Hindari buruk sangka
DALAM surah al-Hujaraat (QS49), Allah SWT
menekankan tentang ukhuwah, baik sesama Muslim mahupun sesama manusia.
Ukhuwah, yang biasa diertikan 'persaudaraan,diambil dari akar kata yang
pada mulanya bererti 'memperhatikan'.
Makna asal kata ini memberi kesan bahawa persaudaraan mengharuskan adanya perhatian dari semua pihak yang merasa bersaudara.
Perhatian itu dicurahkan kerana adanya persamaan antara pihak-pihak
yang bersaudara, sehingga makna asal tersebut kemudian berkembang dan
pada akhirnya bererti 'persamaan dan keserasian' dengan pihak lain.
Bahkan mencakup persamaan dalam salah satu sifat seperti kemanusiaan,
suku, agama, profession, perasaan dan sebagainya. Dalam kamus-kamus
bahasa, ditemukan kata 'akh' yang dibentuk dari kata ukhuwah digunakan
juga dalam maksud teman akrab atau sahabat, yang tentunya terjalin
kerana adanya persamaan antara mereka.
Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara
muslim yang satu dengan muslim yang lainnya merupakan sesuatu yang harus
dijalin dengan sebaik-baiknya.
Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa setiap mukmin itu
bersaudara, seperti dalam firmannya yang bermaksud, "Sesungguhnya
orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua
saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."
(Surah al-Hujuraat, ayat 10)
Seterusnya, Allah SWT telah memberi amaran, "Hai orang-orang yang
beriman janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (karena) boleh
jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik dari mereka (yang
mengolok-olok) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olok)
wanita-wanita lain (karena) boleh jadi wanita-wanita (yang
diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olok) dan
janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil
memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah
(panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak
bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah
al-Hujuraat, ayat 11)
Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh
dan memantapkan persaudaraan harus suburkan dan dipelihara, sedangkan
segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus
dihilangkan. Agar hubungan ukhuwah Islamiah itu tetap terjalin dengan
baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah Husnuzh Zhan
iaitu 'berbaik sangka'.
Oleh itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu
yang berkait dengan peribadi seseorang apatah lagi seorang Muslim, maka
kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum
mempercayainya, apatah lagi memberi respons secara negatif.
Allah berfirman yang maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika
datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka
selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak dingini dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang
kamu telah lakukan." (Surah al-Hujuraat, ayat 6).
Manafaat berbaik sangka
Ada banyak nilai dan manafaat yang diperolehi seseorang muslim apabila memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.
Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan akan menjadi lebih
baik. Berbaik sangka dalam hubungan sesama Muslim akan menghindari
terjadinya keretakan hubungan.
Kedua, terhindar daripada penyesalan dalam hubungan dengan sesama
kita kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukkan
kepada orang lain, tanpa bukti yang benar.
Ketiga, selalu berbahagia dan bersyukur di atas segala kemajuan yang
dicapai oleh orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya.
Buruk sangka salah satu penyakit hati
Buruk sangka adalah satu dari penyakit hati yang amat kronik. Ia
bukan sahaja menjarah dengan parah hati dan jiwa pengidapnya, tetapi
turut lahir tersendiri, malah ia lahir bersama dengan sifat-sifat
mazmumah yang bongkak, dendam, zalim dan sebagainya. Apabila sifat
tersebut meneraju dan memacu kehidupan seseorang insan, ia akan menjadi
manusia yang sentiasa resah, gelisah dan tidak tenteram, kerana sentiasa
mencari keaiban dan kelemahan orang lain, tidak punya masa untuk
mengingati Allah SWT.
Buruk sangka yang dimaksudkan di sini ialah buruk sangka yang tidak
baik. Ia mengheret sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati, yang
akan mempengaruhi anggota-anggota badan yang lain supaya mengikut
kehendaknya.
Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya menyatakan, "Ketahuilah bahawa
di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan
seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya, ketahuilah!
Itulah yang dikatakan hati." (Hadis Riwayat Al-Bukhari Muslim)
Buruk sangka dibahagikan kepada 2 jenis:
Buruk sangka yang bertujuan baik, seperti untuk menyedar atau
memperbaiki seseorang yang dikatakan melakukan kejahatan.Buruk sangka
yang bertujuan jahat demi untuk menjatuhkan maruah dan kedudukan
seseorang. Walau apapun tujuannya, buruk sangka tetap memberikan impak
yang negatif, jarang ada manusia yang terselamat dari terkena bahana
prasangka.
Dengan sebab itulah Islam sangat melarang dari berprasangka.
