Masih Relevankah "Jangan Jaga Tepi Kain Orang" |
||
Abu Bakar Bin Yang
Fellow |
||
Dalam
masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang
menggambarkan kepedulian masyarakat yang begitu mendalam terhadap hal
ehwal orang lain. Terkenalnya pepatah ini sehingga ianya
sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu
dalam perbualan harian berbanding dengan pepatah-pepatah yang lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah ‘jangan jaga tepi kain orang' yang membawa maksud jangan ambil peduli hal orang lain. Persoalannya ialah adakah pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Dan lebih-lebih lagi kita orang Islam adakah pepatah ini selaras dengan tuntutan agama? Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri bergantung dari sudut mana kita melihatnya.
Sekiranya
pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat
ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban
seseorang maka memang layak pepatah ini diamalkan. Ini
adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain
seringkali akan disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan
itu kepada orang lain. Ini mengupat namanya dan diharamkan oleh agama. Bahkan
al Quran telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini di
dalam surah al Hujurat, sebahagian daripada ayat ke 12, yang maksudnya:
"Janganlah setengah daripada kamu mengupat setengah yang lain..."
Begitu
juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia
membawa maksud menjauhi sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan
orang lain. Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita oleh Islam supaya menjauhi sifat ‘tajassus'
atau mengintip dengan tujuan untuk mencari keaiban dan keburukan orang
yang tersembunyi, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah dan ayat
yang sama seperti di atas, yang membawa maksud:
"Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang..."
Buruknya amalan mengupat dan sifat ‘tajassus'
ini sehingga Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan kita supaya
menjauhi sifat-sifat ini dengan sabda Baginda yang bermaksud:
"Wahai
golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan
hatinya; Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu
mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban
saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang
diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya
walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya"
(Hadith riwayat at Tirmidzi)
Namun
apa yang ingin dilihat disebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu
molek diamalkan ini ialah ianya masih tetap relevan dengan tuntutan
kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ianya terpaksa diubah
dari ‘jangan jaga tepi kain orang' kepada ‘tolong jaga tepi kain orang'. Apa
yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa
persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti
suatu masa dahulu.
Di mana salah satu puncanya ialah runtuhnya institusi kejiranan dan lemahnya institusi kekeluargaan. Jiran sudah tidak lagi mengenali jirannya dan saudara-mara pun jarang sekali ingin bersemuka dan bertanya kabar. Rasa
bertanggungjawab terhadap jiran tetangga dan saudara-mara sudah semakin
terhakis dalam budaya hidup masa kini. Dan antara penyebab yang membawa
kepada tidak lagi berasa bertanggungjawab kepada permasalahan
masyarakat dan kejiranan itu ialah menggunakan alasan ‘jangan jaga tepi
kain orang' sebagai jalan mudah untuk menidakkan rasa tanggungjawab.
Sedangkan banyak perkara di dalam masyarakat kita hari ini menuntut
supaya kita lebih bertanggungjawab, dan banyak hal dapat diselesaikan
sekiranya sikap ingin tahu dan ingin bertanggungjawab ini disuburkan,
dan secara tidak langsung pepatah ‘jaga tepi kain orang' perlu
diketengahkan semula.
Contoh ketara yang boleh ditonjolkan ialah seperti kes-kes buang bayi, penderaan dan penculikan terhadap kanak-kanak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Dalam
kehidupan moden dan di era globalisasi ini kita tidak dapat menafikan
adanya manusia yang bertopengkan iblis dan bernafsukan syaitan. Jika tidak masakan timbul kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak seperti yang dapat kita lihat di dada-dada akhbar saban hari. Semua
yang berlaku ini memberikan kita satu amaran jelas bahawa para ibubapa
dan setiap anggota masyarakat perlu lebih peka dan mengambil tahu
terhadap persekitaran masyarakat serta keselamatan anak-anak kita dan
anak-anak jiran kita.
Rasa
tanggungjawab dan kepekaan ini mungkin boleh menyelamatkan masyarakat
kita dari terus dicerobos dengan masalah pembuangan bayi, golongan yang
gemar mendera anak-anak ataupun golongan ‘pedofilia' yang sering mengambil kesempatan dari kecuaian dan kelalaian ibubapa. Dalam
kes penculikan anak-anak umpamanya, kita tidak dapat menafikan bahawa
mungkin para ibubapa tidak dapat mengawal dan memberikan tumpuan seratus
peratus kepada anak-anaknya apatah lagi bagi mereka yang mempunyai
ramai anak. Namun para ibubapa juga perlu memahami bahawa
anak-anak kecil bahkan anak-anak yang sudah meningkat remaja tidak
berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri, dan inilah peluang yang
sering dinantikan oleh golongan ‘pedofilia' ini. Sepertimana
yang dikatakan oleh En. Sabri Abd. Rahman, Pengerusi Gabungan Bertindak
Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak, bahawa anak-anak kecil
mahupun yang sudah meningkat remaja sebenarnya masih tidak berupaya
untuk melindungi diri mereka sendiri.
