Surat Terbuka TAMRIN TUN GHAFAR Kepada YAB PERDANA MENTERI
23hb April 2012
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
BANGUNAN PERDANA PUTRA
62502 PUTRAJAYA, MALAYSIA.
Assalamualaikum wbt YAB Dato’ Sri,
PERKARA-PERKARA YANG HARUS DILAKUKAN UNTUK MEMENANGI PILIHANRAYA
Semoga YAB Dato’ Sri senantiasa berada
dalam perlindungan Allah di dalam memikul tanggungjawab sebagai Perdana
Menteri demi agama, bangsa dan negara.
Saya memilih untuk mengutus surat ini
pada hari ini, Isnin 23hb April 2012 kerana pada tarikh ini enam tahun
lalu kembalinya ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba ke
Rahmatullah. Sebelum menutup mata buat kali terakhirnya, beliau telah
mengalirkan air mata kepada beberapa orang sahabatnya termasuk Tengku
Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam yang menziarahinya di hospital.
Beliau meluahkan keresahannya tentang masa depan UMNO, orang-orang
Melayu dan negara.
Kedua-dua ayahanda kita (Tun Ghafar dan
Tun Razak) adalah rakan seperjuangan yang amat rapat berjuang tanpa
mengira penat lelah untuk bangsa dan negara.
YAB Dato’ Sri dan saya pula pernah
bersama-sama berada dalam Exco Pergerakan Pemuda UMNO di zaman Datuk
Haji Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun Tun Ghafar Baba diiktiraf
sebagai seorang wira negara, tetapi yang sedihnya pembinaan Memorial Tun
Ghafar Baba di Peringgit, Melaka sebagaimana yang dijanji dan
diluluskan peruntukannya sebanyak RM12 juta oleh kerajaan sejak beberapa
tahun lepas, masih belum ditunaikan sehingga ini. Alasan yang diberikan
ialah ketiadaan peruntukan sedangkan jika dilihat setiap kali
pilihanraya kecil diadakan, begitu banyak peruntukan diberikan kepada
sekolah-sekolah venakular Cina dan sebagainya dengan tujuan untuk meraih
undi. Bukanlah saya menentang pemberian itu tetapi mengabaikan
penghormatan kepada seorang wira negara seperti ayahanda saya dan
mengutamakan perkara lain amatlah tidak berpatutan.
Saya juga mengalu-alukan beberapa
langkah pembaharuan dan transformasi yang cuba dilakukan oleh YAB Dato’
Sri sejak menjadi Perdana Menteri lebih tiga tahun lalu. Namun demikian,
disebabkan dalam masa yang sama wujud juga pelbagai isu dalam negara
yang menghantui rakyat, ia telah menyebabkan segala transformasi yang
cuba dilaksanakan itu dipertikaikan dan tidak dapat diterima dengan
baik.
Menjelang PRU 13 yang dijangka
berlangsung pada Jun ini yang mana ia dikatakan ibu segala pilihanraya
dan pilihanraya yang akan menentukan sama ada UMNO/BN mampu terus
bertahan atau sebaliknya, hari demi hari didapati sokongan dan keyakinan
rakyat terhadap UMNO dan BN semakin merudum disebabkan begitu banyak
sekali isu-isu serius yang berlaku dan tidak berjaya ditangani.
Atas dasar keprihatinan terhadap UMNO
dan ingin terus melihat parti ini mampu bertahan di hati rakyat dan
memenangi pilihanraya, saya mempunyai beberapa pandangan yang
dirasakan mampu mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO
dan BN, seterusnya mampu menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam
pilihanraya umum nanti.
1. ISU LEMBU NFC
Sejak isu lembu NFC yang dikaitkan
dengan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil muncul, ia didapati
begitu menjejaskan sokongan rakyat kepada UMNO. Ia bukan sekadar suatu
skandal yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet, menggunakan duit
lembu untuk membeli pelbagai hartanah di Malaysia, Singapura dan
Kazashtan, pecah amanah dan sebagainya sebagaimana yang sudah banyak
didedahkan tetapi turut menjadi persoalan ialah siapakah yang melulus
dan mempunyai kepentingan di sebalik projek berimpak tinggi itu.
Isu NFC tidak dilihat selesai di mata
rakyat dengan sekadar Shahrizat “meletakkan jawatan” ( tamat tempoh
Senator pada 8/4/12) dan mendakwa suaminya di mahkamah. Oleh kerana
RM250 juta itu adalah wang rakyat, maka rakyat sebenarnya berhak untuk
mengetahui secara terperinci perkara-perkara seperti berikut:
1) Atas
dasar apa pinjaman RM250 juta itu diberikan sedangkan syarikat dan Ahli
Lembaga Pengarah langsung TIDAK mempunyai sebarang pengetahuan dan
kepakaran dalam bidang penternakan lembu;
2) Berapakah
jumlah modal berbayar syarikat semasa pinjaman diluluskan (mesti
mempunyai tidak kurang daripada 10% daripada jumlah pinjaman);
3) Siapakah
yang bertanggungjawab merekomen dan akhirnya meluluskan pinjaman itu –
ini penting kerana berbagai tuduhan mengatakan mereka yang terlibat
antaranya ialah YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Noh Omar dan
termasuk juga YAB Dato’ Sri sendiri;
4) Apakah
terma-terma perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat NFC ini
sehingga mereka boleh membelanjakan pinjaman tersebut sesuka hati
seperti membeli hartanah mewah di Malaysia, Singapura dan Kazashtan.
5) Betulkah
kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid bahawa
pinjaman tersebut dikeluarkan SEBELUM perjanjian ditandatangani.
Berdasarkan kepada konsep ketelusan
dan keterbukaan YAB Dato’ Sri sendiri, saya berpendapat wajar YAB Dato’
Sri membuktikan konsep tersebut dengan bersetuju terhadap permintaan
Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi
menyiasat dan merungkai keseluruhan kemelut skandal tersebut
memandangkan sudah begitu banyak cakap-cakap dan dakwaan dilemparkan
berkaitan isu ini.
Bak kata Saudara Aspan Alias dalam
blognya Aspan Alias @ blogspot.com, jika isteri Datuk Salleh hanya
seorang bidan kampung atau guru sekolah, mungkinkah syarikat mereka
begitu mudah mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta selama 20 tahun tanpa
perlu membayar semula sehingga di tahun kelima. Faedah yang dikenakan
pula hanya 2% saja jika dibandingkan dengan pinjaman perumahan dan
kenderaan kakitangan awam sebanyak 4%, sehingga ada yang mengatakan
secara sinis, nilai lembu lebih tinggi daripada kakitangan awam.
Tidak kurang juga rasa hampa sebahagian
besar ahli-ahli perniagaan dan anak-anak muda yang baru melangkah ke
dunia perniagaan, mereka amat susah mendapat pinjaman walaupun setakat
RM50 ribu sama ada dari bank-bank mahupun dari agensi kerajaan. Berbagai
syarat seperti cagaran dan penjamin mesti disediakan. Biasanya mereka
terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya hanya untuk mendapat keputusan.
Faedah yang dikekakan pula tidak kurang 10%. Tanya mereka, “di manakah
keadilan sebenarnya.”
Dalam masa yang sama, Naib Ketua Wanita
UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim sendiri berpendapat isu ini amat
menyukarkan Wanita UMNO peringkat akar umbi menjalankan kerja bagi
menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Seperti kata Kamilia, “kami Wanita UMNO
dianggap sebagai lembu ke mana-mana kami pergi”. Malangnya atas
sebab-sebab perhubungan silam dengan Datuk Seri Shahrizat yang hanya YAB
Dato’ Sri sendiri saja tahu telah menyebabkan YAB Dato’ Sri mengambil
pendekatan di mana hubungan peribadi mengatasi kepentingan parti.