Buruk sangka boleh terjadi dengan berbagai sebab antaranya:
1 - Godaan dan tipu helah syaitan atau iblis.Buruk sangka adalah
jalan terbaik bagi syaitan merangsang manusia untuk bergaduh, mengumpat,
melempar tohmahan, membuat pakatan jahat, berpecah belah dan
sebagainya.
2 - Kelemahan jiwa.Jiwa yang lemah akan mendorong seseorang mudah
terikut dengan pemikiran yang negatif dan buruk terhadap orang lain.
3 - Perasaan sombong dan bongkak.Perasaan ini menyebabkan seseorang
itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Ia merasa dengki
kalau ada orang lain mendahului dalam mengecapi sesuatu kejayaan atau
membuat sesuatu kebaikan atau pun mendengar orang memuji musuhnya
dihadapannya.
4 - Keburukan batinnya.Seseorang yang biasa membuat tipu helah dan penipuan akan merasakan orang lain juga sama sepertinya.
Ruginya berburuk sangka
Apabila kita melakukan atau memiliki sifat buruk sangka, ada sejumlah
kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun
kehidupan di akhirat. Ia adalah wadah kehancuran, mengundang segala
macam keruntuhan. Jiwa mangsanya hancur luluh, perasaan amat tertekan,
rumahtangga kian runtuh, kedamaian akan musnah, masyarakat menjadi
porak-peranda. Kesemuanya itu adalah gara-gara perangai buruk sangka.
Justeru, Islam sangat-sangat mendesak umatnya agar mendahulukan
bersangka baik daripada cepat bersangka buruk. Satu-satu hukuman tidak
harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan.
Allah SWT telah mengharamkan sikap buruk sangka terhadap sesama
mukmin, kerana ia akan menyebabkan timbulnya fitnah, bukan sahaja di
antara seseorang individu dengan individu yang lain tetapi juga dalam
masyarakat Muslim amnya. Apabila sikap terkutuk ini terdapat di kalangan
kita, ia boleh mengwujudkan perasaan saling tidak percaya, saling
meragui, benci-membenci, pertelingkahan, perpecahan dan akhirnya
bermusuh-musuhan di antara sesama Islam.
Pertama, mendapat dosa. Buruk sangka merupakan sesuatu yang berdosa
kerana kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang
jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukkan orang lain dan
mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain.
Allah SWT telah mengharamkan hamba-Nya yang beriman dari menyimpan
perasaan persangkaan atau sangka-sangka buruk terhadap Allah dan
terhadap saudara-saudaranya yang seagama. Malah Allah mengharamkan juga
segala unsur, bibit atau segala punca yang boleh menyebabkan timbulnya
rasa buruk sangka di kalangan muslimin.
Pengharaman ini telah ditegaskan di dalam al-Quran dan hadis-hadis
Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah yang maksudnya, "Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan (supaya
kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip
atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. )Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Surah
al-Hujuraat, ayat 12)
Asal dari godaan syaitan
Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi
rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang
sebesar-besarnya, perkata ini disabdakan oleh Rasulullah SAW, "Jauhilah
prasangka itu, sebab prasangka itu perbicaraan yang paling dusta."
(Hadis Riwayat Muttaafaqun alaihi)
Rasulullah SAW juga telah memberi peringatan tentang sifat-sifat yang
patut dihindari oleh setiap Muslim seperti saling dengki-mendengki,
marah mahupun bersikap acuh tak acuh. Dari Abu Hurairah r.a., katanya
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Hindarilah prasangka, kerana
prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari
keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling
menyaingi. Jangan saling mendengki, jangan saling marah dan jangan
saling tak acuh. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hama-hamba
Allah." (Sahih Muslim)
Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain
tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi
jua akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat
berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan
orang lain.
Sabda Rasulullah SAW dari Abdullah bin Umar yang bermaksud, "Aku
melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sedang tawaf di Kaabah
lalu bersabda: Demi jiwa Muhammad yang di tangan-Nya, sesungguhnya
kehormatan seseorang mukmin lebih besar di sisi Allah dari engkau
(Kaabah) wangnya dan darahnya sehinggalah dia berprangsangka sesamanya
yang baik." (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Dari Haritha bin an-Nukman berkata, "Bersabda Rasulullah SAW: Tiga
perkara yang sentiasa ada pada umatku: Kepercayaan sial. Hasad dengki.
Prasangka. Beliau bertanya: Apakah yang boleh menghilangkan dari itu
(semua) wahai Rasulullah bagi sesiapa yang telah ada pada dirinya
perkara-perkara tersebut? Baginda bersabda: Apabila berhasad dengki
mintalah ampun, apabila berprasangka janganlah diteruskan dan apabila
mempercayai tataiyur hendaklah dihapuskan." (Hadis Riwayat at-Tabrani)
Semua punca-punca timbulnya buruk sangka yang dijelaskan oleh ayat
al-Quran dan hadis-hadis di atas berpangkal dari hati yang rosak dan
berpenyakit lantaran kejahilan (tidak berilmu agama). Akhirnya
menyebabkan lemah iman, lemah keperibadian, hilang panduan dan tidak
tahu ke arah mana mahu dituju sehingga mudah berburuk sangka.
