CATATAN SEORANG PESARA TENTERA
masa lalu
7094092 - 1064849 - 63040702....
Nama: Mohamad Amir bin Sudin
Tarikh Lahir: 7.4.1963
Tempat: Kampung Tanjung Pari
Daerah: Baling
Negeri: Kedah
Sekolah: SRK Kampung Tanjung Pari 1970 - 1975
SMK Mahang, Kulim 1976
SMK Siong, Baling 1977 - 1978
Tentera: 21 Sept 1984 - 20 Sept 2006
12 Skuadron Semboyan DiRaja
Kem Mata Air, Perlis 1987 - 1996
Kem Wardieburn, Setapak 1996 - 2006
Mengimbau perjalanan kehidupan semasa alam persekolahan hingga
penghujung 2006. Susun atur perjalanan kehidupan “aku” seorang budak
kampung yang agak liar, dibenci, dicemuh dan dihina oleh segelintir
penduduk kampung. Akhirnya membesar dalam suasana penghinaan kini
berjaya menetap disebuah kota, dan telahpun memiliki sebuah eset di
D.Menara, bukit Changgang, Banting. Tidak jauh daripada eset itu
terletaknya sebuah lapangan terbang kebanggaan negara iaitu KLIA dan
LCCT. Juga sekitar 15 minit untuk ke Putra Jaya.
Sementara
terus dihina dan dicemuh, namun aku tidak pernah terlibat dan jauh
sekali untuk menghampiri dan berjinak dengan gejala sosial. Walaupun
pada zaman itu banyak gejala-gejala tidak sihat terutama pergaduhan,
kecurian dan gejala maksiat. Namun aku tetap dapat menyesuaikan diri
dengan keadaan itu. Membesar dan terus membesar. Diatas kesedaran,
kesusahan dan kemiskinan keluarga ketika itu dan melihat pengorbanan
arwah ayah serta ibu. Aku bertekad membantu keluarga dengan membuat
berbagai-bagai kerja kampung. Apatah lagi pada masa itu tiada kemudahan
Jalan Raya, Api dan juga Air. Semuanya menggunakan inisiatif sendiri.
Pada malam hari aku menggunakan pelita minyak tanah. Air dari perigi dan
charok/parit untuk mandi dan membasuh. Di parit itu jugalah semua
penduduk kampung pada masa itu melepaskan saki-baki makanan dari dalam
badan. Untuk bangun awal pagi semenjak dari darjah 1 aku sudah terlatih
menggunakan cahaya api yang diperbuat dari pelepah kelapa (JAMO). Tiada masalah untuk mendapatkan pelepah kelapa, kerana di sekeliling rumah dikelilingi pokok kelapa (nyo/nyok). Pelepah kelapa tadi di ikat memanjang hingga penghujung, di nyalakan dihujung dan diletakkan ditepi perigi/parit sebagai cahaya.
Di
Besarkan dalam keluarga miskin, menumpang ditanah milik orang di
kampung Tanjung Pari, Baling. Arwah ayah pada masa itu berusaha
mendapatkan sebidang tanah di Lata, Tanjung Pari. Terletak berhampiran
sungai dibeli dengan harga Rm 800.00. Yaitu tanah rizab sungai. Belumpun
mendapat Tol sementara. Bermacam-macam dugaan terpaksa ditempuh oleh
arwah ayah. Arwah ayah beberapa kali pernah ditahan oleh pegawai Jabatan
Perhutanan. Antara peralatan yang sering dirampas sebagai bahan bukti
termasuklah Gergaji Kayu, Penukul, Kereta Tolak dan lain2 lagi. Boleh
dikatakan arwah ayah sering naik turun mahkamah dalam kes perjuangan
untuk mendapatkan tanah demi untuk keselesaan ibu dan anak-anak.
Balik
semula semasa di alam persekolahan tadi. Begitu banyak kenangan pahit
manis yang tak dapat di ungkapkan. Antaranya semasa dalam perjalanan
pulang dari sekolah, sering aku di baling dengan batu oleh seorang anak
ketua kampung ketika itu bernama Che Putih Saad. Samada Che Putih masih
mengingati. Aku tidak pasti. Harap masih mengingati. Itu hanya kenangan
silam.
Semasa
di alam persekolahan lagi aku begitu amat mendalam meminati tentera.
Pada masa itu pihak tentera sering menggunakan padang sekolah sebagai
tempat menurunkan anggota tentera dan bantuan makanan
keperluan tentera semasa menjalankan Operasi. Kerana pada masa itu
daerah baling adalah kawasan hitam bagi tentera menghapuskan pengganas
komunis (PKM). Apabila ada lebihan makanan (ransum). Mereka akan
membahagi-bahagikan makanan tersebut kepada budak-budak kampung ini.