Hanya dengan penubuhan sebuah
Suruhanjaya Diraja yang bebas dan adil saja yang berupaya mengembalikan
keyakinan rakyat. Malahan saya percaya selepas Suruhanjaya Diraja ini
menjalankan tugasnya dan disusuli dengan tindakan yang bersesuaian oleh
pihak berkuasa, tiada sebab lagi untuk rakyat terus meragui UMNO dan
kerajaan yang ada sekarang.
2. ISU CINCIN US24 JUTA DAN PERBELANJAAN MEWAH
YAB Dato’ Sri,
Melalui jawapan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz di Parlimen yang
mengesahkan kewujudan cincin bernilai US24 juta yang begitu
diheboh-hebohkan suatu ketika dahulu. Berbagai kenyataan berhubung isu
cincin berlian itu diberikan, menambahkan lagi kesangsian rakyat:-
1. Kenyataan Pertama
Ekoran terpaparnya di kaca-kaca
internet borang deklarasi kastam KLIA yang menunjukkan cincin bernilai
US24 juta itu adalah kepunyaan isteri YAB Dato’ Sri dan apabila dicabar
supaya mengambil tindakan undang-undang, kenyataannya ialah tidak perlu
membuang masa.
2. Kenyataan Kedua
Cincin tersebut dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk menyertai Pameran Barang-Barang Kemas di Kuala Lumpur.
3. Kenyataan Ketiga
Pengesahan Menteri di Parlimen bahawa cincin tersebut telah dipulangkan kepada Jacob & Co yang berpusat di New York.
Begitu juga dengan dan pembelian
pelbagai jenis barangan mewah sebagaimana yang dilaporkan di media yang
dikaitkan dengan isteri dan keluarga YAB Dato’ Sri, ia sekaligus
menebalkan lagi kesangsian rakyat terhadap kekayaan peribadi YAB Dato’
Sri sekeluarga. Baru-baru ini timbul pula berita YAB Dato’ Sri
membelanjakan wang rakyat lebih RM400 ribu untuk jamuan majlis
pertunangan anak perempuan dan hampir RM80 ribu untuk sambutan hari
jadi YAB Dato’ Sri sendiri.
Sudah timbul cakap-cakap di warung dan
kedai kopi bahawa hanya dalam tempoh 3 tahun saja kekayaan keluarga YAB
Dato’ Sri telah melebihi kekayaan Imelda Marcos.
Persoalan yang bermain di hati rakyat
ialah bagaimanakah kekayaan itu diperolehi. Dalam hal ini YAB Dato’ Sri
tidak seharusnya hanya berdiam diri atau sekadar meminta pihak lain
membuat penafian tanpa sebarang fakta dan angka. Selain keperluan
bersuara sendiri dan mengemukakan bukti untuk menangkis segala dakwaan
yang ditimbulkan itu, ada yang menyarankan agar YAB Dato’ Sri berani
bersumpah di mana-mana masjid bahawa segala perbelanjaan dan kemewahan
yang dimiliki adalah diperolehi secara halal, milik yang sah dan tidak
ada satu sen pun hasil dari pengambilan wang rakyat.
Dalam hal ini, saya tidak mahu memberi
komen, terserahlah kepada YAB Dato’ Sri sendiri. Tetapi jika ini dapat
dilakukan, sudah tentu keyakinan rakyat dapat dipulihkan dan memberi
kelebihan untuk YAB Dato’ Sri dalam menghadapi pilihanraya yang akan
datang ini.
3. ISYTIHAR HARTA
Sesuai dengan semangat keterbukaan yang
menjadi teras kepada mana-mana kerajaan di kebanyakan negara sekarang
ini, saya juga ingin mencadangkan agar YAB Dato’ Sri, menteri kabinet
dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta dan kekayaan
masing-masing untuk pengetahuan rakyat.
Di Amerika Syarikat, malah di Indonesia
pun, calon-calon Presiden dikehendaki mengisytiharkan harta dan
kekayaan masing-masing serta keluarga sebelum mereka menawarkan diri
menyertai pilihanraya. Sekiranya perkara yang sama dapat dilakukan oleh
YAB Dato’ Sri sebelum pilihanraya ini, ia tentunya suatu berita gembira
bagi rakyat dan mereka akan dapat menilai sama ada seseorang pemimpin
itu terlibat dengan rasuah atau sebaliknya.
Dalam hal ini, saya amat berkeyakinan
jika amalan mengisytiharkan harta dan kekayaan oleh anggota kabinet dan
pegawai tinggi kerajaan termasuk keluarga mereka untuk pengetahuan
rakyat dapat dijadikan teras pentadbiran YAB Dato’ Sri, ia akan mampu
melonjakkan sokongan rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum ini serta
boleh dijadikan garis panduan bagi pemimpin akan datang sama ada di
peringkat pusat mahu pun negeri.
4. SEMANGAT MELAYU DAN DASAR EKONOMI
Kebimbangan utama orang Melayu dan
rakyat beragama Islam terhadap UMNO sekarang ialah perjuangannya yang
dilihat semakin menipis terhadap kepentingan Melayu, Islam dan seperti
sudah melupakan semangat Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh
Allahyarham Tun Abdul Razak dahulu. Melalui dasar 1Malaysia yang
diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri, rata-rata berpendapat bahawa ia tidak
seharusnya terlalu dikompromikan terutamanya dalam pengagihan kek
ekonomi, pemberian biasiswa, perlaksanaan kouta Bumiputera dan
sebagainya.
Sejak DEB diperkenalkan pada sekitar
tahun 1970-an oleh Tun Abdul Razak, BN terus mendapat sokongan kuat
daripada rakyat dalam pilihanraya demi pilihanraya sehinggalah tahun
2004. Walaupun Tun Razak tidak mempunyai slogan seperti 1Malaysia tetapi
rakyat berbilang kaum hidup berharmoni dan hormat menghormati antara
satu sama lain. Hak-hak istimewa orang Melayu seperti kouta dalam
perniagaan dan biasiswa tidak terjejas, di samping hak rakyat asing yang
lain terus berkembang dengan pesat. Agama rasmi negara iaitu Islam
tidak dihina dan dimomok seperti yang dilakukan sekarang oleh rakan
kongsi BN sendiri iaitu MCA.
Ramai yang berpendapat Allahyarham Tun
Razak, ayahanda YAB Dato’ Sri telah memberi harapan kepada rakyat
khususnya orang-orang Melayu tetapi harapan itu dihancurkan oleh anaknya
sendiri iaitu YAB Dato’ Sri sendiri. Kata Datuk Ariff Sabri dalam
blognya Sakmongkol AK47, NAJIB BUKAN TUN RAZAK… ini membawa makna yang
amat jauh dan dalam.
Hanya pada tahun 2008 BN kehilangan 4
negeri selain Kelantan dan juga hilang majoriti 2/3. Ini berlaku kerana
seperti kata Tun Mahathir, pimpinan BN pada ketika itu amat lemah dan
lalai, ditambah pula wujudnya sikap rakus “budak-budak tingkat 4”.
Malangnya, sejak setahun dua ini
rata-rata rakyat, termasuk ahli-ahli UMNO dan BN sendiri mengkritik
kepimpinan hari ini yang disifatkan lebih teruk dari yang baru lepas.
Ini tidak termasuk perbincangan hangat orang ramai mengenai perilaku
isteri YAB Dato’ Sri sendiri yang dikatakan lebih teruk dari
“budak-budak tingkat 4”. Pendek kata, rakyat rata-rata mengikuti
perkembangan semasa.
Isu terbaru yang diperkatakan
kebelakangan ini ialah bagaimana Tabung Haji boleh menjual ladang kelapa
sawitnya di Indonesia seluas 83,000 hektar dengan anggaran pendapatan
RM3 juta sehari kepada sebuah syarikat bukan Melayu. Perkara ini perlu
dijelaskan terutama siapakah yang memberi kelulusan penjualan itu kerana
jika benar, ia merupakan pengkhianatan kepada orang-orang Melayu
khususnya pencarum-pencarum Tabung Haji.
