Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha


Rasulullah ﷺ bersabda maksudnya, "Tidak menjadi dosa besar perbuatan yang disertai istighfar dan bukanlah dosa kecil sekiranya dilakukan berterusan." (At-Tirmizi)

Rasulullah ﷺ bersabda lagi: "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Ibn Majah).


Tiada siapa yang terlepas dari berbuat dosa kecuali para Nabi dan Rasul-Rasul. Rasulullah ﷺ sendiri semenjak kecil Allah  (سبحانه وتعالى) pelihara dirinya dari terjerumus kepada dosa biarpun dosa kecil. Begitu pun baginda terpelihara dari dosa dan maksum, namun baginda bertaubat setiap hari tujuh puluh kali atau seratus kali.

قال أبو هريرة : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: والله إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة

'Demi Allah! Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya setiap hari lebih daripada 70 kali." (Bukhari: 6307)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم يا أيها الناس! توبوا إلى الله. فإني أتوب، في اليوم، إليه مائة مرة

Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah,sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah setiap hari sebanyak 100 kali (Muslim)

Perbuatan dosa dan maksiat mendatangkan kesan segera kepada jiwa dan perasaan manusia. Bagaimana rasa hati kita andainya berbuat salah kepada orang lain? Tentulah kita akan dilanda resah gelisah. Fikiran juga menjadi kalut dan kusut. Itu membuatkan hilangnya kebahagiaan hidup.

Bagaimana pula rasa hati andainya berpeluang minta maaf dan orang itu sudi memaafkan? Tentulah kita akan merasai seolah-olah satu beban berat yang selama ini dipikul sudah terlucut. Tentulah dapat merasai kelegaan yang amat sangat.

Sesungguhnya kita akan merasai seksaan jiwa yang lebih berat apabila berbuat berbagai dosa dan kemungkaran terhadap Allah  (سبحانه وتعالى). Tekanan perasaan yang dialami jauh lebih berat berbanding perlakuan derhaka seorang rakyat kepada rajanya, atau dosa seorang anak kepada ibu bapanya.

Allah  (سبحانه وتعالى) Maha Pengampun. Rahmat Allah  (سبحانه وتعالى) sangat luas berbanding kemurkaannya. Allah  (سبحانه وتعالى) mengasihi hambaNya lebih kasih berbanding seorang ibu kepada anaknya. Dan Allah  (سبحانه وتعالى) sangat Maha Mendengar hatta lintasan hati hambaNya. Dengan sebab itu sama ada kita berdosa atau tidak, sebagai hamba wajar sering merintih memohon keampunan dan mengharapkan rahmatNya.

Melakukan dosa besar andainya tidak bertaubat bersungguh-sungguh dan andainya kekal hingga ke Akhirat maka azab seksanya sangat dahsyat iaitu neraka. Sekiranya dosa itu sesama manusia dan tidak selesai ketika di dunia maka ianya akan menjadi hutang di Akhirat kelak. Pada ketika itu Allah  (سبحانه وتعالى) minta agar ditebus dosa orang itu dengan pahala yang kita miliki. Andainya tidak tertebus dengan pahala maka dosa orang itu pula akan berpindah milik kepada kita.

Dosa-dosa kecil Allah  (سبحانه وتعالى) gugurkan dengan memperbanyakkan amalan kebaikan dan kebajikan. Malah dosa kecil boleh gugur bersama titisan air wudhuk. Penghapusan dosa kecil juga berlaku melalui kesabaran dan keredhaan seseorang itu apabila ditimpa musibah. Namun itu tidak bererti kita boleh berbuat dosa kecil sewenang-wenangnya.

Kita juga perlu ingat bahawa pengampunan dosa itu adalah hak Allah  (سبحانه وتعالى). Manakala kita pula tidak dapat mempastikan dosa kecil yang mana dilupuskan oleh Allah  (سبحانه وتعالى). Sebagai hamba yang bertaqwa bukan sahaja dosa-dosa kecil itu dihindari, malah andainya tidak terlanjur kepada dosa pun dia tetap merasai berdosa.

