Apa itu Salaf,Salafiyyah dan siapa Salafi Dan Nama-Nama Lain Bagi Mereka
Ramai
di kalangan para penuntut ilmu yang terkeliru apabila disebut kepada
mereka tentang perkataan Salaf, pelbagai definisi dan takrif yang keluar
dari mulut-mulut kebanyakan mereka yang tidak berdasarkan dalil dan
hujjah malah hanya mengikuti hawa nafsu,emosi dan kejahilan.Dalam
permasalahan ini mereka terbahagi kepada beberapa kelompok yang
masing-masing cuba menafsirkan golongan yang membawa panji-panji
al-Quran, al-Sunnah dan kefahaman salafussoleh dengan pelbagai label
seperti golongan wahhabi, golongan muda, salafi wahabi, salafi
syadid,jalur keras,ekstrim,pemecah belah dan pelbagai label lagi.
Apa itu Salaf,Salafiyyah dan siapa Salafi ?
Salaf menurut bahasa arab bermaksud golongan atau kaum terdahulu(nenek moyang) ataupun sesiapa sahaja yang mendahului kita sama ada ibu bapa kita atau kaum kerabat kita
[ Lisanul`Arab, 9/158,Qamus al-Muhit, 2/391]
Menurut
istilah pula,Salaf bermaksud generasi pertama dan terbaik dari kalangan
umat Islam, yang terdiri dari Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam,
para Sahabat, Tabi`in, Tabi` at-Tabi`in, dan para pengikut mereka yang
terdiri daripada para ahli Hadith, imam-imam yang membawa petunjuk pada
tiga kurun pertama yang dimuliakan oleh Allah ta`ala.Dasarnya ialah
firman Allah ta`ala:
وَالسَّابِقُونَ
الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ
اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ
وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ
فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Orang-orang
yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara
orang-orang muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka
dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah
dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir
sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Itulah kemenangan yang besar.
[ At-Taubah:100 ]
Mereka ialah golongan yang mendahului umat ini dalam menyahut seruan Islam, Iman, berjihad dan menegakkan agama Allah.Tidak syak lagi mereka ialah para sahabat Nabi sallallahu`alaihiwasallam.
[ Taysir al-Karim ar-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Mannaan, Dar al-Hadith, ms 365]
Tidak
perlu dinafikan lagi merekalah yang disebut Salafussoleh yang
mendahului kita dalam akidah, ibadah, jihad dan perjuangan.Mereka
meredhai Allah dan Allah meredhai mereka dan menjanjikan mereka ganjaran
syurga begitu juga bagi sesiapa yang sudi dan hendak mengikuti dan
menyelusuri jalan mereka.Jaminan ini dikuatkan lagi dengan pengakuan dan
jaminan Nabi sallallahu`alaihiwasallam seperti dalam sabda baginda
sallallahu`alaihiwasallam :
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Sebaik-baik
manusia adalah pada kurunku ini(para sahabat)kemudian yang
setelahnya(Tabi`in),kemudian yang setelahnya( Tabi`tabi`in).
[ HR Bukhari no: 3322, 3458, Muslim no: 4601 ]
Merekalah
sebaik-baik manusia yang wajib kita contohi dan ikuti dalam
akidah,ibadah, dakwah dan akhlak kita, hal ini kerana ianya merupakan Siratul Mustaqim (jalan yang lurus), dan merupakan perintah yang datang dari Allah ta`ala dan RasulNya agar mengikutinya.
Salafi
dan penisbahan golongan yang menisbahkan dengan nama ini juga adalah
sesuatu yang ditunjuk oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam bukan
sepertimana sangkaan sesetengah pihak yang memandang ianya sesuatu yang
tiada dasar dalam agama hal ini dibuktikan oleh perkataan baginda
sallallahu`alaihiwasallam kepada puteri kesayangannya Fatimah
radiallahu`anha:
نِعْمَ السَّلَفُ أَنَا لَكِ
Sebaik-baik Salaf bagi engkau ialah aku.