Saya penuh yakin bahawa kedudukan
Melayu dan Bumiputera di negara ini telah difahami oleh semua pihak dan
tidak akan menimbulkan apa-apa masalah jika ia diuruskan dengan
ketegasan serta kebijaksanaan.
Dalam hal ini, YAB Dato’ Sri bukan saja
harus kembali kepada jati diri sebagai orang Melayu dan penganut Islam
tetapi sebagai Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri juga tidak harus lupa Fasal
3 Perlembagaan UMNO yang menuntut antara perjuangan UMNO ialah berjuang
mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan
martabat bangsa, agama dan negara.
5. PINJAMAN PTPTN
Saya cukup tertarik dengan tawaran
Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang pinjaman
PTPTN kepada para pelajar pusat pengajian tinggi dan ingin memberi
pendidikan percuma kepada rakyat. Bagi saya, tawaran Pakatan Rakyat itu
amat baik dan relevan demi kepentingan rakyat, generasi muda dan
kepentingan melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti untuk
negara.
Demi kepentingan rakyat dan untuk
mendapatkan kembali sokongan generasi muda dalam pilihanraya umum ini,
saya ingin menyarankan agar YAB Dato’ Sri segera bertindak pantas
menghapuskan pinjaman PTPTN ini kerana ia didapati begitu membebankan
pelajar dan menyebabkan mereka dibelenggu dengan hutang sebelum pun
memasuki dunia pekerjaan.
Pinjaman PTPTN ini ternyata amat
membebankan generasi muda dan tidak adil jika dilihat daripada
kesediaan kerajaan memberikan pinjaman RM250 juta dengan kadar faedah
hanya 2% serta diberikan tempoh membayar balik selepas lima tahun yang
diberikan kepada projek lembu NFC.
Lagi pun, jika hutang Tan Sri Tajuddin
Ramli berjumlah RM589 juta terhadap kerajaan pun dapat dilupuskan,
tentulah tiada masalah bagi pihak kerajaan menghapuskan hutang PTPTN ini
demi kepentingan modal insan negara.
Saya bersetuju dengan pandangan Tengku
Razaleigh melalui hasil minyak negara sebanyak antara RM80 hingga RM90
bilion setahun, ianya tidak menjadi masalah kepada pihak kerajaan untuk
memperuntukkan sebahagian kecil daripadanya untuk membiayai pelajaran
anak-anak muda kerana mereka inilah harta negara sebenarnya yang perlu
diberi perhatian serta tumpuan.
Mengapakah kerajaan terlalu berkira
sangat dalam soal hutang PTPTN ini kerana jika mengikut laporan di mana
hutangnya hanya tinggal RM24 billion dan andainya pembayaran balik
dilakukan dalam tempoh 10 atau 15 tahun, kerajaan hanya perlu
mengeluarkan perbelanjaan yang kecil sahaja sedangkan inilah pelaburan
terbaik untuk masa depan negara.
Oleh kerana cadangan ini datangnya dari
Pakatan Rakyat, kerajaan menolaknya dengan alasan yang susah diterima
akal yang waras iaitu negara akan bankrap jika sekiranya cadangan
tersebut dilaksanakan. Amat cetek sekali pemikiran dan pendekatan
kerajaan dalam menangani isu PTPTN ini.
Yang sedih dan memilukan apabila
sekumpulan “askar-askar upahan” mencederakan anak-anak muda (penuntut)
yang berpiket secara aman di Dataran Merdeka. Saya diberitahu, anggota
polis yang berhampiran mengambil masa agak lama sebelum bertindak
seolah-olah mengizinkan insiden tersebut. Begitu juga tindakan kasar
Penguatkuasa DBKL. Sekarang ini mereka menyalahkan anak-anak muda ini
pula dengan mengheretnya ke mahkamah – Ialah mereka yang berkuasa!!
6. CAMPURTANGAN SISTEM KEHAKIMAN
Baru-baru ini telah didedahkan minit
mesyuarat pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri
sendiri di mana di dapati wujud usaha campurtangan untuk mempengaruhi
hakim-hakim dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan antara para peneroka
dengan Felda. Pendedahan ini begitu mengejutkan kerana ia didapati
campurtangan yang tidak wajar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri
yang saban hari melaungkan perjuangan mengutamakan rakyat, termasuk
peneroka. Kata mereka mungkin banyak lagi kes-kes yang membabitkan
campurtangan YAB Dato’ Sri dalam sistem kehakiman ini.
Adalah penting untuk YAB Dato’ Sri
membersihkan nama dalam hal ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana
ianya boleh berlaku. Pandangan rakyat dalam hal ini amat mudah, jika
ianya tidak benar mustahil ia boleh dimasukkan dalam minit mesyuarat
pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri sendiri. Sudah
mula kedengaran cakap-cakap, dulu Mahathir sekarang Najib pula!
7. ISU PENGUNDI HANTU DAN HIMPUNAN BERSIH 3.0
Mengikut laporan-laporan yang
didedahkan dalam media, isu pengundi hantu dan berleluasanya amalan
menjadikan warga asing sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi amat
menakutkan sekali. Warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan
Kemboja didapati begitu ramai dijadikan sebagai pengundi.
Dalam masa yang sama, pengundi hantu di
beberapa kawasan dan negeri juga didapati bertambah dengan mendadak.
Selain Selangor yang didapati berlaku pertambahan jumlah pengundi yang
besar, dilaporkan di kawasan Parlimen Pekan sendiri, jumlah pengundi
baru bertambah sebanyak lebih 18 ribu. Ini tentunya merupakan suatu
pertambahan yang meragukan.
Mengikut mereka, pertambahan jumlah
pengundi di Pekan dilakukan selepas YAB Dato’ Sri menang tipis cuma 241
undi pada 1999 di mana pengimportan pengundi warganegara asing daripada
Kemboja dan Myanmar berjumlah beberapa ribu orang bermula.
Oleh kerana media cetak dan elektronik
utama dikuasai kerajaan, maka pelbagai pendedahan telah dibuat melalui
akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Rata-rata rakyat amat sedih melihat
bagaimana kerajaan sanggup memberi kerakyatan kepada berpuluh ribu orang
asing sebegitu mudah semata-mata untuk menang dalam pilihanraya ini.
Proses membersihkan senarai pengundi
amatlah penting dilakukan supaya pilihanraya berjalan dengan adil dan
bersih. Adalah tidak berguna memenangi pilihanraya jika kemenangan itu
hanya disumbangkan oleh undi daripada rakyat Bangladesh, Indonesia,
Myanmar serta Kemboja dan ia tidak lebih umpama kata pepatah “menang
sorak kampung tergadai” atau “menang pilihanraya negara tergadai”.
Nauzubillah!
Oleh kerana kebanjiran begitu ramai
rakyat negara asing dianugerahkan kad pengenalan biru untuk dijadikan
pengundi terutama di Selangor dan beberapa kawasan tertentu, sudah ada
ejekan iaitu UMNO bukan lagi United Malay National Organisation tetapi
berubah kepada United Myanmar Nepalese Organisation. You have to prove
them wrong.
YAB Dato’ Sri,
Rakyat sebenarnya mahukan pilihanraya
yang bersih, bersih dari segala jenis penipuan dan SPR yang benar-benar
bebas tetapi jelas terbukti kerajaan seperti tidak mahu melayani
permintaan-permintaan tersebut dan SPR pula bersubahat dengan kerajaan.
Kerajaan yang bersih sepatutnya menerima dengan hati terbuka kehendak
rakyat yang mahukan pilihanraya yang bersih.
Untuk maksud tersebut, YAB Dato’ Sri
mestilah serta-merta melantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang
baru, ini ekoran pendedahan kedua-dua mereka iaitu Tan Sri Abdul Aziz
Yusof dan Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli UMNO. Patutlah kedua-dua
mereka ini dilihat tidak bersikap bebas dan bersih melaksanakan
tanggungjawab yang diamanahkan seperti yang dituntut oleh Perlembagaan
dan undang-undang.
