Belajar Ilmu Faraid (Mirath)

by amirulasril


Pengenalan Ilmu Faraid

Ilmu Faraid ialah: “Ilmu berkenaan kaedah-kaedah fekah dan hisab (matematik) bertujuan untuk mengetahui habuan yang bakal diperolehi oleh setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati”.

 Untuk Ringkasan Kaedah klik SINI..


Apakah kelebihan mempelajari ilmu Faraid?
1. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Belajarlah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Dia akan dilupakan dan dia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku”. (Riwayat Ibu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
2. Berkata Saidina Umar r.a.: “Pelajarilah ilmu as-Sunnah, ilmu Faraid dan ilmu Bahasa (Arab) sebagaimana kamu mempelajari al-Quran”. (Diriwayatkan oleh Imam ad-Darimi, Ibnu ‘Abdil-Barri dan Abu ‘Ubaid/Kanzul-‘Ummal, al-Muttaqi al-Hindi, no. 29347)

Apakah tujuan mempelajari ilmu Faraid?
Untuk mengetahui bahagian atau habuan yang bakal diperolehi oleh setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati atau harta pusaka.

Apakah yang menjadi objek perbahasan ilmu Faraid?
At-Tarikah (التركة) iaitu harta peninggalan si mati.

Apa yang dimaksudkan at-Tarikah?
At-Tarikah atau harta peninggalan bermaksud segala harta yang ditinggalkan si mati selepas kematiannya sama ada aset tetap (seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya) atau aset berubah (seperti mata-wang, emas, perak dan sebagainya).

Apakah aspek-aspek penting yang perlu diketahui untuk mendalami ilmu faraid?
1.Mengetahui cabang-cabang nasab
2.Mengetahui siapa ahli waris dan siapa bukan ahli waris.
3.Mengetahui kadar atau bahagian yang akan diwarisi oleh setiap ahli waris
4.Mengetahui kaedah atau cara mengira (ilmu matematik dasar).

Apakah kewajipan yang mesti ditunaikan terhadap harta si mati?
Pertama; Diambil darinya untuk kos pengurusan jenazahnya.
Kedua; Kemudian, diambil darinya untuk membayar hutang-hutangnya; (pertama) hutangnya dengan hamba-hamba Allah dan (kedua) hutangnya dengan Allah.
Ketiga; Kemudian, dilaksanakan wasiatnya dengan syarat tidak melebihi 1/3 dari harta yang tinggal setelah ditolak hutang.
Keempat; Akhirnya, diagihkan kepada ahli-ahli warisnya.

Apakah rukun-rukun bagi sebuah perwarisan?
Rukun-rukun perwarisan ada tiga, iaitu;
1. al-Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta (yakni si mati)
2. al-Warith iaitu orang yang bakal mewarisi harta si mati.
3. al-Mauruth iaitu harta yang diwariskan oleh si mati.

Apakah faktor-faktor perwarisan?
1. Ikatan keturunan atau kekeluargaan
Ia merangkumi; a)Usul; iaitu ibu-bapa, datuk, nenek dan seterusnya. b)Furu’; iaitu anak, cucu, cicit dan seterusnya. c)Hawasyi; iaitu (pertama) saudara-saudara dan anak-anak saudara, (kedua) bapa-bapa saudara dan anak-anak bapa saudara.
2. Ikatan perkahwinan
Iaitu ikatan suami dan isteri.
3. Ikatan dengan bekas hamba (Al-Wala’)
Iaitu perwarisan seseorang dengan sebab ikatan antaranya dengan hamba yang telah dibebasnya.
4. Ikatan akidah (keislaman)
Iaitu seorang muslim yang mati jika ia tidak mempunyai sebarang ahli waris melalui sebab-sebab di atas, maka harta peninggalannya akan menjadi hak kaum muslimin yakni dimasukkan ke dalam Baitul-Mal.

Apakah syarat-syarat untuk mewarisi harta seseorang?
1. al-Muwarrith (orang yang mewariskan harta) telah pasti matinya.
2. Al-Warith (orang yang mewarisi) masih hidup ketika kematian al-muwarrith (si mati).
3. Dipastikan terlebih dahulu secara terperinci jenis hubungan antara waris dengan si mati yang menjadi faktor kepada perwarisan.
4. Tidak terdapat sebarang tegahan yang menghalang dari mewarisi harta si mati.

Apakah yang menghalang perwarisan?
1. Menjadi hamba
Seorang hamba tidak akan mewarisi kerana hartanya akan berpindah kepada tuannya.
2. Membunuh orang yang mewariskan harta.
Sabda Rasulullah s.a.w.;

القَاتِلُ لاِيَرِثُ

“Orang yang membunuh tidak mewarisi (harta dari orang yang dibunuhnya)”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
3. Berbeza agama (yakni antara Islam dan kafir)
Sabda Rasulullah s.a.w.;

لاَ يَرِثُ الْمُسْلِمُ الْكَافِرَ، وَلاَ يَرِثُ الْكَافِرُ الْمُسْلِمَ

“Tidak mewarisi seorang muslim dari seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir dari seorang muslim”. (Riwayat Muslim dari Usamah bin Zaid r.a.)

Comments

Popular posts from this blog