KESEMPURNAAN
SEMBAHYANG
Disusun oleh :
Haji Othman Haji Ahmad
Pegawai Dakwah JHEAIK
Terbitan : Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.
Haji Othman Haji Ahmad
Pegawai Dakwah JHEAIK
Terbitan : Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.
بسم
الله الرحمن
الرحيم
الحمد
لله رب العالمين
, والصلاة والسلام
على رسول الله
, سيدنا محمد
وعلى آله وأصحابه
ومن تبعهم بإحسان
إلى يوم الدين
.
PENGERTIAN SEMBAHYANG :
Sembahyang pada bahasa ialah beribadat, rahmat dan doa dan pada syarak
ialah beberapa perkataan, perbuatan yang tertentu yang dimulai dengan
takbir dan disudahi dengan salam.
Sembahyang
adalah yang paling afdhal di antara rukun Islam selepas beriman
kepada Allah SWT kemudian puasa kemudian haji kemudian zakat.
Hukum tentang wajib sembahyang sebagaimana Firman Allah Taala :
فَأَقِيْمُوا
الصَّلاَةَ
إِنَّ الصَّلاَةَ
كَانَتْ عَلَى
الْمُؤْمِنِيْنَ
كِتَابًا مَوْقُوْتًا
Yang bermaksud : Maka
dirikanlah olehmu akan sembahyang sesungguhnya sembahyang itu difardhukan
ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan. (Surah An-Nisa'
: 103)
Sembahyang difardhukan pada malam Isra' Mikraj Nabi Muhammad SAW iaitu
pada malam 27 rejab, selepas 10 tahun 3 bulan Rasulullah dilantik
sebagai Nabi.
Firman
Allah Taala :
إِنَّ
الصَّلاَةَ
كَانَتْ عَلَى
الْمُؤْمِنِيْنَ
كِتَابًا مَوْقُوْتًا
Sesungguhnya sembahyang difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang
tertentu, dan sabda junjungan Nabi Muhammad SAW :
فرض على
أمتي ليلة الإسراء
خمسين صلاة
فلم ازل اراجعه
واسأله التخفيف
حتى جعلها خمسا
في كل يوم وليلة
Yang bermaksud : Telah
memfardhukan oleh Allah Taala ke atas umatku pada malam Isra' mikraj
sembahyang 50 waktu , oleh itu aku berulang-ulang mengadap Allah
dan meminta kurangkan sembahyang sehingga dikurangkan kepada 5 waktu
sehari semalam.
WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG
- Zohor - Awal waktunya gelincir matahari, dan akhirnya apabila jadilah bayang sesuatu itu sama panjang dengannya.
- Asar - Awal waktunya ialah apabila selesai waktu Zohor dan berkekalan hingga lenyap sekalian matahari di ufuk barat.
- Maghrib - Awal waktunya dengan lenyapnya matahari di ufuk barat dan berkekalan sehingga sempurna hilang cahaya kemerahan di ufuk barat.
- Isyak - Awal waktunya dengan lenyapnya cahaya kemerahan dan berkekalan sehingga naik fajar.
- Subuh - Awal waktunya dengan naik fajar dan berkekalan sehingga naik matahari.
SYARAT-SYARAT WAJIB SEMBAHYANG
- Islam. Tidak wajib sembahyang kepada orang-orang kafir. Bagi orang Islam yang meninggalkan sembahyang, wajib qadha' dan begitu juga orang yang murtad wajib qadha' sembahyang yang ditinggalkan di masa murtadnya.
- Baligh. (sampai umur pada syarak) sama ada kerana cukup umur 15 tahun qamariah atau bermimpi atau dengan kedatangan haidh. Ada pun kanak-kanak yang belum baligh tetapi berumur 7 tahun yakni kanak yang sudah mumayyiz maka berkewajipan ke atas dua ibu bapa menyuruh anak-anak sembahyang dan apabila genap 10 tahun tetapi tidak mengerjakan sembahyang maka hendaklah dua ibu bapa memukulnya dengan pukulan ringan yang tidak membawa kepada kecederaan.