Sehubungan
itu, katanya, ibu bapa tidak boleh mengandaikan kanak-kanak tidak kira
berapa peringkat umur mereka berupaya untuk menjaga diri sendiri dan
paling penting, tidak dibiarkan berada di luar mahupun di dalam rumah
tanpa ada pengawasan orang lebih dewasa. Menurut beliau
lagi, tiada istilah tempat yang benar-benar selamat untuk kanak-kanak.
Statistik menunjukkan kejadian seperti ini iaitu penculikan termasuk
jenayah keganasan dan penderaan terhadap kanak-kanak boleh berlaku di
mana saja termasuk di rumah yang kononnya dianggap selamat. Justeru,
mereka perlu lebih berhati-hati dan tidak memandang remeh isu
keselamatan kanak-kanak.
Mesej jelas
daripada senario kehidupan masyarakat kita ini menggambarkan bahawa mahu
tidak mahu rasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran
hidup kini mesti diwujudkan semula. Dan pepatah ‘jangan
jaga tepi kain orang' perlu diubah kepada ‘tolong jaga tepi kain orang'
sekiranya kita inginkan suasana yang lebih aman dan selamat.
Malangnya kita seringkali tidak mahu dilabelkan sebagai penyibuk dan suka sangat nak jaga tepi kain orang. Tetapi tahukah kita dengan menjadi ‘tukang sibuk'
dan suka jaga tepi kain orang inilah mungkin suatu hari dapat
menyelamatkan nyawa insan kecil yang mungkin anak jiran kita atau
mungkin juga anak kita sendiri. Kita tidak dapat
menggambarkan betapa wajah-wajah ibubapa yang dirundung malang ini saban
hari meratapi kehilangan anak kesayangan mereka, kesakitan demi
kesakitan dan penderitaan demi penderitaan.
Bagi menghadapi gejala
yang semakin membarah ini pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah
menubuhkan satu unit baru khas untuk menangani kes-kes seperti ini. Usaha ini seharusnya dipuji dan disokong oleh semua pihak. Cuma yang menjadi persoalan kita hari ini ialah bagaimana pula dengan tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati sahaja atau mungkin ada peranan yang boleh kita mainkan.
Sebagai
ahli masyarakat yang prihatin kita boleh menjadi sebagai pemberi
maklumat kepada unit khas ini supaya kes-kes yang melibatkan kanak-kanak
ini dapat diuruskan dengan lebih cepat dan berkesan. Untuk mendapatkan maklumat maka kita perlu kepada ‘tukang sibuk' dan menjadi orang yang suka menjaga tepi kain orang. Menjadi ‘tukang sibuk'
dan suka menjaga tepi kain orang ini pula bukanlah bererti mencari
maklumat yang bukan-bukan yang tidak ada hubung kait dengan masalah yang
dihadapi. Memadailah dengan maklumat yang sesuai dan cukup untuk disampaikan kepada pihak polis bagi melicinkan urusan siasatan mereka.
Justeru
dengan meningkatnya kes-kes pembuangan bayi, dan kemunculan
penjenayah-penjenayah yang zalim, kejam dan sadis ini di dalam
masyarakat kita, wajar bagi kita untuk kembali mengukuhkan institusi
kejiranan dan kekeluargaan kita.
Kerjasama yang mantap sangat perlu di antara kita sebagai ahli masyarakat dengan pihak yang diberi kuasa. Mungkin
kita adalah dari kalangan orang yang prihatin tetapi takut untuk
dilabelkan sebagai tukang sibuk dan suka menjaga tepi kain orang. Namun
ini hanyalah andaian kita terhadap orang lain, kerana hakikatnya
realiti kehidupan masyarakat kita sendiri sudah sedar betapa ‘menjaga
tepi kain orang' ini yang kena pada tempatnya adalah satu tanggungjawab
yang perlu disuburkan semula agar menjadi budaya sihat yang membawa
kepada kesejahteraan kita semua.
http://www.ikim.gov.my
|
7 Salamun / 7 Ayat Keselamatan (Salamun) 7 Ayat Keselamatan (Salamun) ini dibaca masing-masing 7x setiap sehabis sholat subuh dan maghrib, InsyaAllah kita akan terbebas dari segala macam bahaya dan mendapat perlindungan Allah SWT 1. Salamun Qaulam Mirrabbirrahim 7x 2. Salamun Ala Ibrahim 7x 3. Salamun Ala Nuhin Fil Alamin 7x 4. Salamun Ala Musa Wa Harun 7x 5. Salamun Alaikum Thibtum Fadhkhuluna Khalidin 7x 6. Salamun Ala Ilyasin 7x 7. Salamun Hiya Hatta Mat La'il Fajr Telah kubaca ayat-ayat suci di dalam Qalam Ilahi, dalam surat As-Shaffat. Ada satu hal yang sangat membuat jiwa ini ikut merindukan untuk mendapatkannya. Di dalam surat As-Shaffat dikisahkan para Nabi dan Rasul yang mulia. Para utusan Allah tersebut mendapat ucapan salam. Sebuah salam yang sangat indah. Sangat indah sekali.. Karena salam itu berasal dari Ar-Rahim, Allah Yang Maha Penyanyang: “Salamun ‘ala nuhin fil ‘alamin.” “Kesejahteraan (Kami limpahkan) atas Nuh di seluruh alam.” “Salamun ‘
Comments
Post a Comment