Mengemis tanpa hirau keselamatan


BELUM dapat dipastikan latar belakang wanita ini namun kehadirannya sudah mula meresahkan pengguna jalan raya.


JIKA anda pengguna Lebuh Raya Persekutuan, setiap kali menyusur keluar ke Jalan Batu Tiga, Shah Alam anda pasti berdepan dengan sekumpulan manusia yang sibuk mendekati kereta setiap kali lampu trafik bertukar merah. 

Kumpulan manusia tersebut juga boleh ditemui saat anda melalui Lebuh Raya Guthrie di sekitar kawasan yang sama. Wartawan Detektif Urban percaya ribuan pengguna lain juga pernah melalui situasi tersebut.

Sudah banyak pihak yang mengadu tentang sekumpulan orang yang kelihatan seperti bukan rakyat tempatan mengemis di jalan tersebut sehingga mengundang ketidakselesaan para pemandu.

Mereka bertindak mengetuk tingkap kenderaan untuk memancing simpati. Adakalanya mereka turut menawarkan sekeping surat menyatakan keadaan mereka yang malang dan pelbagai alasan lain yang turut tercatat sebagai menyokong aktiviti mereka.

Sama ada benar atau tidak, nasib mereka seperti yang dilampirkan dalam surat masih tidak ketahui memandangkan kebanyakan pemandu bertindak tidak ambil peduli terhadap mereka. Begitupun, ramai juga yang sanggup menghulurkan duit. 

Sama ada kita menyimpan keraguan mengenai status kerakyatan dan ketulusan tindakan meminta sedekah seperti itu, perkara yang lebih membimbangkan adalah golongan pengemis itu didalangi sindiket yang mengeksploitasi kesempitan hidup individu berkenaan.

Semasa Detektif Urban memantau aktiviti mereka yang bermula sekitar pukul 11 pagi, seorang lelaki berkopiah dengan sebuah beg sandang dan juga seorang wanita bertudung dan berjubah hitam sudah pun berada di lokasi masing-masing. 

Wanita berkenaan berdiri di jalan bertingkat dari Shah Alam menghala ke Lebuh Raya Ekspres Guthrie sementara lelaki itu di jalan bertingkat menghala ke Batu Tiga.

Melarikan diri

Namun, sebaik mereka melihat jurufoto Detektif Urban, lelaki berkopiah itu bertindak melarikan diri ke arah Batu Tiga, namun dia sempat menoleh beberapa kali untuk memeriksa kelibat jurufoto.
Jurufoto bagaimanapun berjaya mengambil gambar pengemis wanita tersebut. Dia dilihat lebih khusyuk meagih simpati para pemandu dari kereta ke kereta yang berbaris di persimpangan jalan.

Selepas beberapa minit jurufoto meninggalkan lokasi itu, lelaki tersebut kembali menjalankan operasinya tanpa menyedari gerak-gerinya berjaya dirakamkan lensa kamera.
 
Dia berterusan mengemis sehingga lewat petang, khususnya pada waktu kemuncak orang ramai kembali pulang dari tempat kerja masing-masing. Bilangan pengemis itu dilihat bertambah kepada empat hingga lima orang yang terus mengetuk tingkap kenderaan untuk meminta wang.

Walaupun ia bukan satu senario yang kerap dilihat di negara kita, kehadiran mereka tetap memberi imej buruk khususnya di jalan yang sibuk. Malah, ia sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada diri mereka sendiri.

Mungkin pihak berkuasa terlepas pandang atau sikap orang ramai yang ‘terlalu pemurah’ hingga tidak ambil peduli tentang kemungkinan sindiket mengeksploitasi golongan pengemis itu. Ia tetap meninggalkan impak negatif pada imej bandar raya Shah Alam.

 http://www.kosmo.com.my

Comments

Popular posts from this blog