- Berakal. Oleh itu tidak sah sembahyang bagi orang gila dan tidak wajib qadha' ke atasnya. Begitu juga tidak sah sembahyang bagi orang yang pitam dan mabuk dan dan tidak tidak juga wajib qadha' ke atasnya. Tetapi sekiranya mabuk itu disengajakan wajib qadha' sembahyang yang ditinggalkan semasa mabuk itu.
- Suci daripada haidh dan nifas.
- Sejahtera penglihatan dan pendengaran, yakni orang yang buta dan tuli serentak semenjak kecil yakni belum baligh tidak wajib sembahyang , buta sahaja atau tuli sahaja wajib sembahyang.
- Sampai seru, oleh itu tidak wajib sembahyang bagi mereka yang tidak sampai seruan Islam.
SYARAT-SYARAT SAH SEMBAHYANG
- Suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
- Menutup aurat. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut dari sudut pandangan sebelah atas dan keliling, begitu juga aurat hamba perempuan. Aurat perempuan dan khunsa seluruh badan kecuali muka dan dua tangan.
- Mengetahui kaifiat sembahyang yakni peraturan sembahyang termasuk rukun dan sunat dengan sekira-kira dapat membeza antara farhu dan sunatnya.
- Suci daripada najis yang tidak dimaafkan, sama ada di tubuh di pakaian atau di tempat sembahyang dan jangan menanggung sesuatu yang berhubung dengan najis di dalam sembahyang. Najis yang dimaafkan ialah sedikit darah, sedikit nanah, air kudis dan debu jalan raya.
- Mengetahui masuk waktu dengan yakin atau dengan dzan masuknya melalui ijtihad.
- Mengadap kiblat dengan sekelian badan.
- Jangan menambah rukun fi'li dengan sengaja.
- Jangan melakukan perkara yang membatalkan puasa di dalam sembahyang seperti makan minum.
WUDHU' (AIR SEMBAHYANG)
Bersuci adalah perkara yang paling penting di dalam beribadat kepada
Allah, oleh itu seseorang yang akan melakukan ibadat sembahyang
diwajibkan berwudhu' terlebih dulu sebagaimana Firman Allah Taala
:
يَاأَيُّهَا
الَّذِينَ
ءَامَنُوا
إِذَا قُمْتُمْ
إِلَى الصَّلاَةِ
فَاغْسِلُوا
وُجُوهَكُمْ
وَأَيْدِيَكُمْ
إِلَى الْمَرَافِقِ
وَامْسَحُوا
بِرُءُوسِكُمْ
وَأَرْجُلَكُمْ
إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Yang Bermaksud : Wahai
orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang
(padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah
muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah
sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu
meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah : 6)
Sabda Nabi Muhammad SAW :
لا يقبل
الله صلاة من
احدث حتى يتوضاء
Allah tidak menerima sembahyang seorang yang berhadas sehingga mereka mengambil
wudhu'.
CARA-CARA WUDHU'
Fardhu wudhu' mengandungi enam perkara.
- Niat.
Niat
hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka,
tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka,
tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.
Lafaz
niatnya ialah :
نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ
.
Sahaja
aku ambil air sembahyang. Atau
نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ
عَنِ الْحَدَثِ
Sahaja
aku bersuci daripada hadas.
- Membasuh Muka.
Kawasan
muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada
dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga
kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar
bulat muka.
Wajib
membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh
di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat.
Janggut,
misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira
tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang
zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan
kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya
dan juga kulit yang di bawahnya.
- Membasuh dua tangan sehingga dua siku.
Dua
siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu' dan
wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir
dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.
- Menyapu kepala
Iaitu
menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada
rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana
bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah
kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian
kepala.
Tidak
sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana
apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak
disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai
dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.
- Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.
Dua
buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu'.
Wajib
membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya
sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.
Perhatian
:
Wajib
menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit
seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak
kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis
atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.
Hukum
ini berlaku pada semua anggota wudhu'.
- Tertib
Yang
dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil
wudhu' mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu
persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal
membasuh satu bahagian daripada muka.
Sekiranya
seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu'nya
dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.
