Mana Utama: Agama, Bangsa Atau Negara?
MANA UTAMA: AGAMA, BANGSA ATAU NEGARA?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Tidak dinafikan di sudut demokrasi dan kebebasan bersuara, rakyat di
Barat ini lebih menikmatinya dibandingkan sebahagian besar manusia lain
di atas bumi ini termasuk yang berada di kebanyakan negara muslim. Di
sudut ketelusan pengurusan harta rakyat, Barat juga kelihatan mendahului
dunia lain. Demikian juga di sudut pembangunan teknologi dan kemudahan
yang lain. Hakikatnya bukan sedikit budaya dan nilai tamadun yang
positif ada di Barat.
Namun, mengandaikan Barat itu sempurna di sudut kebebasan dan tiada
unsur penindasan agama dan kaum adalah tidak benar sama sekali.
Malangnya, anggapan yang seperti itu wujud dalam pemikiran segelintir
rakyat dunia lain termasuk negara kita, dengan menganggap Barat adalah
kiblat bagi keadilan sejagat. Sehingga apa sahaja nilai keadilan, mereka
akan merujuk kepada amalan di Barat. Seakan Barat itu begitu sempurna
dalam soal tersebut. Hal ini perlu diperbetulkan.
Perkauman
Sesiapa yang membaca tulisan Hanif Kureishi ‘The World and The Bomb’ akan dapat memahami betapa racism ataupun
perkauman begitu kuat di Barat sejak era 60an lagi. Bahkan sebelum itu
pun. Hal ini sudah lama, bukan bermula dari 11 September sahaja. Hanif
Kureishi dilahirkan di London oleh ibu yang berketurunan Inggeris dan
bapa yang berketurunan Pakistan. Bapanya datang ke UK pada tahun 1947.
Dia menceritakan betapa tertekan dirinya dan mereka yang sepertinya
sejak kecil disebabkan keturunan mereka. Penghinaan, ejekan dan
diskrimasi di serata tempat. Media termasuk BBC masa itu memainkan
peranan meniupkan semangat perkauman. Mereka yang dianggap pendatang
kadang-kadang diburu dan dipukul di jalanan hanya kerana warna kulit.
Kes yang seperti ini masih lagi wujud sehingga ke hari ini walaupun
sudah berkurangan.
Kureishi menceritakan bahawa sehingga pada zaman kanak-kanak dan
remaja, ada kalangan mereka rasa begitu menyesal dilahirkan sebagai
keturunan ‘tidak berkulit putih’. Mereka benci kepada diri
mereka sendiri, kemudian membenci persekitaran mereka yang tidak adil
dan tidak meraikan kehadiran mereka dalam masyarakat Barat. Sekalipun
mereka dilahirkan di Barat, mereka tetap dianggap pendatang asing kerana
ibubapa mereka pendatang. Sedangkan jika kita renung, antara punca
India dan Pakstan ke UK adalah disebabkan British yang telah menjajah
negara mereka dan akhirnya mereka mencari kehidupan di tanah British.
Sehingga ke hari ini isu diskriminasi kaum dan agama belum selesai di
Barat. Muslim sering merasa tertekan dengan identiti mereka sebagai
muslim. Momokan media telah memberikan gambaran yang buruk terhadap
muslim di Barat. Sebahagian bancian menunjukkan 75% orang Barat
mempunyai gambaran buruk terhadap Islam. Lantas, muslim selalu menjadi ‘suspect’
dalam pelbagai perkara buruk. Di samping tidak dinafikan wujudnya
faktor kelemahan dalaman masyarakat muslim itu sendiri, namun
diskriminasi memainkan peranan besar dalam meminggirkan mereka.
Persoalan Identiti
Persoalan tentang identiti mereka sering dibangkitkan. Apakah mereka itu ‘European’ atau ‘American’ ataupun mereka muslim. Seakan dua identiti yang tidak dapat disatukan sama sekali. Ataupun mereka mesti menjawab persoalan ‘first a European (an American) or a Muslim?’. Ini menghampiri soalan yang sama yang dibangkit dalam politik kita ‘melayu dulu, ataupun Malaysia dulu”. Ataupun, ‘Malaysia dulu, ataupun Islam dulu’.