Janganlah sekali-kali kita memandang kecil akan dosa, kerana dosa yang tidak terampun, walau sebesar habuk, pasti balasannya neraka. Ingatlah sabda Rasulullah ﷺ;

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا

”Sesungguhnya seorang mukmin memandang dosanya, seperti orang yang duduk di bawah sebuah gunung yang ia merasa takut jika gunung itu runtuh menimpanya. Sedangkan seorang pendosa memandang dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, lalu dengan menggerakkan tangannya sedikit saja, lalat itu akan terbang.” (Bukhari)

Ramai ulama-ulama sufi yang mengucapkan ungkapan ini, "Janganlah pandang kecilnya dosa namun lihatlah kepada siapa engkau sedang berbuat dosa."

Allah (سبحانه وتعالى) berfirman dalam hadis Qudsi:

Wahai anak Adam, betapakah kamu menderhakaiKu, sedangkan kamu akan terkejut dek panasnya matahari. Manakala neraka itu mempunyai tujuh tingkat. Dia mempunyai api yang sebahagiannya memakan sebahagian yang lain.

Pada setiap lapisan terdapat 70,000 lembah daripada api.
Pada setiap lembah itu terdapat 70,000 kampung.
Pada setiap kampungnya terdapat 70,000 rumah.
Pada setiap buah rumah itu terdapat 70,000 buah perigi.
Pada setiap buah perigi itu terdapat 70,000 buah peti daripada api.
ada setiap buah peti (keranda) terdapat 70,000 pohon pokok Zaqqum.
Di bawah setiap pokok itu terdapat 70,000 orang panglima daripada api.
Bersama setiap orang panglima itu terdapat 70,000 orang malaikat daripada api.
Juga 70,000 ekor ular daripada api. Panjang setiap ekor ular daripada api itu sepanjang 70,000 hasta.
Pada perut setiap ekor ular terdapat sebuah laut daripada racun hitam.
Manakala bagi setiap ekor kala ada 70,000 sengat.
Panjang setiap sengat kala itu 70,000 hasta.
Manakala pada setiap sengat itu terdapat 70,000 racun merah.

Maka demi diriKu, Aku bersumpah: "Demi Bukit Thur, dan Kitab (Taurat) yang ditulis. Pada lembaran (kulit halus yang terbuka). Dan Bait Al-Makmur. Dan bumbung yang ditinggikan (langit). Dan laut yang di dalam tanahnya ada api." (At-Thur: 1-6)

Wahai anak Adam, tiadalah Aku ciptakan api neraka itu melainkan untuk setiap:
1. Orang kafir.
2. Pengumpat dan penghasut.
3. Penderhaka ibu bapa
4. Orang yang riya'.
5. Orang yang enggan mengeluarkan zakat hartanya.
6. Orang yang berzina.
7. Pemakan riba.
8. Peminum arak.
9. Orang yang menzalimi anak yatim.
10. Saudagar yang menipu.
11. Perempuan yang meratap kematian.
12. Dan setiap orang yang jahat yang menyakiti hati jirannya.

‎"Melainkan sesiapa yang bertaubat, beriman dan melakukan amalan soleh, maka Allah akan menggantikan kejahatan-kejahatan mereka menjadi beberapa kebajikan untuk mereka, sedangkan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Furqan: 70)

Kerana itu kasihanilah diri-diri kamu, wahai hamba-hambaKu. Kerana sesungguhnya badan-badan kamu itu lemah. Perjalanan ke Akhirat itu jauh. Bebanan ke Akhirat itu berat (persoalannya). Titian Siratal Mustaqim itu halus (berbahaya). Tuhan Yang Memerhatikan itu sangat melihat. Manakala Maha Hakim ialah Tuhan semesta Alam.

