Peluh manusia melimpah pada Hari Kiamat




FIRMAN Allah dalam ayat 47, surah al-Kahf; ayat 49-50, surah Waqiah dan ayat 6, surah al-Tafiif yang antara maksudnya menyatakan:


Bahawa setelah sekalian yang mati dihidupkan semula serta dibangkitkan dari kubur masing-masing, maka Tuhan himpunkan segenap lapisan manusia  tidak ketinggalan antara mereka seorang pun  di Padang Mahsyar untuk menghadiri perbicaraan dan hukuman Tuhan Rabbul `Alamin.

Padang Mahsyar adalah bumi yang sifatnya diterangkan oleh Rasulullah dalam hadis berikut:

Daripada Sahl bin Sa`id As-Sa`idiy, Rasulullah bersabda bermaksud: Tuhan akan himpunkan semua manusia pada hari kiamat di atas satu bumi yang putih kemerah-merahan seperti sebiji roti gandum putih yang baru dibakar, bumi yang suci bersih, tidak ada padanya gunung-ganang atau bukit-bukau dan tidak pula ada padanya sebarang tanda atau kesan yang menunjukkan bahawa bumi itu pernah diduduki atau dimiliki orang. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perhimpunan di bumi yang disebutkan itu adalah perhimpunan raksasa yang mengandungi rasul, malaikat, jin, syaitan, haiwan dan mana-mana yang berkenaan dengan perbicaraan yang akan diadakan oleh Allah: Hakim yang maha adil.

Ini dinyatakan pada ayat 41, surah an-Nisa; ayat 40, surah Saba'; ayat 128, surah al-An'am; ayat 68, surah Maryam dan ayat 17, surah al-Furqan serta hadis berikut:

Daripada Abu Zar, Baginda bersabda selepas bersumpah: "Tidak ada seseorang yang memiliki unta, lembu atau kambing, yang dia tidak menyempurnakan haknya, melainkan dibawa binatang itu pada hari kiamat, dalam keadaan yang sebesar-besar dan segemuk-gemuknya, memijak dan melanyak-lanyaknya dengan tapak kaki dan menanduknya dengan tanduknya; setiap kali selesai kumpulan binatang itu berbuat demikian diulanginya perbuatan itu hingga diselesaikan perbicaraan antara manusia." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Masa ketika manusia bangkit dari kubur ke Padang Mahsyar menghadiri perbicaraan dan hukuman Allah hingga waktu manusia menduduki tempat masing-masing di syurga atau neraka, mengikut hukuman Tuhan Yang Maha Adil, ialah masa Hari Kiamat yang terbesar, masa yang huru-haranya menyelubungi jiwa dan tubuh badan manusia.

Tuhan Yang Amat Mengasihani mengingatkan kita mengenai keadaan huru-hara itu dalam al-Quran. Antaranya :-

  • Ayat 2, surah al-Haj yang maksudnya: Kedahsyatan hari kiamat itu sangatlah mengejut dan menjadikan seseorang terpegun dan terpinga-pinga hingga orang ramai kelihatan seperti keadaan orang mabuk, dan kalau ditakdirkan ada pada masa itu perempuan yang mengandung, keguguranlah anak kandungannya; kalau ada yang menyusukan anak, dia tidak akan ingatkan anak susuannya.
  • Ayat 88 dan 89, surah al-Syu'ara' yang maksudnya :Masa kiamat itu ialah masa yang harta benda dan anak-pinak seseorang tidak akan memberi manfaat kepadanya kalau dia mengadap Tuhan dengan hati yang tidak bersih daripada kekotoran kufur dan syirik, sekalipun harta benda itu dia belanjakan pada jalan kebajikan dan anak-pinak itu diberinya didikan agama dan akhlak yang mulia hingga menjadi seorang anak yang soleh.
  • Ayat 34 hingga 37, surah Abasa yang maksudnya: Masa kiamat itu ialah masa yang tiap-tiap seorang melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya, isteri dan anaknya, kerana masing-masing pada masa itu cukup sibuk dengan urusan keselamatan dirinya, tidak berpeluang hendak mengambil tahu hal orang lain, sekalipun orang itu serapat-rapat, semulia-mulia, dan sekasih-kasih orang kepadanya.

