6 Syarat Untuk Mengumpat
Wan Muhd Ali
Sebagaiamana kita sama maklum bahawa
hukum mengumpat adalah haram. Mengumpat ialah menceritakan tentang aib
atau keburukan seseorang yang apabila orang tersebut mendengarnya maka
ia akan marah dan benci.
SYARAH AL HADIS:Dari Aisyah RA, katanya: Hindon Binti Ubah, isteri Abu Soyan masuk menemui Rasulullah SAW.lalu bertanya: Ya Rasulallah, sesungguhnya Abu Sofyan adalah lelaki yang sanqat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab baginda Rasul SAW.: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para ulama mengambil banyak pengajaran dari Al Hadis di atas antaranya:
Orang yang ingin mendapat fatwa dan
orang yang teraniaya dibolehkan untuk menceritakan keburukan tentang
orang lain yang ada kaitannya dengan perkara yang diminta fatwa atau
penganiayaan itu. Perkara ini tidak termasuk ke dalam bab larangan
mengumpat (Al Ghibah). Tetapi hal ini termasuk kedalam salah satu jenis
mengumpat yang dikecualikan.
Dalam hal ini Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata:
Ketahuilah bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu dan mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting tidak mungkin tercapai kecuali dengannya. Mengumpat yang diperbolehkan-oleh agama itu ada enam jenis:
- Kes Penganiayaan.
- Mohon Bantuan Mencegah Kemungkaran.
- Minta Fatwa.
- Mengajak Muslimin Agar Bersikap Berhati-hati.
- Jika Melakukan Maksiat & Bid’ah Secara Terang-terangan.
- Sebagai Tanda Pengenalan.
1) KES PENGANIAYAAN.
Dibolehkan kepada orang yang dianiaya
untuk mengadu kepada pihak berkuasa seperti Sultan, Qadhi atau lain-lain
pihak yang mempunyai kuasa untuk memberi keinsafan dan kesedaran kepada
orang yang menganiaya itu. Umpamanya: Si Polan itu telah menganiaya
saya begini dan begitu.
(2) MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.
Umpamanya seseorang berkata kepada pihak
polis atau bahagian pencegah maksiat: Si Polan itu telah berbuat
perkara sumbang, tolong tuan cegah perkara tersebut. Maksud orang itu
ialah menjadikan pihak berkuasa sebagai orang tengah untuk mencegah
kemungkaran. Tetapi jika tidak dengan maksud itu maka hukumnya adalah
haram.
(3) MINTA FATWA.
Umpamanya ia berkata kepada mufti atau
orang yang dipercayai boleh memberi fatwa: Ayah saya atau saudara saya
atau suami saya telah menganiaya saya, adakah dia boleh berbuat demikian
terhadap saya, bagaimana cara supaya saya dapat terhindar dari
penganiayaannya. Perkara ini dibolehkan kerana hajat. Tetapi adalah
lebih baik sekiranya dengan cara sindiran sudah tercapai tujuannya.
Namun demikian menyebut nama orang yang menzalimi adalah dibolehkan
sebagaimana dalam kisah Hindon diatas.
(4) MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.
Umpamanya: Kita menyebut tentang keaiban
periwayat hadis seperti si polan pendusta, tidak amanah, kurang kuat
ingatannya dan lain-lain. Perkara ini dibolehkan kerana tujuan kita
berbuat demikian semata mata ingin menjaga keaslian hadis Rasulullah
saw. Sebab tanpa berbuat demikian maka akan terdedahlah hadis Rasul saw
dengan pemalsuan. Atau paling kurang supaya orang ramai jangan sampai
menyangka hadis hadis tersebut sebagai hadis yang sahih. Apalagi jika
orang berkenaan sememangnya orang yang suka memalsukan hadis. Dan
menyatakan keaiban orang lain ini juga boleh jika kita diminta pandangan
tentang peribadi seseorang yang akan menjadi rakan kongsi perniagaan ,
atau menitipkan amanah , atau urusan perkahwinan , demikian juga tentang
berjiran dan sebagai.
(5) JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID’AH SECARA TERANG.
Umpamanya: Minum arak secara terang
terangan atau seorang guru agama yang mengajar ajaran-ajaran sesat
seperti syirik dan bid’ah atau bomoh dan dukun yang menggunakan amalan
amalan syirik. Kita diperbolehkan menyebut keburukan atau keaiban orang
orang berkenaan supaya muslimin yang lain dapat sentiasa waspada dan
tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi dalam hal ini kita tidak boleh
menceritakan cela mereka yang lain kecuali ada sebab-sebab lain yang
membolehkannya sebagaimana tersebut diatas.
(6) SEBAGAI TANDA PENGENALAN.
Andaikata seseorang dikenal dengan
gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat Pincang, Jali Sumbing, Enon Gendut
dan lain-lain maka dibolehkan kita menyebut sifat-sifat tersebut tetapi
dengan syarat tidak dengan nada atau tujuan menghina dan merendah
rendahkan. Andaikata orang tersebut sudah dapat dikenal tanpa
menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu adalah lebih baik.
JAUHILAH MENGUMPAT YANG SIA-SIA
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat Ayat-12
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
Pencerahan maksud mengumpat dari sabda Rasulullah:
“Adakah kamu tahu, apakah yang dikatakan dengan mengumpat itu?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui.” Sabda Baginda, ialah kamu menceritakan tentang saudara kamu sesuatu yang dia tidak suka. Ada sahabat yang mengatakan,”Apa pandangan tuan, kalau sekiranya apa yang saya ceritakan itu memang terdapat pada saudara saya itu?.” Sabda Baginda, “Sekiranya apa yang kamu katakan itu memang ada pada saudara kamu, bermakna kamu mengumpatnya dan jika tidak ada, bererti kamu membohonginya.”Sahih, Hadis Riwayat Muslim.
Dipetik di sini dan diubahsuai oleh WanWMA.
http://wanwma.com/agama/6-syarat-untuk-mengumpat/
Comments
Post a Comment