[ HR Bukhari no:6285,Muslim no:2450 ]
Berkata Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah:
Bukanlah
menjadi satu keaiban ke atas sesiapa yang menzahirkan Mazhab Salaf,dan
menisbahkan kepadanya dan berbangga dengannya,bahkan wajib menerimanya
dengan kesepakatan,kerana Mazhab Salaf tidaklah ada melainkan ianya
benar.
[ Majmu` Fatawa 4/149 ]
Perlu diperbetulkan juga bahawa mereka bukanlah satu pertubuhan berdaftar,organisasi,gerakan teroris atau parti politik seperti difahami segelintir orang.Mereka disebut salafi kerana mereka mengikuti manhaj Salafussoleh
iaitu para sahabat, Tabi`in,Tabi`tabi`in kemudian para imam dan
ulama`yang mengikuti manhaj mereka hingga hari kiamat.Selain dari
menisbahkan diri mereka kepada Salaf mereka juga terkenal dengan
beberapa nama lain yang juga diambil berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan
kefahaman Para Sahabat, antara lain ialah:
1. Ahli Sunnah wal Jama`ah
Nama ini adalah nama yang paling dominan sehingga ramai kelompok sesat
dan menyeleweng turut mendakwa mereka adalah ahli Sunnah.Dasar nama
ahli Sunnah wal Jama`ah ini berdasarkan firman Allah ta`ala:
يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ
pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram
[ Ali-Imraan:106 ]
Berkata
Ibnu `Abbas radiallahu`anhuma: iaitulah pada hari Kiamat kelak, ketika
muka-muka ahli Sunnah wal Jama`ah putih berseri, manakala muka-muka ahli
Bid`ah wal-Firqah hitam dan muram
[ Tafsir al-Quran al-`Azhim,Ibn Kathir, 2/91 ]
Daripada Anas bin Malik Radiallahu`anhu,katanya: Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam telah bersabda:
إِنَّ
بَنِي إِسْرَائِيلَ افْتَرَقَتْ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
وَإِنَّ أُمَّتِي سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ
Sesungguhnya
Bani Israil berpecah kepada tujuh puluh satu kelompok, dan sesungguhnya
ummatku akan berpecah kepada tujuh puluh dua kelompok kesemuanya di
dalam neraka kecuali satu iaitulah Al-Jamaah
[ HR Ibn Majah no:3983,Abu Dawud:3981,At-Tirmidzi no:2565.dishahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalamSilsilah As-Shahihah ]
Dalam riwayat At-Tirmidzi:
وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
Sahabat bertanya: Siapakah Dia (Al-Jamaah itu) wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.
2. Ahli Hadith
Firman Allah Ta`ala:
يَوْمَ نَدْعُوا كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ
(ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia Dengan nama imamnya;
[ Al-Isra`:71]
Berkata sebahagian Salaf: Ini merupakan kemuliaan yang terbesar bagi Ahli Hadith kerana Imam mereka ialah NabiSallallahu`alaihiwasallam.
[Tafsir Al-Quran Al-`Azhim, Ibn Kathir 5/103 ]
Berkata
Syeikhku, Al-Muhaddith Syeikh Yahya bin Ali Al-Hajurri Hafizahullah
ketika menafsirkan ayat dia atas dalam pelajaran Tafsir Ibn Kathir:
Maka perkataan sebahagian Salaf ini rahimahumullah tidak ada syak lagi
akan kebenarannya,akan tetapi ayat ini umum meliputi golongan awam di
kalangan Ahli Tauhid.[ -selesai perkataan beliau-]
Mereka
juga dikenali dengan ahlul Hadith disaat ramai manusia yang menolak
hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam dan tidak mahu beramal
dengannya.Dasarnya ialah hadith:
لَا
يَزَالُ مِنْ أُمَّتِي أُمَّةٌ قَائِمَةٌ بِأَمْرِ اللَّهِ لَا
يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ
أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ
Sentiasa
ada segolongan dari ummatku yang selalu menegakkan perintah Allah,
tidak akan mencelakai mereka orang yang tidak menolong mereka dan
orang-orang yang menyelisihi mereka sampai datang perintah Allah dan
mereka tetap berada di atas yang demikian itu.