Adapun
jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan
berniat wudhu' maka sahlah wudhu'nya kerana hasil tertib dengan
hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.
SUNAT-SUNAT WUDHU'
Sunat-sunat wudhu' itu banyak sekali di antaranya ialah :-
- Membaca :
أَعُوْذُ
بِاللهِ مِنَ
الشَّيْطَانِ
الرَّجِيْمِ
- Membaca :
بِسْمِ
الرَّحْمَنِ
الرَّحِيْمِ
Bacaan-bacaan
ini hendaklah pada permulaannya, jika terlupa baca pada permulaannya
bolehlah dibaca pada pertengahannya.
- Membasuh dua tangan hingga pergelangan tangan.
- Berkumur-kumur.
Hasil
berkumur dengan memasukkan air ke dalam mulut, dan yang akmalnya
diedarkan air di mulut dan dibuangkannya.
- Menghisap air ke hidung.
Hasil
menghisap air ke hidung dengan memasukkan air ke dalam hidung. Dan
sebaik-baiknya ialah dengan dihisapkan air ke hidung dan dihembus
keluar.
- Menyapu sekalian kepala.
- Menyapu dua telinga luar dan dalam.
- Menyeliti janggut, misai dan jambang (dua tali tudung)
- Menyeliti jari-jari tangan dan kaki.
Sekiranya
tidak sampai air ke celah-celah jari tanpa diseliti maka ketika
itu wajib diseliti.
- Mendahului tangan kanan dan kaki kanan ke atas yang kiri bahkan makruh mendahulukan yang kiri ke atas yang kanan dan kiri serentak. Adapun dua telinga tidak mengapa disapukan serentak.
- Basuh dan sapu ke atas anggota-anggota tersebut sebanyak tiga kali. Dan makruh melebihi tiga kali.
- Muwalah (موالاة) Yakni berturut-turut basuh atau sapu di antara satu anggota dengan anggota yang lain.
- Mengadap Kiblat.
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU'
1.
Keluar sesuatu daripada salah satu kemaluan (Qubul, dubur) . Adapun
keluar sesuatu daripada kemaluan orang mati tidak batal wudhu'nya
dan begitu juga khunsa yang mempunyai dua alat kelamin yang mana
salah satu dari kedua alat itu keluar sesuatu. Melainkan keluar
kedua-duanya sekali. Tidak membatalkan wudhu dengan keluar mani.
2. Tidur dengan tidak tetap papan punggungnya. Adapun tidur dengan tetap
papan punggungnya tidak batal wudhu seperti tidur dengan duduk bersila.
Tidur berdiri atau melentang atau berguling batal wudhu'.
3. Bersentuh kulit lelaki dengan kulit perempuan yang sah nikah yang mana
sudah sampai had syahwat pada uruf (pada kebiasaan orang ramai).
Bersentuh kulit lelaki atau perempuan dengan khunsa tidak batal wudhu'
begitu juga tidak batal wudhu bersentuh sesama khunsa. Bersentuh
dengan rambut, gigi atau kuku tidak batal wudhu'.
4. Menyentuh kemaluan anak adam dengan tapak tangan atau perut anak jari.
Bagi lelaki batang zakarnya yang disentuh batal wudhunya, adapun tempat
tumbuh bulu yang di sekelilingnya dan dua biji batu itu tidak batal
wudhu dengan menyentuhnya.
Kemaluan perempuan yang dimaksudkan ialah dua bibir yang bertangkup dan
kawasan sekitarnya.
Dan batal wudhu dengan menyentuh halaqah dubur anak adam.
MAKRUH SEMASA BERWUDHU'
- Mengurangkan basuh dan sapu dari tiga kali.
- Melebihkan basuh dan sapunya dari tiga kali.
- Mendahulukan basuh atau sapu ke atas pihak kiri dari pihak kanan.
- Serentak pada membasuh kanan dan kiri.
- Mengambil air sembahyang di dalam air yang tidak berlari seperti di dalam takungan air yang tetap di situ.
- Meminta tolong orang lain menjirus ke atas anggota wudhu'.
- Membasuh di dalam batin mata.
