- Get link
- Other Apps
Kisah benar tragedi Memali
Artikel
ni penulis ambil dari blog http://irwanmz.blogspot.com untuk tatapan
dan pedoman semua dalam menyampaikan perkara yang sebenar. Sama-sama lah
kita baca dan hayati detik-detik terakhir seorang shuhada’.
Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim
Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi
satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000
anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim
Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh
ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam
Se-Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra dengan panggilan Ust.
Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan
pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat
Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya
mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi
ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya
sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf
sebagai pendakwah terbaik.
Dengan suaranya yang lantang dan tegas
menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai
oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis
pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan
pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan
oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat
ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak
memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah
ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan
korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam
memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan
dalam kepimpinan Negara.
Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan
umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi
ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang
mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai
tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya
Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak
pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara
pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.
Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali
dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan
anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu
bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang
diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan
Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi
mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar
anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang
dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku
dalam tempoh menjelang operasi.
1
Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985,
hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran
yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru
mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan.
Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’
disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam
adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan
senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar
bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang
besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas
pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan
Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.
Anggota polis berpecah kepada dua
kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran
dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur
perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka
akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari
pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga
walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis.
Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin
dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka
ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara
anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan
mereka yang bukan beragama Islam.
Antara watak utama dibelakang operasi
yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop
(pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka
inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust
Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.
Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov
1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh
bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan
anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara
lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang
lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai
kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad
untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela
mati demi mempertahankan As-Syahid.
Antara mereka yang rapat dengan Ust
Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal).
Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak
keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan
darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya
untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana
baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya
hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut
fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.
Berita kehadiran anggota polis untuk
menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera
Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga
terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama
daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya
bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis
agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang
membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera
ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa
nanti kita akan bertempur.” Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.
Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi
bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke
belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan
tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan
orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh
keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi
menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun
untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi
kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang
menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa
itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.
Pihak keselamatan yang panik akhirnya
melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang
kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan
tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil
tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan
panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang
ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah.
Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir
peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama
tragedi tersebut.
Jerit pekik penduduk semakin kuat
apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan.
Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan
Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru
menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam
ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat
bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak.”
Menjelang waktu Zohor, hujan
renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun
sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang
serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai
jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa
yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut
dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk
kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ada lagi
yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis
untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga
agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar
merahsiakan kejadian.
Beberapa hari kemudian barulah mereka
dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14
orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa
agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust
Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan
sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di
pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana
mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah
pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan
lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib
diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka.
Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan
beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir
walaupun telah beberapa hari ditembak.
Sehingga hari ini, kes ini yang telah
beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes
yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh
Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin.
Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk
menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya
selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang
anggota keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi Memali yang
meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa
anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar
dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah.
Bahkan seorang demi seorang orang
kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman
kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.
Selepas kejadian tersebut, setiap tahun
PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga
ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan
kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas
kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih
dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan
sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas
nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut
dihentikan. Wallahua’lam.
Al-Fatihah Untuk Para Syuhada’ Memali
http://khalilullah.comze.com/?p=145
Comments
Post a Comment