IBLIS DIPERINTAH MENGHADAP RASULULLAH

 

 

DI RIWAYATKAN bahawa Allah swt telah menyuruh malaikat pergi berjumpa dengan Iblis dan memerintahkannya supaya berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk menceritakan kepada baginda segala rahsia yang disukainya dan juga yang dibencinya.

Hikmah disebalik memerintahkan Iblis berbuat demikian kerana: Membesarkan kedudukan dan ketinggian Nabi Muhammad SAW. Untuk menjadi perisai dan peringatan kepada sekalian umat Nabi Muhammad tentang perangai Iblis dan amalan yang menjadi kesukaannya. Dan supaya Iblis memuliakan Nabi Muhammad SAW dan menerangkan segala rahsianya.

Maka malaikat pun datang berjumpa Iblis dan menyampaikan perintah Allah swt: “Wahai Iblis! Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Besar memerintahkan kamu supaya pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan kamu membukakan segala rahsia yang ada pada diri kamu serta apa-apa yang ditanya oleh Rasulullah hendaklah kamu jawab dengan sebenarnya. Jika kamu berdusta walau satu perkataan sekalipun nescaya akan diputuskan segala sendi-sendi anggotamu dan segala uratmu dan juga pasti nanti engkau akan disiksa dengan azab yang amat pedih.

Apabila Iblis mendengar kata-kata malaikat itu, dia sangat takut. Lantas terus pergi berjumpa dengan Rasulullah. Semasa berjumpa Iblis menyerupai seorang orang tua yang matanya buta sebelah, berjanggut putih sebanyak sepuluh helai dan panjang seperti ekor lembu.

Lalu Iblis memberi salam hingga tiga kali kepada Rasulullah tetapi, tidak dijawab oleh baginda. Kemudian Iblis berkata: “Mengapa tuan hamba tidak menjawab salam hamba? Tidakkah tuan hamba tahu bahawa salam itu sangat mulia di sisi Allah?”

Lalau dijawab oleh Rasulullah: “Wahai Iblis! Musuh Allah dan musuh orang beriman, kepada akukah engkau menunjukkan mukamu? Berpatutanlah muka engkau seperti itu. Engkau hendak menipu aku sebagaimana engkau telah menipu Nabi Adam keluar dari syurga. Habil mati teraniaya kerana dibunuh oleh Qabil.

“Nabi Allah Ayub engkau tiup dengan asap beracun ketika dia sedang sujud dalam solatnya hingga dia menanggung penderitaan beberapa lama atas perbuatan kamu yang jahat dan khianat itu. Dan kisah nabi Daud dengan perempuan Urya. Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyerupai isterinya lalu engkau melarikan cincinnya. Demikian juga dengan beberapa orang pendita-pendita yang telah menanggung azab sengsara oleh kerana perbuatan yang jahat.

“Wahai Iblis! Sesungguhnya salam itu amat mulia di sisi Allah. Namun demikian hanya salam engkau itu sahaja aku tidak ingin menjawabnya kerana telah diharamkan oleh Allah dan engkau kena laknat serta sudah ditentukan engkau dalam neraka yang sangat keras menyiksa kamu. Sesungguhnya aku kenal benar bahawa Iblis adalah raja segala syaitan yang menyamarkan diri.”

Kemudian Rasulullah bertanya: “Apakah kehendak engkau datang berjumpa denganku?”

Mendengarkan penjelasan Rasulullah, Iblis termangu dan termenung seketika. Kemudian dia berkata: “Wahai Rasulullah! Janganlah tuan hamba marah kepada hamba. Demi sesungguhnya tuan hamba adalah penutup segala Nabi dan Rasul dan kekasih Allah swt. Justeru, tuan hamba dapat mengenali hamba.

“Wahai Rasulullah! Kedatangan hamba berjumpa tuan hamba adalah dengan izin dan perintah Allah yang mengutuskan malaikatNya berjumpa hamba dan menyampaikan perintah Allah supaya hamba berjumpa dengan tuan hamba yang mulia. Sesungguhnya hamba diperintahkan supaya menjawab segala pertanyaan yang berkaitan dengan umat tuan hamba.

“Dan hamba bersedia untuk menjawab segala soalan secara terus terang daripada segala tipu daya hamba atas sekelian manusia sejak dari zaman Nabi Adam hinggalah ke zaman yang terkemudian daripada tuan hamba. Sesungguhnya hamba akan menggoda kepada beberapa banyak simpang dan jalan yang menyesatkan supaya mereka semua binasa oleh tipu daya hamba yang amat halus dan licin.

“Wahai Nabi Allah, setiap soalan yang tuan hamba kemukakan pasti hamba bersedia menjawabnya dan hamba mengaku untuk berterus terang. Dan ketahuilah bahawa hamba tidak berani untuk menyembunyikan segala sesuatu daripada diketahui oleh tuan hamba.”

Lantas Iblis bersumpah dengan nama Allah, katanya: “Wahai Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta atau berbohong walau sepatah kata sekali pun, nescaya akan hancur leburlah diri hamba terbakar hingga jadi abu.”

Mendengarkan sumpah dan penjelasan Iblis itu, Rasulullah berasa gembira dan tersenyum. Inilah peluang terbaik untuk baginda mengetahui segala rahsia Iblis. Bagaimana cara dia menggoda manusia dan dapat pula didengar oleh sekelian sahabatnya yang hadhir dalam majlis itu. Dan supaya ianya menjadi senjata dan perisai kepada sekelian umat baginda di kemudian hari
.

sila lihat: DIALOG RASULULLAH DENGAN IBLIS

Read more: http://sa-melayu.blogspot.com/2010/08/iblis-diperintah-menghadap-rasulullah.html#ixzz1yFe4EXqD

Comments

Popular posts from this blog