Namun, bagi muslim ataupun melayu di Malaysia persoalan itu hadir
dalam konteks yang berbeza. Persoalan berkenaan di Malaysia bagi
menonjolkan siapakah lebih kukuh keislamannya, ataupun membuktikan
siapakah yang lebih teguh kemelayuannya dalam meraih undi masyarakat
melayu yang menjadi majoriti rakyat.
Adapun di Barat persoalan tersebut dibangkit kerana muslim di sini
sering dicurigai kesetiaannya kepada negara. Mereka dituduh tidak setia
kepada negara disebabkan kesetiaan mereka kepada Islam. Dalam ertikata
lain, masyarakat Barat sering melihat identiti Barat dan Islam tidak
dapat disatukan. Maksudnya, jika awak menjadi muslim awak tidak mungkin
menjadi European dan American yang sebenar. Ataupun vice versa jika awak menjadi European atau American awak tidak mungkin menjadi muslim yang sejati.
Prof Tariq Ramadan dalam bukunya ‘What I Believe’ membahas
dan cuba menjawab persoalan ini. Beliau melihat dua identiti itu
sebenarnya tidak bertentangan jika merujuk dalam konteks atau lingkungan
apa ia diperkatakan. Di sudut agama seseorang itu berpegang kepada
identiti agamanya. Sementara di sudut politik, dia berpegang kepada
identiti negara. Tidak semestinya bertentangan. Kata beliau:
“In the realm of religion and philosophy, that imparts meaning to life, a human being is first and foremost an atheist, a Buddhist, a Jew, a Christian, or a Muslim: her or his passport or nationality cannot answer the existential question. When an individual must vote for a candidate at an election, she or he is first an American, Italian, French or British citizen involved in national affairs. Depending on the realm or the field of activity, the individual therefore puts forward one identity or another, and that is not contradictory” (Oxford University Press (2010), m.s 36-37).
Hal yang sama boleh dicontohkan ialah identiti seseorang sebagai
bapa, dan dalam masa yang sama dia seorang anak. Ataupun, dia seorang
guru dan dalam masa yang sama seorang pemain bola. Cumanya, persoalan
timbul apabila dua identiti itu benar-benar bertentangan. Kehendak
negara yang bercanggah dengan agama dan kehendak agama yang bercanggah
dengan negara.
Dalam kes yang seperti itu seseorang hendaklah merujuk kepada nilai
dan prinsip keadilan dan kebaikan sejagat yang dipertahankan oleh semua
pihak, termasuk Islam. Jika pemimpin zalim, ataupun rasuah ataupun
salahguna kuasa dan selain; semua itu ditentang oleh Islam dan
kemanusiaan yang waras. Jika nilai-nilai insani sejagat itu dihayati
tiada suatu pun bertentangan dengan Islam yang hakiki. Cumanya yang
kelihatan bertentangan jika kezaliman seperti memusnah negara lain
ataupun rakyat sendiri yang dilakukan oleh Hitler, Bush, Blair, Gaddafi,
Khamenei, Asad dan regim-regim yang lain itu dijadikan identiti negara.
Setiap rakyat dipaksa pula memakai identiti itu. Maka pertentangan
identiti akan berlaku.
Demikian jika agama disalahtafsirkan sehingga terrorism, racism, kebencian, permusuhan tanpa sebab yang sah dan seumpamanya dijadikan identiti agama, maka pertentangan juga akan berlaku.
Islam yang sebenar bersifat sejagat. Ia selaras dengan nilai-nilai
kemanusiaan segajat. Ini kerana ia diturunkan oleh Tuhan sekelian
makhluk. Asas syariat Islam adalah untuk kemaslahatan insan. Ia bersifat
flexible dalam pendekatan atau cara bagi disesuaikan dengan
setiap budaya setempat dan persekitaran manusia. Mustahil Islam membawa
satu nilai yang memusnahkan kehidupan manusiawi yang baik. Demikian,
kenegaraan yang sebenar akan memelihara nilai-nilai keadilan sejagat dan
kemaslahatan rakyat. Jika kedua identiti itu difahami dari sudut yang
betul, pasti tiada sebarang pertentangan.
Hal yang sama boleh digunakan dalam menjawab persoalan ‘muslim duhulu, ataupun melayu duhulu, ataupun cina duhulu ataupun india duhulu ataupun Malaysia dahulu.‘
http://drmaza.com
Comments
Post a Comment