- Membelakangkan kiblat semasa berwudhu'.
- Bercakap semasa mengambil wudhu'.
AMALAN-AMALAN SUNAT SEBELUM SEMBAHYANG.
Bagi orang lelaki disunatkan azan (bang) dan iqamah sebelum sembahyang
dan bagi orang perempuan di sunatkan iqamah sahaja.
Walau bagaimanapun harus juga bagi orang perempuan melakukan azan (bang)
sekiranya tidak dihadiri oleh orang lelaki.
Azan hendaklah dinyaringkan supaya dapat didengari oleh orang ramai yang
berada di sekitarnya.
SEMBAHYANG MEMPUNYAI 13 RUKUN
1. Niat
Niat di dalam sembahyang fardhu hendaklah mengandungi qasad , ta'arud ,
ta'yin , yakni kehendak sembahyang fardhu maghrib atau sebagainya.
Niat di dalam sembahyang sunat yang mempunyai waktu atau sebab hendaklah
mengandungi qasad dan ta'yin. Dan bagi sembahyang sunat mutlak yakni
sembahyang tidak mempunyai waktu dan sebab memadai dengan niat yang
mengandungi qasad sahaja.
Niat hendaklah terkandung di dalam lafaz - Allahu Akbar semasa Takbiratul
ihram . Jangan terdahulu niat daripada harf alif pada Allah dan
jangan terkemudian daripada harf ra' pada Akbar- (Ar-ramli)
Bagi sembahyang qasar hendaklah ditambah bersama qasad , ta'arud dan ta'yin
itu akan qasar , begitu juga bagi sembahyang jemaah hendaklah ditambah
niat imam bagi imam dan makmun bagi makmun bersama qasad, ta'arud,
ta'yin itu, kerana syarat sah jemaah ialah berjemaah pada awal sembahyang
iaitu pada takbiratul Ihram.
2. TAKBIRATUL IHRAM.
Lafaz takbirnya ialah - Allahu akbar.
Kalau tidak berkuasa menyebut lafaz - Allahu akbar - hendaklah diterjemahkan
kepada apa bahasa yang ia mengerti.
Sunat diangkatkan kedua tangan semasa berkata Allahuakbar. Angkat itu hendaklah
bersetentangan dengan dua bahunya dan dua tapak tangannya dihadapkan
ke kiblat kemudian diturunkan kedua belah tangan dengan memegang
tangan kanan akan pergelangan tangan kiri dan diletakkan kedua-duanya
di paras pusat.
Dua tangan yang diangkat itu berserta dengan menyebut lafaz Allahu akbar.
3. Qiam (berdiri betul)
Maksud Qiam di sini ialah dengan membetulkan tulang belakang bagi yang
berkuasa, oleh itu di dalam melakukan Qiam jangan condong ke mana-mana
arah dengan tidak meluruskan tulang belakang. Sekiranya condong
tidaklah dinamakan qiam dan batal sembahyang.
4. Membaca Fatihah
Wajib
membaca fatihah bagi imam, orang yang sembahyang seorang diri dan
makmum muafiq yakni makmum yang sempat membaca Fatihah di dalam
qiam Imam.
Rasulullah SAW bersabda :
لاَ صَلاَةَ
لِمَنْ لَمْ
يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ
الْكِتَابِ
Yang bermaksud : Tidak
sah sembahyang bagi mereka yang tidak membaca Fatihah . (Bukhari,
Muslim)
Bagi mereka yang tidak tahu membaca fatihah , hendaklah membaca mana-mana
ayat sebanyak fatihah atau membaca mana-mana zikir sekadar huruf
Fatihah iaitu sebanyak 156 huruf, kalau tidak tau membaca mana-mana
ayat-ayat atau zikir hendaklah diam kadar membaca ayat fatihah (yang
dianggarkan lebih kurang 20
saat).
Bacaan fatihah hendaklah berturut-turut dan tidak boleh diselang dengan
mana-mana ayat atau zikir ataupun semata-mata diam melainkan bagi
menyebut amin imam.
Bacaan hendaklah dengan betul sebutannya, tidak bertukar baris tashdid
atau sebagainya.