Tidak salah kakitangan awam menjadi
ahli mana-mana parti tetapi masyarakat mengharapkan penjawat jawatan
tinggi seperti Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mestilah bebas dari
hubungan dengan mana-mana parti politik.
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR
yang baru WAJIB bertindak serta-merta membersihkan daftar pengundi
dengan sebaik mungkin dan menolak kewujudan pengundi hantu yang tidak
masuk akal seperti wujudnya nama 100 pengundi yang menggunakan satu
alamat rumah.
Kewujudkan warga asing sebagai pengundi
juga mesti dibersihkan demi maruah dan keselamatan negara. Justeru atas
permintaan BERSIH, YAB Dato’ Sri perlu menubuhkan segera sebuah
Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes-kes pemberian kad pengenalan dan
mendaftarkan warga asing sebagai pengundi. Jika di Sabah Suruhanjaya
Diraja boleh ditubuhkan walaupun belum dilaksanakan, untuk menyiasat isu
kebanjiran beratus ribu warga asing di sana dan betapa mudahnya mereka
memperolehi kad pengenalan, saya tidak nampak ia tidak boleh dilakukan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Shafie Afdal
baru-baru ini menyelar parti-parti politik yang kononnya akan menerima
bantuan asing dan menyifatkan ianya amat merbahaya terhadap kedaulatan
negara tetapi saya ingin memberitahu, perbuatan memberi kerakyatan
kepada warga asing untuk menjadi pengundi adalah jauh lebih merbahaya
daripada itu.
Sehubungan itu, selain saya menyokong
Himpunan Bersih 3.0 28 April ini, saya juga berpendapat bahawa UMNO dan
kerajaan tidak mempunyai alasan untuk tidak membenarkan perhimpunan
tersebut diadakan secara aman di Dataran Merdeka seperti yang
dicadangkan. Dataran Merdeka adalah HAK rakyat juga asalkan mereka tidak
merosakkannya.
Oleh kerana yang dituntut hanyalah
proses pilihanraya yang bersih, jika YAB Dato’ Sri menentang dan
menunjukkan sikap keras terhadap tuntutan rakyat sebagaimana Bersih 1.0
dan 2.0, ia hanya menyerlahkan YAB Dato’ Sri berada di pihak yang
“kotor”. Diharap polis dan samseng-samseng tidak akan digunakan untuk
membelasah dan menangkap mereka yang akan mengambil bahagian pada 28
April ini dan kemudiannya akan menyalahkan mereka yang dizalimi.
Dalam hal ini YAB Dato’ Sri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (SPR) dan Datuk Noh Omar
serta Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai umat Islam perlu berani
menjunjung al Quran bersumpah di mana-mana masjid bahawa YAB Dato’ Sri
dan mereka TIDAK tahu-menahu langsung berkenaan skim penipuan
mendaftarkan warganegara asing sebagai pengundi, menempatkan berpuluh
ribu rakyat warga asing yang telah diberi kad pengenalan biru di Sabah
dan sebagai pengundi di Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Pahang
dan juga Wilayah Persekutuan.
Mengikut Perlembagaan Negara dan
undang-undang, perbuatan keji seperti ini adalah merupakan PENGKHIANATAN
(TREASON) KEPADA NEGARA dan hukumannya ialah gantung sampai mati
seperti mana kes Al Maunah suatu ketika dahulu.
Begitu juga dengan tindakan SPR
memindahkan pengundi dari tempat asal ke tempat lain TANPA mendapat izin
tuan punya diri dan penggunaan jentera kerajaan secara berleluasa
termasuk propaganda akhbar dan juga stesen radio serta tv mesti
dihentikan serta-merta.
Mengikut hukum Islam pun, matlamat tidak menghalalkan cara dan matlamat yang benar mesti dicapai melalui kaedah yang benar jua.
Saya penuh yakin kiranya
tindakan-tindakan yang konkrit ke arah memastikan perjalanan pilihanraya
umum akan datang yang benar-benar bersih daripada tipu helah
sebagaimana dikehendaki rakyat dapat dilakukan, ia mampu melonjakkan
keyakinan rakyat dan YAB Dato’ Sri sendiri akan dikenang sebagai Perdana
Menteri yang berani, telus dan penuh wibawa. Malah masyarakat
antarabangsa pun akan menghormati YAB Dato’ Sri.
8. HUBUNGAN DENGAN ISRAEL
Mengenai hubungan dengan Israel ini,
saya melihat persepsi rakyat amat keliru kerana sementara Datuk Seri
Anwar cuba dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel, hakikat yang
terbentang di depan mata ialah wujudnya hubungan dagang yang berterusan
antara Malaysia dan Israel seperti pengakuan di Parlimen serta tindakan
YAB Dato’ Sri melantik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel
iaitu Apco sebagai perunding media kepada kerajaan dengan bayaran RM77
juta setahun. Ini menjadikan apa pun penjelasan yang cuba diberi oleh
pihak kerajaan sentiasa menimbulkan kesangsian serta tanda tanya.
Sebenarnya hubungan dengan Israel
bermula dalam sekitar 1980an semasa zaman Tun Mahathir lagi apabila
beliau secara senyap-senyap menghantar Tengku Abdullah (Melewar) ke Tel
Aviv. Saya masih menyimpan ucapan saya di Parlimen di mana saya menegur
tindakan kerajaan berhubung perkara itu.
Amat menghairankan lagi apabila usul
yang cuba dikemukakan oleh wakil pembangkang berhubung isu ini di
Parlimen baru-baru ini agar kerajaan menghentikan sama-sekali
perdagangan dengan Israel dan dalam masa yang sana meningkatkan jumlah
bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza, telah juga ditolak oleh
Speaker.
Jika benar-benar ikhlas, YAB Dato’ Sri
sepatutnya tidak merasa takut untuk mengarahkan Speaker agar menerima
usul tersebut untuk dibahas dan diundi dan bukan sebaliknya. Sekarang
rakyat khasnya masyarakat Islam sudah mulai nampak siapakah (antara YAB
Dato’ Sri dan Datuk Seri Anwar) yang menyokong Israel.
9. PEMILIHAN CALON PILIHANRAYA
Untuk mencapai kemenangan dalam
pilihanraya, selain keyakinan rakyat terhadap UMNO dikembalikan,
pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat juga amat penting.
Sementara YAB Dato’ Sri meletakkan kriteria “winnable” sebagai
prasyarat terhadap calon dalam pilihanraya, rakyat juga sebenarnya ingin
melihat YAB Dato’ Sri tidak begitu terkongkong dengan faktor jawatan
seseorang dalam UMNO bagi pemilihan calon pilihanraya.
Sebagaimana pandangan Tun Dr Mahathir
bahawa kebanyakan calon BN kini membawa imej rasuah dan agar UMNO
perlu memilih calon yang lebih berkelayakan walaupun orang luar dalam
pilihanraya akan datang jika ingin menang. Saya amat bersetuju dengan
pandangan tersebut dan ingin menarik perhatian YAB Dato’ Sri sebagai
contoh wakil-wakil rakyat Pas terutamanya di Kedah mereka terdiri
daripada kalangan professional, berkelayakan serta berhemah berbanding
wakil-wakil rakyat UMNO dan BN di sana yang majoritinya tidak pun lulus
SPM.
10. PENINGKATAN KOS SARA HIDUP
Kerajaan pimpinan YAB Dato’ Sri
dilaporkan mahu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST
sebagai suatu kaedah percukaian dan menambah kantung perbendaharaan
negara selepas pilihanraya ini. Melihat kepada beban hidup rakyat sedia
ada, saya bersetuju dengan bantahan pihak pembangkang agar GST ini
tidak dilaksanakan pada bila-bila masa kerana ia hanya akan menambahkan
lagi kesengsaraan hidup rakyat.
