10 PERANGKAP SYAITAN - SIFAT MAZMUMAH
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Syaitan
memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka.
Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya
belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahannam dan mereka tidak
memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' (QS An-Nisa': 120~121)
Keterbukaan
manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing,
sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam
kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah, sama
ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang
kepada syaitan untuk menapak dalam diri kita. Apabila syaitan sudah
merajai diri seseorang, individu itu akan sanggup melakukan apa jua
perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati
dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.
Hati,
suatu organ istimewa kurniaan Allah SWT kepada manusia, pada saat dan
waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan
laknatullah mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia
tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan
menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut
dan memujuk nurani manusia secara berterusan untuk melanggar segala
perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis
godaan tersebut. Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan
manusia melalui sepuluh pintu (10 sifat mazmumah):
1. BANYAK MAKAN
Makan
dan minum yang berlebihan mengakibatkan seseorang itu malas, lemah
badannya serta banyak tidur. Ini menyebabkan seseorang itu lalai
daripada menjalankan ibadah serta zikrullah. Firman Allah SWT: "Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (QS Al-A'raf:31)
2. BANYAK BERCAKAP
Apabila
seseorang itu banyak bercakap maka banyaklah salahnya. Banyak salahnya
maka banyaklah dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa
yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat
baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan
Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang
beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap
hanya perkara yang baik atau diam." (HR Imam Muslim)
3. PEMARAH
Sifat
pemarah yang dimaksudkan ialah kemarahan yang bukan pada tempatnya dan
tanpa sebab yang munasabah. Sifat pemarah itu berasal daripada sifat
sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini
berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan
seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka
akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya.
Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan
kurang jugalah pemarahnya. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a.
katanya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah yang dapat
menjauhkan diri saya daripada kemurkaan Allah Azza wa Jalla? Baginda
menjawab: "Janganlah kamu marah." (HR Imam Ahmad dan Ibnu Hibban).
4. HASAD
Orang
yang memiliki sifat hasad sentiasa menginginkan agar nikmat yang
diperolehi oleh orang lain berpindah kepadanya dan selalu berdukacita
apabila orang lain mendapat kesenangan atau kurnia. Perasaan hasad
dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang
berpanjangan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering." (HR Bukhari dan Muslim).
5. BAKHIL
Orang
yang memiliki sifat ini bakhil untuk membelanjakan hartanya ke jalan
Allah SWT dan untuk agamaNya. Setiap harta benda dan kemewahan yang
diperolehi adalah kurniaan Allah SWT semata-mata yang seharusnya
dibelanjakan pada jalan yang hak. Kelebihan yang dikurniakan oleh Allah
SWT sepatutnya digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang
memerlukan, sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah. Firman
Allah SWT: "Sekali-kali janganlah
orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka
dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka.
Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka
bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Allah
yang mempusakai langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Ali-Imran: 180) Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." (HR Abu Daud)
6. HUBBUL-JAH (CINTAKAN KEMEGAHAN)
Orang
yang memiliki sifat ini amat kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
Ini boleh mengakibatkan pekerjaan seseorang itu tidak ikhlas dan
mengakibatkan pergaduhan kerana perebutan mengejar pangkat dan
kedudukan. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidaklah
serigala yang buas itu jika dilepaskan di kandang kambing lebih
berbahaya daripada seorang cintakan pangkat, harta dan kemegahan pada
keadaan agama seorang Muslim.” (HR At-Tirmidzi dan An-Nasa’i)
7. HUBBUD-DUNYA (CINTAKAN DUNIA)
Orang
yang memiliki sifat ini gemarkan kesenangan dan kemewahan hidup,
kesenangan duniawi yang menjadikannya lupa daripada mengerjakan
kewajipan kepada Allah SWT. Orang seperti ini tidak menyedari bahawa
maut sentiasa menghampirinya setiap masa. Daripada Tsauban r.a., beliau
berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir
tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang
mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni
talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya: "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab: "Bahkan
kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu
banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati
musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu
penyakit 'wahan'". Seorang sahabat bertanya: "Apakah 'wahan' itu, hai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Cinta pada dunia dan takut pada mati." (HR Abu Daud)
8. TAKABBUR
Orang
yang takabbur sentiasa memandang dirinya lebih mahir dan memandang
bahawa orang lain lebih rendah serta hina darinya. Dia merasakan
pendapatnya sahaja yang betul. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri
seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam
hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang
dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah
SWT berfirman: "Sebenarnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka terangkan. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takabbur.'' (QS An-Nahl:23)
9. BANGGA DIRI (UJUB)
Orang
yang memiliki sifat ini mengakui atau timbul dalam hatinya bahawa
dialah orang yang paling sempurna seperti ibadahnya, pelajarannya,
akhlaknya, kecantikannya dan lain-lain. Firman Allah SWT: “Jangan kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.”
(QS Al-Qashash:76) Sebenarnya perasaan bangga dan kagum terhadap diri
sendiri adalah sifat Iblis laknatullah yang memandang rendah terhadap
Nabi Adam AS kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada
api. Firman Allah bermaksud: "Hai
iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Kuciptakan
dengan tanganKu. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa)
termasuk orang-orang (yang) lebih tinggi?" Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.” (QS Shad: 75~76).
10. RIAK
Orang
yang memiliki sifat riak suka memperlihatkan atau menunjukkan amalannya
kepada orang lain yakni tidak ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.
Natijahnya, segala amalannya hanya akan menjadi sia-sia saja. Riak ialah
penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya
kerana ia boleh berlaku dalam berbagai keadaan, termasuklah ketika
menunaikan ibadah yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas. Rasulullah
SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah 'asy syirkul ashghar' (syirik kecil)." Sahabat bertanya: “Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?" Baginda menjawab: "Riak.” (HR Imam Ahmad)
Semoga kita semua dihindari daripada sifat-sifat di atas. Wallahua'lam.
http://tigosotigo.blogspot.com/2009/09/10-perangkap-syaitan-sifat-mazmumah.html
Comments
Post a Comment