Zikrullah Amalan Yang Paling Utama




Zikrullah (mengingati Allah) merupakan amalan yang paling utama di sisi Allah SWT, sebagaimana firmannya:

“… dan sesungguhnya mengingati Allah itu adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya)”
 [TMQ al-Ankabut (29): 45]

Rasulullah SAW pernah bersabda,

"Mahukah kalian aku beritahu tentang suatu amal yang paling baik dan paling suci di sisi Tuhan kalian, yang (dengannya) ia dapat meninggikan darjat kalian di sisiNya?”. “Tentu saja,” jawab para sahabat. Beliau lalu bersabda, "Zikrullah” (mengingati Allah)." (HR Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibn Majah).
Berkenaan dengan hadis mengingati Allah ini, Syeikh Zakaria al-Kandahlawi di dalam kitabnya Fadhail Amal menjelaskan bahawa keutamaan zikir ini adalah berdasarkan kepada keadaan umum. Ini adalah kerana terdapat keadaan-keadaan lain yang tertentu di mana amalan-amalan lain seperti  jihad dan sedekah dipandang lebih utama.

Dalam hal ini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zikrullah itu (mengingati Allah)? Para ulama' membahagikan zikrullah itu kepada tiga bahagian:

Pertama: zikir dengan lisan, yakni dengan memperbanyakkan menyebut kalimat-kalimat thayyibah seperti istighfar, tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan lain-lain. Antaranya seperti sabda Rasulullah SAW,


"Zikir yang paling utama adalah mengucapkan La ilaaha illallah." (HR At-Tirmdizi, Ibn Majah dan Ahmad).

Kedua: zikir dengan kalbu (hati), yakni dengan senantiasa memperbanyakkan bertafakur (berfikir), muraqabah (merenung) dan memuhasabah diri. Antara cabang-cabang daripada amalan tafakur adalah seperti rajin menghadiri majlis-majlis ilmu terutamanya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan masalah fardhu 'ain seperti aqidah dan fiqh syariah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, "Jika kalian melewati taman-taman syurga, maka berhentilah dan masuklah ke dalamnya." Para sahabat bertanya,

"Apakah taman-taman syurga itu, wahai Rasulullah?. "Baginda menjawab, "Majlis-majlis zikir (ilmu)." (HR at-Tirmidzi dan Ahmad).

Para sahabat Nabi SAW memahami bahawa majlis zikir yang disebutkan dalam hadis di atas adalah majlis ilmu, yakni majlis yang membincangkan tentang masalah aqidah, halal-haram dan hukum-hakam syariah. Pada zaman Nabi, tidak terdapat majlis di mana orang duduk beramai-ramai sambil menyebut kalimah tasbih, tahmid dan tahlil. Sebaliknya yang ada adalah majlis halaqah-halaqah pengajian ilmu. Daripada sini kita dapat melihat, dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan memahami hukum halal-haram serta hukum-hakam syariah yang lain, setiap Muslim akan senantiasa terikat dengan hukum syarak dalam seluruh ucapan dan perbuatannya.

Ini sekaligus merupakan bentuk zikir yang ketiga iaitu zikir melalui perbuatan. Inilah zikir yang paling utama. Mengapa dikatakan demikian? Ini adalah kerana zikir dengan lisan, yakni dengan memperbanyakkan menyebut kalimat-kalimat thayyibah adalah termasuk dalam kategori ibadat sunat sahaja. Sedangkan zikir dengan kalbu seperti menghadiri majlis-majlis ilmu adalah sebahagian daripada tuntutan thalab 'ilmi (menuntut ilmu), yang mana hukumnya adalah wajib.

Walau bagaimanapun, menghadiri majlis-majlis ilmu semata-mata tidak akan membawa apa-apa erti jika ilmu yang dipelajari dan difahami itu tidak diamalkan atau diterjemahkan melalui perbuatan dalam kehidupan. Malah, bukan sekadar tidak diamalkan, ia juga boleh membawa kepada keharaman jika ilmu yang dipelajari itu bertujuan untuk bersaing dengan para ulama' atau untuk memperdayakan orang-orang yang bodoh. Hal ini hanya akan mengundang murka dan azab  Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda,
"Sesiapa sahaja yang mencari ilmu demi untuk bersaing dengan para ulama', memperdaya orang-orang yang bodoh atau untuk mencari perhatian manusia, maka Allah pasti akan memasukkannya ke dalam neraka." (HR at-Tirmidzi).
Adapun zikir melalui perbuatan, yakni dengan selalu mengikat ucapan dan perbuatannya kepada hukum-hukam Allah SWT, ini menunjukkan bahawa pelakunya bukan sahaja mempelajari dan memahami hukum-hukam Allah, bahkan ia telah melakukan amal yang baik (hasan al-amal). Sesungguhnya amal yang baik inilah yang akan dinilai oleh Allah SWT, bukan semata-mata terhadap ilmunya. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

“(Allah) Yang telah menciptakan kematian dan kehidupan, untuk melihat siapakah di kalangan kamu yang terbaik amalnya”.  [TMQ al-Mulk (67): 2].

Menurut Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya, frasa kalimat ahsan al-'amala dalam ayat tersebut dimaksudkan sebagai, "yang paling menahan diri daripada perkara-perkara yang haram dan yang paling bersegera dalam melakukan ketaatan."

Mudah-mudahan kita semua mampu untuk selalu mengingati Allah (zikrullah) baik melalui lisan, kalbu (hati) mahupun dengan perbuatan. Jangan sampai lisan kita hanya selalu basah dengan menyebut kalimat-kalimat thayyibah, kalbu kita penuh dengan pengetahuan tentang hukum-hakam Allah, tetapi perbuatan-perbuatan kita dalam kehidupan melakukan perkara-perkara yang sebaliknya. Adalah sangat buruk dan jelek jika seseorang Muslim yang rajin menghadiri majlis-majlis zikir yang di dalamnya ia banyak menyebut kalimat-kalimat thayyibah bahkan sehingga teresak-esak menangis dengan penuh khusyuk, tetapi setelah keluar daripada majlis-majlis sebegitu, dia tetap terus gemar menghadiri 'majlis-majlis' maksiat kepada Allah.

Ia tetap membuka aurat di hadapan khalayak, melakukan korupsi, terlibat dengan riba, membohongi dan menzalimi rakyat, tidak berlaku amanah, mengabaikan masalah-masalah yang menimpa umat di seluruh dunia, tetap menolak untuk ditegakkan institusi syariah (Khilafah) yang mana melaluinya dapat diterapkan hukum-hakam Islam secara kaffah dalam negara.  Semoga para penguasa dan ahlul quwwah (golongan yang memiliki kekuatan/ketenteraan) umat Islam pada saat ini terbuka mata hati dan fikirannya untuk segera menyahut seruan Allah untuk mendirikan Negara Islam tanpa banyak alasan, sepertimana yang telah dilakukan oleh kaum Ansar di Madinah terdahulu. Allahumma Ameen.

Full credit: myKhilafah.com

Comments

Popular posts from this blog