5. Rukuk
Rasulullah SAW bersabda :
ثم اركع
حتى تطمئن راكعا
Yang Bermaksud : Kemudian
hendaklah engkau rukuk sehingga Tama'ninah dalam di dalam rukuk,
(muttafaq alaih).
Sunat berzikir semasa rukuk iaitu :
سُبْحَانَ
رَبِّيَ الْعَظِيْمِ
Sebanyak 3 kali.
Sekurang-kurang rukuk hendaklah sampai dua tapak tangan akan kedua kepada
lututnya dan yang afdhalnya ialah dengan ratakan belakang dan tengkuk
seolah-olah sekeping papan, menegakkan betis dan memegang dua tangan
akan dua lutut serta direnggangkan sedikit di antara jari dengan
menghalakan belakang tangan ke kiblat.
Semasa turun kepada rukuk sunat ditakbirkan dengan lafaz Allahu Akbar serta
angkat kedua belah tangan sebagaimana di dalam Takbiratul ihram.
6. I'tidal
Rasulullah SAW bersabda :
ثم
ارفع حتى تعتدل
قائما
Yang bermaksud : Kemudian
hendaklah engkau bangkit sehingga berdiri tegak (Muttafaq alaih)
Disunatkan semasa bangkit dari rukuk dengan mengangkat dua tangan sehingga
berbetulan dua telinga seperti mana Takbiratul ihram sambil mengucap
:
سَمِعَ اللهُ
لِمَنْ حَمِدَه
dan apabila berdiri tegak pula mengucap
رَبَّنَا
لَكَ الْحَمْدُ
.
Bagi sembahyang subuh sunat diqunut semasa i'tidal di dalam rakaat yang
kedua sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
قال كان
رسول الله صلى
الله عليه وسلم
إذا رفع رأسه
من الركوع في
صلاة الصبح
في الركعة الثانية
رفع يديه فيدعو
بهذا الدعاء
Yang bermaksud : Berkata Abu Hurairah RA adalah Rasulullah SAW manakala
mengangkat kepalanya daripada rukuk pada sembahyang subuh di rakaat
yang kedua baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan
doa ini :
اللَّهُمَّ
اهْدِنِي فِيْمَنْ
هَدَيْتَ ،
وَعَاْفِنِي
فِيْمَنْ عَافَيْتَ
، وَتَوَلَّنِيْ
فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ
، وَبَارِكْ
لِي فِيْمَا
أَعْطَيْتَ
، وَقِنِي شَرَّ
مَا قَضَيْتَ
، فَإِنَّكَ
تَقْضِيْ وَلاَ
يُقْضَىعَلَيْكَ
، إِنَّهُ لاَ
يَذِلُّ مَنْ
وَالَيْتَ
, تَبَارَكْتَ
رَبَّناَ وَتعَالَيْتَ
.
Sunat
selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW diakhir Qunut dan begitu juga selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah
dan para sahabat baginda.
Sunat
menadahkan tangan semasa membaca Qunut dan tidak perlu sapu muka
manakala selepas Qunut.
7.
Sujud dua kali tiap-tiap rakaat.
Rasulullah
SAW bersabda :
ثم اسجد حتى
تطمئن ساجدا
Yang bermaksud
: kemudian hendaklah engkau
sujud sehinggalah Tama'ninah di dalam sujud (muttafaq alaih)
Kesempurnaan sujud ialah
dengan ditakbirkan bagi turun kepada sujud dengan tidak mengangkat
dua tangannya . Dan dihantarkan kedua lutut kemudia dua tapak tangan
kemudia dahi dan hidung, sebagaiman yang dilakukan oleh Rasulullah
SAW dan sunat dibaca :
سُبْحَانَ
رَبِّيَ اْلأَعْلَى
tiga kali.
Semasa sujud hendaklah diletakan dua tapak tangan dengan berbetulan dua
bahu dan menganjurkan anak-anak jari ke kiblat serta merapatkan
di antara anak-anak jari.
