Peringkat Dosa Dalam Hati
Hati orang
mukmin ialah hati yang sihat dan ceria. Manakala hati orang yang fasiq
(berdosa) ialah hati yang sakit dan resah. Dosa itu akan mengundang
gelisah dalam jiwa.
Rasulullullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dosa itu sesuatu yang mendatangkan rasa resah dalam hatimu.”
Dosa ialah “virus” yang menyebabkan hati
sakit. Hati yang sakit mudah dikuasai oleh hawa nafsu yang ditunggangi
oleh syaitan. Apabila “raja” (hati) dalam kerajaan diri sakit, ia akan
turun dari takhtanya, dan naiklah “penjahat” (nafsu) sebagai penguasa
yang baru yang akan sentiasa mengajak diri kepada kejahatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya hawa nafsu itu akan sentiasa mengajak kepada kejahatan” (Surah Yusuf 12:53).
VIRUS DOSA
Seumpama penyakit lahir yang ada virus
atau bakteria yang menjadi penyebabnya, maka begitu jugalah penyakit
hati. Ada virusnya yang tersendiri. Sekali lagi ditegaskan bahawa
virus penyakit hati ialah dosa.
“Virus” dosa akan menyerang dan
“menyakitkan” hati tidak secara mendadak. Ia akan merosakkan hati
secara perlahan lahan dan berperingkat peringkat. Kejahatan itu bukan
satu kebetulan. Ia satu kebiasaan yang terbentuk secara perlahan lahan,
tahap demi tahap.
—————————–
ADA EMPAT TAHAP VIRUS DOSA MEROSAKKAN HATI MANUSIA
1. Rasa Bersalah Dengan Dosa
Pertama kali berbuat dosa, hati akan
diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Fitrah
semulajadi manusia adalah baik (sewaktu di alam roh dan mula mula
dilahirkan ke muka bumi ini).
Jadi apabila fitrah ini dikotori, manusia seolah olah menentang hati kecilnya sendiri.
Atas dasar pakar psikologi mengaku
bahawa setiap kali melakukan kesalahan atau dosa, manusia akan diserang
rasa “guilty conscience” – rasa bersalah. Kesalnya bukan main.
Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang menyeksakan,
sebab apabila berdosa manusa seolah olah berperang dengan dirinya
sendiri.
2. Rasa Biasa Dengan Dosa
Namun rasa berdosa itu tidak lama, Jika
dosa yang sama itu dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya, rasa
bersalah itu akan hilang sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu
telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak akan datang lagi. Ia
sirna dimamah oleh kebiasaan membuat dosa yang berulang-ulang. Jika
dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan tapi
ditahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati
telah tega dan rela untuk berdosa dan terus berdosa
3. Rasa Seronok Dengan Dosa
Dosa itu “racun” yang disalut kemanisan
dan keindahan. Dosa yang dilazimkan tidak akan terhenti kesannya pada
hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, “penyakit” hati akan meningkat
setahap lagi, yakni pada tahap ketiga: Seronok dan rasa indah dengan dosa.
Pada tahap ini, diri manusia itu
sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan dosa. Rasa ketagih
dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, menghantui hati. Racun
dosa akan bertukar menjadi nikmat. Tiada lagi rasa bersalah. Bagi dosa
yang terbiasa ini menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang berkubu kukuh
didalam hati.
4. Jadi Pembela Kepada Dosa
Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya
tiada batas. Syaitan pula ialah musuh yang tidak pernah tidur.
Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di
“lebuh raya” nafsu dengan “kenderaan” sifat sifat mazmumah, hati yang
seronok dengan dosa itu dirasuk untuk “maju” setapak lagi. Itulah tahap
keempat yang lebih dahsyat dan tenat. Keseronokan dosa itu menyebabkan
pelakunya menjadi pembela dan pejuangnya.
Pada tahap yang kronik ini, dosa akan
dipromosi dan dihiasi oleh si “toxic people” ini sebagai sesuatu yang
indah, seronok, dan menguntungkan. Jangan ada pembela agama yang
bercakap tentang akhirat dan kiamat, pejuang dosa itu pun bangun
menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.
Awas!! Hati yang sakit lama kelamaan
akan menjadi buta. Hati yang semacam ini sangat keras kerana mazmumah.
Sudah semakin membarah menjadi syirik, kafir dan munafik.