[ HR Bukhari no:3369,6906, Muslim no: 3544, 3548 ]
Berkata Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah:
إِنْ لَمْ يَكُونُوا أَهْل الْحَدِيث فَلَا أَدْرِي مَنْ هُمْ
Kalaulah mereka bukan ahli Hadith maka aku tidak tahu siapa lagi mereka.
[ Fathul Bari, Ibn Hajar al-`Asqalani 20/368 ]
Begitu juga yang berpendapat mereka adalah ahli hadith ialah `Ali Ibn al-Madini dan Imam al-Bukhari.
[ Tuhfatul al-Ahwazi, 6/11 ]
Berkata
Qadhi al-`Iyyadh: Sesungguhnya apa yang dimaksudkan oleh Imam Ahmad
ialah mereka ialah sesiapa sahaja yang
beri`tiqad(berpegang,berkeyakinan,melazimi)mazhab ahli Hadith.
[ Syarah Shahih Muslim An-Nawawi, 6/400 ]
Berkata Ibn Qutaibah Rahimahullah:
Adapun
ahli Hadith sesungguhnya mereka mencari al-Hak (kebenaran) dalam
segenap aspek dan mereka mengikutinya daripada keyakinannya dan mereka
mendekatkan diri kepada Allah dengan ittiba`nya(mengikuti)sunnah-sunnah
Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam dan pencarian mereka terhadap
Athar-atharnya,dan khabar-khabarnya baik melalui jalan daratan mahupun
lautan,baik timur ataupun barat, dikalangan mereka terdapat yang
berjalan kaki dengan penuh semangat semata-mata untuk mencari satu
khabar atau satu As-Sunnah sehingga dia mengambilnya daripada perawinya
secara musyafahah(langsung) kemudian mereka terus menerus menyelidiki
tentang khabar-khabar dan mengkajinya sehingga mereka mengetahui yang
shahihnya dan yang dha`ifnya yang nasikhnya dan mansukhnya dan mereka
mengetahui sesiapa yang menyelisihinya di kalangan Fuqaha` (ahli fiqh)
yang menggunakan ar-ra`y(pemikiran) dan mereka memperingatkan hal
tersebut sehingga terbit kebenaran ketika dulunya terhapus dan ianya
menjadi tinggi selepas ianya dipelajari dan dikumpulkan yang mana
sebelumnya ianya terpisah-pisah dan berpecah-pecah dan kritikan terhadap
As-Sunan bagi sesiapa yang berpaling terhadapnya dan memperingati ke
atasnya bagi sesiapa yang dalam keadaan lalai dan berhukum dengan
perkataan Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam sedangkan sebelumnya
mereka berhukum dengan perkataan fulan dan fulan…..[ selesai perkataan
beliau ]
[ Ta`wil Mukhtalaf Hadith: 73 ]
3. Tho`ifah al-Mansurah(Golongan yang Mendapat Pertolongan)
Mereka juga disebut sebagai Tho`ifah al-Mansurah,
iaitulah kelompok atau golongan yang diberi pertolongan oleh Allah
ta`ala,hal ini berdasarkan hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam:
لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي مَنْصُورِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ
Sentiasa
akan ada segolongan dari ummatku mereka diberikan pertolongan dan tidak
dapat mencelakai mereka orang-orang yang menyelisihi mereka sehingga
datangnya hari kiamat.