Pada pandangan saya, kaedah cukai sedia ada di samping harga barang yang semakin mahal sudah cukup membebankan rakyat.
11. DAKWAAN BIADAP WAKIL-WAKIL RAKYAT PAKATAN
Baru-baru ini, saya berbual dengan
beberapa orang surau di Ampang dan reaksi mereka terhadap laporan
kononnya wakil-wakil rakyat Pakatan tidak menghormati Yang Dipertuan
Agong dan Raja-Raja Melayu pada majlis pertabalan baru-baru ini adalah
satu lagi taktik kotor dan ‘desperado’ UMNO dan BN kerana apabila
dicabar menama dan membuktikan tuduhan tersebut, Menteri Penerangan dan
pemimpin-pemimpin UMNO lain yang turut bersuara, gagal berbuat demikian.
Mereka mengingatkan saya bagaimana pada
awal tahun 1980an, pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Dr
Mahathir telah mencaci dan menghina Raja-Raja Melayu semasa meminda
Perlembagaan Negara dahulu di mana kuasa Raja-Raja ditarik balik.
Semasa itu rapat-rapat umum diadakan
secara besar-besaran di seluruh negara. Kakitangan kerajaan diarah turut
serta manakala akhbar, khususnya Utusan dan Berita Harian termasuk
stesen tv kerajaan dan swasta (TV3) diarah mengorek dan mendedahkan cara
hidup mewah dan kelemahan Raja-Raja Melayu sehinggakan kos membiayai
berpuluh ekor kuda Sultan Pahang pun disiarkan berulang kali.
Dengan ingatan mereka itu, saya
teringat bagaimana saya sendiri telah diminta oleh UMNO mengepalai
Pergerakan Pemuda UMNO ketika itu untuk menyerang Sultan Selangor
Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz atas campurtangan Baginda dalam
urusan pentadbiran Negeri Selangor serta Sultan Perak berhubung kos
pertabalan Baginda ketika itu. Saya dipilih di kalangan Exco Pemuda UMNO
ketika itu kerana saya berasal dari Melaka, negeri yang tidak mempunyai
Raja, justeru saya bebas untuk bercakap.
Menurut mereka lagi, kini UMNO dan BN
melalui akhbar dan tv cuba menutup pekung lama mereka dengan mencipta
isu dan membesar-besarkannya dengan niat dan harapan agar rakyat
khususnya pengundi Melayu benci kepada parti pembangkang dalam
pilihanraya ini.
Mereka meminta saya menyampaikan kepada
YAB Dato’ Sri agar memulangkan semula kuasa Raja-Raja yang dirampas
dahulu sebagai bukti UMNO dan BN hari ini benar-benar mencintai dan
menghormati Raja-Raja Melayu. Mereka amat kecewa dan jijik dengan
permainan pemimpin-pemimpin UMNO yang selalu berpura-pura dan menganggap
rakyat khususnya orang Melayu mudah lupa serta boleh
diperbodoh-bodohkan.
Kepada mereka, tindakan UMNO ini tidak
ubah seperti orang sedang dalam kelemasan yang akan melakukan apa saja
cara untuk menyelamatkan diri. Terserahlah kepada YAB Dato’ Sri untuk
memikirkan pandangan ini sama ada mahu menerima atau menolaknya.
Dalam isu ini, Menteri Dalam Negeri,
Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja patut
diadakan segera untuk menyiasat mereka yang memomok dan menghina Yang
Dipertuan Agong. Kiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, ia sepatutnya juga
menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap
pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk akhbar dan tv yang lebih dulu menghina
dan memaki hamun Raja-Raja Melayu.
12. KONSEP 1MALAYSIA
Sementara YAB Dato’ Sri melaungkan
konsep 1Malaysia, terdapat cakap-cakap kedai kopi bahawa ia bertentangan
sama sekali dengan amalan UMNO itu sendiri yang tidak pernah meletakkan
calon bukan Melayu bertanding dalam pilihanraya berbanding DAP yang
dituduh rasis, sebaliknya sudah sekian lama menerima calon Melayu
bertanding atas tiketnya. Pas yang dituduh mengamalkan fahaman Islam
sempit juga pernah meletakkan bukan Islam sebagai calonnya.
Selain UMNO yang tidak pernah memilih
bukan Melayu sebagai calonnya, parti MCA dan MIC yang turut mendokong
konsep 1Malaysia juga tidak pernah meletakkan orang Melayu sebagai
calon mereka. Kata mereka lagi, sepatutnya UMNO, MCA dan MIC mencontohi
PAS dan DAP.
Dalam hal ini, siapakah yang rasis
sebenarnya? Malahan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang dituduh rasis itu
juga pernah merengkok sekian lama dalam penjara kerana membela nasib
seorang gadis Melayu bawah umur yang diperkosa sehingga melahirkan
anak di sebuah pusat tahanan wanita di suatu ketika dahulu.
Dalam debat terbuka antara Lim Guan Eng
dengan Chua Soi Lek baru-baru ini, jelas terbukti kepada kita bahawa
DAP lebih menghormati agama Islam berbanding MCA yang tidak mahu
bertolak ansur dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan Islam.
Seperti hujah Chua Soi Lek, Presiden MCA itu, “Kita, MCA berani memberi
kata dua kepada pemimpin UMNO” (We, MCA dare to tell off UMNO leaders)
dalam perkara hudud (Islam) tetapi Lim Guan Eng dengan tegas memaklumkan
bahawa DAP menghormati Islam dan Pas pun tidak mempersendakan agama dan
kefahaman bukan Islam.
Saya sendiri hairan dan amat sedih
dengan sikap berdiam diri YAB Dato’ Sri yang sanggup membiarkan
pemimpin-pemimpin MCA menghina agama suci kita semata-mata hendak meraih
undi masyarakat bukan Islam.
Tanya seorang ustaz, tidakkah PM Najib
takut akan hukum Allah? Sila lihat Surah Al-Mae’idah ayat 44 yang
bermaksud, “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi
hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual
(membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat
rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia semata-mata) dan sesiapa
yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana
mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.”
Untuk memenangi pilihanraya dan
menunjukkan YAB Dato’ Sri benar-benar “cakap serupa bikin” dalam
perlaksanaan konsep 1Malaysia ini, sudah sewajarnya ia benar-benar
diterjemahkan kepada rakyat agar masing-masing dapat menilai kejujuran
serta keikhlasan YAB Dato’ Sri dalam hal ini.
13. BANTUAN RAKYAT
Selepas YAB Dato’ Sri memberi bantuan
RM500 kepada rakyat berpendapatan dibawah RM3000 sebulan melalui Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M), (di kalangan muda-mudi ada yang mentafsirkan
pula BR1M itu ialah Beli Rakyat 1 Malaysia), RM200 dalam bentuk baucer
buku kepada pelajar universiti dan RM100 untuk pelajar sekolah, ada
yang menyarankan agar program ini diteruskan lagi setiap bulan dan
bukannya dibuat menjelang pilihanraya saja. Kerajaan juga disaran
memberi wang tunai RM3,000 pula kepada setiap rakyat Islam menjelang
sambutan bulan puasa dan Hari Raya pada tahun ini.
Kepada para imam serta jawatankuasa
masjid dan surau pula, imbuhan khas sebanyak RM3,000 juga wajar
diberikan kepada mereka atas peranan mengimarah serta meninggikan syiar
Islam sepanjang bulan Ramadan dan menyambut ketibaan Syawal.
Jika program bantuan rakyat yang
dicadangkan ini dapat dilaksanakan dengan menangguhkan pilihanraya umum
sehingga selepas Hari Raya, saya percaya kemenangan akan lebih mudah
untuk diperolehi.
