Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH”
(2 DISEMBER 2011 / 6 MUHARAM 1433H)

  
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah ,  mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah SWT dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH”

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Masa berlalu begitu pantas dan kini kita telah memasuki tahun baru hijrah yang sudah tentu menunggu kita dengan pelbagai peristiwa dan lebaran baru. Maka bersempena dengan kedatangan tahun baru ini seelok-eloknya kita luangkan sedikit masa dan waktu untuk kita melakukan muhasabah  supaya kita tidak lagi mengulangi kesalahan dan kekurangan terdahulu dan bertindak serta merancang dengan lebih bijak demi kecemerlangan dan kesejahteraan diri, bangsa dan negara serta berupaya menyinarkan keagungan Islam agar sentiasa berada di tahap yang tertinggi. Sesungguhnya hijrah Rasulullah SAW merupakan peristiwa besar dalam sejarah Islam yang tercetus melalui tindakan dan perancangan yang rapi serta perencanaan yang sistematik dan penuh berstrategik. Peristiwa hijrah juga menutut kita berubah untuk mencapai sesuatu kejayaan melalui usaha gigih dan konsisten serta semangat yang kental lagi tinggi.
 Bagi mencapai keagungan ini maka Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar dalam semua bidang kehidupan umat manusia termasuk konsep hidup bermasyarakat dan bernegara yang terkandung di dalamnya sistem keadilan, toleransi dan persefahaman. Persefahaman yang dimaksudkan disini ialah menjalin hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami antara satu sama lain dan hormat-menghormati. Umat manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan kriteria dan watak yang berbeza-beza.  Kita berbeza dari segi adat, budaya dan cara hidup serta amalan keagamaan.  Persefahaman yang wujud akan melahirkan ikatan jiwa yang ditunjangi dengan aqidah dan iman yang amat teguh kerana ikatannya berkait terus dengan Allah SWT yang bersifat kekal abadi. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13:
Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Apabila Islam muncul  Nabi  Muhammad SAW telah membawa pendekatan  yang unik  dalam mewujudkan perpaduan ummah iaitu menyeru umat Islam menguatkan persefahaman. Rasulullah SAW telah menyeru seluruh umat Islam dengan menunjukkkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warga negara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan. Dalam piagam Madinah yang telah dipersetujui dengan masyarakat bukan Islam, Rasulullah SAW telah mewajibkan ke atas semua penduduk  agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah dan tidak melakukan kezaliman. Antara yang termaktub dalam Piagam tersebut ialah: Sesiapa yang cenderung atau melakukan perkara-perkara yang menjejaskan perpaduan di kalangan warga Madinah, maka orang itu dikira sebagai mencabul kesejahteraan Madinah. FirmanAllah SWT dalam Surah Al-An’aam ayat 108:
Maksudnya :Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.


Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya persefahaman di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kerukunan hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada mereka yang menganut agama bukan Islam. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam(Ahli Zimmah) yang berada di bawah perlindungan Islam, maka sesungguhnya ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka sesungguhnya ia telah menyakiti Allah”.( Riwayat at-Tabrani).”
Begitu juga dalam membina persefahaman dan perpaduan dikalangan masyarakat Rasulullah SAW  telah membina masjid sebagai asas persaudaraan dan penyatuan, seterusnya mempersatukan dua golongan yang beratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khajraj. Berdasarkan penjelasan ini menunjukkan bahawa amalan persefahaman dan saling hormat menghormati adalah dasar yang paling penting bagi membina dan mengeratkan perpaduan serta memain peranan utama dalam menangani isu kemasyarakatan dalam sesebuah negara.
Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Persoalan besar timbul ialah apakah penyebab utama kepada persefahaman antara masyarakat?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa sikap kesederhanaan dan keseimbangan (Wasatiyyah)  merupakan asas bagi mewujudkan persefahaman. Wasatiyyah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu perkara itu secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama dan dalam masa yang sama agama Islam dapat dimartabatkan.Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:
Maksudnya:Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu..

Kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat untuk mencari kebenaran dan keadilan. Mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang  fizikal, iaitu berada  di tengah-tengah” Dalam menjamin  keharmonian hidup ajaran Islam telah mengajak kita agar berbicara dan berunding dengan cara yang baik melalui prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak-pihak yang lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Mimbar ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa jangan kita melampaui batas dalam apa perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan yang telah dipersetujui bersama. Semangat melampau yang berteraskan perkauman, taksub kepada kepimpinan dan ideologi serta sentimen kepartian yang sempit  akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Mimbar sekali lagi ingin mengingatkan para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa persefahaman adalah asas kepada perpaduan ummah dan ianya merupakan roh kepada kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, semangat kekitaan dalam masyarakat serta saling bantu membantu di antara satu sama lain. Ia juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan  sesama manusia dan dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk kita sama-sama berganding bahu bagi memakmurkan sesebuah masyarakat dan negara.
Dalam konteks negara kita dengan kebijaksanan kepimpinan pada hari ini yang menekankan perpaduan berlandaskan konsep 1Malaysia,  rakyat dapat menikmati kemakmuran hidup dengan saling menerima dan menghormati  antara satu sama lain dan pada masa  yang sama syariat dan aqidah Islam tidak diketepikan. Bagi mengerakkan negara ke hadapan sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 pihak kerajaan telah memperkenalkan model ekonomi baru yang berteraskan program transformasi ekonomi agar kehidupan sosial, ekonomi rakyat dapat ditingkatkan. Hakikatnya apa yang dilaksanakan pada hari ini merupakan satu proses penghijrahan sebagaimana yang dituntut oleh agama kita demi kesenangan hidup di dunia dan akhirat. Ternyata pada hari ini negara kita menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai model sehingga banyak negara luar yang menunjukkan minat untuk mengetahui rahsia kejayaan ini.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan tahun baru hijrah , mimbar menyeru semua umat Islam, marilah kita sama-sama membentuk ummah  yang terbaik dengan mengimbangi kehidupan kita secara saksama, adil dan bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Ambillah contoh tauladan yang telah digariskan oleh Baginda semasa pemerintahannya agar kita tidak tersasar daripada konsep hidup bermasyarakat yang sebenarnya. Renungilah kisan kejatuhan  negeri Saba’ sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran sebagai satu pengajaran. Negeri  yang penuh dengan limpahan nikmat daripada Allah SWT, namun akibat rakyatnya yang tidak bersyukur, tidak mahu bertaubat malah memilih untuk hidup bersendirian dan tidak menghiraukan orang lain, maka seluruh rakyatnya di timpa bencana, malapetaka dari Allah SWT. Mudah-mudahan  pengajaran kisah  Saba’ menjadikan kita sebagai hamba Allah SWT yang  sentiasa bersyukur dengan apa yang kita nikmati pada hari ini. Ingatlah bahawa hanya dengan persefahaman, semangat kental yang tinggi serta tindakan yang ikhlas dan istiqamah sahaja yang boleh membawa ummah ke arah kecemerlangan. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Anfaal ayat 46:
Maksudnya: " Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar. ."

Comments

Popular posts from this blog