Hal keadaan seperti ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang
bermaksud, "Apabila (seseorang) kurang berilmu akan (mudah) menimbulkan
perasaan benci dan tuduhan salah (kepada orang lain). Dan jika
pengetahuan tentang athar (hadis dan perbuatan sahabat) hanya sedikit,
akan ramai yang mengikut hawa nafsu.
Berpunca dari yang demikian, akan engkau temui suatu kaum (kumpulan)
yang ramai mencintai (menyebelahi) kaum (kumpulan) yang lain hanya atas
dasar hawa nafsu (bukan atas dasar kebenaran al-Quran atau al-Hadis)
kerana tidak mengetahui (ilmu)nya dan dalilnya.
Sedangkan mereka menyokong atau memusuhi (satu kumpulan) tanpa
mengikut (landasan) hadis yang sahih dari Nabi dan dari Salaf ummah ini,
mereka tidak mengetahui makna (al-Quran dan al-Hadis) dan tidak
mengetahui apa yang dikehendaki (oleh hadis) tersebut dan tidak tahu
untuk mempraktikalkannya." (Hadis Riwayat Imam Malik)
Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia
Seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai
beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi
mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka
berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu
tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.”
Kemudian baginda menjawab, “Sekiranya benar sepertimana yang engkau
katakan itu, maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang
panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah
Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang
demikian itu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan
sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur
darjat keimanan seseorang.
Islam juga mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang
sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan
dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.
Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar
dan benar dalam bertindak. Setiap umat Islam wajib menghubungkan
silaturrahim dan haram memutuskannya.
Penawar buruk sangka
Sebenarnya, tiada penawar mahupun yang berasaskan sainstifik atau
tradisional yang mampu mengubati dan menyembuhkan penyakit buruk sangka
ini. Namun para ulamak dan cendiakawan islam ada menyarankan beberapa
cara. Antaranya:
Buruk sangka terhadap diri sendiri, tetapi jangan mencari kekurangan
orang lain, tetapi bergaullah dengan orang yang diburuk sangka
terhadapnya itu dengan lebih rapat dan berdoalah untuk kebaikkan
baginya.
Bermuhasabah diri setiap hari, jadikanlah diri kita seorang yang
dapat menguasai was-was, bukan orang yang dikuasai was-was.Perbaikilah
diri kita dan bersihkanlah ia dari sifat buruk, kerana di sebalik buruk
sangka akan mengundang sifat-sifat keji yang lain.
Ingatlah selalu bahawa Mahabbah, Mawaddah dan bersikap toleransi itu
adalah nikmat yang sangat besar. Jangan musnahkan nikmat itu dengan
sifat buruk sangka.
Ingatlah selalu, bahawa buruk sangka boleh merosakkan diri kita. Kita
akan kehilangan rakan, kekasih, saudara-mara, malah juga isteri. Kita
akan kehilangan ramai khalik dan disisih oleh masyarakat.
Ketahuilah dan ingatlah, bahawa syariat islam meletakkan asasnya atas
rasa sangka baik terhadap semua orang islam dalam semua bidang:
ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi.
Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Hendaklah
kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan
kebajikan mambawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih
kebenaran dia tercatat di sisi Allah, seorang yang benar (jujur).
Berhati-hati terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan
dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu
memilih dusta dia tercatat di sisi Allah, sebagai seorang pendusta."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita
harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam
hubungan persaudaraan, apatah lagi dengan sesama Muslim dan aktivis
dakwah. Di samping itu, bila ada benih-benih perasaan buruk sangka, maka
perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari
bisikan atau godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita.
Orang-orang yang mempunyai penyakit buruk sangka, ragu-ragu dan
was-was terhadap orang lain dan ibadahnya, maka dia wajib berusaha
meninggalkan penyakit tersebut dan segera bertaubat. Agar ia tidak
berulang, maka perlu dirawat dengan ilmu agama terutama ilmu akidah.
Oleh itu setiap mukmin sewajarnya menyibukkan dirinya dengan menuntut
ilmu seperti menghadiri majlis-majlis ilmu yang memperkatakan tentang
agama. Kerana hanya ilmu agama yang dapat merawat dan menyembuhkan
penyakit buruk sangka, ragu-ragu dan was-was.
Renung-renungkan. http://mstar.com.my
Comments
Post a Comment