14. ROYALTI MINYAK
YAB Dato’ Sri,
Dalam isu royalti minyak untuk rakyat
Kelantan, saya amat kagum dengan ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah yang
menegaskan rakyat Kelantan berhak memperolehi royalti minyak itu
sebagaimana yang telah dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.
Tindakan YAB Dato’ Sri enggan
memberikan royalti minyak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan
Petroleum 1974 dan menggantikannya dengan wang ihsan, bukan sahaja
menunjukkan sikap pilih bulu terhadap rakyat Kelantan tetapi juga
menganiaya mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Adalah sesuatu yang amat menghairankan
jika peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani
oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa yang lain semasa Allahyarham
Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri yang memperuntukkan royalti
minyak sebanyak 5 peratus diberikan kepada negeri-negeri yang
mengeluarkan minyak seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan
tidak dihormati.
Bukankah rakyat Kelantan juga adalah
rakyat negara ini? Apakah rakyat Kelantan tidak dikenakan membayar cukai
seperti orang lain? Mengapakah mereka dianak-tirikan semata-mata kerana
faktor politik?
Baru-baru ini saya ke Kota Bharu
bersama Tengku Razaleigh Hamzah. Saya amat hairan mengapa
pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan termasuk Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk
Dr Awang Adek Hussain serta pemimpin UMNO Bahagian-bahagian
bermati-matian menentang Pas yang berjuang bertahun-tahun lamanya untuk
mendapatkan royalti minyak bagi rakyat Kelantan. Di manakah perjuangan
UMNO untuk rakyat sebenarnya?
Mereka sepatutnya berasa malu mengaku
berjuang untuk rakyat Kelantan, termasuk berkempen rumah ke rumah
sedangkan apa yang sebenarnya mereka lakukan bukannya untuk rakyat,
sebaliknya lebih kepada kepentingan peribadi.
Bermula dengan Terengganu apabila
UMNO/BN dibawah pimpinan Tun Mahathir tidak dapat menerima kekalahan di
sana, maka royalti minyak telah diberhentikan dan digantikan dengan
‘wang ihsan’ sehingga ke hari ini. Ini kerana kerajaan Pas dibawah
pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang ketika itu telah membawa kes tersebut
ke mahkamah dan seperti biasa, mahkamah atas sebab-sebab yang kita
semua ketahui telah melengah-lengahkan kes perbicaraan tersebut sehingga
kini.
Kini trend yang sama diguna pakai oleh
YAB Dato’ Sri. Sepatutnya YAB Dato’ Sri TIDAK mengikuti jejak langkah
Tun Mahathir yang rata-rata rakyat di sana mengatakan tidak mempunyai
perasaan dan hati perut. Mereka mempersoalkan di mana sumpah janji YAB
Dato’ Sri “rakyat didahulukan” melainkan YAB Dato’ Sri, Dato’ Mustapa
Mohamed, Datuk Awang Adek Hussain, Datuk Fatmi Che Salleh dan
pemimpin-pemimpin lain menganggap negeri Kelantan bukan sebahagian dari
negara ini.
Jika wang ihsan ini lebih menguntungkan
rakyat dari royalti minyak, mengapa tidak diselaraskan saja wang ihsan
ini termasuk untuk Sabah dan Sarawak?
Dato’ Mustapa Mohamed hanya bernasib
baik di Jeli kerana terdapat kem tentera (undi pos) yang telah memberi
kemenangan kepada beliau.
Semasa Tengku Razaleigh Hamzah selaku
Presiden Petronas menandatangani Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan
negeri-negeri, YAB Dato’ Sri hanya seorang junior officer yang
ditempatkan di pejabat Presiden Petronas ketika itu.
Jika YAB Dato’ Sri sanggup meminta maaf
kepada rakyat Kelantan dan memulangkan HAK mereka sebagaimana yang
diperjuangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan
Tengku Razaleigh sendiri, saya percaya negeri Kelantan juga akan dapat
dibangunkan dengan lebih maju lagi seperti negeri-negeri lain. Perkara
ini boleh YAB Dato’ Sri lakukan semasa lawatan rasmi ke Gua Musang pada
04hb Mei depan.
Mengikut pengalaman, pasti selepas saja
YAB Dato’ Sri membuat pengumuman seperti yang dicadangkan ini
pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di semua peringkat terutamanya di Kelantan
akan mendabik dada mengataka perjuangan mereka selama ini telah
berhasil. Akhbar-akhbar khasnya Utusan dan Berita Harian serta stesen
radia dan TV akan memberi headline sensasi seperti “Najib Pemimpin
Rakyat Sebenarnya” dan lain-lain tajuk lagi.
15. DEBAT DENGAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
YAB Dato’ Sri,
Sekarang ini di mana-mana orang
mempertikaikan kewibawaan YAB Dato’ Sri berikutan keengganan untuk
menyahut cadangan Merdeka Centre berdebat dengan Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pengurusan ekonomi negara. Dalam
perkembangan tamadun manusia, debat sebenarnya sudah diterima sebagai
salah satu kaedah untuk menguji kebijaksanaan seseorang. Sebab itulah
di beberapa negara maju seperti AS misalnya, kaedah debat dalam
pemilihan Presiden negara itu begitu popular dan dinanti-nantikan bukan
saja oleh rakyat Amerika, malahan di seluruh dunia.
Di sekolah dan pusat pengajian tinggi
juga debat sudah menjadi acara tahunan yang dipertandingkan sejak sekian
lama untuk menguji kehebatan dan kecerdikan seseorang.
Dalam isu debat antara YAB Dato’ Sri
dengan Datuk Seri Anwar, ia bukan saja medan untuk menguji kewibawaan,
kecerdikan dan kepetahan masing-masing dalam melontarkan idea dan
perancangan untuk kepentingan negara tetapi ia juga akan memberi peluang
kepada rakyat untuk menilai secara objektif dan matang tawaran-tawaran
manakah yang lebih baik untuk kepentingan rakyat dan negara.
Debat sama-sekali tidak bermaksud untuk
melihat siapa yang kalah dan siapa yang menang tetapi melalui lontaran
idea yang dicurahkan, ia mampu memberi ruang yang lebih baik untuk
rakyat membuat pilihan serta pertimbangan dalam PRU 13 nanti.
Selain Amerika Syarikat, Great Britain
dan Negara-Negara Eropah – Indonesia dan Thailand pun mengamalkan debat.
Di Malaysia pula, rakyat begitu mengalu-alukan debat antara MCA dengan
DAP serta Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli yang diadakan baru-baru
ini dan debat antara Datuk Seri Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek
tidak berapa lama dulu. Rakyat juga tentunya tidak lupa debat yang
pernah berlangsung antara Tun Dr Mahathir dengan Allahyarham Fadzil Noor
suatu ketika dahulu.
Dalam isu debat ini, Setiausaha Agung
UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri pernah menyatakan kesediaan
untuk mengaturkan debat itu.
Malahan Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz,
bekas wakil rakyat Pulau Manis dan Ketua Penerangan UMNO Pekan dalam
blognya Sakmongkol AK47, mempersoalkan jika tidak ada apa-apa yang
hendak disembunyikan, mengapa YAB Dato’ Sri selaku ketua kerajaan sering
berdolak-dalik untuk menghadapi debat ini.
Lupakah apa yang YAB Dato’ Sri pernah
kata tidak berapa lama dulu iaitu jika debat ini diadakan ia akan pasti
memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana selaku Perdana Menteri,
YAB Dato’ Sri mempunyai banyak dokumen dan sekian ramai pegawai yang
akan membantu YAB Dato’ Sri.
Yang anehnya, dalam masa yang sama YAB
Dato’ Sri terus mengelak walaupun Datuk Seri Anwar telah menerima
tawaran Merdeka Centre itu malah sanggup memberi “extra time” kepada YAB
Dato’ Sri sewaktu debat nanti.
Walaupun sudah meninggalkan UMNO, namun
beliau tidak mahu YAB Dato’ Sri dilabel dalam sejarah sebagai seorang
Perdana Menteri yang amat penakut dan pengecut.