Bagi lelaki hendaklah direnggangkan kedua-dua siku dari lambung dan perut
dari kedua pehanya pada rukuk dan sujud. Bagi perempuan hendaklah
dirapatkan segala yang tersebut.
Diceraikan antara dua kaki kadar sejengkal dengan menyentuh hujung anak
jari ke lantai bagi lelaki, bagi perempuan hendaklah dirapatkan
sedikit antara kakinya.
Wajib diberatkan kepala dengan sekira-kira jika ditaruh kapas di bawahnya
nescaya kepiklan kapas itu.
8. Duduk diantara dua sujud.
Rasulullah
SAW bersabda :
ثم ارفع حتى تطمئن جالسا
Yang
bermaksud : Kemudian hendaklah engkau
bangkit sehingga engkau Tama'ninah di dalam duduk.
Kesempurnaan
duduk di antara dua sujud ialah menakala bangkit dari sujud hendaklah
mengucap Allahu Akbar beserta dengan angkat kepala dan hendaklah
duduk Iftirash iaitu duduk atas tapak kaki kiri dan letakkan hujung
jari kaki kanan ke lantai. Meletak dua tapak tangan ke atas kedua
lutut serta mengunjurkan jari-jari ke kiblat.
Di
dalam duduk antara dua sujud sunat dibaca doa yang dibaca oleh Rasulullah
SAW :
رَبِّ اغْفِرْلِي
وَارْحَمْنِي
وَاجْبُرْنِي
وَارْفَعْنِي
وَارْزُقْنِي
وَاهْدِنِي
وَعَافِنِيْ
Janganlah dipanjangkan I'tidal dan duduk antara dua sujud kerana keduanya
rukun pendek. Jikalau dipanjangkan i'tidal dan duduk antara dua
sujud dengan sekira-kira sama panjang dengan membaca fatihah bagi
i'tidal dan Tahiyat bagi duduk antara dua sujud dengan diketahui
akan haramnya maka batallah sembahyangnya.
9. Tasyahhud (Tahiyat Akhir)
Iaitu
membaca Tasyahhud akhir, Tasyahhud yang dipilih oleh As-Syafie daripada
hadis Ibnu Abbas RA ialah :
التَّحِيَّاتُ
الْمُبَارَكَاتُ
الصَّلَوَاتُ
الطَّيِّبَاتُ
ِللهِ ، السَّلاَمُ
عَلَيْكَ أَيُّهَا
النَّبِيُّ
وَرَحْمَةُ
اللهِ وَبَرَكاَتُهُ
. السَّلاَمُ
عَلَيْنَا
وَعَلَى عِبَادِ
اللهِ الصَّالِحِيْنَ
. أَشْهَدُ أَنْ
لاَ إِلَهَ
إِلاَّ الله
وَأَشْهَدُ
أَنَّ مُحَمَّدًا
رَسُوْلُ الله.
(Riwayat
Muslim)
10. Duduk bagi Tasyahhud Akhir
Kesempurnaan
duduk bagi Tasyahhud akhir ialah duduk Tawaruk iaitu duduk di atas
papan punggung manakala kaki kiri dihulurkan ke sebelah kanan dan
diletakkan di bawah betis kanan.
Tangan
kanan diletakkan di atas lutut kanan dengan mengenggamkan semua
jari kecuali telunjuk hendaklah diluruskan, merapatkan ibu jari
lebih ke bawah dari jari telunjuk. Dan mengangkatkan jari telunjuk
dengan diluruskan ke kiblat di waktu menyebut kalimah Illa Allah
di dalam tasyahhud.
Tapak
tangan kiri diletakkan di atas lutus kiri dengan menganjurkan jari-jari
ke kiblat dengan disamakan paras jari dengan lutut dan merapatkan
di antara jari-jari.
11.
Solawat atas Nabi Muhammad SAW di dalam tasyahhud akhir.
Para
sahabat telah berjumpa dengan Rasulullah SAW bertanya tentang cara
selawat ke atas Rasulullah SAW. di dalam sembahyang sebagaimana
hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim -
أمرنا
الله أن نصلي
عليك فكيف نصلي
عليك قال : قولوا
اللهم صل على
محمد وعلى آل
محمد
Yang bermaksud : Kami
diperintah oleh Allah supaya menselawatkan ke atas engkau (di dalam
sembahyang) dan bagaimana cara kami menselawatkan ke atas engkau
- Rasulullah SAW bersabda , katakan oleh kamu :
اللهم صل
على محمد وعلى
آل محمد
12.
