Kembara taubat di Tanah Suci
SITI NUR MAS ERAH AMRAN
18 Mei 2012
Kembara taubat di Tanah Suci
Serpihan bangunan Masjid Ubaidiah di Mekah
Sejujurnya, tidak pernah terdetik di hati untuk mengerjakan umrah pada usia muda. Jika sebelum ini ditanya ke manakah destinasi ingin dituju untuk menenangkan minda, Mekah mahupun Madinah bukanlah jawapan.

Entah bagaimana, melihat ibu tercinta yang berkira-kira menunaikan umrah awal bulan lalu membuatkan hati yang keras ini tergerak untuk mengikuti. Cadangan disambut baik dan selepas hadiri kursus persediaan umrah anjuran agensi pelancongan, jantung semakin berdegup pantas.

Saya tidak tahu apa-apa melainkan mendengar kisah-kisah Tanah Suci yang sering ditayangkan di kaca televisyen. Oleh itu, pembacaan ditingkatkan melalui buku dan blog. Ada yang menyeronokkan, menakutkan dan paling utama, menginsafkan. Setelah penat menelaah, akhirnya saya memutuskan untuk menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT kerana Dia yang menitipkan jemputan kepada saya untuk jadi tetamu-Nya.
Penerbangan yang memakan masa hampir lapan jam dari Kuala Lumpur menuju Madinah tidak terasa dan buku panduan dibelek berkali–kali sambil menghafal doa–doa dan mengingati peraturan yang perlu dipatuhi. 

Belum lagi menjejakkan kaki ke tanah Arab Saudi, ujian pertama sudah menanti. Cuaca yang kurang baik membuatkan penerbangan sering berhadapan dengan turbulence sehingga makanan tengah hari yang baru dinikmati terpaksa dimuntahkan semula.

Dalam keletihan dan hamis muntah yang masih melekat di telekung yang dipakai, kami dibawa menuju ke Masjid Nabawi dengan menaiki bas setelah mendarat di Lapangan Terbang Madinah.

Keindahan seni bina dan keluasan Masjid Nabawi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, malah sakit kepala yang dialami hilang tatkala terpegun dengan limpahan cahaya yang menyinari sekitar kawasan masjid.

Empat hari di Madinah digunakan sebaik-baiknya dengan beribadat dan jarak hotel hanya kira-kira 200 meter dari masjid membuatkan urusan ibadah lancar. 

Saya tidak melepaskan peluang menziarahi makam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya, iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Jemaah turut dibawa melawat Raudhah yang pernah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai taman syurga dan berpeluang bersembahyang sunat di situ selepas menunggu hampir satu setengah jam secara berkumpulan.

Di antara lokasi lain yang dilawati ialah perkuburan Baqi, Masjid Quba, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain dan ladang kurma. 

Jabal Uhud merupakan lokasi peperangan di antara tentera Islam dan tentera kafir Quraisy pada tahun ketiga Hijrah manakala masjid Qiblatain pula bermaksud masjid ‘dua kiblat’ yang memiliki sejarahnya yang tersendiri.

Selesai wida’ Rasulullah (ucapan selamat tinggal), masing-masing mula mengenakan ihram sebelum perjalanan diteruskan ke Mekah yang mengambil masa kira-kira lapan jam. 

Bas berhenti seketika di Bir Ali untuk solat sunat ihram serta niat dan di sinilah cubaan sebenar bermula kerana pantang-larang ihram perlu dipatuhi. 

Dalam kepenatan selepas mengharungi perjalanan yang jauh, kami dibawa ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tawaf sambil dibimbing mutawwif.

Sungguh, saya melopong tatkala melihat Kaabah di hadapan mata, kiblat umat Islam sejagat. Ia benar, nyata dan bisa disentuh, malah jauh lebih indah daripada gambaran yang dilihat di gambar mahupun kaca televisyen.

Sedang leka menyaksikan keindahan Kaabah, ibu menyiku saya mengarahkan agar tangan ditadah. Rupanya saya terlupa untuk membaca doa melihat Kaabah dan bila diamati sekeliling, seluruh jemaah sedang khusyuk berdoa sambil berlinangan air mata.

Saya berasa amat kerdil tatkala mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Terasa diri amat kotor, berdosa dan peluang yang ada digunakan untuk membisikkan kata-kata taubat. Selesai tawaf, saya bersembahyang sunat di Hijr Ismail sebelum memulakan saie.

Perjalanan dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak tujuh kali diharungi tanpa masalah, malah dahaga hilang dengan meneguk air zam-zam yang disediakan sepanjang laluan. 

Selepas selesai saie, tahalul dilaksanakan iaitu dengan menggunting sedikit rambut sebagai tanda bebas daripada pantang-larang dan sempurnalah sudah umrah yang dilaksanakan. Saya menghela nafas lega dan berpuas hati kerana niat untuk mengerjakan umrah tercapai dengan keizinan-Nya.

Keesokan harinya selesai solat Asar, ujian melanda lagi tatkala saya menyedari bahawa kasut yang disimpan di atas rak hilang. Dalam cuaca membahang, kami dua beranak terkedek-kedek berkaki ayam menuju ke pusat beli-belah berdekatan untuk membeli kasut baru.

Bukan ingin membangga diri, namun sikap sabar dan tolak-ansur rakyat Malaysia wajar dipuji. Dalam lautan manusia melaksanakan tawaf, boleh dikatakan rakyat Malaysia selalu dirempuh oleh orang-orang Arab yang bergerak laju secara berkumpulan.

Namun, tidak semua bersikap sedemikian, malah saya berpeluang berbual bersama beberapa jemaah tempatan yang mesra. Kebanyakan jemaah gemar bersedekah setiap kali selepas solat.
Penuh di riba saya tatkala ada yang meletakkan roti, badam, kurma, coklat, epal dan kuih-muih tempatan yang sangatlah manis rasanya selepas selesai memberi salam.

Perkhabaran gembira turut menjengah rombongan apabila dimaklumkan bahawa ‘percutian’ selama 12 hari dilanjutkan kepada 15 hari atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Sepanjang berada di Mekah, jemaah dibawa melawat ke Jabal Thur, Arafah dan ladang unta.

Sebagai salah seorang jemaah termuda, saya tidak terlepas daripada diusik dan disuruh agar menulis nama di atas tugu Jabal Rahmah atau dikenali sebagai bukit kasih sayang agar jodoh dipercepatkan.

Dengan pantas saya berjaya menaiki tangga, mencatatkan beberapa nama rakan rapat yang terlintas di kepala di tugu tempat Adam dan Hawa bertemu buat kali pertama, mendoakan jodoh mereka sebelum menuruni bukit melalui batu-batu tajam dalam tempoh 20 minit sahaja.

Banyak pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sepanjang 15 hari berada di sini yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat. Selain beribadat, saya belajar untuk mengenali dan menyayangi diri sendiri.

Ada ketenangan dan kesyahduan yang tak mungkin dapat dilontarkan dengan kata-kata melainkan dirasai tuan empunya diri.

Saya ingin lagi dijemput menjadi tetamu-Nya dan menunaikan umrah di tanah suci. Insya-Allah.

Comments

Popular posts from this blog