam surah ar Rahmaan, dimana salah satu hikmahnya adalah agar kita lebih memperhatikan nikmat-nikmat Allah.
  2.  Berbaik sangka dengan Allah. Banyak nikmat yang tidak terlihat oleh kita. Kita sering menganggap bahawa nikmat itu harus dalam bentuk kebendaan, padahal lebih luas dari itu. Seringkali kita menganggap bahawa nikmat itu adalah sebuah pemberian, padahal Allah sudah menghindarkan kita dari suatu musibah yang asalnya akan menimpa kita. Mungkin tidak ada yang bertambah pada diri kita, tetapi terhindar dari musibah bukankah ini juga sebuah nikmat yang besar? Renungkanlah…
  3. Setelah kita mengetahui bahawa nikmat Allah begitu banyak, maka langkah seterusnya ialah memasukkan hakikat ini ke dalam hati kita agar melekat di dalam diri kita sehingga rasa syukur kita akan bertambah. Caranya ialah terus menerus mengingat nikmat dalam setiap waktu dan keadaan. Semakin hari sering kita mengingat nikmat Allah, akan semakin teruja dalam hati, maka rasa syukur pun akan meningkat.
Wahai sabahat-sabahatku, jika kita sentiasa bersyukur, nikmat kita akan ditambah oleh Allah sepertimana janji Allah di dalam ayat ini:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Telah diriwayatkan bahawa Nabi Musa Alaihis Salam pernah bertanya kepada Tuhannya: “Ya Robb, bagaimana caranya saya bersyukur kepada Engkau? Robbnya menjawab: “Ingatlah Aku, dan janganlah kamu lupakan Aku. Jika kamu mengingati Aku nescaya kamu telah bersyukur kepadaKu. Namun, jika kamu melupakan Aku, kamu telah mengingkari nikmatKu”.

Di zaman sekarang ini, ramai antara kita menunjukkan rasa bersyukur itu, namun dengan cara-cara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip syukur itu sendiri. Untuk itu, para ulama telah menggariskan tata cara bersyukur yang sebenar. Bagaimana? Yakni dengan cara beribadah dan memupuk KETAATAN kepada Allah Subhanawataala dan MENINGGALKAN maksiat, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Sallallahualaihi Wa Sallam.

Tapi sayang kita manusia cukup lemah, ketika ditimpa berbagai macam kesusahan kita akan segara berdoa dan berjanji untuk bersyukur pada Allah jika bencana itu dihindarkanNya. Akan tetapi, ketika Allah menghindarkan kita dari bencana itu, kita lupa bersyukur bahkan kembali mempersekutukan Allah Subhanawataala. Nauzubillah. Betapa ramai orang yang menangis, meratap, dan merengek-rengek meminta bantuan Allah Subhanawataal agar dihindarkan dari kesusahan hidup; masalah peribadi, soal pekerjaan, musibah, dan sebagainya. Akan tetapi, ketika Allah menghindarkan kita dari kesusahan, kita kembali lalai, bermaksiat, bahkan menerapkan cara kehidupan yang lain selain daripada aturan atau perintah Allah. Bukankah hal ini termasuk telah menyekutukan Allah Subhanawataala ? Fikir-fikirkanlah…..

Ini ada satu cerita yang tak ada kena-mengena dengan yang hidup ataupun yang telah mati. Ibaratkan satu hari ada seorang kawan kita menghadiahkan kita sebuah jam tangan yang mahal. Sukanya kita menerima pemberian tersebut sehingga namanya menjadi sebutan kita setiap hari..”Si polan tu baiklah, dia cukup murah hati, baik hati dan selalu bantu aku….” tapi cuba kita fikir jika kita tidak ada tangan, bolehkah kita menikmati pemberian sahabat kita itu tadi. Tangan adalah pemberian Allah kepada kita, kita patut bersyukur lebih lagi kepada Allah daripada menyebut nama si polan itu tadi.

Kita ambil contoh semasa kini, kenaikan harga barang keperluan harian yang sepertinya tidak terbendung mampu meletakkan masyarakat dalam kerisauan. Apa lagi bagi golongan berpendapatan rendah. Jadi kita sedar atau tidak telah mengeluh akan nikmat Allah yang lalu. Namun kemelut ini dengan tanda syukur boleh dihadapi dengan lapang dada sekiranya ada kesedaran kita orang Islam mengambil kebijaksanaan bagaimana mengurus kewangan agar supaya dapat menepati konsep kesederhanaan. Iaitu berjimat cermat, dan hanya membeli barang yang diperlukan saja (tidak mengikut kehendak hawa nafsu yang merosakkan), serta yang paling utama ialah tindakan yang diambil menepati jalan Allah. Dengan itu, ia dapat mengelak kemurkaan Allah dan sebaliknya memperoleh tambahan nikmatNya yang menjanjikan kesejahteraan sejati. Perhatikan saja firman Allah berikut yang mafhumnya:
(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. (16) (Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam) dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.” (Surah Al-Jinn: Ayat 16-17)


http://www.alhikmahsj.com

Comments

Popular posts from this blog