Salam
Yang
paling afdhal di dalam sebutan salam ialah Assamualaikum warahmatullah.
Apabila
selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kanan dengan
sekira-kira pipi kanan dapat dilihat oleh orang yang di belakang
di samping meniat salam kepada Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.
Dan
sunat menceraikan di antara dua salam yakni yang pertama ke kanan
dengan salam yang kedua ke kiri atas kadar perceraian yang pendek.
Kemudian
memberi salam yang kedua iaitu Assalamualaikum warahmatullah dan
apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke
kiri dengan sekira-kira pipi kiri dapat dilihat oleh orang yang
dibelakang di samping meniatkan salam kepada para Malaikat, Manusia
dan Jin yang mukmin.
13.
Tertib
Hendaklah
dilakukan peraturan sembahyang sebagaiman tertib rukun tersebut,
di atas.
Kecuali
niat wajib disertakan di dalam Takbiratul ihram dan Takbiratul Ihram
itu pula dilakukan semasa Qiam dan disertakan pembaca Fatihah semasa
Qiam itu.
Begitu
juga membaca tasyahhud akhir di dalam duduk bagi tasyahhud akhir
dan salam juga semasa duduk di dalam tasyahhud Akhir.
Selain
daripada yang tersebut adalah menurut tertib.
SUJUD SAHWI
Sujud
Sahwi ialah dua sujud yang dilakukan selepas membaca tasyahhud dan
sebelum salam.
Kaifiat
dan cara sujud sahwi adalah sama seperti sujud-sujud lain tentang
perbuatan sunat dan wajibnya dan sunat dibaca dibaca semasa sujud
ialah :
سُبْحَانَ
مَنْ لاَ يَنَامُ
وَلاَ يَسْهُو
Di antara
perkara-perkara yang menyebabkan sunat sujud sahwi ialah :
- Meninggalkan sunat Ab'adh iaitu duduk bagi tasyahhud awal, membaca tasyahhud awal, membaca selawat atas Nabi di dalam tasyahhud awal, membaca selawat atas keluarganya dalam tasyahhud akhir, membaca Qunut, berdiri bagi Qunut, membaca selawat atas Nabi dalam Qunut dan membaca selawat atas keluarganya di dalam Qunut.
- Mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang dengan sengaja dan tidak membatalkannya dengan terlupa. Di antaranya memanjangkan rukun pendek, berkata-kata yang sedikit yang tidak melebihi enam perkataan, makan , minum yang sedikit pada uruf , dan melebihi rakaat.
- Memindahkan Qauli (bacaan) dari tempatnya sama ada Qauli itu rukun , sunat Ab'adh atau sunat Hai'ah.
- Syak pada bilangan rakaat.
- Syak pada bacaan sunat Ab'adh.
PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DI DALAM SEMBAHYANG
Di antara
perkara-perkara yang makruh dilakukan dalam sembahyang ialah :
- Berpaling dengan muka dari kiblat. Adapun berpaling dengan dada dari kiblat batal sembahyang.
- Mendongakkan dengan muka ke langit.
- Berludah di dalam sembahyang di hadapan atau di kanannya. Sementara berludah ke kiri atau bawah tapak kaki tidak makruh sekiranya sembahyang bukan di dalam masjid. Adapun di dalam masjid , haram berludah walau di pihak mana sekalipun. Begitu juga haram berludah di dalam masjid walaupun di luar sembahyang. Sekiranya berlaku sesuatu yang memerlukan kepada berludah di dalam sembahyang di masjid hendaklah berludah di kain ataupun disediakan bekas ludah di sebelah kiri.
- Tidak menutup kepala dan bahu di dalam sembahyang.
- Terganggu di waktu sembahyang kerana hendak membuang najis sama ada kecil atau besar ataupun kerana hendak membuang angin (kentut).