Bertaubat adalah jalan pembersihan dari dosa, dan pelepasan dari banyaknya masalah di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud, "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar (bertaubat) maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan dan memberinya jalan keluar dari kesempitan dan memberi rezeki dari arah yang tidak diduganya." (Abu Daud)

Allah sudi menerima taubat orang-orang yang berdosa, selagimana mereka tidak berputus asa atau jemu bertaubat.

Firman Allah (سبحانه وتعالى)

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ يَوۡمَ لَا يُخۡزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ‌ۖ نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ بَيۡنَ أَيۡدِيہِمۡ وَبِأَيۡمَـٰنِہِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (At-Tahrim:66:8)

قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar:39:53)

وَأَنِيبُوٓاْ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُواْ لَهُ ۥ مِن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. (Az-Zumar:39:54)

Mari kita lihat beberapa panduan dari Ibrahim bin Idham seorang sufi yang warak dan dianggap mencapai taraf wali Allah. Beliau mendapat pimpinan Allah  (سبحانه وتعالى) dan perkataan beliau banyak mengandungi hikmah.

Suatu ketika Ibrahim bin Adham didatangi oleh seorang lelaki dan berlakulah satu dialog lebih kurang seperti berikut:

Lelaki:  Wahai Abu Ishak (panggilan kepada Ibrahim bin Adham), aku seorang lelaki yang penuh dengan dosa dan kezaliman, ajarkan aku agar hidup zuhud. Aku mengharap agar Allah memberipetunjuk jalan yang benar dan melembutkan hatiku yang keras.

Ibrahim: Apabila dirimu dapat memegang teguh enam perkara, tentu kamu akan mendapat keselamatan dunia dan Akhirat.

Pertama, manakala kamu akan melakukan maksiat janganlah kamu makan rezeki dari Allah.

Lelaki: Seluruh penjuru dunia, di Barat mahupun di Timur, di darat mahupun di laut, di lembah mahupun di gunung semuanya merupakan rezeki Allah, kalau begitu dari mana aku akan mendapatkan makanan?

Ibrahim: Wahai saudaraku, wajarkah kamu  makan rezeki Allah sedangkan kamu derhaka kepada Allah?

Kedua, apabila kamu berbuat maksiat jangan kamu  tinggal mendiami di mana-mana tempat kepunyaan Allah.

Lelaki: Abu Ishak, demi Allah, yang kedua ini lagi berat. Bukankah seluruh alam semesta ini kepunyaan Allah, kalau demikian di mana aku harus tinggal?.

Ibrahim:  Tentu tidak patut sama sekali kamu makan dan tinggal di bumi Allah sedangkan kamu menderhakai Allah.

Ketiga, andainya kamu hendak berbuat maksiat, anggaplah bahawa Allah itu lalai  dan lupa kepada kamu dan Allah tidak melihat.

Lelaki:  Mana mungkin aku berbuat demikian padahal Allah Maha Melihat, Allah Maha Mengetahui segala rasa dan gerak hati nurani manusia .Allah tidak pernah lalai, leka ,mengantuk dan tidur.

Ibrahim:  Layakkah kamu berbuat maksiat sedangkan Allah sentiasa melihat dan mengawasi segala gerak geri laku dan batin. Allah tahu apa yang telah lalu dan apa yang akan datang.

Keempat, tatkala malaikat maut datang kepadamu hendak mencabut nyawa katakan kepadanya; "Tunggu sebentar, aku mahu bertaubat dulu sebelum mati".

Lelaki: Ini satu hal yang mustahil, dan tentu sekali permintaan itu tidak akan dikabulkan.

Ibrahim: Kalau kamu sedar dan insaf bahawa tidak dapat menolak keinginan malaikat maut tentu dia akan datang kepadamu bila-bila masa saja malah sebelum dirimu sempat bertaubat. Malah kematian itu tidak diawalkan dan dilewatkan walau sesaat.