Lagi pula, berdasarkan kajian Merdeka
Centre, didapati 76 peratus generasi muda mahukan debat itu diadakan.
Ini tentunya memberi maksud bahawa sekiranya YAB Dato’ Sri dapat
menunjukkan keberanian menyahut cabaran debat itu, saya percaya undi dan
sokongan generasi muda secara majoritinya akan tertumpah kepada UMNO
dan BN dalam pilihanraya umum akan datang ini.
PENUTUP
YAB Dato’ Sri,
Kemarahan rakyat, terutamanya generasi
muda ialah kerana UMNO dan para pemimpinnya didapati sudah menyimpang
jauh daripada landasan perjuangan asal sehingga amalan rasuah,
skandal, boros dan berbelanja mewah menjadi darah daging. Sebagai orang
UMNO, saya amat malu mendengar label baru terhadap parti kita iaitu
“UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO” umpama aur dan tebing serta lagu
dan irama yang tidak boleh dipisahkan.
Oleh kerana marah yang teramat sangat,
ada pula yang mengatakan “mengundi UMNO dan BN serupalah memberi talian
hayat untuk pemimpin-pemimpinnya terus merompak kekayaan negara.
UMNO adalah umpama sebuah bantera yang
di suatu ketika dahulu banyak berjasa. Nakhoda demi nakhoda dan
anak-anak kapal pula ketika itu telah berjaya mengemudikan bahtera
tersebut ke destinasi yang dirancang dengan selamat. Malangnya oleh
kerana dek telan zaman, bahtera tersebut mulai reput, bocor dan kain
layarnya pun mulai koyak dan berlubang-lubang. Anai-anai pula
bermaharajalela. Tambah pula nakhoda dan anak-anak kapalnya pula tak
ubah seperti cerita “The Pirates of the Carribbean”. Makin hari makin
teruk keadaannya, tak ubah seperti warga emas yang menghidap seribu satu
macam penyakit yang tidak mampu lagi diubati dan menunggu masa saja
untuk ditalkinkan.
Terharu benar rasanya melihat bahtera
yang dibina begitu indah dan gagah oleh pejuang-pejuang yang telah pergi
sedang melalui proses putaran alam yang serupa. Inilah keadaan UMNO/BN
hari ini.
Ada yang berhujah mengapa tidak kita ahli-ahli UMNO membantu menyelamatkan kapal (UMNO) yang hampir tenggelam ini.
YAB Dato’ Sri,
Sebagai contoh, beberapa kali apabila
Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk membantu menyelamatkan
UMNO, usaha murni beliau itu telah disekat dengan pelbagai cara dan
helah; dengan ‘nasihat’ dari Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri
kepada pemimpin-pemimpin bahagian UMNO, dengan menabur pelbagai janji
dan akhirnya dengan membeli mereka. Akhbar-akhbar pula begitu bermurah
hati memberi ruang yang seluas-luasnya menghina beliau dengan kata-kata
kesat dan sinis seolah-olah beliau adalah pengkhianat bangsa. Pemimpin
UMNO Kelantan pula begitu lantang mengatakan beliau adalah pemimpin ‘has
been’, tidak relevan dan berbagai lagi.
Tetapi apabila menghadapi pilihanraya
keil Galas, akhbar-akhbar yang sama menyiarkan di muka hadapan
puji-pujian pemimpin UMNO khasnya pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan yang
pernah mengkritik beliau di satu ketika dahulu. Kata mereka, Tengku
Razaleigh ialah pemimpin berkaliber yang paling layak mengetuai jentera
pilihanraya UMNO/BN di sana sehingga ada pula yang mencadangkan beliau
dinamakan sebagai calon. Pendek kata kuli tangan Tengku Razaleigh
menjadi haus kerana ciuman ahli-ahli UMNO ketika itu. Begitu melangitnya
pujian sehingga beliau sendiri merasa ‘syok’.
Menang saja pilihanraya kecil itu tidak
ada sepatah pun ucapan terima kasih kepada beliau dari pemimpin-pemimpi
UMNO. Sekali lagi beliau dipinggirkan. Apabila beliau melancarkan
AMANAH, Timbalan Perdana Menteri terus mempersoalkan tindakan itu.
Sekarang oleh kerana nak merampas
semula Kelantan dari Pas, sekali lagi Tengku Razaleigh akan digunakan.
Tiba-tiba saja Perdana Menteri akan memberi penghormatan kepada beliau
dengan melawat Gua Musang pada 4hb Mei ini.
Tidak hairanlah jika sekiranya berbagai
jenis projek dan bantuan segera akan dihulurkan di sana seperti
membaikpulih atau membina sekolah-sekolah, pembinaan Lebuhraya Gua
Musang-Bentong dan lain-lain lagi. Sudah ada cakap-cakap sekeping
replika cek bernilai RM5 juta akan disampaikan untuk membina semua
sebuah masjid. Memang segala bantuan dan projek-projek baik untuk
rakyat, hanya mereka mempersoalkan mengapa ketika hampir pilihanraya
baru nak diberi. Mengapa tidak dilakukan setahun dua dulu.
Tidak mustahil juga jika sekiranya
Perdana Menteri pada pada hari lawatan itu (4hb Mei) akan mengumumkan
bahawa Tengku Razaleigh dipilih semula sebagai calon BN Gua Musang.
Begitu juga nasib Tun Mahathir tidak
berapa lama dulu. Walaupun pernah memimpin UMNO dan negara selama lebih
22 tahun, apabila saja tidak berjawatan UMNO tidak pedulikan beliau
lagi. Nak jadi wakil Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO pun
tak dapat. Yang sedihnya bak kata Tun Mahathir, beliau dikalahkan dengan
hanya RM200 saja yang diberi kepada setiap perwakilan, ditambah pula
dengan sabotaj dari pemimpin UMNO Pusat, Negeri dan Bahagian. Sekali
lagi media cetak dan elektronik tlah digunakan untuk membelasah Tun
Mahathir. “Itulah UMNO!!!” kata mereka yang bersimpati dengan beliau.
Nasib yang sama juga pernah dilalui
oleh Tan Sri Isa Samad. Dengan komplot yang didalangi oleh beberapa
pemimpin UMNO Pusat dan Negeri, beliau akhirnya diaibkan oleh ‘mahkamah’
UMNO; dipecat bukan sahaja sebagai Naib Presiden UMNO bahkan juga
sebagai Menteri Kabinet.
Oleh kerana mahukan kemenangan selepas
UMNO/BN kalah di beberapa pilihanraya kecil sebelum itu, UMNO TERPAKSA
‘menjilat ludahnya’ sendiri dengan memilih beliau sebagai calon
pilihanraya kecil Bagan Pinang. Bayangkan kedudukan beliau kini jika
tidak ada pilihanraya kecil itu.
Begitulah juga dengan keadaan arwah
ayahanda saya Tun Ghafar. Menunggu selama hampir 3 bulan nak berjumpa
seorang Menteri Besar UMNO yang kebetulan pernah bertugas dibawahnya
sebelum itu. Selepas gagal, beliau membuat temujanji berjumpa dengan
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu.
Hanya dalam tempoh 2 hari saja mereka dapat bertemu di pejabat Tuan
Guru. Bukan itu saja, Tuan Guru menawarkan kereta kerajaan kepada beliau
walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan, tambah pula mereka
berlainan parti. Itulah beza pemimpin UMNO dengan Pas dan perkara yang sama berlaku dalam jabatan dan kementerian dimana teramat susah untuk rakyat dan bekas pegawai kerajaan untuk berjumpa dengan ketua jabatan dan KSU, walaupun telah berpuluh kali menelefon pembantu khas dan pegawai khas mereka.