- Sembahyang di hadapan makanan atau minuman yang teringin kepadanya.
- Sembahyang di tengah jalan.
- Sembahyang di kubur selain dari kubur Nabi, Rasulullah atau syuhada'.
- Menyingkapkan (mengangkatkan) rambut dan kain kerana hendak turun sujud.
- Meletakan tangan ke atas mulut tanpa sesuatu hajat.
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SEMBAHYANG.
- Berkata-kata dengan sengaja walaupun satu huruf yang boleh memberi faham akan maksudnya begitu juga berdehem, ketawa, menangis, mengerang, berhembus dengan mulut atau dengan hidung, batuk, bersin, tetapi jika terpaksa ke atasnya dan sedikit pada uruf tidak batal sembahyang.
Begitu juga yakni tidak
batal sembahyang seseorang yang terlanjur lidahnya pada berkata-kata
yang sedikit pada uruf.
- Melakukan gerakan 3 kali berturut-turut dengan anggota besar seperti tangan, kaki, kepala atau tubuh sama ada sengaja atau tidak
Melakukan gerakan dengan anggota kecil seperti mengerakkan jari-jari, bibir, lidah, kelopak mata, kemaluan 3 kali atau lebih tidak batal sembahyang selagi tidak qasad bermain-main dengannya, sekiranya diqasadkan bermain-main dengannya, batal sembahyang.Batal sembahyang dengan mengerakkan sekalian tubuh atau kebanyakkan tubuh atau melompat.Dimaafkan perbuatan yang banyak di dalam sembahyang شدة الخوف (diwaktu bersangatan takut) kerana peperangan dan sembahyang sunat di dalam musafir khususnya, atas kenderaan yang bergerak.
- Berhadas besar atau berhadas kecil atau keluar angin dari dubur.
- Terkena Najis yang tidak dimaafkan
Adapun najis yang dimaafkan tidak mengapa seperti sedikit darah, nanah, air kudis, air bisul, darah tuma, darah kutu dan seumpamanya.Jika sekiranya jatuh najis yang tidak dimaafkan ke atas seseorang yang sedang sembahyang lalu dengan segera dibuangkan najis itu sebelum lagi berlaku masa Tama'ninah, tidak batal sembahyang.
- Terbuka aurat
Terbuka aurat ini sama ada disengajakan atau tersalah atau dibuka oleh binatang oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz.Sekiranya dibuka oleh angin dan ditutup segera yakni sebelum Tama'ninah tidak batal sembahyang selama tidak berulang-ulang dan berturut-turut.
- Mengubah niat atau digantungkan niat dengan sesuatu, seperti niatnya akan berhenti sembahyang kalau turun hujan atau seumpamanya.
Tidak batal sembahyang seseorang yang menukar niat sembahyang fardhu kepada niat sembahyang sunat mutlak kerana ingin berjemaah sembahyang fardhu.
- Berpaling dari kiblat dengan dada.
Jika
berpaling dari kiblat dengan mukanya tidak batal sembahyang tetapi
makruh sebagaimana yang telah dinyatakan dahulu.
Batal
juga sembahyangnya sekiranya dipalingkan oleh orang lain.
Adapun
jika berpaling dengan jahil atau terlupa dan segera kembali mengadap
kiblat tidak batal sembahyangnya.
- Makan, minum atau menelan air liur yang bercampur dengan makanan atau minuman.
Makan,
minum dengan lupa dan sedikit pada uruf tidak batal sembahyang.
- Memanjangkan rukun yang pendek iaitu i'tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama pada bacaan Fatihah bagi I'tidal dan sama lama pada bacaan tahiyat bagi duduk antara dua sujud.
- Terkemudian makmum daripada imamnya dengan dua rukun dengan ketiadaan uzur. Atau terdahulu makmum dari imam dengan dua rukun. Adapun terdahulu dengan satu rukun hukumnya haram tetapi sembahyangnya tidak batal.
- Murtad , wal'iazubillah
- Niat membatalkan sembahyang.
والله
أعلم بالصواب
وإليه المرجع
والمآب
http://www.epondok.com.my
Comments
Post a Comment