Bantuan susu tepung juga sering diagihkan kepada budak-budak sekolah
oleh tentera. Tentera juga sering berkemah di sekitar kawasan
berhampiran kampung. Ini membuatkan aku sering berjinak dengan tentera.
Mengunjungi kem-kem tentera didalam hutan adalah menjadi rutin harian.
Namun aku tidak melepaskan peluang, apabila habis sahaja sesi
persekolahan aku akan ke kem-kem tentera didalam hutan membantu ibu
dengan membawa didalam bakul Pisang Goreng, Kuih Gulung (ketayap),
Bengkang, Karipap, Pulut Udang, Pau dan berbagai jenis kuih. Apabila
habis sahaja aku kembali semula kerumah untuk mengambil kuih yang baru
di masak untuk dijual di kem-kem tentera yang lain pula.
Bibit-bibit
semasa mula mengenali, berkenalan dan berjinak-jinak dengan tentera
serta nasihat dan dorongan semangat semasa berkunjung ke kem-kem
tersebutlah aku terus hidup yang boleh dikatakan senang hingga kehari
ini. Semasa berkunjung ke kem-kem tentera didalam hutan sambil menjual
kuih dan apabila hendak pulang aku dibekalkan berbagai-bagai makanan
tentera termasuk makanan dalam tin seperti Nenas, Masakan Daging/Ayam,
Kacang, Sardin dan lain-lain. Semuanya dalam tin. Bak kata diruang dapur
rumah pada masa itu dipenuhi makanan dalam tin yang diberikan oleh
askar-askar yang bersimpati dengan kesusahan dan kemiskinan keluarga
aku. Hingga kehari ini masih dalam ingatan ialah salah seorang tentera
bernombor 21203 Lkpl Shamdin dari 3 RAMD. Harap-harap beliau masih ada
dan sihat hingga kehari ini. Jika ada kesempatan aku ingin bertemu
dengan beliau. Insyaallah.
Apabila
tamat sahaja alam persekolahan diawal tahun 1979 aku mula mengorak
langkah kealam remaja dimana lahirnya sifat tanggungjawab hasil dari
sikap budak buas (Ketegaq). Aku mula membuat kerja-kerja berat termasuk
mengikut arwah ayah kehutan, Meneroka (Mugaq) dan antara tempat-tempat
tersebut ialah di Nami, Sik dan Sira Ular, Tanjung Pari. Tiga empat batu
berjalan kaki kedalam hutan menebas, menebang pokok dan membersih
kawasan hutan untuk menanam pokok buah-buahan dan menanam padi bukit
(Huma). Bak kata pada zaman itu memang amat susah. Belum lagi berbicara
soal makan dan minum. Apa tidaknya hinggakan Dato’ Seri Anuar Ibrahim
ketika itu mewakili belia Malaysia telah menganjurkan satu rapat umum
dan tunjuk perasaan dibaling pada 2 dis 1974. Bayangkan orang-orang
kampung paling jauh Kampung batu lapan telah beramai-ramai berjalan kaki
sambil memikul ubi kayu sejauh lebih kurang 18 KM. Ada sesetengahnya
tidak berkasut. Begitu susahnya orang-orang kampung ketika itu.
Disamping
membantu arwah ayah, kerja-kerja lain juga dilakukan seperti membawa
basikal tua dengan raga durian (raga besar) keserata kampung membeli
botol-botol terpakai – 5 biji 10 sen. Disamping membeli botol ada juga
aku membeli buah-buahan seperti buah pisang dikumpul disebuah bangsal
berpagar daripada buluh untuk dijual kepada orang tengah. Disamping itu
aku juga sering mengambil upah panjat kelapa. Setiap 10 biji kelapa yang
dipetik, 3 biji darinya akan menjadi bahagian aku. walaupun ketika itu
aku masih mentah, namun kudrat aku mengatasi segala-galanya.
Pengalaman
melihat Helikopter Merah ditembak oleh komunis berhampiran Gua Rimau
menjadi ingatan hingga ke hari ini. Masa itu aku sering berkumpul dengan
keluarga diatas pelantaq dibahagian dapur menikmati betik muda di cicah
dengan air garam sambil melihat helikopter nuri mengangkut keperluan
tentera kearah gua rimau berhampiran sempadan Malaysia/Thailand. Apabila
sebuah helikopter merah dari arah sempadan Malaysia/Thailand melalui
gua rimau. Tiba-tiba aku serta keluarga ternampak beberapa cahaya serta
bunyi tembakan dari arah gua rimau tersebut. Selepas itu helikopter tadi
kelihatan terhoyong-hayang dan terbang rendah kearah rumah kami.