Kelima: Apabila Malaikat Mungkar dan Nakir datang kepadamu, lawanlah dan tentanglah dengan segala kekuatan yang kamu ada.

Lelaki: Di dalam semasa hidup ini banyak perkara yang tidak dikehendaki tetap berlaku sebagai tanda bahawa lemahnya diri ini menentang kehendak Allah, apatah lagi ketika sudah mati.

Ibrahim: Kamu tahu dan sedar tidak mampu melawan Mungkar dan Nakir tentu lebih mudah melawan nafsumu dari mendorong kepada maksiat.

Keenam, manakala kamu berada di hadapan Allah di Akhirat dan Allah menyuruh kamu masuk ke neraka kerana kamu berbuat maksiat ketika hidup, katakan kepada Allah; "Ya Allah, aku tidak mahu dan aku tidak bersedia masuk ke neraka."

Lelaki: Cukuplah wahai Abu Ishak. Sesungguhnya enam perkara ini sangat berat. Aku telah sedar dan mengerti. Hati aku juga merasa lega kerana memperolehi panduan yang dengan panduan itu sangat berguna untuk aku meninggalkan maksiat dan mendorong berbuat taat dan kesyukuran kepada Allah.

Sebagai zikir dalam bertaubat, saya sertakan beberapa kalimat-kalimat taubat yang boleh diamalkan:

لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَـٰنَكَ إِنِّى ڪُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Tiada Tuhan melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi diri sendiri. (Al-Anbiya:21:87)

رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ

Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi. (Al-A'raaf:7:23)



أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، رَبَّ الـْــبـَرَايـَـا
أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، مِــنَ الـْــخـَــطَايـَــا

رَبِّ ز ِدْنـِى عـِــلـْــمًـا نـَــافـِــعـًــا
وَوَفـِّــقـْــنـِــى عـَــمـَــلاً مـَــقـْــبـُــولاً
وَهَــبْ لـِــى ر ِزْقـًــا وَاسِــعـًــا
وَتـُــبْ عـَــلـَــيـْـنـَــا تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا

وَلـِــهـَــذَا سـِــر ِّ آدُهُ
فـِــى يـَــسـَــار ِى وَعـَــسـَــار ِى
أ َنـَــا عـَــبـْـدٌ صـَـارَ فـَــقـْــر ِى
إ ِنَّ فـَــقـْــر ِى وَالـضـِّــرَار ِى

وَالـْــكـَــفـَــانـِــى عـِــلـْــمُ رَبــِّــى
بــِالـْــسـُــؤَالـِــى وَاخـْــتـِــيـأر ِى
يـَــا إ ِلــَــهـِــى وَ مـَــلِــيــكـِــى
أ َنـْــتَ تـَــعـْــلـَــمْ كـَــيـْــفَ حـَــالـِــى


Terjemahan:

Aku mohon ampun pada Allah, Tuhan sekalian makhluk
Aku mohon ampun pada Allah, dari segala dosa

Wahai Tuhanku, tambahkan kepadaku ilmu yang berguna
berikanlah aku amalan yang dimakbulkan
Dan berikan kepadaku rezki yang meluas
Terimalah taubatku sebagai taubat nasuha

dan ini bisikan doaku padaMu
dan aku berharap agar Engkau permudahkan
Aku adalah seorang hamba yang fakir
Sesungguhnya kami fakir dam memerlukan

Dan cukuplah aku dengan ilmuMu ya Rabbi
Dengan soalan dan pilihanku
Ya Tuhanku yang menguasai diriku
Engkau Maha Mengetahui bagaimana hambaMu ini.

محمد فضلي بن يوسف
04 Jamadil Awwal 1432H
08 April 2011
http://www.masjidtmnperling.org/v1/index.php?option=com_content&view=section&layout=blog&id=2&Itemid=6

Comments

Popular posts from this blog