    Rasulullah pula menerangkan keadaan huru-hara hari kiamat itu pada beberapa hadis. Antaranya :
  • Daripada Abi Hurairah, bahawa Nabi bersabda: "Manusia berpeluh pada hari kiamat dengan banyaknya hingga air peluh mereka meresap ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta dan meneggelami mereka hingga sampai ke telinga masing-masing." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Daripada Miqdad bin al-Aswad, katanya: Aku ada mendengar Rasulullah bersabda: "Didekatkan matahari pada hari kiamat kepada makhluk-makhluk hingga matahari itu menjadi dekat kepada mereka sejarak satu mil; maka pada saat itu manusia berada dalam peluh masing-masing mengikut kadar amal jahatnya; ada antara mereka yang peluhnya sampai ke mata kakinya, ada yang sampai ke lututnya, ada yang sampai ke pinggangnya, dan ada yang sampai peluhnya masuk ke mulutnya." (Hadis riwayat Muslim dan at-Tarmizi)
  • Daripada Abdullah bin Mas ud, katanya, Rasulullah bersabda: "Dibawa neraka jahanam pada hari itu, dengan 70,000 tali penarik, pada tiap-tiap satu tali penarik ada 70,000 malaikat menariknya. (Hadis riwayat Bukhari)
  • Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda: "Akan keluar satu batang leher dari neraka pada hari kiamat, dengan dua mata yang melihat, dan dua telinga yang mendengar, serta lidah yang bercakap, lalu berkata: `Aku diberi kuasa menyeksa tiap-tiap seorang daripada tiga jenis manusia: Tiap-tiap orang yang kejam dan keras hati, lagi degil tidak menerima kebenaran yang diketahuinya; tiap-tiap orang yang menyekutukan sesuatu yang lain dengan Allah dan orang yang membuat gambar." (Hadis riwayat at-Tarmizi)

    Antara maksud hadis di atas ialah
  • Untuk menzahirkan tanda kemurkaan yang amat sangat Tuhan Yang Maha Adil terhadap orang yang bersalah.

    Jadi, pada masa itu didekatkan matahari kepada kepala manusia dan dibawa neraka jahanam ke Padang Mahsyar. Diberikannya juga bercakap menyatakan jenis orang yang diserahkan kepada-Nya menjalankan hukuman azab seksa-Nya.
  • Dengan sebab kepanasan matahari dan kelihatan neraka jahanam serta kedengaran suara jeritan dan kata-kata yang menggerunkan, tambahan pula perasaan takut yang tidak terperi dan keadaan mengharu-birukan orang yang baik, apa lagi orang yang bersalah, maka manusia pada masa itu berpeluh dengan banyaknya hingga.

    Selain meresapnya peluh itu ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta, ada lagi tinggal di muka Padang Mahsyar itu menenggelami tiap-tiap orang sekadar perbuatan jahat mereka lakukan ketika hidupnya di dunia.

    Ada yang tenggelam dalam peluhnya setakat mata kakinya, ada yang setakat lututnya. Ada yang setakat pinggangnya dan ada yang setakat mulutnya.

    Malah, ada hadis yang lain menyatakan bahawa ada orang yang kepalanya pun tenggelam.

    Dengan peringatan Allah dan penerangan Nabi Muhammad itu cukup hendaknya untuk seseorang berusaha benar-benar memperoleh hidayah dan taufik. Perkara sedemikian supaya dia bertaubat dan bertakwa serta mengerjakan kebaikan yang diharapkan boleh menjadi sebab menyelamatkan seseorang daripada bahaya segala huru-hara masa kiamat itu.

    Allah Yang Amat Mengasihani dan Maha Adil telan menjanjikan kesentosaan daripada bahaya yang disebutkan kepada sesiapa yang beroleh taufik mengamalkan kebaikan yang dapat membawanya mengadap Tuhan. Perkara itu seperti yang dinyatakan pada ayat 103 surah al-Anbia dan ayat 89, surah al-Naml.
  •  
  •  http://virtualfriends.net
  • Comments

    Popular posts from this blog