Allah swt berfirman yang bermaksud: “Dan
sesiapa di dunia ini buta hatinya maka diakhirat nanti juga akan buta,
dan lebih sesat lagi jalannya” (Surah al-Isra’ 17:72)
————————
BAGAIMANA MENGESAN PENYAKIT HATI
Bagaimana merawat hati yang sakit
sebelum menjadi parah? Mula mula kita perlu menyedari bahawa hati itu
bolak balik sifatnya. Rasullullah SAW menjelaskan hati itu bagaikan
kuah yang sedang mendidih atau menggelegak. Simpang siur dan turun
naiknya begitu unik. Kekadang ia sihat dan baik bagaikan fitrah
asalnya. Namun sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan
lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.
Bagaimana caranya untuk mengesan samada
hati kita sihat atau sakit? Sekali lagi Syeikh Ibn Ata’illah memberikan
panduan menerusi kata katanya:
“Sebahagian daripada tandanya matinya hati, iaitu jika tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika buat sesuatu perlanggaran dosa”.
Beliau menegaskan lagi bahawa kata kata itu bersandarkan sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berasa senang oleh amal kebaikannya dan merasa sedih atau menyesal atas perbuatan dosanya, maka dia seorang Mukmin (beriman)” (Riwayat al-Tabarani).
Kalau badan kita sakit, kita tidak
berselera untuk makan sekalipun dihidangkan makanan yang enak. Mana
mungkin kita makan, hidung yang tersumbat, lidah yang pahit yakni ketika
deria pandang, bau dan rasa kita telah “tercabut”.
Begitu juga dengan hati yang sakit
menolak segala “makanan Rohani” yang enak dan lazat seperti solat,
zikrullah, membaca al-Quran, doa dan lain lain. Apabila solat tidak
lazat, bukan ertinya solat itu yang tidak lazat tetapi kerana hati kita
sakit. Apabila membaca al-Quran tidak manis, bukan beerti al-Quran itu
pahit tetapi hati kita yang sakit.
JALAN MUJAHADAH
Hati yang sakit wajib dirawat. Jika
sakit lahiriah menyeksa kita didunia dan paling buruk akan berakhir
dengan kematian, sakit bathiniah (hati) menyebabkan kita terseksa di
dunia dan menderita selama lamanya diakhirat. Tidak ada Jalan lain
untuk merawat hati kecuali dengan Jalan mujahadah (bersungguh sungguh
menempuh Jalan ketaatan).
Ubat selalunya pahit, maka begitulah dengan mujahadah, ia sangat pahit, perit dan menyeksa. “No pain, no gain”.
Itulah hukumnya. Mujahadah itu pahit,
kerana syurga itu manis. Jadi tidak ada Jalan pintas untuk merawat hati
melainkan dengan bermujahadah. Orang yang bersungguh sungguh dalam
mujahadah akan mendapat pimpinan Alalh SWT, insya-Allah.
Mafhum Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang bersungguh sunguh di Jalan Kami nescaya Kami akan tunjukkan Jalan Jalan Kami.”. (Surah al-Ankabut 29:69)
Untuk mendapat dorongan dan kekuatan
dalam bermujahadah, renungilah panduan panduan yang diberikan oleh
Al-Quran dan sunah mengenai soal hati. Ikutilah nasihat para ulama yang
merupakan “doktor-doktor” Rohani yang arif dalam soal yang seni dan
maknawi ini. Mereka yang celik mata hati ini mempunyai “stetoskop” yang
dapat mengesan penyakit hati dan mengubatinya.
Sehubungan dengan itu, imam Al-Ghazali memberi panduan :
“Carilah hatimu pada tiga tempat.
Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran. JIka kau tidak temui, cari
hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu
ketika duduk tafakur meningati mati. Jika kau tidak temui juga, maka
berdoalah kepada Allah SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada
ketika itu kau tidak mempunyai hati.”
———————————————–
MARI KITA PERINCIKAN TIGA KAEDAH INI:
1. Membaca Al-Quran
Sudah semestinya hati terganggu oleh
kerenah kerenah manusia atau gelombang kehidupan. Namun lazimilah
mencapai Al-Quran dan membacanya. Bacalah ayat-ayat Allah itu, kerana
ia pasti akan menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan.
Itulah penawar jiwa, ubat kepada hati.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Diturunkan kepadamu Al-Quran sebagai petunjuk dan Rahmat serta penawar..” (Surah al-Isra’ 17:82)
Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama
telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun
fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna
jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, Cantik,
bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran
segalanya tidak bermakna.