Selepas keluar kabinet tidak ada
sesiapa pun pemimpin UMNO yang ambil kisah tentang beliau sama ada
kesihatan mahupun masalah kewangannya yang sehingga kini beberapa orang
ahli keluarga terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan. Itulah hadiah
UMNO kepada seorang pahlawan yang pernah disanjung.
Itulah juga sikap (attitude) sebahagian
besar ahli-ahli khasnya pemimpin-pemimpin UMNO. Justeru, bagaimanakah
UMNO hendak diselamatkan?
Pandangan dan teguran orang-orang lama
dipandang sepi malah ada diantaranya dianggap musuh parti. Akibatnya ada
yang dipecat dan ada pula yang dinasihatkan keluar parti seperti Tan
Sri Kadir Sheikh Fadzir tanpa mengambil peduli sumbangan mereka yang
begitu banyak kepada UMNO. Tidak hairanlah ramai pengasas dan pejuang
UMNO sepertu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn (bapa
Datuk Hishammuddin) mati di luar UMNO. Malah Tun Mahathir sendiri pernah
keluar UMNO.
Sebenarnya UMNO tidak salah, yang salah ialah pemimpin-pemimpinnya.
“Jika UMNO tidak berubah UMNO akan
diubah” – itulah kata-kata YAB Dato’ Sri yang juga merupakan doanya di
Perhimpunan Agung UMNO tidak lama dulu.
Ramai berpendapat pemimpin-pemimpin
hari ini hanya pintar dengan slogan dan retorik. Mereka mula turun
padang mendekatkan diri dengan rakyat ketika memerlukan sokongan rakyat
sahaja. Rakyat didendangkan dengan janji-janji manis seolah-olah
merekalah pejuang rakyat sebenar. Cara mereka memujuk rakyat tak ubah
seperti ayah memujuk anaknya dengan memberi gula-gula. Tiba-tiba rakyat
diberi saguhati RM500, penuntut diberi RM200 dan RM100.
Tetapi sebahagian besar rakyat masih
terus dalam keadaan susah oleh kerana kos sara hidup (cost of living)
terus meningkat setiap hari. Kadar jenayah dan rasuah semakin buruk
tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dan juak-juaknya tidak
segan-segan merompak khazanah negara. Mereka tidak peduli undang-undang
kerana itu semua adalah dibawah cengkaman mereka. Tambahan pula mereka
yakin sebahagian besar rakyat terutama orang-orang Melayu khususnya di
luar bandar mudah dipengaruhi dengan propaganda yang dipasak
bertubi-tubi melalui akhbar dan stesen radio serta tv.
Saya mengaku di zaman Pemuda dahulu,
saya juga terlibat dengan jayanya menanam perasaan takut orang-orang
Melayu bahawa tanpa UMNO Melayu akan hilang kuasa dan tanpa kuasa masa
depan orang-orang Melayu akan gelap-gelita. PAS pula digambarkan
sehingga kini parti yang hanya bercakap tentang akhirat semata-mata dan
tidak berjuang membangunkan ummah. Sehingga hari ini propaganda kononnya
DAP akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan
Raja-Raja terus dibisik-bisikkan. Tanya mereka, siapakah hari ini yang
bertanggungjawab mengenepikan hak-hak istimewa Bumiputera dan Raja-Raja
Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, jika bukan
UMNO. Begitu juga bukankah pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri yang
memberi lesen kepada rakan kongsinya, MCA acapkali menghina agama suci
kita dengan mengatakan pelabur-pelabur akan lari dan rakyat akan
menderita jika Pas memerintah negara ini berlandaskan hukum Islam.
MasyaAllah! PKR pula digambarkan dengan berbagai skandal seolah-olah
pemimpin UMNO/BN adalah “maksum” – tidak tercemar dengan sebarang
maksiat dan skandal.
Masa berlalu, zaman pun berubah namun
UMNO/BN tetap dengan propaganda yang usang itu. Rakyat kini terutama
golongan muda sedar dengan helah itu semua.
Sekiranya kepercayaan dan keyakinan
rakyat dapat dikembalikan yang mana sebahagian besarnya adalah melalui
apa yang saya sarankan melalui surat ini, saya penuh yakin UMNO dan BN
masih mampu mencipta detik gemilangnya.
Sebelum terlupa, ada juga kawan-kawan
lama kita berdoa dan berharap agar perbicaraan kes rasuah “Kapal Selam
Scorpene” milik negara di Mahkamah Perancis tidak akan membabitkan YAB
Dato’ Sri atau mana-mana ahli keluarga. Ia juga diharap tidak ada
kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya yang masih diperkatakan.
Meskipun surat ini untuk tatapan YAB
Dato’ Sri tetapi sekiranya selepas 14 hari daripada surat ini dihantar
dan didapati tiada respon daripada YAB Dato’ Sri untuk memulihkan
keadaan dan memperbaiki kerosakan dalam negara sebagaimana yang
disebutkan diatas, saya merasakan tidak mempunyai pilihan lain selain
menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dan menghakiminya dengan memberi
ruang kepada seramai mungkin rakyat turut sama membaca surat ini.
Dengan rakyat turut sama membaca surat
ini setelah ianya tidak mendapat respon daripada pihak YAB Dato’ Sri,
saya beranggapan saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO
dan rakyat Malaysia. Selebihnya saya serahkan kepada rakyat untuk
menentukan sama ada mereka mahu terus menyokong kepimpinan YAB Dato’ Sri
dan UMNO atau sebaliknya.
Saya tidak akan terperanjat jika
sesudah surat ini tersebar luas, ramai ‘hero-hero’ UMNO terutama di
kalangan mereka yang sedang menyiapkan diri untuk dipilih atau dipilih
semula sebagai calon, akan “menyerang” saya.
Tidak kurang juga “mualaf-mualaf”
UMNO/BN iaitu mereka yang baru “bertaubat” setelah memaki hamun UMNO/BN
bertahun-tahun lamanya dianugerahkan pangkat dan kemewahan dan masih
menunggu lebih banyak lagi “durian runtuh” akan bertindak sebagai
“askar upahan” memaki hamun saya pula seperti apa yang mereka lakukan
terhadap rakan seperjuangan mereka di suatu ketika dahulu.
Saya yakin ada diantara askar upahan
ini akan mendesak pemecatan saya daripada UMNO. Umum tahu askar upahan
dan mualaf politik ini tidak lebih seperti “harimau sarkas” yang
sentiasa lapar menunggu diberi habuan. Harimau sarkas ini terpaksa
disuap kerana mereka tidak pandai mencari makan sendiri. Sekiranya
habuan tidak diberi dengan cukup dan memuaskan, mereka juga akan
membaham tuannya sendiri. Nasihat saya kepada YAB Dato’ Sri agar
berwaspada dengan specis harimau sarkas ini.
Terserahlah kepada YAB Dato’ Sri sama
ada mahu menerima tekanan daripada mereka itu tetapi saya membuat
keputusan menulis surat ini dan berucap di khalayak ramai adalah kerana
saya tidak mahu dituduh seperti “lembu” yang boleh dicucuk hidung.
Ada kawan-kawan mengingatkan tidakkah
saya takut tindak balas (reaction) dari pemimpin-pemimpin UMNO terhadap
saya dan ahli keluarga. Kata mereka lagi, pemimpin-pemimpin UMNO boleh
menyekat rezeki, mengaibkan di muka pengadilan, membankrapkan dan malah
dengan kuasa yang diberi oleh rakyat, mereka boleh buat apa saja.
Kepada Allah saya berserah; Dialah Yang
Maha Adil lagi Maha Berkuasa. Dari Dia kita datang dan kepada Dialah
kita semua akan kembali. Allahu Akbar!!!
Adalah menjadi harapan saya agar YAB
Dato’ Sri dapat meluangkan masa membaca dan meneliti surat ini demi
survival UMNO dan BN di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Sekian, terima kasih.
TAMRIN TUN GHAFAR
http://www.husammusa.com
Comments
Post a Comment