Kawasan rumah kami dihujani dengan air seperti air hujan. Rupa-rupanya
air tadi berbau seperti minyak tanah. Baru kami tahu helikopter terseput
telah terkena tembakan komunis. Namun Pilot dapat mengawal dan selamat
mendarat di padang sekolah tidak jauh dari tempat kejadian. Pilot
berbangsa cina terkena tembakan dari tapak kaki menembusi lutut.
Disamping
membeli botol dan buah-buahan, kadangkala ada juga aku kehutan menebang
buloh dikumpul dan ditarik ketepi sungai dijadikan rakit dibawa kehilir
hingga kepusat pengumpulan untuk dijual. Menoreh getah memang menjadi
rutin harian dari jam 7.00 pagi hingga jam 11.00 pagi. Pada
suatu hari, selepas aku balik dari menoreh. Aku singgah disebuah kedai
sambil membawa sekerap hasil torehan untuk dijual. Tiba-tiba aku disapa
oleh seorang anggota tentera yang ketika itu sedang bercuti. Terus
tentera tadi bertanya, mung nak masok aska dak. Jawab aku, nak la. Ha
maghi dok sining dekat tiang aku nak sukat tinging. Pekat benar loghat
aska tadi. Maka akupun ikut saja. Nama dan alamat surat menyurat juga
diambil askar tersebut. Pada ketika itu aku antara percaya dan tidak.
Ingatkan dia hanya main-main saja. Rupa-rupanya pada penghujung bulan
feb 1981 aku menerima dua surat panggilan dari tentera darat. Satu
dikehendaki melapur di Transit, Kuala Lumpur dan satu lagi dikehendaki
melapur di 6 RAMD, Sungai Petani.
Pada
16 mac 1981 aku memilih untuk melapur diri di Transit Kuala Lumpur
bersama-sama keperluan diri yang dinyatakan didalam lampiran surat
panggilan. Seminggu aku makan dan tidur di Transit, Kuala Lumpur.
Tiba-tiba aku dan kawan-kawan yang lain amat kecewa pabila menerima
berita kursus asas rikrut di KK dibatalkan. Dalam kepala aku terfikir
juga kalaulah aku buat pilihan melapur diri di 6 BGD Sungai Petanipun
dah tentu selamat. Namun aku tidak patah semangat. Berdoa dan terus
berdoa agar suatu hari nanti dipanggil semula.
Dari
saat itu aku membuat keputusan untuk terus tinggal di Kuala lumpur. Dan
menetap di Kampung Petaling berhadapan sekolah Darma jalan Puchong.
Diterima bekerja di sebuah kilang Matsushita Electronic Compny (MECOM).
Pengalaman yang tak dapat dilupakan pada penghujung 1981, banjir melanda
lembah kelang dan tak ketinggalan rumah sewa aku dan seluruh daerah
kampung petaling ditenggelami banjir besar. Penghujung Mei 1982 aku
bertandang pula ke Ipoh, menetap di Rapat setia Medan Gopeng, jalan
lapangan terbang Ipoh. Hingga oktober 1983. Di Ipoh aku bekerja di
sebuah kilang CutterSemi Conductor terletak berhampiran dengan rumah
sewa.
Pada
Nov 1983 aku dipanggil balik oleh arwah ayah. Aku dihantar tinggal
bersama sepupu di kampung bukit bertam Mahang hingga Mac 1984.
Dipenghujung bulan Mac 1984 aku sekali lagi menerima surat panggilan
menghadiri kursus asas rikrut di Port Dickson. 21 sept 1984 aku melapur
diri menghadiri sesi pemeriksaan kesihatan. Seterusnya diterima dan
mengangkat sumpah. Bermula dari tarikh mengangkat sumpah itulah aku mula
menjalani latihan rikrut. Berbagai-bagai pengalaman dilanyak dan
dibelasah serta dilayan bagaikan banduan. Tidak seperti rikrut masakini.
Langsung tidak boleh disentuh. Silap haribulan jurulatih pula yang akan
kena. Itulah bezanya rikrut dulu dan sekarang.
Selama 6 bulan menjalani liku-liku hidup sebagai seorang rikrut di D.Compeni Platun 16.
Maka pada oktober 1984 tamatlah perjalanan hidup selama 6 bulan yang
amat menyiksakan. Penghujung oktober 1984 aku bersama 35 rakan-rakan
yang lain dibawa melapur di Sekolah Semboyan, Sungai Besi kini dikenali
Institiud Kemahiran Electronic Darat (IKED).