Orang yang “berjaya” tetapi meninggalkan
Al-Quran dalam hidup umpama mendaki puncak hanya untuk meninggikan lagi
tempat jatuh. Ibarat memburu fatamorgana dunia, hanya untuk ditipu
olehnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tiadalah kehidupan dunia melainkan mata benda yang menipu” (Surah Ali Imran 3:185)
Bagi mereka kehidupan adalah sempit. Firman Allah SWT yang bermaksud: “
Dan sesiapa yang dikehendaki-Nya menjadi sesat. Dia (Allah) jadikan
dadanya sempit dan sesak seolah olah dia sedang mendaki ke langit..”
(Surah al-An’am 6:125)
Buat mereka ini dijanjikan kesibukan
yang tanpa henti kelesuan yang tiada berpenghujung, kejemuan yang
sentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan.
2. Mendirikan Solat
Selain membaca Al-Quran, rawatlah hati dengan solat. Berkata seorang ulama bernama al-Hakim:
“Jika kamu ingin Allah ‘bercakap’ denganmu, bacalah Al-Quran kerana Al-Quran ialah ayat ayat Allah yang ditujukan kepadamu. Tetapi jika kamu pula ingin ‘bercakap’ dengan Allah, maka dirikanlah solat kerana solat hakikatnya ialah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada Allah”.
Hati yang lemah akan mendapat semula
kekuatannya apabila bersandar kepada satu kuasa Yang Maha Perkasa.
Sebagai perbandingan, pakar pakar psikologi sering menyarankan supaya
kita meluahkan masalah yang membebankan kepada orang yang kita sayangi,
percayai atau hormati. Langkah itu akan meredakan beban rasa yang
mencengkam jiwa.
Ini dibuktikan secara saintifik. Kajian
menunjukkan manusia perlu didengar kata-kata dan rintihannya seperti ia
memerlukan makanan. Kata mereka, bila didengar ini akan melegakan
perasaan rasa resah yang ditanggung. Bijak pandai ada mengungkapkan
“The first duty of love is to hear”- tugas cinta yang pertama ialah
mendengar.
Ya, sekiranya kita meluahkan rasa hati
kepada manusia itu pun sudah melegakan. Apa lagi jika kita solat, ini
beerti kepada Zat yang mampu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi
oleh hamba-Nya.
Bukankah antara satu nama Allah SWT
ialah Al-Sami’ (Maha Mendengar)? Allah sentiasa mendengar rintihan dan
permintaan hamba-Nya. Apabila kita rasa Allah mendengar segala
pengaduan kita, sudah pasti jiwa kita akan mendapat satu ketenangan dan
kerehatan.
Sebab itu, seringkali Rasullullah SAW bersabda kepada Saiyidina Bilal ( apabila Baginda menyuruhnya melaungkan azan), “Rehatkan kami dengan solat wahai Bilal”.
Itulah ketenangan hati yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali dengan anjurannya, “Carilah hatimu dalam solat!”.
3. Mengingati Mati
Rawatlah hati dengan mengingati mati.
Hati yang mengingati mati akan hidup, yang melupakan mati akan mati.
Hiduplah dengan semangat orang yang bersedia untuk mati.
Sabda Baginda SAW: “ Orang yang paling cerdik iaitu mereka yang banyak mengingati mati” (Riwayat al-Baihaqi).
Jadilah insan yang bijaksana sepertimana
yang dimaksudkan oleh Rasullullah SAW, yakni mereka yang sentiasa
mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Impak daripada
mengingati mati, para sahabat Rasulullah SAW hidup bahagia, tenang dan
aman disamping dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan.
Ingat mati ialah pembasuh hati yang
gelisah dan resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan pengajaran.
Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat. Ingat mati
itu sesungguhnya akan memberi satu tenaga yang begitu ampuh untuk
menjalani kehidupan dengan jiwa yang kukuh.
Persediaan menghadapi mati menyebabkan
ktia lebih produktif dan aktif dalam hidup! Sebaliknya melupakan mati
akan mematikan hati.
sumber: Majalah Solusi Isu 4; antara majalah yang penuh dengan perkongsian ilmu.
http://irhafiz.wordpress.com/haluanku/soal-hati/
Comments
Post a Comment