[ HR Ibn Majah no:6,Shahih Sunan Ibn Majah , 1/78 ]
4. Ghuraba`( Golongan Yang Asing)
Mereka
juga disebut sebagai Ghuraba` kerana betapa asingnya mereka disisi
manusia, Hal ini sepertimana hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam:
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Islam
bermula dengan asing, dan nanti akan kembali asing sebagaimana awalnya,
maka beruntunglah bagi al-Ghuraba`(Orang-orang yang asing)
[ HR Muslim no:208 ]
Al-Ghuraba` sepertimana yang dijelaskan oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam:
الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي
Mereka ialah orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang dirosakkan oleh manusia selepas peninggalanku
[ HR Tirmidzi no:2554, Berkata Imam Tirmidzi: Hadith ini Hasan Shahih ]
Dalam riwayat lain disebut:
أُنَاسٌ صَالِحُونَ فِي أُنَاسِ سُوءٍ كَثِيرٍ مَنْ يَعْصِيهِمْ أَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيعُهُمْ
Orang-orang
yang shalih yang berada di tengah-tengah banyaknya orang-orang yang
jelek, orang yang menentang mereka lebih banyak dari yang mentaati
mereka.
[ HR Ahmad no:6362 ]
Di dalam kitab al-I`tishom, Imam Syatibi rahimahullah membawakan satu riwayat yang menjelaskan lagi maksud al-ghuraba`;
الذين يحيون ما أمات الناس من سنتي
Iaitulah mereka yang menghidupkan sebahagian Sunnahku yang telah dimatikan.
Berkata Muhaddith Syam Syeikh Salim bin `Eid Al-Hilali Hafizahullah:
Mereka
ialah sesiapa yang berjalan di atas manhaj Sahabat, dan Tabi`in (mereka
yang mengikuti sahabat) dengan baik dalam berpegang dengan Al-Kitab dan
As-Sunnah, dan mendahulukan keduanya di atas kesemua perkataan baik
dalam manhaj, atau `Akidah,
atau `ibadah, atau mu`amalah, atau akhlak, atau siasah, atau setiap
urusan daripada urusan-urusan kehidupan baik yang kecil mahupun besar.
[ Al-Jama`aat Al-Islamiyyah Fi Dhau` Al-Kitab wa As-Sunnah bifahmi Salafil Ummah:59 ]
Berkata Muhaddith Yaman Al-Imam Muqbil Al-Wadi'i Rahimahullah :
"Dan
diantara yang wajib diperhatikan adalah bahawa semua kelompok
menyatakan dirinya sebagai Firqatun An-Najiyah. Akan tetapi Al-Kitab dan
As-Sunnah telah menjelaskan tentang siapakah Firqatun An-Najiyah ini".
Kemudian beliau berdalil dengan surah Al-'Asr dan Al-Mu'minun ayat 1-11
dan menyebutkan hadith Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Al-Imam
Bukhari:
(كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى). قالوا: يا رسول الله ومن يأبى؟ قال: (من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى)
"Seluruh
umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan." Mereka (para
shahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?"
Maka dijawab: "Barangsiapa mentaatiku, maka dia akan masuk Syurga dan
barangsiapa bermaksiat kepadaku, maka dia sungguh telah enggan (untuk
masuk Syurga)."
Kemudian
beliau melanjutkan perkataannya: "Maka siapa saja yang terpenuhi
padanya sifat-sifat yang tersebut di dalam surat Al-'Asr dan Al-Mu'minun
serta hadith ini, maka dia termasuk Firqatun An- Naajiyah, dan orang
yang paling dekat dalam memenuhi sifat-sifat tersebut adalah ahli hadith."
[Riyadhul Jannah Fi Radd `Ala `Aadaais-Sunnah:23 ]
Benarlah
memang mereka golongan yang asing ini ialah mereka yang soleh(baik)
sentiasa berpegang dan mengamalkan Tauhid dan sunnah ketika ramai
manusia yang mengamalkan syirik, bid`ah dan maksiat, mereka sentiasa
kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah serta kefahaman Salafussoleh
apabila berlaku perselisihan di kalangan mereka. Mereka berpegang teguh
dengan Al-Jamaah .Mereka menjauhi perpecahan dan Hizbiyyah Bilangan mereka sangat sedikit berbanding golongan yang mencela,menentang dan mengingkari mereka.
23 Jamadil Akhir 1432H/26 Mei 2011M
Universiti Islam Madinah An-Nabawiyyah
Comments
Post a Comment