Sementara
menunggu tarikh sebenar kursus sebagai anggota Semboyan. Berbagai-bagai
kerja dilakukan. Dalam masa menunggu itu aku tidak melepaskan peluang
mengikuti pengajian di masjid-masjid dan surau serta sering mengikuti
ceramah-ceramah umum. Apa yang tidak dapat dilupakan dan sentiasa dalam
ingatan ialah mengikuti kuliah maghrib mingguan di Masjid Sungai Besi
yang di sampaikan oleh Dato’ Nik abdul Aziz Nik Mat yang mana ketika itu
belum lagi menjadi ketua Kerajaan Negeri Kelantan. Dalam perjalanan
kehidupan pada masa itu amat mengembirakan kerana aku sering dibawa
ketempat pengajian dimerata tempat terutama taman Melewar dan Kampung
Baru.
Pada
21 Jan 1985 aku dianugerahkan Pingat Perkhidmatan am (PPA). Tanggal 11
mei 1985 aku mengikuti kursus jurusistem perhubungan kelas II selama
setahun dan tamat pada 26 mac 1986. Setelah tamat kursus aku terus
tinggal di Sekolah Semboyan dan berbagai-bagai kerja dilakukan sementara
menunggu untuk ditempatkan dimana-mana Unit Semboyan. Namun hampir
setahun tidak ada kekosongan dipasukan-pasukan Semboyan.
3
mac 1987 aku di calun pula ke kursus kombat semboyan pemandu kelas II
di 12 skuadron semboyan diraja. Ketika itu terletak di kem Oran, Kangar,
Perlis. Hingga ogos 1987. Belumpun tamat kursus aku terpaksa mengambil
cuti pulang kekampung di Sik, Kedah pada sabtu 22 ogos 1987. Kerana
keluarga telah menetapkan tarikh tersebut adalah hari angkat nikah. Dan
bermulalah pada tarikh itu aku bergelar suami kepada Siti fatimah binti
Abdullah seorang gadis dari kampung Seberang Ketil, Kupang, Baling.
Setelah habis bercuti aku menerima khabar yang amat mengembirakan yaitu
aku dikekalkan di pasukan 12 Skuadron Semboyan DiRaja.
Hampir
20 tahun aku bertugas dipasukan 12 Skuadron Semboyan diRaja sebagai
pemandu semboyan dan berbagai pengalaman juga dapat dijadikan
pengajaran, sebagai pemandu semboyan terpaksa hadapi tugas-tugas yang
mencabar. Diantaranya melakukan rondaan di persisir pagar sempadan
Malaysia/Thailand dari pos 1 hingga pos 15. Bayangkan sekitar jam 1.00
hingga 5.00 pagi apabila melalui sepanjang persisir pagar sempadan,
hampir setiap jam pasti akan terserempak dengan penceroboh sempadan.
Yang pasti penceroboh sempadan ini tidak akan merasa serik meskipun
tangkapan sering dilakukan. Dalam masa itu juga aku tidak lagi tinggal
di dalam Kem. Aku menyewa sebuah rumah di Mata Air, Perlis dan tinggal
bersama Isteri. Setelah hampir 1 tahun 6 bulan kami tinggal bersama.
Tanggal jumaat 3 feb 1989 aku dan isteri telah di kurniakan seorang
cahaya mata lelaki yang cukup comel dan diberi nama Azrun Mazwan.
Dilahirkan dihospital Sungai Petani. Hampir 2 tahun lebih selepas itu
rezeki keluarga datang lagi dengan anugerah Ilahi seorang puteri diberi
nama Farah Syuhada dilahirkan diHospital Baling pada sabtu 11 Mei 1991.
Setahun
selepas itu apabila puteri kami sudah boleh belajar berjalan sekali
lagi aku menerima khabar gembira dapat mengikuti kursus Kombat Semboyan
Pemandu Kelas I di IKED pada 11 julai 1992. Sebelum menghadiri kursus
Kombat Semboyan Pemandu Kelas I aku telahpun dianugerahkan pangkat LKPL.
Alhamdulillah. Rezeki anak-anak katakan.
Setelah
kembali dari berkursus aku terus bertugas di 12 Skuadron Semboyan
DiRaja hingga di awal 1996, pasukan 12 Skuadron Semboyan DiRaja telah
berpindah ke Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur aku
telah diberikan sebuah rumah Quarters Tentera di Desa Tun Hussein Onn,
Setiawangsa di tingkat 5-Blok E-No: 59. Selama 2 tahun menghuni di Desa
Tun Hussein Onn aku sekeluarga di anugerahkan lagi seorang putera diberi
nama Amar Soffian dilahirkan dihospital Kuala Lumpur pada rabu 4 mac
1998.
Terus
berkhidmat di 12 Skuadron Semboyan Diraja kem Wardieburn. Sudah menjadi
asam garam sebagai orang lama, dugaan demi dugaan serta perit maung
terus dihadapi dengan kesabaran. Tidak sesekali mengalah dengan
karenah-karenah ini. Dalam pada itu sudah 5 kali pada 5 tahun berturut
aku dicalunkan anugerah Khidmat Cemerlang. Namun tiada satu pun anugerah
tersebut diterima. Hanya orang yang sama menerimanya. Pemandu kepada
Ketua Skuadron. Pandai membodek. Cong sana Cong sini. Pepatah kata kena
pandai cari makan kalau nak hidup. Tapi diatas penderitaan orang lain
apa kesudahannya. Hanya orang yang tahu sahaja akan tahu. Tuhan dah
tunjukan pembalasannya didepan mata. Masih tak sedar dan pasti buat-buat
tak sedar. Itulah lumrah kehidupan.
Feb
2003 aku telah diamanahkan oleh kerajaan malaysia memandu kenderaan
rasmi kerajaan untuk membawa isteri kepada Presidant Buthan ke Sidang
Kemuncak Negara-Negara Berkecuali NAM ke 13 di Kuala Lumpur.
Menjelang Oktober 2003 sekali lagi aku diberi penghargaan untuk membawa
isteri kepada Perdana Menteri Jordan ke Sidang Kemuncak Persidangan
Ketua-Ketua Negara Islam OIC ke 10. Bertuah rasanya aku kerana
telah diberi kepercayaan, amanah dan pengiktirafan oleh kerajaan
malaysia. Hasilnya tanggal 14 Nov 2003 aku di sematkan pingat NAM 2003
beserta sijil penghargaan. Sekali lagi aku menerima berita gembira
apabila pada 12 Dis 2003 aku dianugerahkan pingat Perkhidmatan Setia PPS.
Julai
2005 bermulalah detik memilukan apabila aku terpaksa berpisah dengan
kawan-kawan dari yang selama ini selalu bergurau senda. Terpaksa aku
tinggalkan, Namun begitu sesekali aku berkunjung juga menziarahi
kawan-kawan dipasukan lama. Kini aku terpaksa menjalani proses peralihan
dari bidang ketenteraan untuk menjadi orang awam. Amat memilukan,
sehingga kesaat ini aku amat rindukan teman-teman sepasukan. 20 Sept
2006 tamatlah perkhidmatan aku sebagai anggota tentera yang bertugas
di12 skuadron semboyan diraja selama 20 tahun. Dipusat Latihan Rikrut
dan Sekolah Semboyan Sungai Besi selama 2 tahun. Perkhidmatan penoh
ditempuhi selama 22 tahun.
ANTARA KURSUS-KURSUS
YANG PERNAH DIHADIRI
1. JSP KLS II - IKED - 11 mei 1985 - 26 mac 1986
2. Kombat Semboyan Pemandu KLS II - 12 SSD - 3 mac 1987
- 27 Ogos 1987
3. Kombat Semboyan pemandu KLS I - IKED - 11 Julai 1992 ---
4. Kursus Motocade Nam-Mal 2003 - di Maktab Teknik Polis DiRaja Malaysia Bakri, Muar Jan 2003.
5. Cartificate Of Attendance In Sefety Management System 2004
6. Motivasi Jaya diri Okt 2004
7. Penggunaan Komputer Peribadi - Feb 2005
8. Fotografi - April 2005
9. Penyelia Keselamatan - Mei 2005
10. Pembuat Pakaian Wanita Tahap 1 - 2005/2006
Dinikahkan pada: Sabtu 22.8.1987
Isteri: Siti Fatimah binti Abdullah
Anak: Azrul Mazwan - 3 Feb 1989
Farah Syuhada - 11 Mei 1991
Amar Soffian - 4 Mac 1998
Alamat: PPR Desa Tun Razak,
Cheras,
Kuala Lumpur.
*** Kini bertugas di bawah Presiden Persatuan Bekas Wartawan Melayu Malaysia/Wartawan Melayu Kelantan (Berita Harian).
Email: afafa32@yahoo.com.my
http://afafa32.multiply.com/journal/item/10?&show_interstitial=1&u=%2Fjournal%2Fitem

Comments
Post a Comment